Monday 4 August 2014

JEJAK-SEMULA H3RO : TAHLIL UNTUK BAPAK

Alhamdulillah, tertunai hasrat Bonda, Ustaz Rahman (bekas anak murid Bapak, kini imam), Pak Ya (Dato' Yahya Zakaria, jiran dan juga bekas anak murid Bapak), dan kawan-kawan Bapak di Masjidunna'im Taman Seri Setia Teluk Intan, buat tahlil untuk arwah Bapak di rumahnya sendiri di Taman Seri Setia, Teluk Intan. Kalau tak, saya terpaksa terus menepis soalan bertubi-tubi di masjid, "tak buat tahlil ke untuk Bapak kat rumah tu?". 

Saya faham, Bapak antara pengasas dan bekas imam masjid tersebut, selain dari banyak program pengajian dan ibadah seperti qiamullail dll. Rakan seqariah dan bekas anak-anak muridnya bersepah, semuanya meluahkan rasa sedih kerana jenazah Bapak tidak dibawa pulang ke Teluk Intan untuk dikebumikan. Gitupun, mereka faham itu semua sudah tertulis, kubur Bapak di Kuala Lumpur, bukan Teluk Intan. Ramai juga yang bertanya (dan bagi pendapat) tentang rumah yang diterpaksa ditinggalkan. Oleh itu, pertanyaan mereka tentang majlis tahlil di rumah itu saya layan dengan baik. 

Syukur juga kerana dapat tunaikan 'arahan' (lebih kepada leteran) Bonda untuk uruskan majlis tahlil (walaupun saya asalnya nak postpone sebab adik-beradik semua perlu ke Kedah untuk majlis pertunangan anak sedara). Kalau tak, pasti saya terus dikhutbahkan sampai keras telinga dibuatnya. Bonda, kalau tengah berleter atau berkhutbah, lebih afdal dengor je. Yang penting, hajat Bonda tertunai dan dia gembira. 

Saya panjangkan juga kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana semuanya berjalan dengan baik.

Terima kasih tak terhingga pada Ustaz Rahman (yang tolong lead tahlil dan jemput orang masjid), Kak Wan Halimah (yang memaklum pada kawan-kawan Bonda), Abang Lin (yang tolong carikan kain pelikat buat sedekah), Kheirol (yang jadi pengurus-terjun) dan kawan-kawan dia (yang memasak dengan sepenuh jiwa), Pak Ya, dan semua yang sudi datang. Isteri saya Rozana, seperti biasa, menjadi pengurus peribadi, pengurus kewangan, pengurus lokasi (bersih dan kemas rumah serta laman), serta chef kehormat.  

"Berseri kembali rumah ni" kata Ustaz Rahman.
Kheirol (anak saudara), Abang Lin (sepupu), Rozana (isteri) dan anak-anak sibuk sediakan juadah.
"Rasa macam baru semalam kita sama-sama berbasikal ke sekolah!". Safwan (Mok), jiran dan rakan lama yang sama-sama berbasikal ke sekolah Menengah Horley Methodist Teluk Intan setiap pagi, juga penyokong tegar pasukan bolasepak sekolah.  Kini bergelar seorang guru, tapi dipinjamkan ke pejabat Pelajaran Daerah. 
Pakai jubah dan kain serban Bapak, termasuk minyak atar dia. Kopiah dia tak muat kepala saya yang besar!
Pak Ya, bekas ahli parlimen Bagan Datoh, jiran dan bekas anak murid Bapak di Sekolah Melayu Teluk Intan, tempat Bapak mula mengajar di Teluk Intan, selepas berpindah dari Pasir Salak. Banyak juga yang dia ceritakan tentang hubungan dia dengan Bapak. Selepas satu solat isya' di masjid, dia panggil saya untuk berkongsi cerita dan rasa kasihnya pada Bapak. Mungkin dia rasa saya tidak begitu mengenali atau menghargai segala jasa, sumbangan dan peninggalan Bapak di Teluk Intan.  "Janganlah biarkan rumah ni kosong. Baliklah ke sini. Jaga rumah ni, jaga mak. Walaupun Bapak dah takda, jangan putus hubungan. Dia macam Bapak saya sendiri. Saya ni macam anak dia juga. Kalau nak tukar ke UiTM Sri Iskandar, saya boleh jumpa Najib atau Muhyiddin, bagi tahu saja."  Anak Pak Ya, Shahrul, juga rakan saya, kini dah jadi Datuk dan Exco negeri Perak.
Terima kasih Ustaz Rahman.  Ustaz mengeluh, "Sedih saya tengok jenazah guru saya, macam orang terbuang di Masjid Damansara. Kalau di Masjidunna'im Teluk Intan, ramai yang akan datang ziarah dia. Dia orang mulia."  Dah tertulis dan dah rezeki Bapak, ustaz. Kita redha sama-sama.

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...