Monday 10 September 2012

APA JADAH TEORI KRITIKAL NI? (BAHAGIAN AKHIR)

Tanya : Ok la, banyak crita tak guna! Apa sebenarnya faedah yang boleh dimanfaatkan dari teori kritikal ni?

DR : Ia boleh digunakan untuk menerangkan fenomena sosial dan budaya yang tertentu, disamping menyoal secara spekulatif fenomena tersebut untuk membentuk asas atau tapak bagi tindakan konkrit yang selanjutnya. Ia boleh dijadikan alat untuk kita memahami sesuatu fenomena secara lebih praktikal.  Sebab tu lah, teori kritikal bersifat rentas disiplin kerana ia perlu mengambil kira pelbagai dimensi kehidupan sosial. Sebab tu lah juga teori kritikal sangat tekun menyoal sikap dan pandangan manusia terhadap pembinaan ilmu ciptaan manusia itu sendiri, termasuklah yang dikatakan kemutlakan ilmu sains. 

Tanya : Apa pula sikap teori kritikal dalam soal Ketuhanan. Sebelum ini DR kata teori kritikal ni boleh pukul semuanya, termasuk apa yang saya percaya.  Saya perlu berhati-hati kalau macam tu.

DR : Baguslah, memang kita perlu begitu, selain dari memohon Petunjuk dan Hidayah. Mungkin awak perlu tanya, adakah apa yang awak tahu itu boleh disamakan dengan Tuhan atau apa yang awak percaya? 

Tanya : Tentulah tidak tuan DR. Pengetahuan yang digarap oleh otak dan akal saya ni hanyalah alat dan denai. Tapi teori kritikal ni juga seolah-olah menyoal konsep beragama. 

DR : Memang teori kritikal menyoal banyak perkara, termasuk juga menyoal para pemuka teori yang menolak kewujudan Tuhan secara ekstrem dan mutlak seperti Richard Dawkins (dan yang sealiran dengannya). Penolakan kewujudan Tuhan untuk digantikan dengan kebenaran 'saintifik' yang mutlak, juga dikatakan oleh teori kritikal sebagai satu bentuk dogma. Ini adalah kerana sains, walau macam manapun ia ingin mendabik tentang objektivitinya, juga dikepung oleh sejarah dan ideologi. Teori kritikal membaca pengetahuan manusia sebagai bersifat plural dan tidak semestinya teratur dan monolitik, kerana manusia itu sendiri memiliki pelbagai kepentingan dan minat yang saling bercanggah. Pengetahuan dibaca sebagai amalan yang dialami, yang kemudiannya menyingkap pengalaman realiti seseorang manusia. Sebarang bentuk pengetahuan ciptaan manusia yang mendabik diri sebagai mewakili kebenaran hakiki, mutlak dan tunggal, yang ingin dipaksa sebagai konklusif, yang dianggap objektif dan 'bebas' dari sebarang motivasi subjektif manusia, akan dikritik dengan keras oleh teori kritikal. Dalam konteks teori kritikal, kebenaran hakiki dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh dijangkau oleh pengetahuan manusia. Sebab itulah teori kritikal bersifat curiga terhadap sebarang bentuk hasil pengetahuan atau budaya ciptaan manusia yang dianggap sebagai kebenaran tunggal, mutlak dan hakiki, terutama sekali yang telah diterima dalam sesebuah masyarakat tanpa banyak soal. Tujuannya untuk mencetuskan bentuk-bentuk pengetahuan alternatif dan mengelak sebarang bentuk penindasan dan untuk membina pengetahuan yang boleh membawa kepada keadilan sosial.

Tanya : Fuyoooo, panjangnya DR. Terima kasih lagi sekali. Sekurang-kurangnya saya tidaklah jahil sangat tentang teori kritikal ni. Tapi, bukankah ini juga bermaksud bahawa kebudayaan yang telah diterima-pakai dan diamalkan dalam sesebuah masyarakat tanpa banyak soal, termasuklah di Malaysia ini umpamanya, boleh juga dipersoal dengan keras oleh teori kritikal. 

DR : Kalau berdasarkan sentimen teori kritikal, jawapannya adalah ya. Kebudayaan juga adalah produk sejarah, produk manusia. Tapi menyoal tidak sama dengan membantah, menentang, melawan, apatah lagi membenci, meluat dan yang seangkatan dengannya. Menyoal adalah pintu yang membuka ilmu pengetahuan, menjentik penggunaan akal sebagai denai menggapai hikmah, agar sesuatu amalan itu tidak diikut secara khinzir buta.

Tanya : Kalau begitu, apa pula sikap teori kritikal terhadap konsep kebudayaan itu sendiri?

DR : Haaaaa......itu kita kena buat tajuk baru, dalam dialog yang baru pula ok. 


(DENGAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YANG DIJADIKAN RUJUKAN, TERUTAMA DR. IZMER AHMAD DAN NUKILANNYA BERJUDUL "AN INTRODUCTORY LECTURE ON CRITICAL THEORY" DALAM KITAB "TRANSDISCIPLINARITY AS RESEARCH" TERBITAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM, DISUNTING BUNGA-BUNGANYA OLEH DR. SARENA ABDULLAH, DR. ARIS AHMAD, DAN DR.A.S HARDY SHAFII. DOAKAN PUSAT PENGAJIAN SENI USM DAN MEREKA NI KEBERKATAN)

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...