Semoga kamu tenang ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.
Ramadhan dan Hari Raya mengembalikan aku pada arwah ayahanda, juga semua guru, datuk-nenek-moyang, saudara-mara dan rakan kenalan yang telah pergi selamanya.
Pak Mail,
Aku teringatkan kamu.
Juga Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Ibrahim Hussein, yang semuanya sempat aku terima tempias dan bekal cahaya. Yang amat terkesan tentulah arwah Ismail Zain, seorang lagi 'Pak Mail' yang pernah singgah dalam hidup aku.
Juga Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Ibrahim Hussein, yang semuanya sempat aku terima tempias dan bekal cahaya. Yang amat terkesan tentulah arwah Ismail Zain, seorang lagi 'Pak Mail' yang pernah singgah dalam hidup aku.
Pak Mail,
Dalam landskap seni rupa Malaysia yang cukup suka aku layan, kamu aku lihat seperti berlian, tak mudah dijumpa. Jika dihumban dalam longgokan kaca yang berkilau, perlu berusaha untuk mencarinya. Tapi Pak Mail, ada juga orang yang jumpa kaca, dikatakan berlian; jumpa berlian depan mata, dikata kaca. Ntahla.
Pak Mail,
Kamu sering tersembunyi di balik kilauan kaca yang sering dilonggokkan dalam landskap seni rupa di Malaysia. Tapi berlian tetap berlian, tak kiralah macam mana banyak pun kaca dilonggok atau menimbusnya. Ia tetap membiaskan cahaya.
Pak Mail,
Seperti juga guru aku Ismail Zain, cahaya kreatif kamu terpancar menerusi pelbagai wahana (persis cahaya berlian yang mencapah indah dari pelbagai satahnya). Kamu pelopor pendekatan rentas-disiplin serta multi-dimensi yang suka sangat aku laungkan sana sini.
Pak Mail,
Kamu dan karya-karya kamu meninggalkan aku dengan satu amanat yang aku pegang sampai bila-bila:
Bahawa makna dan keindahan hidup hadir dari refleksi terhadap segala perkara seharian yang lumrah, biasa, ringkas, bersahaja, tidak dibuat-buat yang ada di sekeliling kita. Bahawa segala nilai (seni/estetik, kerohanian, sosial, budaya, ekonomi, dll) terkandung dalam setiap pengalaman biasa yang kita tempuhi setiap hari.
Pak Mail,
Peninggalan kamu juga mengingatkan aku bahawa makna dan keindahan hidup jarang (atau susah) hadir dalam bentuk yang sudah terlalu tepu dijadikan acara (events), dipentas-pentas (staged), dilakon-lakon atau digaya-gayakan (acted, posed), dibuat-buat, dicongak-congak (schemed), diperaga, diatur-atur, disunting-sunting, diadun-adun (make-up), dikarutkan dengan bidaah kata serta ayat-ayat lazim yang menjauhkan manusia dari fitrahnya.
Pak Mail
Kamu dan karya-karya kamu juga mengingatkan aku untuk:
Menghargai segala pengalaman yang dibentangkan, walaupun pada watak-watak manusia, kelakuan/perbuatan, peristiwa, tempat, objek yang biasa, yang lumrah, yang bersahaja, yang kelihatan tidak istimewa.
Pak Mail,
Mungkin biasan cahaya peninggalan kamu semakin terhijab oleh keriuhan acara yang boleh meniruskan segala yang bermakna. Kini, segala yang boleh dilabelkan sebagai 'seni' boleh ditunggang atau diperhambakan sebagai alat atau wahana propaganda, pemasaran, promosi, hebahan dan pemujukan pasaran untuk segala yang hanya menghijab manusia.
Pak Mail,
Mungkin juga, biasan cahaya kamu semakin ditutup kemeriahan pesta-pestaan serta longgokan kaca yang boleh menyakitkan mata. Semakin sukar untuk mencari cahaya kamu dalam kebisingan dan kilauan kaca mahupun berlian palsu.
Namun Pak Mail,
Tak mengapa, walaupun jasad kamu dah takda, biasan cahaya kamu akan terus memancar.
Di celah keriuhan acara sepanjang Ogos di Tanjong Penaga (nama asal George Town), aku terjumpanya. Cahayanya memerdekakan aku, sesuai dengan bulan Kemerdekaan kita. Syukur, cahaya peninggalan kamu kini dipancarkan oleh para pewaris kamu, yang menghargai kamu, yang menghormati kamu, dan yang sayang pada kamu.
Di celah keriuhan acara sepanjang Ogos di Tanjong Penaga (nama asal George Town), aku terjumpanya. Cahayanya memerdekakan aku, sesuai dengan bulan Kemerdekaan kita. Syukur, cahaya peninggalan kamu kini dipancarkan oleh para pewaris kamu, yang menghargai kamu, yang menghormati kamu, dan yang sayang pada kamu.
Aku harap dan berdoa, lebih ramai lagi akan menjumpainya di celah bandaraya bersejarah George Town yang bingit dengan pesta-pestanya.
Pak Mail,
Aku takda apa yang nak diberikan sebagai tanda penghargaan dan kasih kepada kamu. Aku tidak handal mengarang sebuah eulogy yang hebat, mahupun sebarang naskah homage yang berkat. Yang mampu aku berikan sebagai tanda penghargaan dan kasih pada kamu hanyalah.......
AL-FATIHAH.
No comments:
Post a Comment