Friday 2 August 2013

MENGULAS PERKARA RUMIT DENGAN CERDIK, MUDAH DAN BERHIKMAH

MENGULAS PERKARA RUMIT DENGAN CERDIK, MUDAH DAN BERHIKMAH
Hasnul J Saidon


Dipetik dari Pengantar untuk buku sulung karangan Fuad Ariff berjudul "Seni Bukan Segalanya"

Fuad Ariff
Mengulas sesuatu perkara yang rumit dengan cara yang cerdik, mudah dan berhikmah memerlukan kemahiran. Dalam dunia seni rupa di Malaysia, kemahiran sebegini jarang saya jumpa. Malah, tidak ramai orang yang dianggap cerdik, atau menganggap diri mereka cerdik, memiliki kemahiran sebegini. Di celah yang tidak ramai ini, saya nampak Fuad Ariff. Bukan orangnya, tapi karyanya “The Artist”(2004). Ketika itu saya sedang menilai penyertaan untuk Bakat Muda Sezaman 2004.

Salah seorang rakan penghakiman bertanya pada saya, mengapa saya fikir karya Fuad Ariff itu ‘layak untuk dianggap sebagai sebuah karya seni’. Mungkin dia fikir karya tersebut tidak menepati ciri-ciri bentuk ‘seni halus’ seperti yang dipelajari semasa di kolej.

“Sebab ia cerdik, mudah dan berhikmah”, gitulah lebih kurang yang saya jawab, disambut dengan kening yang berkerut pada yang bertanya. 

Untuk beberapa minit, saya terpaksa memberikan kuliah meleret tentang ekonomi global pasaran bebas dan kesannya dalam menipiskan sebuah karya dan seorang seniman menjadi objek pasaran. Juga tentang persaingan dalam ‘pasaran seni kontemporari’ yang boleh menipiskan seorang manusia dari menjadi seorang ‘seniman’ kepada menjadi ‘pelakon’ atau ‘penggaya/peraga’ atau ‘pembawa watak ’ yang terpaksa berusaha menaikkan ‘nilai pasarannya’. Ya, panjang dan rumit ceritanya, boleh dijadikan modal untk tesis Phd. 

Rakan-rakan penghakiman yang lain mungkin tidak ambil pusing sangat tentang “The Artist” mahupun kuliah bosan saya. Namun bagi saya, Fuad telah mengulas perkara yang rumit dengan cerdik, mudah dan berhikmah menerusi karyanya. Saya sendiri pernah bergelut dan cuba menerusi “Smilling Van Gogh and Gauguin” (1997). Walaupun karya tersebut kini menjadi sebahagian dari koleksi Balai Seni Visual Negara, hanya Nur Hanim Khairuddin seorang saja yang benar-benar mengulas panjang-lebar tentangnya, itu pun dalam penerbitannya sendiri. 

Fuad melakukan perkara yang sama beberapa kali menerusi  karya-karyanya. Dia lebih berani dari saya. Jika saya hanya setakat meminjam wajah Van Gogh dan Gauguin, Fuad memetik wajah watak-watak yang lebih dikenali dalam arena seni rupa sezaman di Malaysia, Ahmad Fuad Osman dan Niranjan Rajah. Dua manusia ni boleh dianggap ‘gergasi’, jika tidak pun, ‘hero’. Ahmad Fuad Osman untuk ‘pelukis yang sentiasa berjuang atau bergelut’, Niranjan untuk ‘pemikir yang bergelut dengan identiti diri’.

Apabila Fuad menghilangkan sebatang gigi pada wajah Ahmad Fuad Osman (ya, namanya hampir sama) yang disalin-semula secara digital dari karya asal, sekali lagi saya merasakan Fuad telah mengulas perkara yang rumit dengan cerdik, mudah dan berhikmah. Begitu juga apabila beliau menghilangkan sebahagian dari kuih tradisional pada karya asal Niranjan Rajah, seolah-olah baru sedap dikunyah. Fuad telah memanjangkan, atau memecah wacana asal yang dibawa oleh Ahmad Fuad Osman dan Niranjan Rajah.  Dekonstruksi karya Niranjan, jauh lebih rumit, kerana ia melibatkan stereotaip dan hubungan antara kaum yang sering buat rakyat Malaysia berkerut dan bergaduh dalam facebook. Saya tidak pasti apakah beliau sudah mendapat keizinan atau restu dari mereka ini, namun yang pasti, beliau akhirnya dapat juga baru-baru ini bertemu dengan Niranjan Rajah yang kini menetap di Kanada. Sebagai seorang yang gemar berdansa dengan permainan inter-teks, Niranjan Rajah menyukainya, malah mahu membelinya. Tidak pasti pula penerimaan Ahmad Fuad Osman yang kini bahagia dengan isteri dan anak tersayang di Bali.

Fuad juga memetik gaya bahasa visual yang terdapat pada karya-karya pelukis lain seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Esa dan Ramlan Abdullah. Meminjam dan memetik adalah istilah bidang bahasa yang merujuk pada amalan mengambil sumber teks sedia ada untuk dibaca dan diolah–semula dalam bentuk yang berbeza. Tujuannya adalah untuk membina pelbagai pembacaan yang baru. Ia juga dirujuk sebagai ‘inter-teks’, apabila teks asal dipecahkan maknanya oleh teks-teks yang lain. Dalam bidang seni rupa, seperti yang dilakukan oleh Fuad menerusi karya-karyanya, ia merujuk pada amalan menggunakan imejan dan bentuk sedia ada untuk tujuan yang sama. Dalam beberapa kes, ianya dilakukan untuk membongkar sistem bahasa visual dan pembinaan makna ikut saka seni moden Eropah yang telah sebati dibakukan (adakalanya secara taklid buta) di merata Asia.

Kerja membongkar dan memecah ini juga disebut dekonkstruksi oleh para pemakai pegangan pasca-strukturalis yang alah pada pembekuan dan pembakuan makna-makna monumental dalam seni rupa moden (baca Eropah). Adakalanya amalan membongkar dan memecah ini dipacu oleh perasaan pesimis dan sinis, hingga terhasilnya nuansa parodi, satira, jenaka-perli malah ada juga yang tergelincir menjadi mempermain, memperolok, merendah-rendah dan menghina. 

Pada saya, karya-karya Fuad lebih bernuansa dialog. Ia boleh membuka fikiran dan rasa kita agar dapat beroperasi di luar dari kebakuan sistem bahasa lazim (bukan bahasa tutur dan tulis saja) yang sudah jarang dipersoalkan. Antaranya termasuklah bahasa seni moden yang sudah mesra dan selesa berbaur dengan bahasa pasaran kapitalis global. 

Kini, cara seorang seniman dan karyanya dipasarkan, dipersembahkan, diulas, dinilai, diwacana, diberi makna, semakin ditipiskan oleh bahasa pasaran. Namun, jarang sekali kesan bahasa pasaran ini dipersoal dan dibincang dengan bertamadun, tanpa tujahan sentimen dan emosi melampau. Tentunya, hal ini memerlukan satu kuliah, jika tidak pun, satu kursus untuk dibincangkan. Itupun belum tentu ianya dapat digarap dengan mudah. Saya selalu cuba, dan ada pelajar yang berkata, “tak fahamlah Encik Hasnul!”.

Sekali lagi saya terpanggil pada karya-karya Fuad, yang mengulas hal-hal rumit ini dengan cerdik, mudah dan berhikmah. Pada saya, ia merupakan fardhu kifayah yang bermanfaat. Memandangkan karya-karya beliau yang mencelikkan fikir dan rasa itu tidak begitu diendahkan,  saya berusaha memanfaatkan sebahagian darinya sebagai antara bahan Koleksi Seni Halus Universiti Sains Malaysia (USM). Beberapa karya beliau boleh dirujuk di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM untuk dimanfaatkan oleh sesiapa yang sudi. 

Kini, Fuad menulis pula. Dia telah menulis untuk beberapa pameran sebelum ini. Mungkin saya sudah membaca semuanya. Menulis tidak sama dengan melukis atau menghasilkan karya seni rupa. Saya tidak pasti Fuad dapat melakukan perkara yang sama dalam penulisannya seperti yang dilakukan menerusi karya-karya beliau. Begitupun kelibat nuansa cerdik dan mudah masih ada.

Gaya bahasanya beradab, tertib, namun pada bahagian tertentu mencubit dengan lembut. Sudah tentulah tidak semua yang ditulis Fuad itu saya setuju, malah ada antaranya yang boleh saya persoalkan. Tapi, tidak perlu saya ulas penulisannya panjang-lebar. Cuma jika boleh dikongsi, saya amat bersetuju dengan tajuknya. Seni memang ada di mana-mana, tapi memang bukan segalanya.

Antara yang menjentik saya:

Tentang bangsa: 
“Menjadi bangsa-itu adalah suatu bentuk ujian untuk melihat sama ada kita mahu saling kenal mengenal dalam kepelbagaian dan terus beriman.”

Tentang paradoks dan ironi dalam memakai watak seniman kritikal:
“...kritikan kepada kekejaman peperangan dan sebagainya telah juga menjadi bentuk-bentuk saluran yang berjaya mendatangkan keuntungan-keuntungan yang lumayan dari segi ‘pendapatan’ dan ‘status diri’ si pengkarya.”

Tentang pengolahan figuratif oleh pengkarya beragama Islam:
“...mungin juga terdapat suatu bentuk pengetahuan penting yang boleh mereka jelaskan dan kongsi berkenaan dengan persoalan dan kedudukan figuratif ini lebih-lebih lagi dengan adanya ‘ketegangan hukum; dalam perihal ia digambarkan mahupun diarcakan.”

Tentang pendidik:
“Menjadi seorang pendidik bukan suatu yang mudah, kerana jika tersalah mendidik ramai manusia yang berada di bawah didikan akan berada atas jalan-jalan kesesatan.”

Tentang sikap suka memburukkan apa yang dirujuk sebagai ‘Barat’:
“Pada saya, sikap kita dalam mengaitkan apa-apa saja yang ‘buruk’ apabila merujuki ‘Barat’ adalah satu pembingkaian dan cara generalisasi yang tidak sihat.”

Tentang kedudukan hal-hal sublim:
“Banyak perkara dan kejadian alam ini berada di luar dari (kemampuan) akal rasional manusia dan bukti-bukti empirik. Namun disebabkan dorongan sains, lojik dan rasional berlebihan, telah menyebabkan manusia moden menjadi masyarakat yang telalu takut untuk membiarkan diri mereka berada dalam ketakjuban....”)

Fuad memetik dari beberapa kenyataan Tarig Ramadan, termasuk yang berkait dengan kedudukan akal dan hati; konsep toleransi; jati diri; dan menjadi saksi terhadap apa yang kita percaya.

Fuad juga menyentuh nasib jati diri Melayu dalam kancah budaya global, apabila pelbagai bentuk budaya yang sudah tipis dijadikan objek pasaran, boleh dibeli dan dilanggan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Langganan atau konsumerisma melampau ini boleh menghasilkan kesamaran budaya. Tentang kesamaran, dan bagaimana kesamaran menjemput sikap sinis, juga diulas Fuad:
“...apabila nilai-nilai kebaikan dan kebenaran pun tidak lagi diketahui akan maknanya dan kadangkala disambut dengan layanan yang pesimis dan sinikal”

Tentang masalah umat Islam sejagat:
“Kitalah ‘masalah’......” 

Tentang kemajuan ‘dalaman’:
“Kemajuan sebenar adalah dalam mengamalkan dan mempertingkatkan amalan kesolehan dan bersikap adil dalam keadaan apa sekali pun.”
 
Dan yang paling teras, tentang keseniman:
 “Anda tidak dilahirkan untuk (tujuan) menjadi seniman. Seni bukan tujuan hidup. Ia adalah sebahagian dari hidup. Ia bukan pusat kepada segala kerisauan dan desakan pada hidup dalam tujuan Tuhan menjadikan manusia.”





Kesemua petikan di atas ini cerdik, mudah dan berhikmah.

 
Kepada para pembaca budiman, mari kita sama-sama memanjangkan niat, harapan dan doa agar Fuad Ariff akan terus diberi Petunjuk, terus berkarya, dan semestinya, terus menulis.

Hasnul Jamal Saidon
Julai, 2013.


(Nota : Menerusi strategi penjenamaan, pemasaran dan pembinaan hubungan yang licik, seorang ‘peraga’ boleh ditukar menjadi ikon, malah mungkin juga wira seni. Klise seorang pelukis-pemikir memegang paip sambil merenung jauh serta tajam, boleh dilakonkan dan di’tambah-nilai’ menjadi ‘aksi’ yang ‘ada nilai komersial’. Bukalah beberapa buku mewah atau katalog tebal lagi mahal yang menampilkan karya-karya dan para pelukis terkenal Malaysia. Di dalamnya ada beberapa contoh aksi peragaan, penggayaan, perwatakan dan tambah-nilai yang saya maksudkan.) 

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Beliau juga seorang pelajar seni halus yang boleh melukis figura dengan baik(Amron,1996)

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas kesudian dan 'menyedekahkan' buah fikir En Hasnul dalam buku saya yang tak seberapa ini. Doakan agar dia diterbitkan dengan mudah. Semoga kita diberikan petujuk dan sentiasa ada rasa 'gerun' dan 'malu' terhadapNYA.

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...