PEACE PREVAILS

May peace prevails upon all beings on the earth and beyond. You may scroll down to browse the contents of this blog.

Monday, 16 December 2013

MERENANGI 'HANYUT'

Salam kasih tidak terhingga pada semua yang datang bersesak di Kebun Rupa untuk 'Hanyut'. Salam kasih kepada U-Wei Shaari yang sanggup singgah walaupun sibuk. Saya amat menghargai budi tuan yang sanggup menayangkan "Hanyut" dalam keadaan serba daif di Kebun Rupa, atas permintaan seorang sahabat, tanpa sebarang kutipan tiket mahupun elaun bersyarah. 

Salam kasih pada krew teknikal yg ikhlas tolong set-up walaupun saya dah takda pangkat. Maaf kerana saya perlu memulakan tayangan tepat jam 8 atas alasan filem adalah seni yang amat menghormati masa. Maaf kepada yang terlewat terpaksa pulang hampa kerana dah tak cukup ruang. Maaf pada yang terpaksa mengintai dari jeriji. Maaf juga pada yang terpaksa duduk di luar dihanyutkan oleh seloka U-Wei dan saya. Akhir sekali maaf pada yang tak tau kerana ini hanya majlis kecil yang sebenarnya tak dijangka pun. Semuanya rezeki yg Allah bagi, kita terima mana yang baik, buang mana yang keruh. Mohon doakan Kebun Rupa akan disinggahi ramai lagi insan yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman berharga, untuk mereka yang benar-benar 'dahaga', bukan hanya pandai 'memakai kelakuan/berkelakuan' persis seorang seniman atau pelajar seni je.

Filem "Hanyut" adalah filem yang pandai, dan tidak membodohkan audien. Ia diadaptasi dari sebuah novel kolonial yang ditulis oleh J.Conrad, namun diberi interpretasi sendiri oleh U-Wei. Sebelum buat filem ini, U-Wei dah bersilat terlebih dahulu dengan Conrad, termasuk berjumpa dengan sang profesor yang dianggap 'pakar' tentang Conrad. Bagi broker teori yang suka mengerut dahi (dan adakalanya mengarut), naskah filem ini boleh dibaca sebagai satu teks pasca-kolonial versi U-Wei. 

Pembacaan-semula ni bukan benda baru untuk U-Wei yang rajin membaca. Beliau pernah melakukan 'pembacaan-semula' dalam naskah teaternya "Wangi Jadi Saksi" namun ia bukan berdasarkan teks kolonial. Sebelum itu, beliau pernah juga mengarah satu lagi naskah teater dari teks sedia ada, kalau tak silap diadaptasi oleh Amir Muhammad, tapi saya dah lupa tajuknya. Saya pun bukanlah orang teater totok, cuma jenguk dari tingkap je, mungkin tak perlu percaya cakap saya ni. 

Ringkasnya, kerja bersilat dengan teks dari sumber lain memang dah jadi sebahagian dari strategi pengkaryaan U-Wei. Mungkin sebab tu dia juga suka menyampuk dan disampuk sumber tekstual lain dalam bentuk karya-karya seni rupa kontemporari tempatan, termasuk dari orang yang menulis ni. Ringkasnya, U-Wei ni jenis yang suka membaca, mentafsir dan menggambarkan (menceritakan) pelbagai tafsiran. Kesemuanya untuk dibaca dan ditafsir sendiri oleh audiennya. Bagi mereka yang panjang dan tajam akal (tiada kaitan dengan gender ok!) dan halus budi, memang sedap dan lazat layan hasil karyanya. Bagi mereka yang tumpul dan mati rasa, karyanya susah nak hadam.

"Hanyut" menghormati audiennya. U-Wei buat filem Melayu untuk penonton yang dihormatinya, bukan untuk penonton yang mahu dibeli olehnya dengan 'gula-gula'. Umpan gula-gula dan guna-guna senang diberi, tapi hanya memandulkan fikir dan mematikan rasa. Ia bukanlah sesuatu yang patut diberi pada penonton kita hari ini. Pengkarya yang ada sifat ikhsan sesama insan takkan menggula-gulakan audiennya.

"Hanyut" dipacu oleh pertembungan beberapa arus yang dalam, persis arus di bawah permukaan sungai keruh yang nampak tenang. Pertembungan arus yang menghanyutkan ini dapat dikesan pada beberapa watak peneraju filem ini. Yang kelihatan dominan di permukaan adalah yang 'jantan'. Yang jantan memang sibuk. Namun, seperti dalam kebanyakan filem U-Wei, arus yang lebih mendasar dan tegar hadir dari watak-watak wanitanya. 

Setiap seorang dihanyutkan oleh arus masing-masing, namun yang lebih bijak merenangi arus adalah wanita (pada saya la), seperti yang ditonjolkan pada babak pembukaan. Di situ sudah dibayangkan siapa yang lebih handal melawan arus, dan siapa yang akan hanyut dibawa arus keangkuhan sendiri. Tapi kalau sekadar nak stim nengok Sophia Jane berkemban dalam sungai (imbasan Perempuan, isteri,....), silakanlah.

Subteks "Hanyut" berlapis-lapis, persis arus di bawah permukaan sungai, perlu direnang dengan rapi, kalau tak, kita pun hanyut juga, sebagai audien. Tak mustahil jika ada audien yang hanyut sampai keluar air liur basi! 

Sungai dalam filem ini juga adalah watak utama, bukan hanya sekadar gula-gula sinematografi (yang tak dinafikan, hebat). Interteksnya timbul dari pertembungan beberapa watak dan adegan di sungai. Begitu juga dengan beberapa set, terutama rumah 'orang putih' (Almayer) di tebing sungai. Sungai adalah penanda arus untuk intrig politik, ekonomi, kuasa dan gender dalam filem ini.  

Sinematografinya bercerita, terutama menerusi 'pembingkaian' (framing) DOP (Director of Photography) yang diimpot dari Poland. Rekabentuk produksinya pun teliti, hasil kajian visual yang tekun oleh pereka produksi yang diimpot dari Australia. Sorryla, saya susah nak ingat nama-nama orang putih ni. Seperti dalam filem-filem U-Wei terdahulu, rekabentuk produksinya membina watak dan cerita, dan dijamin takda baju, atau aksesori mahupun langsir (dan rambut palsu) yang kelihatan baru dibeli dari supermarket Kamdar atau Mydin.

Intrig politik dan ekonomi dihadirkan dari permainan kuasa antara Almayer dengan pihak kolonial dan pemimpin politik tempatan, termasuk golongan pedagang luar. Masing-masing ada agenda tersirat, disebalik sopan-santun diplomasi tersurat. Pada permukaan luar, intrig ini ditonjolkan, dipacu oleh 'business as usual' - perniagaan. Ini dunia jantan (maskulin), siapa punya (ego dan nafsu) paling panjang dan besar, dia berkuasa. Yang nak ditakluk adalah 'gunung emas' masing-masing (harta dari bumi bertuah) yang entah ada entah takda. Masing-masing cuba memakai ilmu penunduk untuk menunduk (menakluk) yang lain. Pemacunya adalah tamak infinit. Biasalah, jiwa jantan....Appolonian.

Namun arus yang lebih mendasar (dan mengocak) hadir dari dua wanita utama dalam kehidupan Almayer, isteri Melayu dan anak kacukannya.  Arusnya feminin, lebih subjektif dgn semangat Dynosius yang susah dijangka, tak seperti formula ekonomi zaman kolonial. Kocaknya mengingatkan saya pada "Kocak di Fukuoka", buku saya yang tak laku dan masih lagi berbaki di Kebun Rupa walaupun dah bagi free pada ramai kawan-kawan (Maaf saya 'enter frame' buat promo buku sendiri). Bagi yang malas minda tapi celik mata zahir je, kedua-dua watak wanita utama dalam "Hanyut" ini mungkin hanya dibaca sebagai 'penyeri filem' untuk cuci mata saja. Namun, mereka sebenarnya adalah arus hanyut. Kalau nak cerita panjang lebar, nanti takda yang pergi menonton di pawagam pulak. Cukuplah saya mengarut sampai sini je. Saya pun bukan pakar filem. 

Beberapa soalan terungkai semasa sesi soal jawab bersama pengarah yang hanyut ke Kebun Rupa, U-Wei Shaari. Antaranya termasuklah tarikh penayangannya pada awal tahun depan. Juga beberapa pandangan jernih dari audien tentang beberapa watak utama dalam "Hanyut" yang menjadi tiang kepada arus dalaman kepada filem ini. Terima kasih pada yang memberi pandangan dan bertanya soalan. 

"Barat tidak menyelamatkan kita, dia memecahkan kita"
Dieter (Kurator dan Pengarah Festival Filem/Video Eksperimental) dari Peranchis, bertanya soalan. "What do you mean by saying that the West did not safe the Malays?"
"Saya buat filem Melayu"
"Buat filem bukan macam pergi tandas Dik", sesi kuliah impromptu selepas tayangan untuk yang degil.
"How much is the cost? Not enough"

No comments:

Post a Comment