Tuesday 21 February 2012

KEJUT DARI MIMPI BENDA


Susulan blog sebelum ini tentang puSAKA kolotnial dan 'post-colonial future shock', izinkan saya meneruskan pelalutan. Walaupun drama puSAKA kolotnial ni sudah pun pernah saya langgan dulu semasa menuntut di Amerika Syarikat (1989-1993), takpalah, saya kongsi di sini. Dulu takda internet.

Sebelum itu dimaklumkan bahawa semua kata kunci 'kita' di sini merujuk juga kepada orang yang menulis blog ini.

Kita dengar dulu pesan Mahatma Gandhi berkaitan dengan pusSAKA kolotnial,

"Jika pemerintahan British digantikan esok dengan pemerintahan India berdasarkan kaedah-kaedah moden, India takkan menjadi lebih baik, kecuali ia hanya dapat mengekalkan sedikit wang yang telah pun disalurkan ke England; namun India hanya akan menjadi negara Eropah atau Amerika yang kedua atau kelima."

Maknanya lebih kurang begini, jika kita mengikut acuan yang ditinggalkan dari puSAKA kolotnial secara khinzir buta, kita hanya akan menjadikan salinan fotostat yang kabur.

Cuba tinjau pesan Claude Alvares dalam bukunya "The Blinded Eye:500 Years of Christopher Columbus". Bunyinya begini:

"...Columbus dalam diri kita sendiri mungkin merupakan penghalang yang lebih hebat dari Columbus di luar sana. Sainsnya, ekonominya, sikapnya terhadap alam, persepsinya terhadap gender dan kesihatan, pandangannya terhadap orang lain dan bahasa orang lain, telah meresap dan berakar dalam diri kita."

Pengalaman kolotnial telah menjajah dan bersarang merentas banyak generasi keturunan menerusi minda dan rasa kita. Penjajahan minda dan rasa adalah penjajahan yang telah memenjara kemanusiaan. Ia menghalang manusia (tak kira bangsa apa pun) dari kembali kepada fitrahnya. Pengalaman kolotnial adalah salah satu puSAKAnya. puSAKA ini boleh menyaka sesiapa dan apa jua, tak kiralah tinggi mana songkok, atau tebal mana pun serban. Tak kira apa jua jenama parti.

Bolehkah kita membebaskan diri dari puSAKA ini? Adakah semangat nasionalisma buta dan kebencian melampau terhadap pewaris penjajah dan warisan segala yang sekentut dengan Eropah dan  Amerika Syarikat itu boleh dijadikan penyelamat?

Pengalaman kolotnial telah menanam toksid yang membuatkan kita lupa bahawa sudah terdapat banyak ketamadunan yang jauh lebih hebat sebelum kedatangan penjajah. Sejarah ketamadunan dan keilmuan di China, India, Parsi, Mesir dan lain-lain daerah di Afrika ketika abad-abad pertengahan (disebut zaman gelap oleh dakyah kolonial) dipadam atau dicuri. Ia dipakej-semula menjadi jenama Eropah. Ilmu algebra, matematik, astronomi, falsafah, sosiologi, perundangan, logik, kejuruteraan, seni bina dll bentuk seni, dan banyak lagi, semua kena curi atau diberi jenama baru. Kalau tak pun, dijadikan 'dan lain-lain'.

PuSAKA kolotnial menanam toksid yang membuatkan kita memuja apa saja yang datang dari negara-negara 'membangun'. Kekayaan dan penguasaan (lebih tepat kerakusan) ekonomi dan teknologinya yang merebak kepada penguasaan politik, sosial, budaya, seni dll, telah membuat kita buta. Kita menjadi hamba kepada hegemoni intelek Eropah dan Amerika Syarikat. Kita mejadi mutan atau cyborg tidak bernama.

Kita juga menjadi peniru yang setia, termasuklah dalam hal pendidikan, seni dan budaya. Khazanah pengetahuan dan tradisi yang diwarisi tergadai, diganti oleh 'pengetahuan sedunia' yang sebenarnya berpaksikan Eropah dan Amerika Syarikat. Peta tauhid diganti dengan dengan peta Mercator.  Liberalisma kelas pertengahan, budaya konsumeris (sekarang ada 'retail therapy' tau!), kehidupan suburbia dan perluasan ruang peribadi (bukan ruang perkongsian) menjadi anutan yang jarang disoal.

Model pembangunan Eropah dijadikan kitab, walaupun ia terbukti membawa pada kepunahan alam (dan manusia). Penilaian tentang apa yang betul dan salah, baik dan jahat, cantik dan buruk, dan macam-macam lagi, semua ikut kanun bekas 'lord-lord' kolonial dari Eropah dan kini, juga dari Amerika Syarikat. Mesti ikut kanta mereka jika nak maju.

Sistem pendidikan kita pun ada yang nak ikut kanun 'lord-lord'. Dikepung oleh barisan kerusi dan meja macam kilang.


Kita sudah lama diceraikan dari warisan batin. Kita dah jadi 'yang lain-lain', terpinggir dan dipinggirkan. Kalau tak pun, kita jadi manusia dan menghasilkan mutan yang pelik.


Banyak sejarah dan khazanah ilmu dibunuh senyap-senyap oleh epistimologi saintifik Eropah. Warisan batin kita tak boleh dicerap dan dibukti secara empirikal mahupun saintifik. Jika tak boleh dicerap dengan pancaindera dan diuji secara 'benda' maknanya ia takda, tak wujud, hanya khayalan, tahyul. Inilah diktum puSAKA ilmu yang diwarisi dari pengalaman kolotnial. Ramai 'Columbus' jelmaan baru yang masih pakai diktum ini. 

Kini, yang kita ada adalah tinggalan jasad yang dah jadi bangkai (yang ramai pula nak pulihara atau awet buat tontonan dan nak sedapkan hati).

Bahasa kita yang menjadi saluran warisan batin (bukan bahasa tutur je ya, tapi juga bahasa tampak, bahasa bunyi dlll) pun makin pudar. Warisan batin kita (dan kemanusiaan) makin haus dicuri hari.


Kalau ditentang lebih-lebih, dituduh jumud, tertutup, kolot, primitif, tak saintifik, fanatik agama,dan sentrik-bangsa. Gema tuduhan sebegini masih kuat hingga kini. Penyalaknya ramai. 

Bagaimana pula pengalaman merenangi gelombang globalisasi hari ini? 

Tak payahlah sibuk sangat tanya soalan ini pada ahli-ahli politik. Mereka pun sibuk dan mungkin lebih hebat dalam menghentam dan mengutuk musuhnya dari menjawab soalan kita.

Malah, betul ke masih ada ahli politik dalam ertikata yang sebenar? Mungkin yang ramai sekarang adalah ahli perniagaan (yang berlakon sebagai ahli politik). 

Mana tidaknya, konsep negara-bangsa dan kerajaan (apa jua negara dan apa jua jenama kerajaan, kepartian dan 'pemain politiknya') kini boleh dimakan dengan mudah oleh raksasa bernama ekonomi pasaran bebas (dan kebas). 

Politik kini boleh dijadikan kuda tunggangan dan jenama pemasaran oleh bank-bank dan syarikat-syarikat mega trans-nasional (bukan syarikat bas ok) yang berkiblatkan tamak dan haloba melepasi segalanya. Untuk nampak mesra-manusia, syarikat-syarikat ini akan berlindung di sebalik topeng yang lebih mesra-lokal dan mesra-pelanggan....NGO-NGO atau pusat-pusat dan badan-badan pertubuhan 'sedunia'. Nak jadi sedunia atau 'world-class' kenalah ikut telunjuk mereka.





Adakalanya mereka dipanggil 'pakar' dan 'perunding' yang kerja dan nasihatnya (tentang segala aspek, termasuk seni dan budaya) mestilah dituruti. Mereka yang bagi piawaian. Sampai bila kita nak ikut piawaian mereka?
Mungkin agaknya sudah tiba masanya kita menghantar Columbus yang bersarang dan berkampung dalam minda dan rasa kita pulang. Perubahan mestilah bermula dari dalam diri kita sendiri, sebelum sibuk nak berdrama di luar.

Tiba masanya kita dibangunkan dari mimpi benda yang diwarisi dari puSAKA kolotnial. Mari kita berdoa, mohon petunjuk banyak-banyak, buka gelombang baru dan susul dengan amali yang istiqamah.  





 

No comments:

Post a Comment

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...