Ini gambar keluarga saya yang klasik dan lama, diambil sekitar awal 1970an.
Barisan depan, nombor tiga dari kanan, sebelah Opah Rabeah itu ialah kakak saya yang comel. Nama dia Salmah binti Saidon. Saya memuliakan dia dengan panggilan Tomet. Panggilan ini dari segi sejarahnya, timbul kerana dia suka makan sos tometo. Tak tau la betul ke atau hikayat merepek je. Dia pula memanjakan saya dengan panggilan 'Dogek', nama yang asalnya diberikan kepada seekor ayam. Satu keluarga panggil saya Dogek, termasuk anak-anak saudara, dengan pannggilan "Cu Dogek'. Ok juga apa! Unik.
Walaupun Kak Sal tidaklah dilimpahi dengan kemewahan-sakan, dia limpah sakankan pada enam orang anak-anak dia (dan bonda, ayahanda, keluarga termasuk saya) dengan kasih-sayang. Kasih sayang tidak terputus, walaupun dengan kematian. Ia kekal selamanya, dalam doa, dalam amal ibadat, dalam amalan baik, dalam ilmu yang dimanfaatkan. Kasih sayang merentasi bayangan jasad kasar atau zahir yang hanya dipinjamkan sementara. Ia merentas bentuk. Ia abadi.
Kakak saya Salmah binti Saidon, yang comel dan yang saya sayangi, telah kehilangan suami yang tersayang, Hanafi Othman dua minggu lepas. Tidak terlintas dalam fikiran saya, Abang Hanafi akan dibangunkan dari mimpi benda dan pulang ke pangkuan Allah secepat ini. Tidak terfikir pun kakak saya ini perlu menempuh hidup bersama enam orang anak-anaknya tanpa Abang Hanafi secepat ini. Kak Sal, seperti selalu, sabar dan tenang, walaupun dia tersangat sedih. Dia tak suka menunjuk sedih atau tayang susah mahupun berdrama swasta. Dia kakak saya yang sabar dan cekal. Saya kagum dan bangga dengan kakak saya.
Sehebat mana pun kita, takda siapa yang boleh melawan ketentuan Allah, segalanya sementara, tak kekal, tak kira yang tua atau muda, sihat atau sakit, kuat atau lemah. Masih tergiang di telinga saya suara kuat Abang Hanafi. Walaupun dia nampak brutal dan garang, hati dia baik. Saya senang dengan Abang Hanafi, cakap 'direct' tak main pusing-pusing. Dia penyokong tegar projek Tanah Tok Timah. Sebelum meninggal, dia sibuk dengan beberapa pelan lukisan cadangan rumah Melayu lama untuk dibina atas lot Kak Sal di Tanah Tok Timah. Dengan penuh semangat, dia tunjukkan pada saya beberapa rekabentuk, siap dengan perincian bahan dan pecahan kos. Dia sanggup singgah ke Perak untuk menilai kos membuka dan membawa rumah tradisional yang saya beli. Subuh-subuh dia bersama Kak Sal dan keluarga dah sampai dan terpacak di tanah Tok Timah untuk meninjau dan berbincang hal membina rumah tradisional. Walaupun hajat dia tak sampai kerana dia dah pergi dulu, saya akan pastikan rumah Abang Hanafi terpacak di Tanah Tok Timah. Biar ia menjadi peninggalan Abang Hanafi, juga talian kasih yang abadi merentas jasad zahir.
Saya tak sempat tatap wajah Abang Hanafi buat kali terakhir. Tapi takpa, saya tatap dalam doa. Abang Hanafi terpisah jasad zahir je, batin tak.
Saya tak sempat tatap wajah Abang Hanafi buat kali terakhir. Tapi takpa, saya tatap dalam doa. Abang Hanafi terpisah jasad zahir je, batin tak.
Al-fatihah.
Kakak saya orangnya sabar, dan banyak mengajar saya erti kesabaran dan keredhaan menerima ketentuan Allah. Sejak saya kecil, hingga remaja dan kini sudah dewasa (malu nak cakap dah tua), dia masih mengajar saya, secara langsung dan tidak langsung.
Saya ada empat orang kakak, dan Kak Sal yang paling muda. Dia bukan saja kakak, tapi rakan bermain, teman bergaduh dan saksi kenakalan dan kebrutalan saya semasa kecil hingga remaja. Sebagai kakak, dia selalu beralah dan bersabar dengan kerenah saya, maklumlah saya anak bongsu yang tak makan saman. Apa yang dia ada, saya nak, tak boleh dia lebih. Ada ketika semasa masih kecil dan tak tau apa, saya pukul dia, dia pukul balik, gaduh, lepas tu baik balik. Tapi, nakal macam mana pun saya, dia tetap bersabar dan sayang adik dia. Semasa saya belajar di UiTM, dia masih kena layan kerenah saya. Dengan motor Pasola kecilnya, dia datang ambil saya di seksyen 2 Shah Alam untuk dibawa pulang ke rumah Abang Zainal di seksyen 10. Lepas keluar UiTM, saya menumpang sewa rumah yang sama dengan Kak Sal dan Abang Hanafi, bersama dengan Fauzin Mustaffa dan Taufik Abdullah. Kami selalu makan masakan favourite Abang Hanafi yang dimasak Kak sal, ikan bilis campur jering goreng tumis pedas tahap melampau, nangis punya. Saya namakan masakan itu 'jub buster'. Jangan tanya saya apa maksudnya, kerana dikhuatiri mencarut pulak.
Saya ingat lagi masa kecil-kecil, saya taat memegang peranan 'murid nakal' sambil dia menjadi cikgu bila kami bermain 'sekolah-sekolah'. Kini, dua-dua terpelanting dalam bidang pendidikan. Kak Sal pernah jadi 'ustazah TV' satu ketika dulu untuk rancangan kanak-kanak terbitan RTM. Sehingga kini, dia ketua guru di sekolah agama Bukit Damansara (tak tau pulak dah pencen ke belum), selain dari menjadi penyusun buku agama Islam untuk JAIS (kalau tak silap la). Kak Sal menyambung legasi Ayahanda yang dulunya bertugas sebagai seorang ustaz di Teluk Intan.
Cabaran yang perlu Kak Sal tempuhi, adalah ujian dari Allah yang Maha Mengetahui tahap kesabaran dan kecekalan dia. Dia tak seperti saya yang susah nak sental saka rimau dalam diri ni. Tapi, saka rimau pun boleh dijinakkan oleh pemergian abang Hanafi. Nak tulis ni pun, jap jap kena berhenti utk lap mata bergenang.
Salam kasih pada Kak Sal dan anak-anak, dari saya yang jauh. Abang Hanafi tetap abadi dalam doa saya.
Salam kasih pada Kak Sal dan anak-anak, dari saya yang jauh. Abang Hanafi tetap abadi dalam doa saya.
alfatihah...mudahan bila kita mati ada yang nak kenang kita macam arwah dikenang.
ReplyDeleterasanya ustazah salmah dah lama tak mengajar di sekolah agama bukit damansara.
ReplyDeleteAssalamualaikum.. Saya Irda.. Anak murid Ustazah Salmah.. Boleh saya dapatkan number telefon ustazah Salmah? Handphone saya ada problem, abis semua number2 Ustazah-ustazah di SRA Bukit Damansara hilang.. boleh email saya di irdaidris_82@yahoo.com ya.. terima kasih..
ReplyDelete