Tuesday, 1 May 2012

BERSIH ITU FITRAH

Semua manusia sentiasa terpanggil untuk kembali kepada fitrahnya - suci, bersih, penuh dengan kasih sayang yang tidak bersyarat. 


Cuma kekadang kita lupa, terhijab dan terlena dalam buaian mimpi benda yang mengembungkan ego. Ego yang kembung menjadi hijab yang menutup kita dari cahaya kebenaran. Ia menggelapkan hati, membutakan fikir dan menjadi pintu untuk terzahirnya perlakuan yang anti fitrah. 


Kejahatan adalah ketiadaan fitrah, yang memutuskan ikatan kuantum sejagat antara seluruh manusia sesama manusia dan antara manusia dengan seluruh alam. Permusuhan antara manusia adalah keadaan ketiadaan fitrah. Menjadikan manusia lain sebagai musuh hakiki individu atau kolektif adalah sikap yang anti-fitrah, yang menzahirkan perbuatan anti-fitrah. Bagilah apa jua justifikasi, ia tetap anti-fitrah. Gunalah apa jua hujah, ia tetap anti-fitrah. 


Tidak bersetuju, tidak menerima, tidak suka, tidak patuh/ikut/sertai sikap dan perbuatan anti-fitrah adalah tidak sama dengan membenci dan memusuhi.


Musuh paling hebat sebenarnya bukanlah label yang boleh kita letakkan pada manusia lain (untuk menghalalkan kita menilai, menghukum dan seterusnya menjadikannya musuh tetap dan objek kebencian hingga diwariskan sampai tujuh keturunan). Jika pengalaman mimpi benda kita (hidup) dipenuhi dengan memberi tumpuan kepada apa yang kita labelkan sebagai 'musuh' dan 'kebencian', lebih ramai 'musuh' dan 'kebencian' yang akan kita biak dan kumpul. Namun, adakah itu semua musuh-musuh yang sebenarnya? 


Musuh paling hebat sebenarnya lebih licik dan bijak, pandai menyorok dan menyembunyikan diri. Musuh paling hebat sebenarnya bersarang dalam apa yang sering kita sebut sebagai 'aku'. 


Ini termasuklah 'aku' yang terbentuk secara kolektif dibawah apa jua jenama dan label. Sekiranya 'aku' kolektif ini sibuk menunding jari pada apa yang disebut sebagai 'orang lain' atau 'jenama lain' atau 'label lain' yang wajib dibenci, ia belum betul-betul kenal dengan musuh yang sebenar. 


Sekiranya kita (aku kolektif) sibuk mencari salah orang lain untuk dibenci, selama itulah kita tidak akan bersih. Letaklah apa jua label zahir, ciptalah apa jua aksi, tetap tidak akan bersih. Bagilah apa jua hujah yang cerdik, ia tetap tak bersih. Debatlah sampai kiamat, takkan bersih. Letaklah kopiah ke, serban ke, songkok ke setinggi dan setebal mana pun, selagi ada kebencian, selagi itu tak bersih. 


Meletakkan label salah dan benci pada orang lain tidak akan membuatkan kita menjadi lebih bersih. Ia adalah cerminan ego (aku). Ia menjadikan ilusi ego itu pekat dan berat. 


Lebih parah lagi jika kita secara kolektif sibuk memberi tumpuan (fokus) kepada menghantar gelombang kuantum yang berpangkal (niat) membenci dan mencari salah orang lain. Itu yang kita hantar, itulah juga gelombang kuantum yang akan kita terima. Kita akan menjadi sekumpulan manusia yang mengalami mimpi benda penuh dengan orang-orang yang selalu menyalah dan membenci orang lain, atau hidup penuh dengan orang-orang yang kita benci dan tak pernahnya betul pada kita. 


Ini adalah gelombang yang penuh dengan toksid, yang membiak lebih banyak toksid hinggalah terzahirnya aksi mahupun perbuatan anti-fitrah. Perbuatan ini seterusnya menjadi gelombang (tsunami) ego bertoksid yang memusnahkan segala dalam laluannya. Tsunami ini melanggar tanpa kira bulu, pangkat, darjat, ideologi, label, jenama, parti dsb.    


Mohon dihindarkan.


Selaklah hijab 'aku' agar kita dapat sama-sama membuka pintu untuk kembali pada fitrah. Untuk menyelaknya, kita perlu istiqamah membersihkan minda dan rasa dari segala bentuk gelombang atau frekuensi toksid - benci, dendam, marah, cemburu, dengki, ujub, bangga diri, angkuh, tamak, haloba, rasa diri betul, sentiasa mencari salah orang lain. Ia boleh menyampuk sesiapa jua, tidak kiralah apa jua label, ideologi, pegangan, jenama parti, panjang janggut, tinggi songkok dsb.


Cuba perhati betul-betul pemilihan kata-kata kita, pada tutur, pada apa yang kita tulis (termasuk sms, twitter, posting mahupun blog). Jika penuh dengan membiak benci dan menyalahkan 'orang lain', ia adalah tempias ego yang hanya bijak mengembungkan ilusi 'aku' (memberat dan mempekat)hingga terhijab dari sebarang cahaya kebenaran.


Cubalah berhenti sat membiak benci dan menyalahkan orang lain. Ubah sikit paradigma. Hijrah atau buat anjakan dalaman sikit. Buat sikit re-programming


Marilah kita sama-sama merentas hijab jenama, label, pangkat, parti, darjat dsbnya. Tanggalkan segala yang kita 'pakai'. Ia adalah pra-syarat untuk kita bermuhasabah, mencari, mengenal-pasti segala jenis 'musuh' yang bersarang dalam 'aku' masing-masing (minda dan rasa). 


Hanya dengan cara itu saja barulah kita dapat membersihkan diri dan kemanusiaan dari disampuk oleh segala jenis kekotoran yang anti fitrah. Kenalilah 'aku', cari musuh yang bersarang dalamnya, korbankan ego, barulah boleh BERSIH. 


Hanya dengan cara itu kita dapat bersama-sama menjadi BERSIH yang sebenar-benarnya bersih. Secara kolektif kita boleh menjadi sebuah keluarga kemanusiaan yang bersih, yang sama-sama mencipta pengalaman mimpi benda yang sejahtera, seperti yang telah diamanahkan pada kita semua.


BERSIH ITU FITRAH. MARI KITA SAMA-SAMA MEMBUAT PEMBERSIHAN JIWA. 






No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...