Tuesday, 19 August 2014

AL-KESAH (ISMAIL ZAIN), KOLUM ROMAN (ISMAIL HASHIM)

Bersama dengan "Al-Kesah" dan dua lagi karya kolaj digital Ismail Zain, dalam pameran "Future Shock" di Balai Seni Lukis Pulau Pinang.

Tinggalan yang lebih bermakna dari seseorang (terutama sekali guru) adalah tinggalah warisan batin, termasuk ilmu yang bermanfaat untuk yang masih hidup. 

Alkisahnya, saya terserempak lagi dengan "Al-Kesah"(1988), karya kolaj digital guru saya, Allahyarham Ismail Zain. Karya ini adalah tinggalan Ismail Zain yang menjadi antara tanda utama pendewasaan minda saya. 

"Al-Kesah" muncul di sebuah majlis apresiasi di suatu ruang galeri dalam bangunan puSAKA konolial di Tanjong Penaga (George Town), Pulau Pinang. Apresiasinya oleh seorang pengkarya seni kontemporari yang terkenal, Yee I-Lan.  Ia bersempena dengan pameran tribut Ismail Hashim berjudul Unpack-Repack, dikuratorkan oleh kenalan saya Wong Hoy Cheong, berdasarkan kerja dokumentasi yang intensif dan teliti oleh Nur Hanim Khairuddin. Ia pameran yang patut disinggahi oleh lebih ramai pengunjung. 

I-Lan mengaitkan "Al-Kesah" dengan dua buah karya foto Ismail Hashim "Lets Go Roman Column, Lets Go Banana" (2004).   

"Al-Kesah" memaparkan kolaj digital sebuah rumah tradisional Melayu Melaka yang menjadi latar untuk kolaj foto keluarga fiksyen JR Ewing (dalam sebuah siri soap opera TV popular sekitar 80an dulu). Karya foto Ismail Hashim memaparkan fenomena rumah-rumah Melayu orang kampung di utara yang di'moden'kan dengan tiang-tiang Roman (Roman Column). 

Kedua-dua Pak Mai ni menyentuh tentang 'pemodenan' landskap kampung - dalam konteks globalisasi (atau globa-lu-kasi, globalisasau, juga gooblelibasi), terutama kesan merata dari media massa dan seni bina antarabangsa. Ketika apresiasi, disentuh juga istilah "Going Banana", "Batang Pisang" (Ismail Hashim), dan "Mee Maggie" (Ismail Zain) yang membawa konotasi murah, cepat, pantas, mudah, berguna, berlambak ada di mana-mana. 

Kaitan sebegini mengizinkan pembacaan semitotik bersifat inter-textual, yang saya suka layan. Kaitan sebegini juga pernah dikuliahkan kepada saya oleh Arwah Ismail Zain, ketika berguru dengan beliau di ITM dulu. Ia juga merupakan antara strategi pengkaryaan yang gemar dipakai oleh I-Lan sendiri, dalam banyak karya-karya beliau, begitu juga dengan Hoy Cheong.  

Ismail Hashim tentunya telah meninggalkan impak yang besar pada ramai insan, terutama dalam dunia seni foto. Pewaris tinggalan warisan 'intangible' Ismail Hashim (sikap, ambilan, falsafah, cara melihat) memang ramai, terutama yang pernah belajar dengan dia di USM.   Agak terkilan juga kerana tidak ramai kenalan rapat dan bekas-bekas pelajar beliau hadir ketika sessi apresiasi tempoh hari. Zaman sekarang ni memang diakui susah mengatur majlis yang boleh dihadiri semua. Begitupun, fragmen refleksi beberapa kenalan dan bekas pelajar ada dipetik. Alhamdulillah. 

Saya cadangkan baca juga buku retrospektif Ismail Hashim terbitan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, yang dikuratorkan oleh Safrizal Shahir. Begitu juga dengan satu tinjauan tentang seni foto akhbar dan foto seni halus oleh Zabbas yang pernah saya baca (kalau tak silap, untuk satu pameran tentang seni foto di Petronas). Selain dari tentang Ismail Hashim, boleh timba khazanah ilmu tentang seni foto itu sendiri dari segala sumber primer dan sekunder ni. Boleh mencerahkan. 

Kedua-dua 'Pak Mail' ni, legen (pada saya la), yang memiliki sifat multi-dimensi serta kearifan bersahaja serta kenakalan fikir yang sering buat minda saya segar. Keduanya pun memang kawan yang menghormati satu sama lain. Semasa saya bertandang beberapa kali ke rumah Ismail Zain di Ampang dulu, karya foto Ismail Hashim diletakkan di ruang utama, bersama dengan sebuah kerusi kedai potong rambut old school.

Saya kongsi sikit sisi saya tentang karya "Al-Kesah". 

Ia dah jadi macam kawan lama, yang telah meninggalkan sesuatu yang amat berbekas dalam diri saya. Kali pertama, ketika dalam studio lukisan tahun 4 (tahun akhir) di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka ITM. Ketika tu saya (dan rakan-rakan sekelas) dikhutbahkan tentang semiotik oleh Pak Mail (Ismail Zain), yang mengajar kami lukisan. Beliau sempat menunjukkan slide karya-karya kolaj digital, termasuk "Al-Kesah". 

"Sekarang kalau ke kampung, jangan terkejut kalau dengaq depa gossip tentang JR Ewing, Bobby, Pamela. Siapa bunuh JR? Bini dia sendiri kot? Apa jadi dengan Bobby dan Pamela?..... Ahli keluarga Ewing dalam drama Dallas di tv, sekarang ni dah jadi sebahagian dari orang kampung. Cerita mereka pun boleh jadi bahan gosip kedai kopi di kampung." Gitulah lebih kurang diceritakan pada kami oleh Ismail Zain, sambil melakonkan watak makcik-makcik mengumpat. Kami senyum, mungkin sebab masih kurang fasih tentang globalisasi, atau instant communication dan segala teori informasi. 

Kali kedua, ketika di rumah Ismail Zain sendiri, yang berkhutbah tentang cultural anthropology sambil menunjuk-nunjuk komputer Apple dia (kini dah pupus). Dia sebut nama-nama orang yang saya tak kenal  - Strauss, Berger, Sontag, MacLuhan, dll. Saya angguk-angguk je, pura-pura paham.

Kali ketiga, sewaktu buat Masters di USA, saya buat satu tugasan tentang Ismail Zain. Saya rujuk semula "Al-Kesah", sebab rasa dah pandai sikit setelah berkenalan dengan nama-nama yang disebut ISmal Zain sebelum ini, menerusi buku-buku mereka, terutama yang berkait dengan semiotik. 

Keempat, selepas pulang dari USA. Bersama dengan Niranjan Rajah, kami mengumpul-semula karya-karya kolaj digital Ismail Zain untuk dipamer dalam satu bilik khas, sebagai tribut kepada beliau selaku pelopor seni elektronik di Malaysia, dalam pameran Seni Elektronik Pertama (1997). 

Kali kelima, ketika memujuk Puan Wairah untuk menjual karya "Al-Kesah", bersama dua lagi karya kolaj digital yang lain, untuk dijadikan sebahagian dari Koleksi Seni Halus USM. Wairah jual dua, hadiahkan satu. Syukur, kini "Al-Kesah" ada dalam Koleksi Seni Halus USM. Jika rindu, saya boleh singgah je ke sana.

(Tautan ke Koleksi USM http://issuu.com/mgtfusc )

Kini, setelah semakin meningkat usia (tak mau mengaku tua!), saya semakin menghargai peninggalan kedua-dua Ismail ini. Seperti juga peninggalan arwah ayahanda Saidon, yang ditinggalkan bukanlah hanya sekadar 'benda' berjasad yang boleh kita kumpul, dokumen, simpan. Yang berjasad adalah tanda, tingkap, pintu, denai atau laluan untuk kita merenung lebih jauh hingga menembus hijab minda dan rasa kita sendiri. 

"Al-Kesah" menjadi tanda reflektif, yang mengisahkan perjalanan minda dan rasa saya sendiri, yang membuka lapisan demi lapisan fikir serta rasa, memanjat beberapa tingkatan renungan yang membolehkan saya menjadi 'saksi' terhadap perbuatan minda saya sendiri. Begitu jugalah dengan beberapa karya Ismail Hashim.  

Oleh itu, tinggalan mereka yang lebih molek dan afdal dilestarikan adalah tinggalan warisan 'tak ketara' (intangible), terutama sekali nilai ilmu yang amat kaya, yang boleh kita jadikan denai untuk membuat refleksi terhadap dunia, masyarakat sekeliling, dan yang paling utama, diri kita sendiri. Tentu sekali kita mahu mengingati seniman yang telah meninggal dunia. Namun, tinggalan yang terbaik dari seorang yang telah meninggal dunia, adalah warisan ilmu serta nilai-nilai batin yang boleh dimanfaatkan oleh mereka yang masih hidup.   

Kepada rakan-rakan beragama Islam, jika singgah ke pameran tribut ini, jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah buat kedua-dua legen ini, orait.



 

1 comment:

WE ARE REFLECTIONS OF EACH OTHER.

  "Sir, whats your p.o.v of sickness & healing?" "Sickness, based on my personal experience, is rooted in the act of defy...