PEACE PREVAILS

May peace prevails upon all beings on the earth and beyond. You may scroll down to browse the contents of this blog.

Saturday, 8 September 2012

APA JADAH TEORI KRITIKAL NI? (BAHAGIAN 2)


Noor Ainn Zakaria's (USM)


(sambungan)

Tanya : Gapo lagi hok heimer kecek?

DR : Aiik, kecek Kelate pulok doh! Horkheimer la!

Tanya : Maksud saya, apa lagi yang dia cakap?

DR : Dia juga mengkritik institusi agama, sebagai bersifat dogmatik, sama seperti puak-puak positivis. Dua-dua dia kritik. Keterbatasan puak positivis menghadkan teori dalam lingkaran fakta dianggap sebagai 'ulangtayang' kepada keadaan pada Zaman Pertengahan Eropah atau Zaman Gelap atau Dark Age yang dijadikan latar watak-watak fiksyen seperti Robin Hood dan Harry Potter tu. Zaman ini menggunakan dogma (Kristian)sebagai instrumen kuasa raja serta tuan-tuan tanah. Ia menolak teori (Sains). Bagi puak Frankfurt, kepatuhan kepada realiti yang ditafsirkan oleh institusi agama juga dogmatik. Semasa Zaman Pencerahan di Eropah, dogma metafizik diambil-alih oleh sains dan teknologi sebagai tuhan yang baru. Bahasa canggihnya, kekudusan yang sudah disekularkan. Kesannya, positivisma muncul sebagai doktrin baru, yang sakanya dipakai hingga sekarang, termasuklah di Malaysia ni juga. Termasuklah juga dalam pendekatan silibus yang anda belajar masa di sekolah dan di universiti.

Zahidah M Zaidi's (USM)

Tanya : Fuuuhhh....patutla tuan DR suruh saya paham betul-betul dulu, jangan main ikut dan pakai je.

DR : Tu la, sekarang ni diri sendiri tu kena fikir masak-masak, gunakan akal, mohon juga Petunjuk. Ada perbezaan antara agama sebagai dogma (ikut-ikut secara fanatik dan jahil tanpa ilmu), dengan 'cara hidup' atau Addin yang menggalakkan manusia menggunakan anugerah akal dan kurniaan minda berpandukan Wahyu sebagai denai atau jalan ilmu mengenal Pencipta dan kembali pada fitrah. Apa pun, buatlah refleksi sendiri.

Tanya : Terima kasih DR. Tapi saya nak tau lebih lanjut kritikan Horkheimer terhadap doktrin positivisma ni.

DR : Doktrin positivisma dikatakan menjadi punca penghakisan individualiti dan keutamaan kedudukan manusia sebagai ejen atau wahana getaran kreatif. Kepatuhan pada 'fakta' sebagai sesuatu yang benar menyebabkan kita gagal membezakan anatara realiti yang dilihat dengan sifat-sifatnya yang lebih halus dan subjektif. Kegagalan ini menjadi modal dan justifikasi untuk mengekalkan status-kuo. 

Tanya : Kalau macam tu, positivisma boleh dijadikan senjata untuk mengekalkan kuasa la?

DR : Kalau ikut alir fikir puak Frankfurt ni, jawapannya ya. Ia boleh dengan mudah dijadikan alat untuk dominasi, termasuk dominasi ekonomi dan politik. Termasuk juga dominasi ilmu pengetahuan, dominasi seni, dominasi budaya.

Tanya : Boleh bagi contoh tak? Atau huraikan lagi...

DR : Contohnya seperti penjajahan, secara halus dan kasar. Secara halusnya menerusi perang saraf menggunakan kepintaran menggunakan sains dan teknologi media massa dan media baru untuk membentuk konsensus atau pandangan sedunia. Tujuannya agar masyarakat sedunia dapat dicandu dan dijajah minda dan rasanya. Dalam bahasa lain, jadi zombie kampung pisang atau konsumer yang taat melanggan 'cara hidup' yang menguntungkan gergasi kapitalis dan konco-koncoh mereka. Pendek kata, menjamin dominasi ekonomi bertopengkan politik. Ini termasuk 'membeli', atau bahasa bohongnya, 'melabur' dalam sistem politik sesebuah negara agar para pemimpin negara tersebut dapat dijadikan keldai dan tukang karut-carut yang boleh menggadai negara dan rakyatnya sendiri.Ini memudahkan sebarang kerja merosakkan alam untuk dicuri hasilnya, atau bahasa bohongnya 'membangunkan'/'menambah-nilai' khazanah serta warisan alam semulajadi. Akhirnya kita semua sengsara.


3 Projek Media Lanjutan (3 Expanded Media or X-Media Projects), 2010, oleh para pelajar tahun 2 Seni Visual dan Teknologi, FSGK UNIMAS

Tanya : Secara kasarnya, macam mana?

DR : Perang je! Perang adalah 'pelaburan' yang strategik untuk dominasi ekonomi kapitalis. Modal tak banyak, cuma tanam benci-membenci, dendam kesumat, dengki-mendengki dan yang paling efektif, tamak-haloba antara pihak-pihak yang mudah sangat nak bertelagah.

Tanya : Tapi tuan DR, takkan kita nak menolak sains dan teknologi pulak, nanti kita mundur, jadi katak bawah tempurung, jumud, miskin, tertinggal, lemah, dan lagi mudah dijajah? Saya rasa, kritikan puak Frankfurt ni terhadap positivisma ni over sikit la!....dan boleh merugikan kita. 

DR : Haaaaaa, bagus la tu. Tu namanya tak menerima dengan khinzir buta segala jenis teori semata-mata nak kejor gelaran 'orang pandai'. Mungkin kita boleh ambil kritikan ini sebagai peringatan agar jangan terlalu taksub dengan hanya satu kaedah atau metodologi membina ilmu. Ada pelbagai kaedah atau metodologi boleh digunakan untuk memaknakan penyaksian terhadap realiti serta kehidupan kita, termasuklah yang dibekalkan oleh guru-guru kita yang terdahulu. Semua ilmu ada sanadnya, pandai-pandailah pastikan ia sampai ke 'Jalan Yang Lurus'. Jika tidak, sains dan teknologi akan dipacu jauh menyimpang, lantas dijadikan senjata dominasi seperti di atas. Itu hanya akan menghancurkan sebarang keupayaan manusia untuk menggunakan akal untuk mencapai kearifan dan hidayah, untuk merentas atau melangkau tafsiran realiti berdasarkan fakta empirikal saja. Oleh itu, kita harus lebih berwaspada dengan keasyikkan mengejar 'kemajuan' sains dan teknologi semata-mata. 

Tanya : Tapi puak Frankfurt dan teori kritikal ni takkan takda orang lain kritik mereka pula ke?

DR : Sudah tentu la ada. Malah, sesama mereka juga mengkritik satu sama lain. Itu la kelaziman dunia akademik.

Tanya : Boleh bagi contoh tak?

DR : Ooooo....yang ni, awak boleh cuba jengok perbualan dua orang brader dalam blog berjela-jela berjudul "Amenda Kajian Budaya ni?"
Atau jengok blog berantaian berjudul "Getting High, Getting Real" atau  buku warna hijau berjudul "Takung". Ni semua kerja seorang tukang karut yang bertapa di sebuah bukit di Pulau Pinang. Kalau tak setuju, campak je. Kalau ada yang tak betul, betulkan dia dengan cara yang baik-baik.

Tanya : Alaaaa....malas la nak layan kerja tukang mengarut. Ngabihkan masa je, saya sibuk cari makan nak jadi kaya. Boleh bagi satu contoh tak sekarang ni.

DR : Mmmmmm...ok. Contohnya, situasi 'kepelbagaian' tafsiran terhadap 'realiti' yang terhasil dari teori kritikal boleh menghakis makna sepunya yang mungkin telah terbina lama, hingga menjadi sebahagian dari sejarah dan warisan ketara dan tidak ketara sesebuah masyarakat. Penghakisan makna sepunya boleh memporak-perandakan masyarakat. Ia juga boleh menggugah kestabilan makna-makna sosial, politik, ekonomi dll yang telah di'regulasi'kan wacananya dengan stabil (walaupun atas dasar mengekalkan status-kuo) hingga terjadinya ledakan sosial. Kaedah dekonstruksi umpamanya, jika berterusan, tidak akan melahirkan sebarang keadaan yang stabil, kerana setiap kali ada usaha untuk membina makna sepunya tentang sesuatu, ia akan dirobohkan oleh tafsiran yang lain pula. Dunia kita akan dipenuhi oleh dekonstruksi, pemecahan atau ledakan makna berterusan yang tidak henti-henti, tanpa makna-makna sepunya yang boleh dikongsi secara sejagat. Haru-biru la jawabnya. Perlu ada kesepunyaan makna yang dikongsi bersama, diregulasikan maknanya menerusi saluran wacana tertentu. Ini satu contoh, itupun tak spesifik. Ada terlalu banyak lagi di sekeliling kita.

Tanya : Kalau macam tu, macam mana nak imbangkan keadaan? Dah start nak pening ni....

DR : Di sinilah diperlukan kita membuat penilaian, cerapan dan penghalusan fikir dan rasa kita sendiri, bukannya asyik nak tiru dan ikut je. Perlu bersepakat, berunding, bermuzakarah dengan cara bertamadun, ada adab ilmu, guna hujah akal dan hikmah, membersihkan niat, melaraskan frekuensi tenaga, menggunakan kedua-dua otak sebelah kiri dan kanan. Bukan hanya pandai merungut, komen, maki, hamun, bantai, tibai, hasut-menghasut, malu-memalu, ponggong-memonggong, conteng-menconteng, main belasah pakai aliran balunisma je. Itu memangla senang, semua orang boleh buat. Atau main tiru je. Orang Korea buat Super Gangnam Style jadi kaya, kita tiru dan ikut jadi Super Jahanam Style, terus miskin hati, minda dan benda. 

Tanya : Tapi tuan DR. masih tak jawab soalan saya!

DR : Kenapa? Nak guna jawapan saya untuk soalan peperiksaan nanti ke? Nak kejor markah A ke? Tak boleh guna akal sendiri ke? Barulah boleh jumpa jalan ke A juga, Akhirat.

Tanya : Eerrrrr.....gitula lebih kurang. Terlupa bawak otak saya hari ni, tertinggal kat katil. Heeeeee....


(DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YANG DIJADIKAN RUJUKAN, TERUTAMA DR. IZMER AHMAD DAN NUKILANNYA BERJUDUL "AN INTRODUCTORY LECTURE ON CRITICAL THEORY" DALAM KITAB "TRANSDISCIPLINARITY AS RESEARCH" TERBITAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM, DISUNTING BUNGA-BUNGANYA OLEH DR. SARENA ABDULLAH, DR. ARIS AHMAD, DAN DR.A.S HARDY SHAFII. DOAKAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM DAN MEREKA NI KEBERKATAN)

Sambung ke Bahagian 3 :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/09/apa-jadah-teori-kritikal-ni-bahagian-3.html 

Untuk lebih berasap kepala, sila klik
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/04/amenda-kajian-budaya-ni.html

No comments:

Post a Comment