Tuesday 1 May 2012

'BERSIH' SEBAGAI TEKS

Jika sebelum ini kita cuba merenung dan bermuhasabah tentang 'Bersih' dari sisi ontologinya, kali ini kita tinjau sisi epistimologi dan metodologi pula. Bunyinya memang canggih, tapi takpa, jangan risau. Canggih tu pun hanya bayangan je, selalunya untuk buat kita prasan pandai dan cerdik. Yang penting ikhlas. Kita mohon doa diberi Petunjuk, Perlindungan dan Hidayah. Elok ambil wuduk dulu kot, agar dapat dibersihkan segala toksid yang bersarang dalam fikir dan rasa tu dulu. 

Sesekali cuba kita ubah sikit paradigma dalam 'membaca' sesuatu peristiwa. Cuba keluar sekejap dari segala rencah 'drama' mahupun sebarang unsur-unsur 'tontonan' atau spectacle

Susulan dari 'blog entry' berjela-jela saya sebelum ini berjudul 'Apa Jadah Kajian Budaya ni?", mungkin ada faedah juga agaknya jika kita sesekali cuba guna kanta kajian budaya untuk membaca perhimpunan 'Bersih' baru-baru ini.

Pelbagai kejadian, interpretasi dan wacana yang mengiringi perhimpunan 'Bersih' baru-baru boleh dijadikan bahan untuk kajian budaya. Malah, slogan 'Bersih' itu sendiri boleh dirujuk sebagai suatu 'teks'. Makna serta wacananya dibentuk secara dinamik oleh ramai pihak. Teks di sini bukan terhad pada yang bertulis, tetapi meliputi juga yang ditutur, dikata, diungkap, dilaung, ditulis, diwarta, dilukis dsb.

Di luar dari lingkaran pembacaan formalis, kepelbagaian pembacaan terhadap teks 'Bersih' boleh diterokai dari sudut pasca-strukturalisma dan semiotik. Bertolak dari Roland Barthes, Levi Strauss, Vladimir Propp dan Roman Jacobson, para cerdik pandai kajian budaya mungkin boleh meneroka proses pembacaan dan pemberian makna terhadap teks 'Bersih' menerusi testimoni pelbagai pihak yang terlibat secara langsung. 

'Bersih' boleh ditinjau dari sudut makna ontologi (hubungan dengan Pencipta/ketuhanan), epistimologi (dari sudut pembinaan pengetahuan dan ilmu) dan metodologi (dari sudut kaedah). 

Sekiranya pembacaan terhadap teks 'Bersih' itu boleh dikeluarkan dari pembekuan jumud berdasarkan kepungan dan pemusatan jenama parti politik, makna 'Bersih' tidak lagi menjadi mono atau tunggal, beku dan terpasung. Ia juga akan kurang disyakki sebagai membawa denotasi dan konotasi implisit yang tirus.

Pembacaan dan makna yang terbina akan sentiasa tergelincir kerana berlakunya proses dekonstruksi dan kecelaruan semiotik (disengaja atau tidak disengajakan). Dalam hal ini, mungkin pertanyaannya adalah.

"Siapakah atau pihak manakah yang dapat menentukan'konteks' dan mengawal serta menguasai 'wacana' tentang 'Bersih'?". 

"Wacana siapakah atau pihak manakah yang kita pilih untuk dipakai secara konsensus?"

Merujuk pada asas lingusitik dalam kajian budaya, struktur bahasa (cara sesuatu bahasa itu diguna dan diregulasi) akan mencipta realiti. Ia juga menyediakan pentas wacana. Pentas wacana bukan saja merujuk pada pentas untuk 'perbualan' vokal saja, malah meliputi juga dialog visual dan aural yang lain. Ia meliputi bahasa badan, bahasa grafik pada sepanduk dan pelbagai jenis bahasa lagi. 

Perhimpunan 'Bersih' sebagai pentas wacana mengandungi pelbagai rencah aksi dan reaksi yang boleh dibaca sebagai permainan semiotik dan pertembungan wacana. Dalam pentas ini, makna-makna bertembung, adakalanya bertarung dan bertempur. Ia disusul oleh pelbagai pentas yang lain pula, dengan pelbagai interpretasi yang menyusul dalam pelbagai bentuk seperti akhbar arus perdana, akhbar alternatif, sms, twitter, posting fb, blog youtube dsb.

Berlaku juga proses dalam mana makna-makna berkaitan dengan 'Bersih' itu cuba dicipta, diregulasi, dikekalkan, dirundingi, malah dipecah atau di dekonstruksi. 

Kecenderungan kita bukan lagi pada makna-makna yang terpasung, akan tetapi pada bagaimana struktur bahasa (termasuklah kod, sistem dan cara) digunakan oleh pelbagai pihak untuk menentukan aksi-aksi wacana.  

Aksi-aksi wacananya banyak - ada yang duduk, ada yang berdiri, ada yang diam, ada yang menyanyi, ada yang baca puisi, menari, berarak, ada yang memakai kostum Power Ranger, ada yang melayangkan sepandung, atau menaikkan belon, ada yang memberi bunga, ada yang berbasikal, ada yang senyum, ketawa, berpegangan tangan. 

Ada juga yang memaki, mengutuk, mengherdik, menerajang, memukul, memijak dan menampar. Semuanya boleh dibaca sebagai satu permainan (atau pertembungan) sistem tanda, penanda dan makna yang sering tergelincir.

Namun, untuk membolehkan teks 'Bersih' itu ditinjau dari sudut kajian budaya, seorang itu perlu keluar dari dipasung oleh sebarang pemakaian 'bahasa' dan 'wacana' yang sepusat, terutama sekali yang berpaksikan pemusatan jenama politik. Malah, pemakaian begitupun perlu dipecahkan terlebih dahulu. 

Mungkin menerusi pendekatan ini, kita dapat sama-sama bermuhasabah secara lebih afdal.

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...