Saturday 2 April 2011

HERO SAYA (MY HERO)

by Hasnul Saidon on Wednesday, September 15, 2010 at 7:19am




Semasa saya kecil, pagi Raya sangat penting kerana selalunya Bapak jadi imam dan baca khutbah Raya. Malam sebelum Raya, dia selalunya buat 'homework', mungkin untuk 'adlib' atau buat 'improv' mana yang patut supaya jemaah tak tidur. Suara dan bacaan surah AlFatihah dan ayat-ayat lazimnya memang sedap didengar, tambah pulak dia memang terlatih sebagai seorang Qari dari guru Quran dia, Hj. Latif.

Bila dia pakai jubah imam, nampak segak dan berkarisma. Bau harum minyak atarnya masuk dalam hidung dan melekat dalam memori. Bila berada dalam satu 'entourage' dengan dia untuk ke masjid, mesti dapat laluan dan saf depan, walaupun belum akhil baligh. Bapak saya, Saidon bin Pandak Noh, bagaimanapun, adalah lebih dari seorang imam. Dia juga seorang ustaz, seorang penceramah agama, seorang guru Al-Quran, seorang hakim taranum, seorang Pengerusi UMNO Bahagian (yang lama), seorang tokoh guru daerah dan Negeri, seorang yang sering diminta 'air jampi', seorang yang mengusahakan kebun dan ladang kelapa sawit dengan tekun mengalahkan buruh Bangladesh dan Indonesia, seorang yang rajin menolong orang tanpa mengenal bangsa (hingga dipesan agar jangan cepat sangat tolong angkat orang yang baru 'accident' di jalanraya), seorang yang dihormati, dikasihi dan disayangi. Ramai orang Teluk Intan kenal dia hingga motosikal kapcai Boon Siew diapun polis kenal.Kalau menonggangnya tanpa lesen, kena tahan, sebut aje Ustaz Saidon, insyaAllah dilepaskan dengan amaran. Itu, dulu.

Bapak ialah guru saya, pembimbing saya, tongkat ketika rebah, air ketika dahaga, cahaya ketika gelap.

Dia mengajar saya yang hanya pandai melalak ini membaca AlQuran dengan tajwid, taranum dan fasohah yang betul hingga saya mejadi Johan Qari daerah dan berjaya ke musabaqah peringkat Negeri Perak semasa bersekolah. Dia guru fiqah, tauhid dan tasawuf, yang banyak memetik AlGhazali dari kitab-kitab kuning lusuh lama yang ada antaranya sudah carik dan lunyai. Bahasa kitab itu pun penuh dengan 'arakian', 'adanya' dan banyak lagi frasa lama yang Bapak perlu rungkai dalam bahasa pasar Perak.

Dia mengimbangi 'vitality' bonda, wanita Melayu pertama (yang hanya boleh membaca jawi) berniaga di bangunan MARA Teluk Intan. Hal Bonda sudah saya rakamkan dalam karya-karya lukisan. Bapak lebih sesuai dibingkiskan menerusi kata-kata bertulis.

Bapak hantar saya ke tadika Inggeris yang terletak di belakang gereja. Walaupun dia ustaz, orang kuat UMNO, dia mahu saya fasih berbahasa Inggeris dan berkawan dengan kanak-kanak bangsa lain. Dia tak mau saya jadi katak bawah tempurung. Saya belajar menari 'ball room' semasa di tadika.

Bapak membawa saya ke sekolah dengan motosikal kapcainya setiap pagi (dia mengajar di sekolah yang sama). Saya tersepit antara tulang belakang dia dan perut bonda. Bila hujan, saya diselangkup. Yang saya dapat lihat hanya jalanraya di bawah kaki saya yang masih terjuntai. Pernah semasa menonggang, saya jatuh tersungkur dengan dia, tapi tak cedera, walaupun hampir masuk parit besar. Saya cuma ingat dia kata "Jangan bagitau mak kamu".

Bila dapat keputusan peperiksaan, dia tak tanya saya dapat nombor berapa. Tapi dia tanya, Tan Thiam Beng dapat nombor berapa, Chow Chee Keong dapat nombor berapa, anak keluarga 'Mah' dapat berapa, semua Cina, tak banding dengan kawan-kawan Melayu. 'Benchmark' dia tinggi. "Kalau dia rajin, kamu orang Islam kenapa tak boleh rajin?". Kawan-kawan dia dan Bonda, terutama yang berbangsa Cina, dijadikan kayu-ukur untuk kerajinan, keusahawanan dan kejayaan mencari rezeki material, agar tidak menjadi bangsa yang merempat atau hanya mengharap subsidi Kerajaan saja.  Semasa di sekolah rendah, saya jarang dapat lebih dari nombor 10. Sekolah menengah jangan cerita, itu episod duka.

Bapak juga penghibur saya, dengan jenaka dan lawak tahap dewa yang boleh membuat saya dan seisi keluarga ketawa. Saya mewarisi 'sense of humor' dia, adalakanya keras, adakalanya sinikal, adakalanya 'just plain absurd' dan 'slapstick', tapi sentiasa ada moral. Dia boleh memaksa guru besar, guru kanan, semua guru dan murid berdiri hampir sejam setengah untuk mendengar cerita "Ehem...ehem...aku taula" sempena sambutan 'Hari Guru' di sekolah. Guru besar David Paul yang matanya merah, tangannya ringan rotan dan mukanya berat senyum pun, boleh ketawa. Bapak ialah seorang penglipur-lara, 'story-teller', 'stand-up comedian' dan penceramah agama bercampur sekaligus dalam satu pakej.

Bapak hero saya.

Begitpun, jika Bapak perlu garang, harimau pun tak berani lalu, terutama semasa di sekolah. Bila dia mengajar, satu sekolah boleh dengar suara dia. Dia mengajar sepenuh jiwa raga, seluruh tenaga, seikhlas hati dan bulat niat. Jika perlu hukuman, satu kelas boleh disebatnya bukan dengan rotan, tapi dengan kaki kerusi yang dah patah (tak pernah pula kena saman masa tu). Penampar usah cakaplah. Pernah semasa dalam kelas agama, seorang murid membaca buku sejarah. Bila Bapak nampak, dia ambil buku tu sambil membaca kuat, "Raja adil Raja disembah, murid tak adil perlu disanggah!!!!"....sambil penampar hinggap ke muka murid bertuah tu. Tapi dia tak pulak dendam dengan saya, tapi siap berterima kasih lagi. Ada yang jumpa saya sambil bertanya, "mike (awak) anak Ustaz Saidon?" dengan keras. "Ahhh sudah, ni mesti kes kena penampar Bapak ni, abihlah aku," saya fikir dalam hati.  "Nasib baik Bapak mike(awak) tampor teman, boleh juga teman mengaji. Kalo tak, macam mana teman nak ajor anak teman mengaji. Kirim salam pada dia."

Bapak memang hero saya.

Bapak sokong minat saya walaupun tidak secara langsung. Semasa dalam darjah enam, dia bawa saya pergi ke kedai sahabat tauke Cina dia yang dipanggil 'Jin".

"Oiiiii Jin, cat minyak ni bagi murah sikit, anak aku nak melukis."

Waktu itu, saya lebih tertarik pada amoi anak tauke tu dari cat minyak jenama Marries Oil Colour yang diimpot dari China. Ada masanya dia bawa balik papan siling dari kontraktor Cina (yang dibuat dari abuk dan serpih kayu) untuk saya berkarya. Semasa Kak Jo dan Hj Osman upah saya melukis karya pemandangan cat minyak (pada kedua-dua belah permukaan) dengan gaya romantisme ala-Indonesia, dia sibuk congak modal dan bayaran upahnya.......semua sekali 121.00 ringgit. Saya masih dalam darjah enam, mana tahu pasal 'budget' dan 'profit margin' lagi. Hanya tahu nak melukis saja.

Hero ini faham anaknya suka melukis. Dia tak melarang, atau mematahkan. Paling kuat pun nasihat dan pesan, jangan dipuja apa jua yang kita buat.

Bapak adalah kekuatan saya ketika itu.

Tapi itu dulu, waktu dia masih muda dan gagah, dan saya baru mengenal hidup.

Kini, saya dah jadi Pengarah, Profesor Madya, mengajar di universiti APEX. Wah.....patutnya naik merak, takbur dan banggalah ya. Tapi bila balik Raya, semua yang saya kejar dan dapat itu jadi tidak penting bila melihat Bapak, hero saya.

Kini, bila pulang ke Teluk Intan untuk beraya, Bapak sudah tidak lagi menjadi imam. Dia dah pencen. Suara dan taranum merdu dia sudah tidak lagi berkumandang. Sudah tidak lagi menjadi guru agama, tidak lagi mengajar Al-Quran. Cuma jadi imam berjemaah dan sesekali memberi ceramah ilmu kepada anak cucu bila keluarga berkumpul. Itupun jika semua pakat nak dengar, kerana selalunya bila berkumpul, lebih banyak lepak, makan dan bersembang.

Bapak juga sudah lama tidak berceramah atau memberikan kelas agama dewasa di masjid-masjid. Nak bacakan doa-doa mustajab pada air buat syarat zahir, hanya untuk anak, cucu dan cicit saja. Melawak pun dah kurang. 

UMNO? mmmmmm....sekarang dah baru dan canggih, tak mainlah orang tua bekas guru agama macam dia. Sekarang 'business', dulu 'survival' anak-cucu. Begitupun, 'political acument' dia masih tajam dan adakalanya masih berapi. Itu saki-baki semangat juang era sebelum dan ketika bahang kemerdekaan masih panas.


Tenaga Bapak tentunya dah kurang. Sakit bertambah. Semangatnya seolah tinggal saki baki seperti sudah dicuri. Walaupun dia masih kacak (pada saya), matanya sayu, cahayanya lesu. Dia sendiri pun dah bongkok sabut (retak pada tulang belakang akibat jatuh pokok) dan kurus kering hingga terbonjol semua tulang. Hati saya selalu remuk bila melihat tubuh bongkok Bapak semakin kurus hingga nampak terbonjol semua tulang. Pacemakernya yang ditanam dalam dadanya pun nampak tertonjol hingga takut nak memandang. Tapi pacemaker itulah menjadi syarat zahir untuk memastikan denyut jantungnya tak berhenti. Pernah jantung dia berhenti lepas mengimamkan jemaah solat subuh.

Raya pun dah tiada lagi seri rakan taulan Bapak. Tiada suara Ustaz Shaari yang sengau tapi merdu, atau Tuan Hj Mokhtar yang halus orang dan suaranya dan ramai lagi rakan Bapak yang sudah dibebaskan dari mimpi benda. Setiap kali saya cium dahi dan pipi Bapak, setiap kali saya peluk dan dakap dia, saya rasa tulang. Badannya ringan macam kertas. Hati saya berat sungguh nak tinggalkan dia, tapi saya berlagak 'cool' setiap kali saya nak balik ke Pulau Pinang untuk mengejar mimpi yang tak pasti. Saya anak lelaki, mana boleh buat drama hindustan. Dari sisi mata, saya nampak lambaian sayu dia mengiringi pemergian menantu dan cucu-cucunya,  meninggalkan dia dan Bonda dalam sepi melayan hari. Bapak dimakan kesunyian, disedut kesepian, dirundung kesedihan.

Tapi dia tetap hero saya yang cekal, sabar, tabah, tenang, dan sentiasa bersama Allah.

Walaupun jasad jauh, saya bawa Bapak ke mana-mana dalam hati ini, terutama sekali bila saya dalam majlis ilmu (mengajar, seminar, dsb). 

Kepada abang-abang dan kakak-kakak, anak-anak, anak-anak saudara, cucu-cucu, guru-guru, rakan-rakan taulan,  anak-anak murid dan bekas anak murid dan semua yang dikenali : selain dari Bonda kita, janganlah lupa hero yang kita panggil Bapa, Bapak, Abah, Ayah.....

Mari kita panjangkan doa untuk mereka, agar mereka bahagia meniti hari tua, penuh kegembiraan, keceriaan, keberkatan, ketenangan dan dilimpahi dengan kasih sayang yang tidak bertepi.

Mereka hero kita.

Dan SAIDON BIN PANDAK NOH ialah HERO saya.


Hasnul J Saidon

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...