Monday 7 November 2011

'BLUES' DI TELUK INTAN


Menara Condong Teluk Intan simpan banyak khazanah
Sekolah saya zaman brutal telah mengfixed depositkan semangat rock

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Teluk Intan (dulu Teluk Anson). Asalnya dipanggil Teluk Mak Intan, yang ada mitosnya sendiri. Amat menarik kerana nama Mak Intan adalah wanita, bukan lelaki seperti kelaziman sejarah yang berpaksikan sumbangan kaum lelaki. Ia mesra dengan falsafah orang Melayu, meletakkan ibu sebagai merujuk kepada fitrah 'melahir'kan. 

Mitos dan sejarah lisan Teluk Mak Intan kini semakin sunyi. Suara feniminnya (versi Islam dan Melayu) semakin dipadam. Ini sudah bermula bila nama Mak Intan yang feminin (sesuai dengan fitrah 'melahirkan') bertukar pada 'Anson' yang jantan dan mat saleh (orang putih). Biasalah, bila orang putih datang menjajah, dia tukar jadi nama dia. Ada konotasi 'founder' apabila nama ditukarkan. Ini strategi lazim penjajah yang bijak mewarta dan mewarnakan sejarah.  

Bandar Teluk Intan adalah tapak hijrah Bonda dan Ayahanda dari kampung Teluk Kepayang, juga tapak juang Bonda berniaga (sebagai antara wanita Melayu pertama yang memiliki kedai untuk berniaga di bandar Teluk Intan), juga tapak Ayahanda melebarkan ilmunya (menjadi ustaz di Sekolah Rendah Melayu dan kemudian di Sekolah Rendah Horley Methodist, Teluk Intan). 

Saya wartakan di sini perjalanan kembali ke Teluk Intan yang semakin pudar. Saya namakan Teluk Intan 'blues'. 


Bangunan Tenaga Nasional (dulunya Lembaga Letrik Negara atau LLN) dengan gaya pengaruh Bauhaus; Tugu Batu penuh bersejarah di simpang depan Masjid Daerah Teluk Intan-TNB dan Majlis Bandaran. Ini simpang penting yang menjadi laluan wajib sejak saya kecil menumpang motosikal kecil Ayahanda; Bangunan Mahkamah yang kini dibiarkan; bangunan Bank Hong Kong & Shanghai dan Bangunan Pos Malaysia, dua lagi ikon seni bina Teluk Intan yang kini makin 'blues'. Kak Nyah (Jamilah Saidon) pernah berkerja di bangunan bank ni. Jalan sebelahnya adalah permatang untuk pasar malam Teluk Intan, lokasi Bonda berniaga mingguan. Saya pernah jual kad raya masa bulan Ramadhan di pasar malam ini. Jamal Abdillah, pernah melalak di pentas pasar malam ni.


Sebelah kiri sekali tu kedai Tokong (terletak dalam kawasan tokong Cina) tempat membeli-belah pakaian, kasut dll yang murah, terutama sebelum raya.
Masjid Daerah lama (kini dipanggil Masjid Melayu), antara tempat awal saya belajar makna 'solat' sebab sering dibawa Ayahanda. Sejak dari sebelum bersekolah sampai ke sekolah rendah, Ayahanda sering bawa saya ke sini ikut dia solat zohor dan asar di Masjid ni, sebab dekat dengan Sekolah tempat dia mengajar (Horley Methodist, sekolah saya juga!). Kawan-kawan dia pun ramai yang tinggal sekitar kawasan masjid ini. Masjid ni lah tempat solat Jumaat saya setiap minggu selama 6 tahun. Sekurang-kurangnya seminggu sekali, saya ambil wudhu dengan air kolah Masjid ni. Tak jauh dari Masjid, adalah satu lagi ikon Teluk Intan, - Mastan Ghani. Ini kedai mee dan rojak tahap wali (masa tu la) yang sering saya kunjung, bukan je sebab mee dan rojaknya yang sedap yang unik rasanya, tapi kerana layanan kelas dunia. "Ni.......anak ustad ni........tengok apa dia nak. Tunggu jap ye dik." Tak jauh dari Mastan adalah kedai Mee Pak Din, satu lagi gerai makan 'wajib kunjung'.





Menara Condong Teluk Intan. Di belakangnyalah pernah terletak satu lagi ikon penting Teluk Intan, kedai kain Jamaliah Noordin. Selain dari Mastan Ghani, Jamaliah Noordin adalah satu lagi jenama 'wajib kenal' di Teluk Intan. Di kedai inilah Bonda yang meredah segala jenis ujian dan pahit getir berniaga selama lebih dari 20 tahun (rasanya dari 1971/2 hingga 1980an). Setelah diarahkan berpindah ke kawasan yang kurang afdal', Bonda serahkan warisan perniagaan pada sepupu saya, Abang Lin. Tak lama lepas tu, bangunan kedai dirobohkan untuk dijadikan medan lepak, kira Teluk Intan square la gitu. Kini, bila saja lalu atau bergambar di situ, saya pasti ternampak kelibat Bonda di depan pintu kedai kainnya, dibantu Ayahanda untuk terus gigih mencari rezeki halal, menyekolahkan 8 anak, menjadikan mereka manusia berguna (termasuk yang menaip ni), membuktikan bahawa orang Melayu bukan bangsa subsidi yang malas. Menara Condong, membuat hati saya condong, jika tak pun menjadi 'tanda' untuk saya tunduk akur pada kecekalan dan semangat Bonda dan Ayahanda. Sebelah gambar Menara Condong, adalah Sekolah Menengah Horley Methodist, tempat saya belajar kurang ajar. Ia berjiran dengan kawasan kubur Kristian dan 'musuh tegar'nya, Sekolah Menengah St. Anthony. Horley Methodist menyimpan banyak cerita brutal yang lebih elok didramakan secara lisan sambil pekena teh tarik kurang manis. Tak payah di 'blog' nanti go-blok.








Gambar kiri sekali adalah tinggalah bekas istana Raja Muda Perak, alharhum Raja Muda Musa. yang berjiran dengan sekolah saya. Kini, ia persis sebuah rumah tinggal tempat R&R segala jenis hantu, jin, penagih dadah, hantu bonceng, hantu Kak Limah dan yang sejenis dengan mereka. Raja Muda Musa orangnya mesra. Semasa dia hidup, almarhum pernah dia beberapa kali datang ke rumah meraikan perkahwinan abang-abang dan kakak-kakak. Ayahanda pula sering dipanggil untuk acara bacaan Quran, tahlil, dll di istana ini.







Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Horley Methodist, tempat ayahanda mengajar, dan tempat saya dan semua abang-abang mula belajar hingga ke darjah 6.Sekolah ini menyimpan banyak memori, termasuk saya dirotan gurubesar mata merah, David Paul, dan Cikgu Aziz, kerana terlampau nakal. Zaman sekolah rendah (dan menengah) juga menemukan saya dengan lagenda bolasepak negara, Azizol Abu Haniffa.







Gambar tengah adalah bangunan gereja, yang di belakangnya adalah tadika tempat saya mula belajar. Sebelah gereja, adalah Masjid Daerah Teluk Intan. Orang Teluk Intan tak perlu dileterkan dengan khutbah toleransi dalam kehidupan 1Malaysia, sebab memang dah lama 1Malaysia. Malah, masa saya kecil dulu, peniaga Cina dan India di pasar besar (sebelah jam tinggi) pun cakap loghat Perak pekat. Tapi sekarang ni dah lain kot.












Jalan dari Bandar Teluk Intan menuju ke Batak Rabit, menyusuri sebelah Sungai Perak. Jalan ni 'legend' bagi saya. Saya menyusurinya untuk berbasikal ke sekolah, atau untuk ke pekan, walaupun terpaksa berkongsi dengan pengguna jalanraya lain yang brutal, termasuk lori. Sekarang ni bila fikirkan balik, saya sendiri takkan bagi anak saya berbasikal ke Pekan dengan jalan macam ni. Tapi keyakinan Bonda dan Ayahanda pada Perlindungan Allah memang tahap wali.







Sekolah Rendah Horley Methodist, 1974. Darjah 3A
Horley Methodist Primary School, Teluk Intan, 1977. From left, Yayha, Zulkifli (Buyong), Megat Jamal Bahrin, Zamri, Izzudin, Azizol Abu Hanifah, Cikgu Syed. Front row from left, Latif, ?, Padmanathan, yours truly, Mustafa Kamal.

Zaman 'kutu lepak' di Sek. Men. Horley Methodist, 1982. Belakang dari kiri : Yahya, Mustafa Kamal, Nik, Sofwan, Damanhuri, Fauzi. Depan : Noordin, saya.
Benih-benih rock kapak
Horley Methodist Secondary School, Under 15 Soccer Team 1980, Teluk Intan. District Champion. Back row standing from left, Cikgu ?. Cepol (Saiful), yours truly, Bad, Hardev Singh, ?, ?, Yahya, Jaafar Man, Cikgu Umar Rasul. Front from left, Latif, Padmanatahan, Zulkfili (Buyong), Azizol Abu Hanifah (Jijon/Demang/Superstar), Megat Jamal Bahrin, Ipin, ?.
Horley Methodist Secondary School, Under 18 Team 1982, Semi-final District. Azizol front row third from right, holding the ball with yours truly second from right.
Ayahanda berucap semasa perasmian Bangunan MARA. Bangunan ini satu lagi tempat saya membesar. Di tingkat atasnya lah tempat Bonda memulakan perniagaan menjual kain dan menjahit pakaian sebagai wanita Melayu yang awal berniaga. Semasa sebelum sekolah, saya dibawa ke sekolah dan bangunan ini oleh Ayahanda dengan motor kapcai. Saya diletak antara Ayahanda dan Bonda, dengan kaki terjuntai kerana masih kecik. Saya dibesarkan dengan bau tekstil, dan minyak mesin jahit Singer. Balik sekolah, saya berjalan kaki ke kedai Bonda. Bila Ayahanda habis kerja, dia bermotor kapcai ke depan bangunan ini, laung nama saya "Hasnul!" dari jalanraya di bawah, untuk bawa saya balik ke rumah.

Kedai kain dan jahitan Bonda dalam Bangunan MARA, dikunjungi oleh Ghafar Baba semasa Perasmiannya.
Gambar keluarga yang awal diambil di Kedai Gambar depan kedai Mee Rebus Pak Din dan Mastan Ghani. Dah lupa namanya. Ada dua kedai gambar berdekatan. Antaranya ada kedai kopi Cina, tempat Ayahanda selalu bawa saya minum kopi susu sambil pekena kuih pau atau roti bakar baik punya. Legasi kedai gambar ni disambung oleh Wah Kong.
Dikendung Bonda, 1966, di Jalan Mustafa Albakri, yang kini telah dipenuhi dengan rumah kedai. Saya kini menjadi penjejak  yang kehilangan tanda-tanda zahir sejarah dan warisan keluarga serta bandar Teluk Intan.



Berkaitan juga dengan Teluk Intan :

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/09/revisiting-my-football-legend-school.html

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/02/kolot-nial-versi-1.html

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/04/hero-saya-my-hero.html

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/08/heroin-saya.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/05/guru-tongkat-ketika-rebah-air-ketika.html 


Jalan ke Jalan Tembusu, Taman Seri Setia, tempat bertapaknya rumah pusaka yang menjadi tanda penting kepada segala perit jerih Bonda dan Ayahanda memakmurkan sebuah keluarga besar.

3 comments:

  1. Bro Hasnul,
    Want to immerse into deep thinking,sat gi nak pergi keroje...but i like your new word

    "pu(SAKA) kolonial"
    .....something deep to ponder about! :)

    ReplyDelete
  2. Worait doktor. My anak sedara just graduated, bakal doktor. Belum posting lagi.

    ReplyDelete
  3. Kenangan raya masa budak kt umah awam pdg tembak. Keluarga ustaz saidon belikan baju raya...semoga Allah merahmati seluruh keluarga mereka

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...