Saturday 31 May 2014

TERIMA KASIH ABANG LONG


Terima kasih Abang Long (Thien Shih), datang jauh-jauh dari KL ke Penang bersama adik-adik dari BSVN, untuk sama-sama sarapan dan sembang, tentang karya-karya anda dan zaman gemilang 1980an. Terima kasih juga sudi buat rakaman video karutan saya yang dah separa-pencen dan tidak foto-gedik. 

1980an zaman saya masih menuntut di UiTM, dan berguru dengan beberapa otai besar seni moden Malaysia (yang juga rakan-rakan sezaman Abang Long). Ketika itu, keluarga seni moden Malaysia masih kecil. Acara besar hanya dibuat di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama Hotel Majestic depan stesyen keretapi (KTM). Ruang berpameran yang lain tak banyak, antaranya lobi Australian High Comm, dan Galeri Petronas yang ketika itu terletak di Bangunan Dayabumi. Muka-muka yang hadir ketika majlis perasmian selalunya sama, persis perjumpaan keluarga.  1980an zaman Knight Rider, Rambo, Madonna, Mahathirisma dan runtuhnya tembok Berlin.

Di hotel 1926 Pulau Pinang, saya dan Abang Long flashback era kegemilangan yang terisi dengan watak-watak utama seperti Chong Kam Kaw, Tan Tuck Kan, Joseph Tan, Ponirin Amin, Fauzan Omar, Awang Damit, Yusof Ghani, Ahmad Khalid, Syed Tajuddin, Tajuddin Ismail, Sharifah Fatimah dan ramai lagi, termasuk para pelukis cat air.

Selain dari Abang Long, tak ramai yang ke Paris untuk menuntut ilmu seni. Antara yang lain ialah Fong Mooi dan Ng Bee, seingat sayalah. Dalam sejarah seni cetak, ada yang letakkan Abang Long sebagai antara otai besar. Karya-karya seni cetaknya sekitar 1970an (sutera-saring dan gurisan), ada dalam koleksi Balai Seni Visual Negara, juga dijadikan rujukan dalam kuliah seni cetak guru seni cetak saya, Ponirin Amin.  

Walaupun mula dikenali menerusi seni cetak, sikap Abang Long terhadap pengkaryaan agak berbeza dengan rakan-rakan sezaman. Dia tak terkepung atau terpasung oleh sesuatu medium, teknik dan stail. Subjek dan temanya juga cair, berubah-ubah ikut konteks semasa. Pada zaman gemilang 80an, sikap begini tidak diterima sebagai alim seni. Susah nak cari makan, kerana susah untuk dikenali. Nada karya-karya Abang Long nakal dan pedas, tapi dilapik oleh metafora visual bawah sedar. Adakalanya, sikap beliau seakan mengusik kealiman dan ketaatan pengamal seni moden zamannya terhadap satu medium, teknik dan gaya atau stail yang tetap. Sikap Abang Long begini, mendahului zaman. Saya teringat pada Lee Kian Seng yang ada angin yang lebih kurang sama. Begitu juga dengan Ponirin Amin dan Askandar Unglerht. Kini, ramai pengamal seni kontemporari muda memakainya.

Abang Long juga tak malu berniaga di bawah tangga di Pasar Seni KL. Dia antara generasi pelopor awal seniman sepenuh masa di Pasar Seni KL, walaupun ada ijazah dari luar negara. Waktu itu, seniman Pasar Seni pernah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai seniman kelas dua. Abang Long tak kisah, malah selesa membuat potret dan lukisan pemandangan cat air yang cantik manis untuk memenuhi tempahan para pelanggannya. Dia juga mudah bergaul dengan semua jenis manusia, peramah dan ceria.

Karya seni cetakan digitalnya "Bar Coded Man" (dalam koleksi Balai Seni Visual Negara) antara yang paling melekat dalam minda saya. Dengan memetik dan mengolah-semula karya Leonardo da Vinci secara digital seperti robot (Leonardo meletakkan tubuh manusia sebagai sukatan untuk segala benda), Abang Long seakan menyindir bagaimana manusia kini disukat menerusi nilai konsumsi atau daya belinya. Semua produk industri kini ditag dengan bar code. Ini membolehkan para pemodal, pengilang dan penguasa kapitalis memperolehi meta-data berkaitan dengan corak konsumsi seorang manusia dan kelompok sosial. Malah, corak konsumsi, selera dan daya beli seseorang (yang menggunakan kad kredit untuk berbelanja) boleh diakses meta-datanya menerusi bar-code. Ini membolehkan pemodal, pengilang dan penguasa pasaran membaca corak berbelanja dan gaya hidup, dan seterusnya menanam pengaruh serta memanipulasi pasaran. Ini pembacaan saya la.

Kepada Abang Long, sesuai dengan namanya, semoga beroleh 'long' artistic life.

Sarapan Penang-style

HILANG (DAN LAHIR-SEMULA) DI TAMBUN,

"Welcome to Jurrasic Park"

Globalisasi membawa gergaji dua mata, melabur dan melebur, melahir dan menghilangkan. Boleh juga dieja globalisasi, globalisisi, globalisasau, globalibasi, globalukasi.  Kalau ia binatang, kita sedang menghela kentutnya. Kalai ia pokok, kita sedang makan buahnya.

Benih globalisasi dah tumbuh meriah di Malaysia dalam pelbagai manifestasi rentas-budaya yang rencam. Adakala kita raikan, adakala kita kesali. Semuanya boleh dihidu, dimakan, dialami, atau diteliti sebagai teks untuk kajian budaya (atau rentas-budaya). Dalam beberapa blog entry lepas, saya dah pernah mengarut (dan mengerutkan dahi) tentangnya.

Kalau nak juling baca tentang simulakra (tiruan atau salinan atas salinan, hingga yang asli dah haus atau hilang terus), termasuk talkin untuk modenisma dan ekstasi hyper-reality di Universal Studio Singapura, klik :

Kalau nak hidu kentut globalisasau di Hong Kong, sila ke :

Yang terbaru, ia terjadi di Lost World of Tambun (LWOT), pinggir Titiwangsa dalam negeri Perak, bumi kelahiran saya. Perak adalah negeri saya remaja, juga bertapaknya rumah pusaka hasil titik-peluh kedua ayahanda dan bonda, akar dan paksi saya kembali kepada fitrah diri.  Ia negeri saya balik menyingkap Lailatul-Qadar dan merai Hari Raya.

Namun Perak yang dipakejkan di LWOT, tidak sama dengan Perak yang saya imani sebagai negeri saya. Ini adalah Perak dalam simulacra (istilah Baudrillard)  taman tema air ala-Disneyland dan Universal Studio. LWOT namanya sekentut tapi tak sebau dengan Jurassic Park, walaupun mungkin Spielberg belum pernah singgah lagi. Seperti anak kelahiran globalukasi gergaji dua mata yang lain, LWOT meninggalkan tinggalan rasa keraian dan kekesalan, kehilangan dan kelahiran.



Keraian dan kelahiran hadir dari simulasi hotspringnya dan jacuzzinya yang buat saya sekeluarga segar-bugar dan sel-sel baru lahir-semula. Begitu juga dengan gelungsurnya (walau tak sebrutal di Sunway dan di Melaka), membawa saya dan isteri ke zaman ketika anak-anak masih kecil (yang tidak lagi mandi dalam anak sungai, parit besar atau tali air seperti saya semasa kecil dulu). 

Kesalnya kerana produk simulasi (salinan palsu) dan ekstasi komunal pasca-kapitalis begini sering membuat banyak keaslian got 'Lost' (hilang), termasuk segala yang saya takrifkan sebagai tapak, akar, sejarah, pusaka dan paksi. Kalau nak tau apa yang hilang, silalah hilang di LWOT. 


Ketika menonton pertunjukan haiwan dan sesi bagi harimau makan di LWOT, seekor ayam pertunjukan secara tidak sengaja terjatuh dalam kolam di kandang besar harimau. Ayam malang itu terus diterkam dan dibaham harimau. Nyawanya 'hilang'. Jadilah ia pertunjukan haiwan dimakan hidup-hidup yang disaksikan juga oleh ramai anak-anak kecil. Ada yang ternganga, ada yang menangis. Itulah namanya 'lost world' agaknya kot. Atau digelar simulacrum tahap Hollywood. Pengacaranya pun simulacrum. Dia berpakaian seragam pemburu sambil sesekali buat lawak pendek akal (mengacah penonton untuk masuk dalam kandang rimau). Bila ayam pertunjukan secara tidak dirancang 'hilang' dibaham harimau, dengan selamba dia berkata......

"Well, accidents do happen."

Woraait brader, sedapnya lu punya ayat. Terlintas dalam kepala, ok ke untuk seorang yang sepatutnya menjaga keselamatan haiwan-haiwan pertunjukannya, berkata demikian. Apa kata kalau juruterbang pesawat berkata demikian kepada penumpang sebelum ia berlepas? Lawak ke?

Selain dari kehilangan DYMM Sultan Azlan Shah (yang mangkat semalam), saya semakin kehilangan di Perak, negeri tanah tumpah darah saya. Sejarah, pusaka, tinggalan legasi ayahanda-bonda, akar, paksi, tapak.....semuanya semakin haus dan hilang diterkam dan dibaham binatang bernama globalukasi, ekonomi kapitalis pasaran bebas dan kebas, teknologi simulasi dan ekstasi hyper-reality. Binatang ini berselindung di sebalik pelbagai topeng jenama yang hebat-hebat (politik, ekonomi, budaya, dll).

Tapi takpa, tak perlu gusar. Kehilangan itu indah, memberi laluan untuk kelahiran yang baru. Kehilangan dan kelahiran adalah kitaran fitrah yang patut kita syukuri.

Jika nak berbalada, sila ke :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/h3r0.html

dan

http://www.youtube.com/watch?v=OnNuE4tXdGk

Friday 30 May 2014

PESAN & DOA UNTUK ADIK-ADIK DI UNIMAS



Adik-adik di UNIMAS yang sibuk mengejor segulung kertas bernama 'ijazah', jika rasa boleh layan, terimalah pesan dan doa berikut:

Penyelidikan adik-adik perlu berfokus, terurus, bertumpu, terarah atau berhalatuju, menggunakan beberapa metodologi penyelidikan visual yang relevan.
  
Penyelidikan adik-adik perlu kaya dengan interpretasi peribadi dan refleksi dalam bentuk visualisasi awal, visualisasi susulan, visualisasi cadangan, visualisasi skimatik dan visualisasi persembahan . Semuanya divisualkan (bukan hanya diverbal persis bidaah kata) agar topik yang dikaji dapat dihayati dan diimani fikirnya (IQ), rasanya(EQ), kepercayaannya(SQ)

Data-data visual disokong oleh kekuatan kontekstual dan konseptual, terutama dari segi teori, retorika, wacana, sejarah dan amalan sezaman.
  


Merujuk data-data primer yang sahih, bukan data-data sekunder dan sumber yang tidak boleh disahihkan seperti gosip, umpatan, orang mengata-ngata, fitnah, tanggapan liar dan segala bentuk buruk sangka. 

Pengkarya dan karya yang dikaji, perlu dihubungi dengan beradab, ditemui, diserap getar fikir, rasa dan jiwanya, bukan dicuri dari laman sosial atau sebarang sumber atas talian, tanpa pengetahuan pengkarya.

Mengamalkan dan membudayakan tinjauan ke studio atau makmal pengkaryaan.

Menimba pendedahan dan pengetahuan tentang amalan seni kontemporari tempatan dan luar Negara sebanyak yang mampu. Membudayakan amalan berkunjung ke galeri untuk membuat kajian secara langsung. 

Rujuk sumber sekunder (buku-buku) terbitan tempatan dan terkini, bukan hanya kitab-kitab seni dari luar negara je. 

Untuk adik-adik yang melaksanakan kajian teknik, bahan dan proses, perlu   komprehensif dan didokumenkan dengan teliti dan sistematik. Jika ada data yang dikumpul, perlu dianalisa dengan satu kerangka konseptual atau teori pilihan. Perlu ada parameter dan kaedah analisis. Dapatan pula perlu dibincang atau diperhalusi, diberi kerangka teori untuk diaplikasi dalam karya. Kajian tentang teknik, bahan dan proses ini jangan dikelirukan  oleh tuntutan untuk mengutarakan isu, subjek dan tema yang mungkin hanya bersifat ‘tampalan’, cetek dan sambil lewa, tanpa sebarang pertautan konteks mahupun konseptual antara keduanya.  

Perlu bina asas dan kefahaman teori serta wacana sezaman terutama yang berkaitan dengan kajian budaya dan teori-teori kritikal, serta kaitannya dengan konteks sejarah dan budaya tempatan. 

Elakkan dari terkeliru dan terperangkap dalam kontradiksi dan percanggahan (atau kekeliruan) paradigma antara bahasa, retorika, sistem, struktur dan wacana modenis berasaskan fahaman formalis dengan pasca-modenis berasas  kajian budaya dan teori-teori kritikal. Ini termasuklah metodologi penyelidikan atau kajian, proses berkarya, hasil karya dan pengkarya. Takrifan berkarya, hasil karya dan pengkarya dalam paradigma modenis adalah berbeza dengan paradigma pasca-modenis. Malah, paradigma pasca-modenis itu juga kini sudah semakin mencapah ke pelbagai wacana pasca-tradisi baru yang melibatkan cantuman pelbagai disiplin ilmu berkaitan dengan :
Ø  minda, kesedaran tinggi dan meta-kognisi,
Ø  fizik kuantum,
Ø  komunikasi atas talian,
Ø  sibernetik,
Ø  pengimejan digital dalam pelbagai bidang meliputi teknologi teleskop, mikrosop elektron, satelit, GPS, GIS, MIR,
Ø  psiko-sosial, psikologi organisasi, rekabentuk sosial dan persekitaran emosi, ruang publik dan persekitaraan binaan,
Ø  kelestarian, budaya hijau dan kesejahteraan (wellness).    
 
Cuba juga elakkkan kekeliruan antara paradigma yang berasas disiplin (disciplinary) dengan rentas-disiplin (trans-disciplinarity); pemisahan disiplin dengan penyatuan (convergence). Juga antara yang berasas galeri dan kerangka pasaran seni kontemporari dengan berasas akademik, penyelidikan, eksperimentasi, penerokaan dan inovasi. 

Elakkan juga kekeliruan antara teknik, bahan, proses, peralatan dan perkakasan dengan ‘isu’, subjek dan tema. Dalam  paradigma modenis, keduanya sering diasingkan dalam struktur binari bentuk dan isi (form and content). Namun dalam paradigma pasca-modenis, pengasingan begini tidak relevan. Teknik, bahan, proses, peralatan dan perkakasan  juga boleh menjadi ‘isu’, subjek dan tema kajian atau  isi (content). Kesemuanya boleh dibingkai oleh konteks tertentu yang melibatkan pelbagai bidang ilmu. Semuanya juga boleh dijadikan asas membina kerangka konseptual, terutama sebagai penerokaan metodologi kajian dan bahasa visual yang baru, inovatif dan lebih bersifat sezaman. 

Tingkatkan kemahiran mempertahankan ide secara verbal. 

Hasil penyelidikan biarlah ada perkembangan dan penerokaan ide dengan subjek dan isu sezaman yang lebih mencabar atau luar ‘lingkaran’. 

Contohilah rakan-rakan yang memaparkan kajian, penerokaan dan aplikasi kaedah atau metodologi yang baru, segar, kreatif, inovatif dan berani. Antara yang bagus-bagus adalah rakan-rakan (maaf, lupa nama-nama) yang menghasilkan kajian dan karya berkaitan dengan hal-hal berikut:
* frekuensi getaran bunyi dan teknik pengimejan foto alternatif,
* pembacaan baru terhadap teknik, bahan, proses anyaman, gubahan dan persembahan seni tradisi dalam konteks sezaman, 
* aplikasi pengaturcaraan interaktif dan teknologi atas talian dalam menyampaikan naratif peribadi
* eksplorasi ruang publik dan persekitaran binaan, unsur alam (angin) menerusi instalasi bahan alternatif
* aplikasi kreatif bahan jumpa tiga dimensi untuk mengembangkan bahasa catan dalam konteks sezaman
* aplikasi kaedah ilustrasi digital dan komunikasi grafik dalam konteks pengkaryaan seni visual berasas galeri
* penyegaran-semula tradisi catan figurative dan representational.

Tingkatkan Kefasihan kuratorial terutama sekali dari segi perletakan, pemilihan, penyususan dan persembahan karya di tapak atau lokasi. Kita perlu memuliakan karya kita, memuliakan ayahanda dan bonda yang menaja kita, memuliakan para pensyarah kita, menunjukkan rasa syukur, terima kasih dan penghargaan terhadap rezeki ilmu yang kita terima sepanjang tiga tahun di Universiti. Ini semua ditunjukkan menerusi cara kita mempersembahkan hasil karya kita.


Jika melakukan sesuatu yang pernah dilaksanakan oleh para pelajar terdahulu, kajiannya perlulah dikembang agar melebihi tahap pencapaian para pelajar terdahulu.

Didoakan, adik-adik untuk tahun-tahun mendatang, bakal dibekalkan dengan beberapa kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan atau kajian seni visual yang boleh dipilih mengikut kesesuaian dengan bakat dan kecenderungan masing-masing.

Didoakan setiap penyelia dapat menyediakan secara formal kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan yang boleh digunakan oleh para pelajar seliaan mereka, berdasarkan kepakaran masing-masing. Kepelbagaian konteks, konsep dan metodologi perlu dihormati dan digalakkan, malah boleh menjadi kekuatan. Boleh juga dilaksanakan beberapa bengkel, modul atau manual untuk perkara di atas. 

Didoakan para pelajar yang sudah memilih satu kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan di bawah penyeliaan seorang penyelia, tidak lagi dikelirukan oleh para pensyarah lain dengan kerangka dan metodologi yang lain pula.

Didoakan agar dapat dikumpul-semula hasil kerja para pelajar dari kumpulan pertama hingga kini untuk dibuat kajian, analisis, ulasan dan penerbitan buku. 

Didoakan agar kampus UNIMAS terus diterokai dengan lebih komprehensif dan intensif. Malah, ini adalah kelebihan UNIMAS yang tidak ada pada IPTA-IPTA yang lain di Malaysia (juga rantau Asia Tenggara). Kampus UNIMAS itu sendiri secara fizikalnya boleh menjadi pentas terbuka seni kontemproari. 

Didoakan agar penawaran pelbagai bidang seni gunaan dan kreatif di FSGK dan perkongsian sumber perkakasan, peralatan dan makmal merentas jabatan boleh dijadikan pemacu dan ‘x-factor’. Didoakan juga agar pencairan geografi dan anjakan dari pusat ke pinggiran seperti yang berlaku di beberapa Negara yang lebih maju boleh dijadikan sebagai satu lagi x-factor. Selain dari George Town di Pulau Pinang dan Melaka yang aktiviti seni, budaya dan warisannya semakin dinamik (George Town Festival, Tropfest Short Film Festival, Penang Jazz Festival, dll), FSGK dan UNIMAS juga boleh memposisikan diri sebagai pemacu aktiviti kesenian yang inovatif berdasarkan kedudukan pinggirannya di Sarawak dan di Kota Samarahan yang semakin pesat membangun. 

Tanam dan sebarkanlah getaran cinta serta kasih-sayang tanpa udang sebalik mee.

Jagalah kesihatan/kepintaran fikir (IQ), kesihatan/kepintaran emosi(EQ). Kekuatan keduanya datang dari kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah-bagi (SQ). Vitaminnya adalah sentiasa bersyukur dan berterima-kasih, rajin bersedekah (senyuman, sangka-baik dan doa untuk orang lain juga sedekah, tak perlu modal benda) dan memaaf/menerima/redha atas segala ujian. Semua ujian (atau perkara yang kita tak suka) adalah denai untuk meningkatkan makam(tingkatan) fikir, emosi dan jiwa, untuk kita membuka hijab (toksid fikir, rasa), agar cahaya batin yang memang dah ada dalam diri, dapat bergema, memancar dan bersinar.

Sekian, pesanan dan doa, tanpa sebarang acara rasmi, bunga manggar, ucapan serta janji-janji manis, puji-pujian yang dibaca dari teks yang disediakan, tanpa perasmi, tanpa jamuan, tanpa penaja rasmi, tanpa penyiar rasmi, tanpa udang sebalik mee. 

Salam kasih dari saya. 

Thursday 29 May 2014

BURUNG DALAM SANGKAR BATU


Burung Kenyalang 
tersepit di celah sangkar batu
menara gading
menunggu masa 
untuk terbang bebas
 
Hanya di Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS

MALAM JADI SIANG


Malam jadi siang, 
bulan mengambang, 
awan berarak
langit biru jatuh atas dinding berkulat
Hanya di Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS.

PERTEMUAN ADALAH REZEKI

Sekitar 1996, saya pernah ke rumah panjang Nangga Sumpa, di Batang Ai, Sarawak untuk satu ekspedisi rakaman audio serta video. Antara yang menarik perhatian dan menyentuh hati saya ialah anak-anak kecil yang dibesarkan dalam persekitaran hutan dan rumah panjang tersebut. Salah seorang dari mereka ialah kanak-kanak perempuan comel (lebih kurang empat tahun) tak berbaju yang sering mengekori saya.  Saya rakamkan dia (foto dan video) bersama kanak-kanak yang lain bermain dengan riang di sungai, yang telah menjadi habitat mereka. Keriangan mereka saya jadikan sebagai antara intipati karya video muzik yang terhasil.

Semasa ke Nangga Sumpa, saya dan Mohd Fadzil (kini Timbalan Naib Canselor HEP UNIMAS) membawa rakan komposer dari Amerika Syarikat, Barton & Priscillia McLean. Kami berkolaborasi untuk menghasilkan gubahan muzik elektro-akustik berdasarkan bunyi-bunyian dan visual hutan hujan khatulistiwa di Sarawak, termasuk penghuninya. Sinergi yang lestari manusia-persekitaran semulajadi menjadi inspirasi dan konsep teras karya kolaborasi kami. Hasilnya ("Jambori Rimba") dipersembahkan dalam bentuk sebuah konsert dan pemasangan audio-video interaktif yang mengizinkan penonton menghasilkan ambiance bunyi dan visual. Barton McLean juga membantu saya memasang studio muzik digital di UNIMAS ketika itu.

Sekitar 1998 saya menggubah satu lagu ("Suara Rimba") secara digital, berdasarkan pengalaman ke Nangga Sumpa. Gubahan kasar ini kemudiannya diolah-semula oleh rakan komposer yang sama bertugas sebagai pensyarah di UNIMAS, Hafeez Askiak. Hasilnya digabung dengan bahan-bahan visual yang saya rakam di Nannga Sumpa, termasuk kanak-kanaknya. Rujuk (klik)

Cut-to : Interior, Galeri FSGK UNIMAS, Mei 2014 :
Ketika kembali ke UNIMAS untuk menilai projek akhir para pelajar Seni Halus, saya diketemukan-semula dengan kanak-kanak perempuan yang pernah saya rakamkan di Nangga Sumpa dulu.  Setelah 18 tahun berlalu, dia kini menjadi pelajar jurusan seni halus di UNIMAS. Saya berjumpa-kembali dengan dia, bukan untuk membuat rakaman, tapi untuk menilai projek tahun akhir dia. Walaupun dah dewasa, saya masih kenal dia. Bila saya maklum dan tunjukkan muzik video "Suara Rimba", dia terkesima. 

Setiap pertemuan adalah rezeki.




Tautan berkaitan

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/09/masuk-hutan-re-visiting-jambori-rimba.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/03/suara-rimba-salam-harapan.html
  

 

Tuesday 27 May 2014

KENAPA SAYA SUKA BERKEBUN DI SABAH


Sabah, terutama Kota Kinabalu dan kawasan berdekatannya, menyediakan kekayaan rezeki mata yang boleh dizikir dan ditasbihkan dalam hati.
Bayu Laut China Selatan bekalkan tasbih alam yang kaya dengan sumber getaran tenaga yang sihat, jika kita tahu memanfaatkannya
Jeti bersejarah lokasi singgah dan jamah, untuk menghargai kekayaan dan kemewahan rezeki mata, lidah dan perut.
Nasi Pandang Ibu di Jeti Jesselton, tempat menzikirkan syukur atas rezeki kenyang.
Edible art, arca ikan goreng yang lazat.



Kota Kinabalu dari Bukit Bendera (bukan yang di Pulau Pinang!). Semakin pesat berubah, kaya dengan pelbagai drama sosial, ekonomi dan budaya yang boleh diteliti di celah-celah bangunannya.
Sinergi antara pem'bangun'nan kota 'jantan yang suka bersaing siapa punya paling tegak mencacak, dengan hamparan tasbih alam yang sentiasa sudi menadah, membasuh dan menatang.
Horizon Kota Kinabalu boleh mendiamkan kocak, melaras EQ (kepintaran emosi) dan memperkukuh SQ (kepintaran spiritual/kepercayaan)
Repositori seni visual. Persis bakul besar tempat menyimpan, mempamer, memulia, mensejahtera, melestari dan memasyarakatkan seni visual di Sabah.
Pohon besar di sebuah kebun bukit hasil benih yang ditanam oleh Allahyarham Dato' Yaman.
Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan doakan kesejahteraan roh Allahyarham Dato' Yaman.
Tinggi mana pun menjalar ke langit, jangan lupa tanah dan bumi tenpat kita berpaksi.
Naik, tapi tak lupa tunduk mengadap bumi.
Spiral dan simbahan cahaya dari langit, di lobi antrium Balai Seni Lukis Sabah.
Landskap Kota Kinabalu yang sentiasa dibasuh bayu Laut China Selatan.
Levitasi dan tenaga menegak - menzikirkan getaran kreativiti.
Disambut perbarisan pokok yang taat memberi tabik pada sesiapa jua yang masuk ke kampus UMS.
Bangunan Sekolah Seni, kini sudah menjadi sebahagian dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS. Bumbung tinggi bertiang bulat seperti rumah tradisional beberapa suku kaum di Sabah, buat saya rasa seperti balik kampung dan berlapang hati.
Jasa arwah Zul, rakan bekas tukang kebun awal, tetap dikenang. Al-Fatihah untuk beliau.
Galeri kecil, tapi insyaAllah, akan melahirkan insan-insan berjiwa besar.
Kebun kecil di UMS. Yang menghidupkan sesebuah galeri bukanlah jasad kasarnya, tapi jiwa manusia yang berkebun dalamnya. Semai, tanam, baja, siram dan jagalah dengan limpahan kasih sayang, bukan permusuhan. Hebat macam mana pun sesebuah galeri dari segi fizikalnya, tapi jika para pekebunnya tidak sihat dari segi mental (IQ), emosi (EQ) dan spiritual (SQ), ia tidak akan menjadi kebun yang subur. Tanamkanlah kepercayaan yang kukuh (SQ), siramlah dengan emosi yang baik-baik seperti kasih sayang, keikhlasan, ketulusan, keceriaan, kegembiraan, keghairahan dsb. Paculah dengan kepintaran akal (IQ) dgn pemikiran terbuka dari pelbagai sumber ilmu.
InsyaAllah, akan jadi benih untuk bengkel yang lebih luas, selesa, selamat dan lengkap.
InsyaAllah, akan dilengkapkan dengan pelbagai teknologi visual yang lebih terkini, canggih dan hebat, termasuk pelbagai kamera HD digital (termasuk Gopro, sistem untuk rakaman dalam laut, dll), skrin rata dan lengkung, sistem tayangan cosmodome, projektor high luminance, crane yang canggih-canggih (termasuk alat terbang kawalan jauh untuk rakaman udara), teleskop, dll.
Kuliah bahasa kamera video dan suntingan oleh Fahmi, salah seorang tukang kebun di UMS, juga bekas pelajar kebun di UNIMAS.
Berkebun dengan Dr. Johari, Dr. Ismail (kini, Dekan Fakulti Pendidikan UMS) dan Ted (bekas Ketua Program Teknologi Seni Visual).
Along dan Zaime, dua lagi pekebun tegar di UMS. Semua pekebun ini memiliki kehebatan dan kepakaran tersendiri dalam bidang masing-masing. Yang penting, adalah mencari jalan membina sinergi yang inovatif, kreatif dan lestari antara pelbagai bidang atau cabang ilmu seni yang berbeza ini, agar dapat memacu penemuan-penemuan baru, serta memberi sumbangan yang lebih relevan dengan perkembangan serta tuntutan semasa dan akan datang. Yang perlu dielakkan adalah cakar-mencakar, rebut-merebut dan gasak-menggasak dalam mengeluarkan duri-duri takbur bidang masing-masing, yang hanya akan memisah-misah kekuatan yang ada, bukan menyatu. Along kini sedang buat Phd di UPSI, Zaime dipinjam ke Kolej Universiti Yayasan Sabah, Fuad juga sedang buat Phd. Ketiga-tiganya tukang kebun utama, ibarat tiang-sri yang menegak dan mengangkat sebuah rumah. Jika tiang-tiang ini takda, boleh tumbang. Jika mereka tak sekepala, kebun boleh kering. Doa saya untuk semua mereka. Sayang sekali, brader Mail (Dekan yang juga saya panggil 'Indiana Jones'), tukang kebun penyatu yang cool, kini sudah ke Fakulti Pendidikan. Dia dulu berfungsi sebagai bapa keluarga.Takpa, itu rezeki dia. Saya doakan dia dimurahkan rezeki yang baik-baik dunia akhirat, termasuk jadi Timbalan Naib Canselor. Saya doakan, kebun di UMS ni dapat menggamit pimpinan IQ, EQ dan SQ yang lain pula, seorang Prof. berkaliber yang dapat menyatukan kekuatan tukang-tukang kebun yang ada, persis tiang-tiang yang kukuh.
InsyaAllah, brader Prof. rakan saya ni akan naik lebih tinggi lagi.
Zaime, kini sedang menyiapkan Phdnya, dan sedang dipinjamkan ke Kolej Universiti Yayasan Sabah. Diangkutnya sekali ramai tukang-tukang kebun para pelapis pengamal seni visual muda kelahiran UMS. Kini, menjadi Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Alhamdulillah. Tahniah. Saya doakan yang terbaik untuk segala yang diusahakan di Kolej Universiti. Namun, jangan lupa pada kebun di UMS. Ada rezeki, silalah kembali, kerana kekuatan anda diperlukan. Getaran darah Bajau dia ni kuat. Gunakanlah baik-baik, untuk mengekalkan ikatan silaturrahim, ikatan kasih-sayang sesama rakan-rakan (walau macam mana teruk dan hampeh pun rakan-rakan), dan untuk memacu seni visual di Sabah. Banyakkan kesabaran dan sangkaan baik, tingkatkan kemaafan, banyakkan kesyukuran, insyaAllah, lebih banyak kejayaan.  Jadilah jambatan yang molek antara Kuala Lumpur dengan Kota Kinabalu, antara Semenanjung dengan Sabah. Gitupun, tak perlu terlalu bergantung sangat pada segala yang dipusat, tak perlu banyak memukat hingga sendat dan ketat. Sabah itu sendiri sudah unik dan hebat. InsyaAllah, Sabah boleh menjadi satu lagi pusat seni visual yang aktif, dinamik dan bermanfaat, serta menjadi tumpuan alternatif, seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Melaka.
Seorang lagi tukang kebun, juga tiang penting, Fuad Bebit.
Bilik dia adalah lokasi singgah yang wajib. Along, tukang kebun penjaga Galeri Seni UMS, kini di UPSI sambung belajar. Saya doakan cepat siap dan kembali ke UMS. Rasa tak sempurna jika singgah ke UMS dia takda.
Fahmi (kiri, pensyarah), Amirul (kanan, calon sarjana) dan Alif (bekas pelajar), para tukang kebun muda. 
Adik-adik, bila keluar nanti, tanam CINTA.
Adik-adik, ke mana saja pergi, getarkan KASIH SAYANG.
Kampung Lotong di Keningau. Salah satu kekuatan, keunikan dan kedasyatan UMS adalah kursus yang membawa para pelajarnya keluar dari dinding bilik kuliah, terus ke lapangan bumi Sabah yang amat mewah dan kaya dengan khazanah alam semulajadi dan budayanya. Mereka bersinergi dengan komuniti. Ianya satu  keistimewaan yang perlu dihargai, diteruskan. Pengalaman yang ditimba dari kajian di lapangan sebegini adalah amat bernilai, jauh lebih hebat dari segala yang boleh dikutip dari buku dan kitab seni.
Hidup adalah perjalanan yang indah, berikan ia senyuman. Ini adalah jalan Kimanis yang membawa saya meredah dalam awan yang dingin, seolah-olah berada di alam lain.
Tasbih alam yang boleh membasuh segala toksid fikir dan rasa.
Jalan Kimanis merentas Banjaran Crocker yang boleh menjadi bekal zikir mata.
Selamat jalan Kota Kinabalu dan Sabah. InsyaAllah, saya akan kembali lagi.

Doa saya untuk kebun di UMS:


Sumber Manusia
1.1    
Penambahan tenaga pengajar dengan kelayakan Phd berdasarkanbidang-bidang yang berkaitan dengan program-program
(sedia ada dan baru).
1.2    
Penambahan kakitangan sokongan untuk ruang galeri dan bengkel, dll.
1.3    
Sinergi (bukan pengasingan) antara kepelbagaian kepakaran dalam beberapa cabang atau bidang seni yang ditawarkan. Setiap pensyarah dapat mengaitkan kepakaran masing-masing dan bersinergi dengan kepakaran lain yang ada pada rakan pensyarah lain. Ini membolehkan berlakunya penemuan sesuatu yang baru, inovatif, kreatif, lestari dan selaras dengan kekayaan khazanah semulajadi serta budaya di Sabah.
1.4
Dapatan dari ‘tracer study’ yang menggambarkan pencapaian objektif program yang memberangsangkan.

Kemudahan Infrastruktur, Fizikal, Peralatan & Perkakasan
2.1    
Memiliki bangunan galeri, lengkap dengan rak penyimpanan/storan hasil projek dan laci untuk simpananperalatan/perkakasan dan bahan untuk para pelajar; set pencahayaan, troli untuk pemindahan dan pengangkutan karya-karya catan. Galeri ini pula memiliki tanda-aras yang sama dengan galeri-galeri peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ruang ‘koridor’ yang bersilingtinggi menjadi ruang galeri pameran tambahan.
2.2     
Memiliki bengkel arca, lengkap dengan rak dan laci penyimpanan/storan projek dan peralatan/perkakasan serta bahan seni arca untuk para pelajar; sumber elektriksendiri, penyedut dan penapis udara, dan troli elektrik untuk pemindahan serta pemasangan karya seni arca yang lebih besar dan berat.
2.3     
Memiliki kelengkapan peralatan elektronik yang berasaskan media baru untuk keperluan pameran seperti skrin rata, skrin sentuh, projektor, komputer riba, mini speakers, lampu mudah-alih, pemain DVD/Blue Ray dll.
2.4    
Memiliki ruang storan yang lebih besar dan lengkap dengan peralatan dan perkakasan yang berkaitan, termasuk kawalan suhu dan humidifier.
2.5     
Memohon dan menerima geran penyelidikan untuk menampung kos pembelian peralatan & perkakasan baru.
2.6    
Memilik ruang khas (mungkin dalam perpustakaan) untuk menyimpan tesis dan kajian visual projek-projek tahun akhir (yang cemerlang) sebagai rujukan.


Aktiviti Penyelidikan dan Penerbitan
3.1     
Menerbitkan jurnal berwasit dengan perakuan badan pengiktirafan professional seperti Scopus dll.
3.2    
Memiliki pangkalan data atas talian, termasuk hasil-hasil projek tahun akhir (Matrix) dan kajian mereka.
3.3     
Meningkatnya aktiviti pembentangan kertas-kerja, berpameran (berkumpulan atau solo), persembahan (berkumpulan atau solo), penerbitan filem, video, teater, album muzik dll, samada peringkat institusi, negeri, kebangsaan atau antarabangsa; aktiviti kuratorial (untuk pameran berkumpulan atau solo), editorial dan pengarahan persembahan filem, video, teater, muzik dll. 

Aktiviti Pengajaran & Pembelajaran


4.1   Matrix akan terus kukuh, terutama dari segi berikut:
i.                        
Kearifan tempatan - ciri-ciri kerencaman dan kekayaan khazanah kesenian pribumi di Sabah dan Borneo – Sabah sebagai perpustakaan terbuka yang boleh dijadikan sumber ide dan inspirasi.
ii.                     
Sumber bahan semulajadi lokal yang boleh dijadikan alternatif kepada bahan-bahan toksid dan industri yang lazimnya digunakan.
iii.              
Sinergi dan sintesis antara pelbagai bidang seni visual berpaksikan perkongsian sumber seni, budaya dan warisan Sabah dan Borneo.
iv.                   
Aplikasi teknologi media baru dan terkini sebagai wahana baru pelestarian seni, budaya dan warisan Sabah.
v. 
Topik dan tema kajian yang bersinergi dan saling melengkapi antara catan, cetakan, fiber, tekstil, arca (besi, kayu, seramik dll), video, animasi, ilustrasi, rekabentuk korporat dan pengiklanan, rekabentuk seramik.
vi.            
 Aplikasi media sosial/atas talian (laman web, fb, twitter, youtube channel,etc) sebagai wahana promosi/hebahan.
vii.                
Aplikasi buku/penerbitan atas talian (flip book ISSU).
viii. 
Persembahan projek tidak semestinya dikepung oleh persekitaran galeri. Boleh terokai lokasi luar (kampus, malah di KK juga) sebagai ruang-ruang alternatif. Untuk tujuan pemarkahan dan pameran, boleh dipamerkan dokumentasi yang terperinci.
viv.              
Penerokaan 3D ‘underwater photography/video/film’ dan ‘arial photography/video/film  kerana Sabah kaya dengan keindahan alam dasar laut.
x.             
Penerokaan pendekatan dan teknologi terkini seperti penggunaan ‘video mapping (indoor & outdoor), reflective video/holography, ambiance advertising (pengiklanan dipelbagai lokasi alternatif tumpuan ramai), laman sosial dan web, teknologi interaktif menggunakan motion sensor dll.
xi.                
Penglibatan pelajar ‘junior’ yang mengambil kursus ‘Pengurusan Galeri’(letakkan dalam semester yang sama)
xii
Sinergi dan hubungan silaturrahim yang baik antara UMS dengan jabatan-jabatan, institusi, perkumpulan dan individu luar yang hebat-hebat. Ini termasuklah Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Penerangan, Jabatan Pelancongan (Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Sabah, Encik Sani, kenalan saya, dia hebat dan rajin), Balai Seni Lukis Sabah, Persatuan Seni Lukis Sabah, para pereka dan usahawan yang berjaya, para kolektor seni, dll.   

4.2 Matrix dan kekurangan berikut dapat diatasi
i.                       
Terlalu tertumpu pada kaedah pengumpulan data  tangible secara kuantitatif, deskriptif, empirikal terutama sekali menerusi rekaman foto. Perlu diimbangi oleh data-data  intangible (nilai-nilai, kepercayaan, pandangan peribadi, sikap, sentimen) secara kualitatif yang berbentuk reflektif, spekulatif dan subjektif terutama menerusi catatan bertulis, rakaman video dan lakaran di lapangan.
ii.                     
Mungkin tiada imbangan antara produk dan karya. Program lebih menyediakan pelajar untuk menghasilkan karya daripada produk.
iii.                   
Tiada sinergi, pertautan, rentasan, gabungan, sintesis dan percantuman antara bidang amalan seni yang telah dipelajari (catan, cetakan, fiber, tekstil, arca besi, kayu, batu, seramik dll, video, animasi, ilustrasi, rekabentuk korporat dan pengiklanan, rekabentuk seramik.



Adanya bengkel-bengkel berikut: 

Bengkel kuratorial
Bengkel pengurusan pameran & acara 
Bengkel rekabentuk dan teknologi pameran serta pemasaran karya seni visual (pensyarah jemputan).
Bengkel penerbitan buku pameran
          


5. Salam kasih dan doa dari saya.     


Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...