Saya sedang baca buku "Decolonising The University - The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigm", terbitan Penerbit USM, hasil inisiatif Citizen International. Izinkan saya tempiaskan sedikit dalam blog ini.
Secara peribadi, saya cuba sedaya upaya untuk tidak terperangkap dalam kedua-dua anutan 'Orientalism' dan pasangan binarinya, 'Occidentalism'. Kita sama-sama mohon petunjuk.
Saka kolonial dan wacana pasca kolonial, dah lama saya depani sejak menuntut di USA dulu. Malah tempiasnya ada banyak dalam pendekatan berkarya saya, termasuklah video saya "Post-Colon..." dan karya "Mirror, mirror on the Wall, free me from the poison of your gaze" dan beberapa lagi seperti yang di bawah. Saka ini lebih mesra saya istilahkan sebagai kolotnial.
Magic Mirror on the Wall, Free Me From The Poison of Your Gaze 1994 Wood frame, acrylic and mixed media on fabric and glass Approx 100cm x 220cm Private Collection |
The Smilling Van Gogh and Gauguin 1996 242cm x 450cm Mixed media painting with 2 channels video (Collection of the National Visual Art Gallery) |
"Entrapment" metal dagger (keris) & bamboo fish trap, 2011. Exhibited in UNCAGED, Wei Ling Gallery, The Garden, July 2011. Curated by Rachel Jenagaratnam. |
"Wearing History and Independence", 2009 and ongoing. In collaboration with M.Haniff and Shamsul Ikhmar Mansori. |
Amat menarik dan kena pada waktunya saya bertemu dengan buku ini kerana saya kini bermukim di Pulau Pinang, yang lokasi asal Tanjong Penaganya diberi nama George Town. Saka kolotnial masih kuat di George Town, susah nak ditanggal. Tapi bukan George Town saja ada saka, merata dunia yang pernah dijajah ada saka ini. Baka tiruannya pun berlambak dan bersepah. Pengikut totok, penganut buta, pengamal sesat serta pemantau sasau pun masih ada. Ada segelintir (mujur segelintir) yang lagaknya mengalahkan polis. Semua ni cermin untuk permainan bayang fikir dan rasa. Ada masanya saya rasa kena sampuk juga.
Saka kolotnial boleh menjadi anutan yang diraikan. Dakyahnya kuat dan ada sokongan serta dokongan antarabangsa. Ia mungkin sudah menjadi makhluk yang diberi perlindungan atas nama 'sejarah dan warisan sedunia'. Sejarah dan warisan ini diiktiraf oleh UNESCO.
Ini sangat ironik, jika mengambil kira kesedaran pasca-kolonial yang semakin tebal dalam konteks sains sosial, kajian budaya dan teori kritikal. Dalam ketika peninggalan 'divide and rule' British itu hendak dikikis, pemetaan sejarah dan warisan George Town kini hendak dipulihara dan pelihara pula. Boleh keliru dibuatnya.
Amat menarik juga kerana pada saya, semua sejarah dan warisan ada naratifnya,ada lagendanya, ada cerekanya, ada hikayatnya, ada mitosnya, ada agendanya, ada heronya, ada 'antagonis' atau orang jahatnya, ada penaungnya. Saya tertanya-tanya juga, bagaimana pula saya akan dibingkai dalam kerangka dan wacana 'sejarah dan warisan sedunia' ini? Mungkin watak 'antagonis' kot. Ok juga, sebab boleh la prasan seangkatan dengan Maharaja Lela, Tok Janggut, Rosli Dhobi dan yang sewaktu dengan mereka.
Begitupun, adakah 'sejarah dan warisan sedunia' yang diiktiraf oleh UNESCO ini satu-satunya versi sejarah dan warisan yang wajib dikhutbah dan dijadikan anutan 'sedunia'?
Ada juga beberapa versi lain yang pernah dikhutbahkan kepada saya. Malangnya versi-versi yang ini jarang dijadikan wacana popular, terutama dalam bahan-bahan serta risalah yang sering disebar kepada khalayak umum (juga pelancong luar). Saya pernah dikuliahkan tentang naratif 'yang lain' oleh beberapa adiguru yang saya kenal seperti Prof. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Ahmad Merican, Prof. Taib, Prof. Suhaimi, Prof. Mahani dan beberapa individu yang lain. Oleh kerana saya bukan pakar sejarah dan warisan, saya tak berani nak memandai-mandai.
Mimpi ngeri kolotnial mungkin kini menjadi bahan tontonan yang ada agenda pragmatis (ideologi politik 'Eurocentric'campur nilai pasaran masa kini). Sesekali saya terhidu bau bangkai kolotnial yang cuba diawet agar ia menjadi jasad kekal untuk tontonan para pelancong serta pelanggan seni dan budaya 'sedunia'. Ada ramai pengawet. Ia dimuliakan menerusi permainan wacana 'sejarah dan warisan sedunia'. Wacana sejarah dan warisan untuk George Town (yang diiktiraf UNESCO) dianggap 'sedunia'. Maknanya, takrifan sejarah dan warisan UNESCO kini sudah menjadi 'naratif induk' atau 'naratif meta' yang wajib diguna untuk membingkai 'naratif kecil' yang lain. Ia mungkin boleh menjadi hikayat agung yang dijaga dan ditatang.
Sejarah sedunia, warisan sedunia, sains dan teknologi sedunia, ekonomi sedunia, pendidikan sedunia, seni rupa sedunia, budaya sedunia, hiburan sedunia, sukan dan permainan sedunia......siapa yang menentukan piawaiannya? Siapa yang mengiktirafnya? Siapa yang menguasai wacananya? Siapa yang memberi dan menguasai maknanya? Siapa yang memastikan agar sesuatu 'makna' itu dipakai selamanya? Takkan semuanya mesti berpusatkan Eropah dan Amerika Syarikat je kot? Jika ada 'badan antarabangsa', siapa pula yang menguasai wacana dalamannya? Tengok sajalah PBB.
Apa hubungan 'sejarah dan warisan sedunia' yang diiktiraf badan pengiktirafan ini dengan naratif sejarah serta warisan Tok Taha serta Tok Timah yang diruhaikan pada saya oleh Bonda dan Ayahanda secara lisan?
Ninda saya, Opah Rabeah yang ayu ketika 1930an, di Balik Pulau, Pulau Pinang. |
Atau mungkinkah kisah Tok Timah sudah tidak lagi dianggap sebagai fakta benar kerana kurangnya bukti-bukti empirikal (saintifik)? Ye lah kan, cerita Tok Taha dan Tok Timah tak ada dalam catatan penjelajah Inggeris, mahupun dilukis oleh William Daniel. Mungkin juga cerita Tok Timah saya dituduh sebagai palsu, tahyul, kepercayaan karut dan jahil oleh penganut epistimologi ilmu berdasarkan 'benda' je. Siapakah pula agaknya yang bakal memastikan agar naratif Tok Taha dan Tok Timah tidak pupus ditelan google-likasi dan globali-sasau, mahupun naratif induk oleh badan-badan antarabangsa seperti UNESCO? Ya lah kan, naratif Tok Taha dan Tok Timah saya tak diiktiraf oleh UNESCO, mana ada NGO-NGO minat nak jaga dan kekalkan.
Cuba kita kenang sikit pesan Lord Macaulay. Nama pun 'lord'. Kenalah dengar cakap 'lord' ni. Pesan dia masih bergema di merata dunia, termasuk di George Town. Pada zaman kolonial di India, dia sibuk mendakyahkan sistem pendidikan baru untuk negara bawah jajahan Inggeris itu. Ini pesan dia :
"bahawa semua maklumat sejarah yang telah dikumpul dari semua buku yang ditulis dalam bahasa Sanskrit adalah kurang bernilai dari apa yang boleh dijumpai dalam kebanyakan bahan yang digunakan dalam sekolah-sekolah persediaan di England."
Wawasan lord ini adalah untuk membina satu kelas bangsa India (juga Melayu, Cina, Afrika dan lain-lain yang dijajah atau sekentut dengannya) yang memiliki selera, pandangan, moral dan intelek Inggeris. Ini asssabiah tahap tinggi, yang sakanya masih hidup lagi. Dari Portugis, ke Belanda, ke Inggeris, ke Jepun, ke Inggeris kembali, saka ini masih bernyawa. Saka kolotnial masih hidup segar sampai sekarang. Kadang-kadang, bila bertandang ke galeri, atau bersembang dengan rakan-rakan tentang seni moden, terhidu bau saka ni dalam diri sendiri.
Getar, frekuensi dan gelombangnya dapat saya cerap di sekeliling saya, selain ianya bersarang dalam diri. Saya cuba 'neutral'kan dengan zikir dan selawat, serta beberapa amalan lain yang telah diwariskan kepada saya. Sekali-sekala saya keluarkan langkah silat bila berdepan dengan suku-sakat baka anutan ini yang cuba mengacah saya (dan isteri). Saya belajar bersilat dalam gelangang seni moden dan kontemporari (versi siapa ya?) dari adiguru saya, Amron Omar.
Getar, frekuensi dan gelombangnya dapat saya cerap di sekeliling saya, selain ianya bersarang dalam diri. Saya cuba 'neutral'kan dengan zikir dan selawat, serta beberapa amalan lain yang telah diwariskan kepada saya. Sekali-sekala saya keluarkan langkah silat bila berdepan dengan suku-sakat baka anutan ini yang cuba mengacah saya (dan isteri). Saya belajar bersilat dalam gelangang seni moden dan kontemporari (versi siapa ya?) dari adiguru saya, Amron Omar.
Tapi tak payah cakap besarlah, sesekali (atau banyak kali) saya juga tersampuk. Badinya kuat. Kena pada semua orang, termasuk saya sendiri. Juga kena pada anak-cucu. Namun, untuk membenci 'orang putih' serta segala sejarah dan warisan ciptaan mereka tidak membawa apa-apa atau ke mana pun. Mengagungkan bangsa sendiri hingga jadi taksub, jumud dan buta hati pun tak afdal juga.
Dalam saya sibuk meredah gelombang ini, tertonjol pula drama hebat Tuah bersilat dengan Jebat untuk berebutkan Hang Li Po, sambil Mendeliar tersenyum sinis. Dang Wangi jadi saksi (ini saya pinjam dari rakan saya, pengarah tersohor U-Wei Shaari, maaf U-Wei). Yang untung dalam drama ini adalah pemilik panggung, yang sama baka dengan Lord Macaulay.
Mungkin itu petanda saya perlu istiqamah untuk kembali kepada fitrah, bersilat dengan 'penjajah yang paling hebat'. Penjajah ini yang sudah lama bersarang dalam minda dan rasa saya, ia tidak kelihatan, tidak berupa dan tidak bermuka, tapi cukup pandai bermuka-muka.
Marilah duhai para pewaris Tuah, Jebat, Hang Li Po dan Mendeliar, kita sama-sama mendepani 'penjajah paling hebat' ini bersama-sama. Cara berdepan dengan 'saka penjajah jiwa' ini ada banyak ditanam, ditinggal, dipesan dan diwariskan dalam warisan tradisi (tidak ketara atau intangible)yang kaya di seluruh Asia. Mari kita korek dan gali. Bukan jauhpun, ia ada dalam jiwa kita semua. Marilah kita kembali pada fitrah manusia, warisan batin seluruh manusia, warisan sejagat.
Hilang jasad takpa, bukan batinnya. Kitalah penjaga batinnya. Kitalah pewarisnya.
Mohon, 2010, mixed media on canvas. |
Untuk lebih afdal hendaknya, silalah bertandang ke :
Tentang nasib sejarah 'yang lain-lain':
Tentang 'sejarah dunia' yang lebih awal dari kedatangan Inggeris:
Tentang wacana 'George Town' di luar kerangka 'sejarah dan warisan dunia UNESCO':
Tentang moyang dan opah saya:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/04/moyang-saya-tok-timah.html
Berapa harga memori ayahanda dan bonda saya?
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/11/berapa-harga-memori-bonda-ayahanda.html
Bersilat dengan wacana seni moden :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/amron-omar-dan-drama-pertarungan-dalam.html
Berapa harga memori ayahanda dan bonda saya?
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/11/berapa-harga-memori-bonda-ayahanda.html
Bersilat dengan wacana seni moden :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/amron-omar-dan-drama-pertarungan-dalam.html
No comments:
Post a Comment