Tuesday 2 October 2012

MENJEJAK CAHAYA (TRACING THE LIGHT) - KDEK!KDEK!ONG!



Title                
Kdek!Kdek!Ong!
Year                
1994
Material           
Computer animation on video, coconut shells, hat, batik cloth, mixed media
Duration          
loop
Exhibitions/Publications
  • Culture in Context, Australian High Commission,1994
  • Asia Pacific Triennial of Contemporary Art, Queensland Art Gallery, Brisbane, Australia, 1996
  • Rupa Malaysia, National Art Gallery, Kuala Lumpur, 1999
  • Continuities : Contemporary Art Of Malaysia At The Turn Of The 21st. Century, Guangdong Museum of Art, Guangzhou, China, 2004
Collection
National Art Gallery, Kuala Lumpur


Original version shown in "Culture in Context", Australian High Commission,1994

Original version shown in "Culture in Context", Australian High Commission,1994

Re-constructed version, shown in "Rupa Malaysia", National Art Gallery, Kuala Lumpur, 1999

Re-constructed version, shown in "Rupa Malaysia", National Art Gallery, Kuala Lumpur, 1999

Animation sequence of a green frog leaping across the TV screen, trying to free itself.

Sebagai juadah minda, dibekalkan esei yang pernah ditulis pada tahun 1997 dulu....

DAH NASIB BADAN! MENGHADIRKAN DIRI DALAM ERA ELEKTRONIK DAN SIBER

Kekaguman warga London sekitar awal abad ke 18 terhadap percetakan akhbar secara massa yang mampu memindah, memaktub dan menyalin-semula coretan tangan ke atas permukaan kertas mungkin telah menenggelamkan rasa cuak segelintir pelukis ketika itu, terutama mereka yang beroperasi atas modal 'keajaiban tangan' atau 'sentuhan seniman'.

Tradisi lisan yang mendokong pelantar sang penglipurlara terpaksa berganjak dari keselesaan yang dipusakai apabila Edison muncul dengan 'phonograph' dan Berliner dengan 'gramophone'nya. Sipenyanyi pula mula mengenangkan nasib suaranya yang dipindahkan atau 'terguris' di atas permukaan plastik.

Tidak cukup dengan 'mengguriskan' suara (dan hati mereka yang takutkan perubahan), Pakcik Bell pula tampil dengan 'ide gilanya' untuk menerbangkan suara manusia merentasi tanah dan samudera, menghuni talian besi dan udara lalu muncul di hulu corong tidak bernyawa. Tanpa disedari, rakan-rakannya sudak tidak lagi perlu berada 'sepelaung' darinya untuk berbicara. Masyarakat dan peradaban yang melingkari usaha Bell begitu beruntung kerana dapat memanjangkan telinga untuk mendengar warkah berita dari jauh.

Muybridge, Lumiere, Marey, Eastman, Kodak dan Edison seterusnya menyusul untuk meneruskan cita-cita memindahkan kehadiran manusia ke atas dunia buatan. Mereka menjadi dalang moden yang membuka jalan untuk menjadikan cahaya dan permukaan filem sebagai pentas baru bagi peradaban manusia. Percubaan Platteau menerusi 'phenatiskiscope'nya dan Daguerre melalui 'daguerrotype'nya disempurnakan.

Manusia sudah mampu keluar dari 'tempurung' jasadnya untuk hadir sebagai entiti cahaya yang dipancar ke permukaan rata. Imbasan jasad manusia bergerak tidak ubah seperti melihat hantu atau roh manusia keluar merayau dari acuannya yang asli. Masyarakat yang melihat menerusi kekisi jendela merasa gundah. Kegilaan ini akan memusnahkan manusia, fikir mereka. Lebih baik kembali ke 'tempurung' yang selesa dan selamat.

Pelukis dengan kehandalan tangan mula merasa tercabar dengan keupayaan mesin. Ke'suci'an seni yang dipusakai mula digoncang walaupun berus dan kanvas yang mereka gunakan merupakan cebisan dari teknologi yang mendasari kedatangan ciptaan baru. Mereka bertindakbalas menerusi impressionisma yang dikatakan mampu merakamkan kesan cahaya secara sekilas pandang dengan tangan kosong, tanpa bantuan mekanikal. Kemunculan teknologi filem dibalas dengan kubisma, yang tampil dengan serakan dan pecahan sudut pandangannya. Teori relativiti Einstein menjadi petikan rasmi untuk menandakan anjakan dari pandangan 'sepusat' kepada 'yang bergantung kepada pemerhati'.

Apabila adik-beradik WRIGHT memberi manusia sayap untuk terbang merentasi batasan masa dan ruang, sekali lagi sipelukis terpaksa menukar 'perspektif' atau sudut mata mereka dari aturan sedia ada. Pandangan dari kapalterbang sudah tentunya berbeza dari yang dilihat oleh Turner, Constable, Ingres, Monet dan rakan-rakan. Satelit dan mikroskop pula telah memindah pandangan mata lebih jauh dari 'ladang, pokok epal, gunung, awan dan langit biru' kepada Bimasakti dan struktur helix DNA, berkenalan dengan pluto yang jauh dan Neutron yang halus; atau mengintai anak dara sedang mandi di Kremlin. Peradaban mereka berjaya membawa keluar penglihatan, pendengaran dan segala pancaindera jauh merentasi batasan asalnya. Golongan karyawan Barat pula tidak henti-henti merakamkan cetusan reaksi mereka terhadap perubahan. Malah, cetusan mereka ini kemudiannya diwartakan sebagai penanda-penanda utama dalam naratif sejarah seni yang dirujuk oleh seluruh warga dunia hingga kini. 

Dipeluk atau dibenci, kesemua penemuan saintifik dan teknologi tetap tumbuh menjadi lanjutan dan 'kuasa tambahan' kepada badan atau jasad hidup. Produk teknologi tidak akan berhenti menakluki ruang peradaban manusia. Evolusi dan dimensi 'badan biologikal' yang kita miliki terpaksa berubah mengikut tuntutan perubahan yang didatangkan oleh penemuan atau ciptaan baru sejak dari revolusi pertanian, revolusi perindustrian hinggalah kini dengan revolusi maklumat. Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Samada kita ingin berterima kasih atau menidakkan mereka yang tidak penat mencipta, hakikatnya adalah kita tidak lagi boleh menyerahkan 'badan' kepada 'nasib' atau takdir semata-mata. Setiap kali kita disergah dengan teknologi yang baru, setiap kali pentafsiran kita perlu dianjak dari 'tempurungnya'. Semakin hari semakin kita perlu menyesuaikan kehadiran diri dengan segala yang kita (atau biasanya orang lain) cipta. Lebih memilukan, jika 'badan' kita ditakluk oleh 'nasib' yang diatur oleh mereka yang rajin mencipta, mendahului, memangkin dan menerajui.

McLuhan menyatakan bahawa kita kini hidup dalam satu kampung global yang dirangkaikan oleh media elektronik, televisyen umpamanya. Yang jauh telah didekatkan. Dunia semakin kecil. Jika ada yang tidak selesa dengan kehadiran Bapak Surnoyo dan Bapak Heryanto dari Madura mahupun Bang Ali Akhbar dan Bang Mujeed dari Dhaka, agaknya ada yang lebih resah dengan kehadrian IBM dan Apple, SONY atau yang sejenis dengannya. Tidak menghairankan jika cetusan budaya kini boleh muncul dari Saleem, Kent, Dunhill, Malboro dan sebagainya. Jika asimilasi pengaruh luar dilihat sebagai lanjutan imperialisma atau desakan ekonomi, mungkin kita perlu merujuk keputusan Sultan Melaka mengahwini Puteri Hang Li Po dulu! 'MOU' dan 'joint venture' sudah lama bertapak di Nusantara. 'Multiculturalism' tidak perlu disumbat kepada kita kerana sudah ada versinya sendiri di sini sejak dari zaman kesultanan Melaka dahulu. Malah 'multimedia' bukanlah perkara yang baru jika ditinjau cetusan seniman Timur dahulu kala. Namun keresahan terkini yang datang seiring dengan nama-nama syarikat gergasi teknologi tetap ada.

Seiring dengan keresahan ini, ada yang mengatakan bahawa kemunculan teknologi canggih (yang sehinggi kini masih dibekalkan oleh Barat) bakal mengakhiri kemanusiaan, terutama apabila teknologi dianggap memangkin keupupusan fitrah semulajadi mansuia secara fizikal mahupun spiritual. Ironisnya, ada yang memerlukan 'Blade Runner' dan 'Terminator' dari Hollywood untuk mengingatkan tentang kemungkinan sebegini.

Baudrillard mengingatkan kita kepada ke'asli'an yang semakin haus dikikis oleh 'simulacra' - rantaian salinan demi salinan demi salinan realiti yang berlaku di pentas elektronik, sehingga yang tinggal bukan lagi yang asli. Apabila manusia semakin jauh meninggalkan 'badan'nya sendiri untuk berfungsi menerusi perantaraan mesin berteknologi tinggi, sesekali terasa ada juga kebenarannya. Dengan bantuan teknologi canggih, kita sudah tidak perlu lagi 'menghadirkan' jasad badan untuk berkomunikasi dan melakukan pelbagai perkara. Dalam satu persembahan, Paul Sermon berkongsi bantal dengan seorang yang berada di tempat yang lain. William Gibson telah lebih awal melukiskan gambaran kehadiran tidak berjasad dalam novelnya 'Neuromancer'nya. Apakah agaknya persediaan kita menghadirkan diri tanpa jasad dalam ruang maya?

O.B. Hardison menyatakan bahawa apabila sesuatu produk teknologi menggantikan pancaindera asli dan menjadi sebahagian dari landskap kehidupan yang biasa, kesedaran terhadap keupayaan semulajadi kita lesap seiring dengannya. Dalam seni persembahannya, Stelarc merelakan sebelah badan beliau dikawal oleh input elektronik yang dipam dari internet. Kalau kita boleh meminta Ustaz Haron Din menghalau makhluk halus yang merasuk badan, siapa pula agaknya yang kita panggil untuk menghalau 'data' yang merasuk terus ke hujung Neuron otak kita? Bill Gates dan kuncu-kuncunya?

Kita disuruh menuntut ilmu hingga ke Negeri China. Tidak salah jika bersedia untuk terus meneroka, wujud dan hadir walau di ceruk ruang siber mana sekalipun. Istilah 'surfing' yang dikaitkan dengan 'pelayaran' menghadapi 'gelombang' internet mungkin boleh mengingatkan kita kepada keberanian bangsa yang 'MELAYar' suatu masa dahulu.

Jika naratif sejarah seni Barat boleh berbangga dengan impressionisma yang lahir dari reaksi terhadap fotografi, atau Kubisma yang cuba mentafsir Einstein dan montaj filem, atau Futurisma yang muncul seiring dengan teknologi otomobil dan banyak lagi, kita mungkin mengatakan bahawa kita terlewat dan terlalu jauh untuk merasa bahangnya. Dengan revolusi teknologi maklumat, kelewatan bukanlah isu. Cuma bila berhijrah ke alam siber kelak, janganlah kita lupa membawa tok-tok guru, ahli sejarah, ahli fikir, ahli budaya dan ahli seni yang tinggi dan halus sentuhan fikiran serta hatinya.

Lokasi peradaban manusia sebenarnya bukan sahaja berkiblatkan Barat atau mereka yang di atas angin. Pendedahan berterusan kepada pancaran radiasi televisyen mungkin telah membuatkan kita lupa bahawa peradaban-peradaban canggih mnausia terawal pernah wujud di Tanah Jawa dan sekitar daerah Nusantara. Tidak semua sejarah peradaban yang kita pelajari berakhir dengan kegembiraan. Peradaban Roman yang gagah pernah menyembah bumi kerana keangkuhannya. Kita juga mungkin tertanya-tanya tentang apa yang berlaku pada kelangsungan perabadan Empayar Islam yang terkenal dengan penemuan ilmunya. Sebelum tergadah, molek juga kita belajar dari kesilapan lalu. 

Ada yang beranggapan bahawa Amerika Syarikat membina peradabannya di pentas televisyen dan filem. Pembinaan peradaban sebegini tidak dapat dilaksanakan tanpa khidmat dari para seniman. Malah, menerusi pertolongan golongan inilah maka mereka dapat memujuk dunia untuk turut berhijrah masuk ke dunia ciptaan mereka; menari dan beraksi mengikut rentak yang telah diatur berdasarkan acuan penyesuaian yang sudah pasti memenuhi poket penguasa pentas. Badan kita yang berhijrah ke dalam naratif televisyen dan filem semakin haus jatidirinya dikikis oleh acuan yang tidak kita sedari. Kerlipan lampu dan bintang mengaburi pandangan kita. Keindahan dunia ciptaan ini terlalu sukar untuk ditolak. Kerana kejahilan kita menyesuaikan kehadiran 'badan' dengan 'ruang ciptaan orang lain', kita kehilangan diri di celah tranmisi fiskyen yang dipancar terus ke dalam ruang tamu kediaman kita. Ketaatan buta, rendah diri, hormat tak bertempat dan kurang keyakinan telah menggadai badan yang kononnya terpaksa menerima keadaan tanpa banyak menyoal. Tidak wajar berlagak Hang Nadim kerana kelak badan dihumban ke laut. Inikah agaknya yang dikatakan 'dah nasib badan...'

Sebolehnya, di celah kerancakan kita menilik 'nasib' atas ukuran nombor, kelajuan, indeks, geraf dan ringgit, atau atas pundak sang usahawan, jurutera, penganalisis sistem, pengaturcara perisian dan yang sekaum dengan mereka, kita tiliklah atas ukuran nilai kemanusiaannya yang lebih dekat dengan fitrah kehadiran manusia di atas muka bumi ini. Jika kini rantau sebelah Timur dianggap kekurangan dari segi warisan 'materialnya', ia kaya dengan warisan kerohaniannya. Di sinilah tunas sumbangan kita kepada peradaban manusia sejagat boleh hidup 'berimbangan' dan tumbuh subur untuk dimanfaatkan oleh generasi yang akan datang. Kita kaya dengan sumber kemanusiaan yang tinggi. Sentuhan kemanusaan ini selalunya dibekalkan oleh golongan karyawan yang jujur. Kita berdoa semoga golongan sebegini masih wujud, tidak pupus dan terus hadir walau di pentas maya sekalipun. 

Agak ironik mengenangkan nasib sang katak yang sudah mampu keluar dari tempurungnya untuk berhijrah ke layar perak dan phosporus, tetapi terpaksa pula menghadapi hakikat bahawa dunia radio, televisyen dan filem sudah semakin pupus. Dunia tersebut terpaksa tunduk kepada keupayaan dekonstruktif teknologi digital yang berjaya menyedut kesemuanya menjadi satu pelantar maya tidak bertepi. Sang katak kini terpaksa pula melompat dan berpantul-pantul di lorong optik fiber, bertapa di celah lurah cakera padat, atau me'maya'kan dirinya di alam siber tidak bersempadan. Jika demikian kehadirannya, masih 'kodok'kah ia? Atau hanya iluminasi?


Dipetik dari
Saidon, Hasnul J & Rajah, Niranjan (eds) (1997), Pameran Seni Elektronik Pertama, Kuala Lumpur : Balai Seni Lukis Negara

Ulasan karya :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/11/culture-in-context-1994.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/11/making-computers-work-for-art-1994.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/11/kdekkdekong-by-amir-muhammad-1995.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/11/five-malaysian-artists-by-simon-eliot.html 

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...