Friday 15 April 2022

PRINSIP2 ASAS TATABAHASA TAMPAK TRADISI VISUAL MELAYU ISLAM

Prinsip-prinsip Asas Tatabahasa Tampak Tradisi Visual Melayu-Islam



Istilah ‘prinsip’ bermaksud sumber, ciri formal atau elemen utama, kepatuhan kepada kebenaran asas dalam penghujahan dan perlaksanaan atau tindakan, satu aturan moral yang menjadi panduan kepada sebarang interpretasi atau tindakan, motif sebagai dasar intrinsik dalam sesuatu perlaksanaan usaha pembangunan dan perincian susulan. (17)


Berikut dihuraikan beberapa prinsip yang terdapat dalam paradigma seni-budaya tempatan yang boleh diselaraskan dengan kemajuan sains dan teknologi terkini (sama ada secara ekstrinsik mahupun intrinsik). (18) 

i) Adaptasi & Modulariti

Modulariti merujuk kepada penciptaan unit-unit kecil yang boleh digabung membentuk unit-unit besar dalam corak gabungan yang infinit. Modulariti juga menekankan pendekatan skimatik (pengaturcaraan) dalam membina suatu sistem atau corak rekaan yang boleh digubah dalam pelbagai kombinasi. Modulariti meningkatkan nilai adaptasi sesuatu penciptaan atau rekaan. Prinsip ini sering dikaitkan dengan unsur fractal dan juga corak ‘tumbuh’ yang digunakan dalam pemetaan minda. Contoh penggunaan modulariti banyak terdapat dalam rekacorak arabesque seni Islam, rekabentuk rumah Melayu, dan juga rekacorak skimatik Mandala.  Sistem modular juga terdapat dalam logik pengaturcaraan komputer dan rekabentuk industri seperti perabot berjenama IKEA. Kajian minda menerangkan bagaimana otak berfungsi secara adaptif dan modular. Begitu juga dengan pembangunan sistem sibernetik yang menekankan prinsip ini. Prinsip ini boleh diguna-pakai dalam rekabentuk pameran dan juga aktiviti pengunjung di muzium.


ii)  Keanjalan dan Berpusatkan Pengunjung

Keanjalan merujuk kepada kesan ciri modulariti dan peningkatan adaptasi rekaan mengikut tuntutan dan suasana yang berbeza. Kesan keanjalan dari sistem modular dapat mengelakkan sesuatu rekaan menjadi terpasung, baku dan kaku. Ia juga mengizinkan pengunjung membina sendiri corak pengalaman perseptual dan gunaan berdasarkan entry point masing-masing. Prinsip ini boleh diadapatasi dalam rekabentuk pameran yang mengizinkan pemerhati atau pengguna menentukan corak pengalaman berinteraksi dengan kandungan sesebuah pameran atau aktiviti. Ia mencadangkan kepelbagaian pilihan dalam situasi timbal-balik yang organik.  Dalam seni-budaya Islam-Melayu, keanjalan merujuk kepada kemampuan sesebuah sistem rekaan diubahsuai berdasarkan pelbagai bentuk tuntutan – ruang, masa, bahan, keadaan geografi, permintaan sosio-budaya dan sebagainya. Rumah tradisional Melayu merupakan satu contoh yang sesuai terhadap aplikasi prinsip ini.  Keanjalan juga mewujudkan kesan rekaan atau penciptaan yang terbuka, bersifat mengundang (participatory), terlibat (involvement) dan mesra-insan (sesuai dengan fitrah manusia).


iii)Susunan Tidak Berurutan (non-linear), Pengulangan dan Kitaran (Cyclical)

Ciri non-linear, pengulangan dan cyclical merupakan antara ciri utama dalam pengaturcaraan komputer. Prinsip ini juga digunakan dalam sistem penyuntingan digital yang membezakannya dari kaedah penyuntingan analog. Ciri non-linear merupakan ciri lazim dalam pelbagai bentuk pengucapan seni-budaya Melayu. Ciri-ciri cyclical, pelbagai titik tumpuan (multiple points) atau ketiadaan titik tumpuan tunggal (single focal point dalam sistem perpektif) yang banyak terdapat dalam rekacorak tekstil Melayu dan muzik etnik misalnya, mencerminkan penolakan kaedah perkembangan berurutan semata-mata (linear progress) dalam rekaan. Ia juga mewujudkan kesan pengulangan motif yang membantu proses meditasi atau mendiamkan fikiran dan perasaan.


iv)  Interaktif & Dinamik

Ciri-ciri interaktif dan dinamik merupakan antara ciri sepunya yang dimiliki oleh kedua-dua bentuk pengucapan tradisi dan teknologi baru. Dengan menekankan keanjalan dan berpusatkan pilihan pengunjung, sesuatu rekaan menjadi pemangkin kepada interaksi yang lebih organik. Interaksi ini boleh dibaca dari sudut fizikal, mental dan emosi yang merujuk kepada proses timbal-balik antara pengunjung dengan objek pameran atau aktiviti. Ini meningkatkan penglibatan dalam sesuatu proses pengamatan dan pembelajaran, yang akhirnya mewujudkan penghayatan yang lebih tinggi. Produk interaktif CD-ROM dan dalam internet memerlukan interaksi atau input pemerhati untuk menghidupkannya.  Begitu jugalah dengan produk-produk seni rupa tempatan yang sebenarnya lebih tinggi jangka hayatnya jika digunakan secara lebih interaktif.  Prinsip ini bertentangan dengan prinsip pasif yang mendasari bentuk seni-budaya moden.  Penghayatan yang lebih tinggi meningkatkan daya meditasi, membantu dalam pelarasan tenaga fizikal, mental/emosi dan spiritual dalam kesatuan yang harmonis.

v) Saling Berkait/Bergantungan/Terangkai

Sistem modular menekankan ciri-ciri saling berkait dan terangkai meluas. Ciri-ciri ini mengelakkan sikap pengasingan dan individualistik keterlaluan yang ketara dalam bentuk-bentuk pengucapan seni-budaya Barat yang sudah dibakukan. Ia juga dapat membina persikapan intrinsik yang menghormati kepelbagaian. Pembangunan teknologi baru terutama yang melibatkan pengaturcaraan sistem interaktif memerlukan kemampuan pengaturcara mengaitkan sesuatu unit modular dengan unit-unit yang lain. Pelayaran dalam ruang internet juga bergantung kepada sistem ‘tautan’ atau ‘rangkaian’ yang saling berkait dan terjaring meluas. Seni bina Melayu banyak menampilkan prinsip yang sama dalam proses pembinaan unit-unit modular seperti kekisi tingkap, cucur atap dan motifmotif hiasan yang lain. Rekacorak dalam produk tekstil seni rupa Melayu juga menampilkan ciri saling berkait yang sama.  Prinsip ini merupakan asas kepada sifat minda yang hanya akan berfungsi bila adanya perkaitan (synapse) antara satu sel neuron dengan sel yang lain. Sistem sibernetik juga menampilkan prinsip yang sama. Tiada rangkaian, tiadalah makna. Prinsip ini perlu difahami, dihayati dan digunakan dalam sebarang usaha berpameran dan perancangan aktiviti pengunjung di muzium.


vi)  Serentak dan Pelbagai Sudut Pandangan

Ciri-ciri serentak, pertindihan dan kepelbagaian sudut pandangan merupakan antara kesan perseptual yang dapat dikesan dari pelbagai bentuk seni rupa tempatan dan Asia Tenggara. Ia juga adalah kesan dari penggunaan sistem modular dalam konsep rekaan atau ciptaan. Ciri-ciri ini juga boleh dikesan dari ciptaan dan rekaan berasaskan multimedia atau media baru.  Serentak, pertindihan dan kepelbagaian merupakan manifestasi falsafah dan persikapan dalaman yang menerima paradoks (Ying/Yang), kepelbagaian (multiplicity) dan pertindihan (overlaps) sebagai sebahagian dari lumrah dan hakikat kehidupan. Ciri-ciri ini juga mencadangkan kepelbagaian pilihan, sikap terbuka dan decentralization, yakni perlupusan titik tumpuan tunggal yang sering digunakan dalam sistem perspektif Barat misalnya.  Ciri sebegini mewujudkan kualiti penciptaan yang lebih demokratik dan menghormati perbezaan.

vii)Sains (skimatik) & Seni (ekspressi) dalam gabungan holistik

Bentuk-bentuk seni rupa tempatan telah terlebih dahulu menampilkan pendekatan berimbangan yang memenuhi keperluan fizikal dan rohani manusia dalam proses penciptaan dan gaya hidup. Gabungan berimbangan sebegini juga merupakan antara prinsip utama dalam pengolahan teknologi multmedia atau media baru yang mengimbangi antara tuntutan teknologi dan ekspressi seni. Apa yang menarik, banyak contoh seni Islam-Melayu pada rekaan tekstil yang menampilkan rekaan berasaskan kefasihan skimatik (aturan matematik) dengan nilai-nilai seni, estetik dan ekspresi yang halus serta terkawal. Gabungan sains dan seni dibawah pemacuan kekuatan spiritual dapat menjamin daya-saing dan kelestarian sesebuah pengalaman kunjungan ke muzium atau galeri.  Prinsip ini dapat melahirkan bentuk-bentuk pameran dan aktiviti pengunjung yang benar, baik dan indah.


Prinsip-prinsip di atas boleh dijadikan ciri sepunya antara sains dan teknologi dengan sumber warisan tradisi, disamping berfungsi sebagai pemacu pembangunan potensi ‘keinsanan sejagat’ yang merentas dimensi fizikal, mental/emosi. Halatujunya adalah memperkasakan dimensi spiritual dan membentuk nilai-nilai murni yang bersifat sejagat. Ia juga boleh dibaca sebagai panduan umum untuk sebarang bentuk terjemahan praktis, perlaksanaan, tindakan dan perincian susulan dalam konteks aktiviti pembangunan pengunjung agar lebih lestari, mesra insan (sesuai dengan fitrah manusia) dan bersinergi dengan alam.


Falsafah seni-budaya tempatan yang bersifat holistik dan integratif boleh dijadikan model yang berguna. Ia tidak memisahkan antara sains dan seni, antara ciri-ciri fungsi dan estetik, antara bentuk dan isi. Model holistik ini menekankan pengucapan yang menyeluruh, yang mengimbangi keperluan fizikal dan kerohanian manusia, menggabungkan kedua-dua fungsi otak kiri dan kanan secara total, diimbangi kesejahteraan emosi dan dipacu kekuatan spiritual yang menjadi tunjang kehidupan lestari. Model ini memaparkan pendekatan multi-dimensi dan rentas-disiplin yang terangkai meluas dalam hubungan organik yang saling berkait, bukannya terasing. Ia juga bersifat proaktif terhadap bahan, peralatan, teknik dan kemahiran sezaman dan masa depan.           


Seniman tradisi Nusantara terdahulu tidak pernah menolak sains dan teknologi ‘tercanggih’ pada zamannya malah mereka berusaha pula menguasai dan memahaminya untuk dimanfaat dan dijadikan wadah pembentukan perwatakan budaya serta ketamadunan yang menyeluruh. Persikapan sebegini perlu diteruskan dalam mendepani cabaran pemuziuman termasuklah usaha melestari frasa ‘ muzium dan warisan sejagat.’ Bahan, peralatan, teknik, proses dan kemahiran baru dari sains dan teknologi terkini perlu didepani secara proaktif sebagai kesinambungan ‘intrinsik’ dari warisan ‘teknologi dalaman’ kesenian dan budaya tempatan dan serantau.


Pelarasan prinsip-prinsip di atas dapat mencetuskan pendekatan pembangunan pengunjung yang berasaskan nilai (value-driven), mempunyai perkaitan budaya (cultural relevancy) dan daya spiritual, bertunjangkan aspirasi tempatan dan berketrampilan global.  Kesemua ini pula dapat menjamin daya saing insitusi pemuziuman dalam kancah era globalisasi.









Yuni menemuhual saya utk kajian phd beliau.

Wednesday 6 April 2022

ALTERNATE-SHIFT-RETURN: RE-IMAGINING TRADITION. PART 2

Click here to Hasnul Saidon Youtube Channel

https://youtu.be/nhYI13BYG3A 



ALTERNATE-SHIFT-RETURN

https://youtu.be/lsw_ONeuIzk


Sedekah sahur

ALTERNATE-SHIFT-RETURN : Re-imagining Tradition


Golden Hour Online Series

@malaysiancraftcouncil 


Full version of Part 1 at Hasnul Saidon Youtube Channel https://youtu.be/lsw_ONeuIzk

LANGIT & BUMI, DEPAN & BELAKANG, SIMETRI, KADAR & IMBANGAN.

Saya byk defisit. Saya mohon maaf pd semua yg pernah saya sakiti. Ini je yg boleh saya sedekah. Teramat indah susunan ayat2 dlm Al-Quran. Hati yg dicerah akan tunduk dlm kekaguman sambil menitis air mata bila menghayatinya. Jika ada silap, tegur saya elok2.  Kita cuma tumpang prasan je. Moga hati kita yg sering terpalit gelap, beroleh pencerahan. Yg layak kita puji hanya Allah.

Link to Hasnul Saidon Youtube Channel

https://youtu.be/RzxmgXuKpYs

ABANG TAHA, AYAHANDA SAIDON & SYED AHMAD JAMAL


Abang Taha, Ayahanda Saidon, Syed Ahmad Jamal. Rindunya aku pd saat adanya 3 insan ini dlm hidup. 

Itu saja yg aku mahu kongsi mlm ini. 

Throwback. 2010. Pameran Solo 'In Between The Lines', Galeri Chandan, KL.

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...