Sunday 21 August 2011

INTROSPEKSI 'SONNERATIA'



Teks monolog/ucapan oleh
HASNUL J SAIDON


Kita adalah penghuni masa kini yang mengambil dari masa lampau dan meminjam dari pewaris masa depan.

“Zi Gong bertanya Confucius tentang bagaimana hendak menjadi orang budiman.  Jawabnya, terlebih dahulu laksanakan apa yang hendak dkatakan, kemudian baru mengatakannya.  Ini sudah memadai untk menjadi orang yang budiman”

Bismillahirrahmanirrahim, assalamu’alakum, selamat malam dan salam sejahtera

Izinkan saya mencuri sedikit masa anda yang berharga untuk memberikan sepintas kata pengenalan terhadap Sonneratia.  Anggaplah ini sebagai satu kuliah ringkas sebelum kita sama-sama menghayati bingkisan monolog, hasil video, persembahan solo, karya-karya peribadi dan karya berkumpulan anak-anak Sonneratia yang kita raikan. 

Pujangga Sufi Jalaluddin Rumi pernah berkata, “usahlah mencari air, carilah kedahagaan.” Kedahagaanlah yang memacu pengembara ilmu dan pencinta hikmah meneroka jauh ke dalam rimba minda dan belantara jiwa yang bebas.  Kedahagaanlah yang menjana semangat dan rasa halus khalifah seni dalam mendepani bahang bumi yang semakin panas. Kedahagaanlah yang menghadirkan mata-mata air buat membasahi dan membasuh hati yang semakin keras dan gersang. 

Hati insan yang jahil letaknya di lidah, tetapi, lidah insan yang bijak adalah di hatinya. 

Begitupun, bagaimanakah dapat dibasahi hati gersang agar terbuka hijab atau tabir bentuk yang sering kita jadikan sandaran membuat penilaian?  Apakah boleh dicairkan kebekuan ras, kejumudan bangsa, ketaksuban asal keturunan, dan keangkuhan kelas yang sering memerangkap jiwa dan minda yang mahu bebas merdeka?  Bagaimanakah hendak mendepani keangkuhan sikap syak atau skeptik jenama institusi, mahupun keangkuhan pengkususan yang sudah jauh terpasung?  Bagaimanakah hendak ditemukan sebuah oasis seni yang menjadi lokasi persinggahan hati yang dahagakan hikmah? Sebuah taman persingahan yang dapat mencairkan kebekuan-kebekuan tadi, membekal air buat pembersih jiwa yang keras, menjadi riak-riak gelombang pelbagai bidang seni yang saling berinteraksi antara satu sama lain, membina corak yang sentiasa bertukar ganti dalam infiniti fitrah alam syahadah. Bagaimanakah dapat kita menjadi riak-riak gelombang hikmah ini? 

Apakah dapat dibuka jendela hati yang sudah ditutup rapat oleh kebekuan jasad dan kejumudan akal, agar gelombang hikmah dapat dijemput masuk ke dalamnya? Bagaimanakah dapat disuburkan putik-putik muda, agar tumbuhnya kelak menjadi rimbun, bagi menghijaukan bumi yang semakin perang ini?  Apakah bekal untuk kita jadikan pacuan jiwa bagi meneraju lebuhraya maklumat yang semakin tidak mengenal sempadan? 

Begitu banyak persoalan, terlalu sedikit yang mahu mengusahakan jawapannya?

Jam session with Goh, Fitriyah, Sarman and Remy. Bibi watching from behind.


Sekiranya Taman Cahaya di Kuala Selangor yang menjadi lokasi pilihan Sonneratia itu disyaki sebagai markas hantu, kampung jin, mahupun makhluk halus, dan orang bunian ala ‘mastika’ dan ‘misteri nusantara,’ tidak ada misterinya pada hakikat bahawa hantu dengki, hantu khianat, hantu hasad, hantu angkuh, hantu takbur, hantu besar diri, hantu tamak haloba, hantu amarah, hantu kegelojohan kuasa, hantu pangkat, hantu kedudukan, hantu birokarasi, hantu darjat, hantu kepetingan diri sendiri, hantu harta dan banyak lagi jenis hantu boleh merasuk sesiapa jua tanpa mengenal tinggi-rendah songkok, atau tebal-nipis lilitan serban, atau jenama institusi, atau pilihan bidang seni, atau warna kulit mahupun jenis bangsa dan asal keturunan.

Dimanakah dapat kita gali kemurnian jiwa seni agar diri kebal dari dirasuk hantu-hantu ini? Mungkin hantu-hantu inilah yang menyerang kejernihan sungai Selangor, meracun bumi Taman Alam, melemahkan keteguhan pohon-pohon Sonneratia, mematikan putik mahupun benihnya, dan menghalau kerlipan cahaya kelip-kelip yang bergantung hidup kepada kewujudan pohon Sonneratia. 

Inilah drama dan tragedi alam yang suara dan cahayanya semakin kabur, tenggelam dalam kebisingan kita yang taksub dan asyik menjerit melaung-laungkan nama sendiri – kita si penghuni kota, konsumer tenaga yang kini mahu memerah pengorbanan dari alam penghuni kerdil di Kuala Selangor.  

Sekiranya anak-anak Sonne yang kita raikan malam ini ingin diibaratkan sebagai kelip-kelip yang berhempas-pulas selama enam bulan untuk memancarkan cahaya mereka, siapakah pula pohon Sonneratianya? Adakah sipohon Sonneratia ini memanfaatkan kewujudannya untuk menatang cahaya kerlipan kelip-kelip dalam sebuah ikatan ekologi seni yang subur?  Atau, apakah tragedi alam di Kuala Selangor itu sudah merebak menjadi tragedi seni di ruang bertuah ini pula?  Apakah hantu-hantu yang saya katakan tadi sudah merasuk jauh ke dalam diri kita semua, ke dalam taman seni kita, hingga terasa pohon-pohon Sonneratia yang sepatutnya menjadi hos yang mesra untuk sang kelip-kelip, semakin menjadi terlalu pahit, kelat dan mungkin juga beracun? Apakah cahaya kelip-kelip yang kerdil ini mahu dihalau, dipinggirkan atau dipupuskan? Apakah kemeriahan menjana pancaran bintang-bintang besar dan mega menjadikan kita alpa dan lupa kepada sikelip-kelip yang semakin pudar cahayanya?

Sekiranya memulihara mahupun memelihara pohon-pohon Sonneratia di Taman Alam dan menjamin survival kelip-kelipnya itu adalah kerja yang sukar, begitu jugalah perit dan getirnya kerja membiak dan menyuburkan  kelip-kelip seni di kota Kuala Lumpur yang penuh megah dengan simbahan cahaya kelip-kelip elektroniknya.

Namun demikian, biarlah keperitan, penat-lelah dan segala pengorbanan selama enam bulan itu menjadi simpanan rahsia atau bekal hikmah keluarga Sonneratia.  Jika ada rezeki, tempat dan waktu yang sesuai pada masa depan, mungkin boleh dikongsi bersama.  Begitu banyak fragmen  dan drama kecil yang berlaku sewaktu mengagahi Kem Sonneratia dan usaha berpamerannya.  Ada yang terakam dalam minda dan jiwa, ada yang dibaca semula, diluahkan menerusi monolog dan karya-karya peribadi anak-anak Sonne yang bakal kita saksikan nanti.  Selebihnya, biarlah menjadi zat-zat pembersih jiwa kita dalam membina ikatan kasih dan persahabatan sesama manusia, tanpa dibelengu oleh label ras, bangsa dan asal keturunan mahupun jenama institusi dan bidang kepakaran.

Begitu banyak perkara, begitu banyak persoalan, kelemahan dan kekurangan, kekangan dan masalah yang rasanya mahu dikongsi. Namun, tidak adillah sekiranya dikorbankan majlis ini untuk tujuan sedemikian.

Kepada semua sahabat yang sama-sama menggagahi Sonneratia, ungkapan terima kasih tidak layak untuk menggambarkan rasa penghargaan yang ingin saya sampaikan kepada anda. Sushilawati Sulaiman, Juhari Said, Shahrin Hamid, Liew KungYu, Ahmad Fuad Osman, Bibi Chew, Sharmiza Abu Hasan, Tan Sei Hon, Junainah Lojong, dan Syazril Imri, Jimmy Chong, Goh Chiu Kuan, Mohd Azri Abdullah, Sarman Muhamad, Ameng, Fitriyah Yunus, dan Farid Zainuddin : anda telah memerah segala kekuatan minda, keringat jasad dan kekuatan jiwa, menghadiahkan masa anda, menghulurkan pengalaman yang tak ternilai dan kepakaran anda tanpa mengenal jemu dan putus asa.  Anda adalah anugerah Tuhan untuk kekuatan saya, inspirasi dan idola saya, guru saya, pembimbing saya, cermin kepada segala kelemahan dan kepincangan saya, obat ketika luka, tongkat ketika tempang, air ketika dahaga atau ketika angin panas merasuk saya, tiang seri ketika saya menjadi goyah, pemacu ketika enjin saya rosak, dan banyak lagi.  Kesemua anda adalah insan-insan yang sangat saya hormati, terutama sekali sebagai manusia yang sangat komited terhadap kerjaya seni yang ditatang.


With Bibi, Sharmiza, Juhari, Fuad and 2 student assitants.

Anda, seperti juga saya, menghormati kepelbagaian dan perbezaan, bertolak ansur terhadap segala kelemahan dan amat mencintai anugerah kesenian.  Kata-kata, rasanya terlalu murah untuk dijadikan balasan terhadap segala yang telah anda berikan untuk Sonneratia.   Segala fragmen dan drama kecil yang telah kita tempuhi sepanjang enam bulan lepas akan kekal bersarang dalam minda dan jiwa saya. Yang paling berharga adalah pengalaman menyingkap perjalanan anda sebagai pengkarya.  Dalam kesempitan waktu dan timbunan tugas serta komitmen kerjaya, saya sentiasa berdoa agar dianugerahkan  kesempatan, masa dan peluang untuk bekerja-sama dengan anda pada masa-masa akan datang.           

Kepada anak-anak Sonne yang saya kasihi, tahniah kerana anda berjaya menggagahkan diri memancarkan kerlipan walau terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sepanjang enam bulan lepas, dari April hinggalah hari instimewa ini, 16 September 2003. Begitu banyak yang anda tempuhi.  Dari mula anda mengisi borang penyertaan, kemudiannya menyediakan pakej persembahan untuk sesi temuduga dan ujibakat, hinggalah menghadapi cabaran kem dan berpameran.

Sewaktu di kem, anda bergelumang dengan cabaran peribadi untuk membuka tabir diri, mengenal jati jiwa dan potensi minda, membuka topeng-topeng kepalsuan yang selama ini disangkakan perisai, rupanya penjara.  Anda mencairkan pelbagai kebekuan yang selama ini anda anggap sebagai monumen kemegahan, rupanya tembok penghalang kepada gelombang ilmu dan hikmah. Ini termasuklah kebekuan jenama institusi dan bidang pengkhususan yang telah dicairkan agar dapat berbaur dan bertemu dengan rakan-rakan dari institusi dan disiplin yang berbeza dari anda.

Anda telah memerangi jiwa sendiri, menepis dan menghalau segala jenis kelemahan dan kekangan yang menghantui anda selama ini.  Anda diuji dan dicabar untuk memerah segala kekuatan akal, fizikal dan jiwa untuk bertatih sebagai pengkarya, secara individu mahupun berkumpulan.  Anda belajar erti persahabatan yang tidak dicemar oleh ketabsuban ras dan asal keturunan.  Anda mengenal letak duduk anda dalam alam, sebagai sebahagian dari warga kosmos yang saling bergantung antara satu sama lain, satu dalam ramai, ramai dalam satu.

Anda telah menyingkap banyak tabir label ‘bintang’ yang selama ini menutupi cabaran sebenar sebagai pengkarya sepenuh masa, berpeluang mengenali cabaran mendepani kerjaya seni dari mereka yang terlibat secara sepenuh masa, seterusnya merasai sendiri  perit getir mengusahakan karya dan sebuah pameran. 

Hari ini adalah penanda dan saksi kepada segala yang anda telah tempuhi. Syabas dan tahniah.

Anda telah banyak mengajar saya, mencabar segala pengetahuan dan pengalaman yang sering saya banggakan selama ini.  Anda menyedarkan saya terhadap kekerdilan diri saya sendiri, membuka saya kepada dunia anda yang penuh cabaran, memperkenalkan saya kepada potensi-potensi baru, memantulkan semangat dan jiwa remaja yang penuh dengan tenaga.  Anda adalah smber tenaga saya. Andalah yang membentuk karier saya sebagai seorang pensyarah. 

Sekiranya ada kata-kata dan tindakan saya yang menyinggung perasaan anda ahli-ahli keluarga Sonneratia semua, saya mohon berbanyak maaf.

Kepada para hadirin yang sudi meluangkan masa bagi meraikan anak-anak Sonneratia ini, terima kasih tidak terhingga.  Sekiranya ada hikmah yang dapat dikutip dari Sonneratia, khabar dan sampaikanlah kepada sahabat-sahabat lain yang tidak dapat bersama kita pada malam ini. Sekiranya Sonneratia menyinggung dan mengganggu jiwa, anggaplah itu sebagai kelemahan kami keluarga Sonne yang masih mencuba. 

Kepada BalaiSeni Lukis dan penghuninya yang sentiasa sibuk menatang tugas, saya ucapkan berbanyak terimakasih.  Secara peribadi, ini adalah Sonneratia terakhir buat saya.  Saya mengucapkan selamat maju jaya untuk penganjuran Sonneratia III pada masa akan datang. Cukuplah dua kali.

Iznkan saya memetik dari sumber tradsi China
“Seni adalah perjalanan mencapai kemanusiaan, mencari keindaan (mei) yang disempurnakan oleh kebaikan (tsan)”….

Para hadirin sekelian,  saya serahkan kepada anda….anak-anak Sonneratia.


HASNUL J SAIDON
September, 2003
Bukit Gambir, Pulau Pinang.


Sound experiment with bamboo and a hailer.


1 comment:

  1. wah, gua baru jumpa blog brother legend ni, Doloh Jones! Kene bace ni.

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...