Tuesday 29 July 2014

JEJAK-SEMULA H3RO : BERAYA DI TAMAN BONDA (RE-TRACING H3RO : CELEBRATING EID IN BONDA'S GARDEN)



Cenderahati Johan Pertandingan Landskap (Laman Cantik) Hilir Perak.

Sebagai warisan batin, Taman Bonda sudah saya ulas dalam blog yang lepas.  

Tapi bagi mereka yang terhad pandangan batinnya, mungkin Taman Bonda ni tak dianggap istimewa, walaupun pada saya ia adalah lagenda. Mungkin boleh guna sukatan KPI zahir pula.  


Di Taman Bonda, 2014, foto oleh Delly Adeela.
Taman Bonda juga pernah ditabalkan sebagai sebagai Johan Pertandingan Landskap (Laman Cantik) Peringkat Hilir Perak 2002. Pada saya la, ini satu pencapaian hebat kerana Bonda tak pun berpeluang belajar tinggi-tinggi dalam bidang pertanian atau rekabentuk landskap di universiti, tak seperti beberapa orang anaknya (termasuk yang menulis ni) dan cucu-cucunya yang bertuah dapat belajar tinggi-tinggi sampai ada yang dah ada Phd. Dia juga tak berpeluang nak 'google' sebarang maklumat tentang berkebun kerana teknologi atas talian belum ada lagi, tak seperti sekarang ni, nak buat bom pun boleh belajar dari internet.

Bonda ialah insan berkepintaran-pelbagai, yang kini sudah lumrah dibahas dalam bidang dan teori pendidikan (pembelajaran konstruksif), kajian minda, neuro-science dan otak serta ilmu psikologi.

Selain dari pintar berniaga (kepintaran matematik) dan 'genius' dalam bidang gubahan bunga, gubahan hantaran, rekabentuk pakaian (wanita) serta jahitan, rekabentuk pelamin (kepintaran keruangan), kepintaran spiritual, kepintaran 'intra-personal' (intuisi yang tinggi) dan inter-personal (bijak berkomunikasi dan mahir memberi khidmat perundingan untuk jiwa-jiwa kacau), kepintaran Bonda dalam bidang biologi tumbuhan juga hebat. Kepintaran pelbagai beliau ini sukar untuk dikesan pada anak-anak (termasuk yang menulis ni),cucu-cucu dan cicit-cicit. Pada saya, jikapun kepintaran beliau itu tidak mampu dipusakai, biarlah ia dihormati. Janganlah ia diperlekeh, apatah lagi bila Bonda sudah semakin dimakan usia. 


Wajah terbaru Bonda 2014. Foto oleh Delly Adeela.
Begitu pun, Bonda bercucuk-tanam bukanlah untuk ganjaran atau habuan benda, mahupun makanan takbur. Habuan benda dan makanan riak hanya akan membutakan hati dan mengeraskan jiwa. Mohon dijauhkan.

Saya dibesar dan dibasuh oleh zikir, tasbih dan tahmid Bonda dalam taman ini. Ia telah menanamkan bekalan batin atau dalam bahasa canggihnya, membina medan kuantum saya. Ia masih hidup subur dalam diri ini, walau macam mana brutal pun zahir saya. Pokok, bunga, batu-batu dan burung-burung yang singgah, termasuk segala jenis makhluk yang menumpang ekosistem taman ini, semuanya bertasbih, gitulah yang selalu dipesan oleh Bonda. Pesan ini selalu bergetar dalam minda dan rasa saya setiap kali melihat taman-taman atau persekitaran semulajadi yang pernah saya singgahi, baik di dalam atau di luar negara. Malah, saya menggunakan tamsilan taman untuk ruang tempat kerja (semasa jadi Pekebun di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah MGTF, USM), dan juga untuk persekitaran sesebuah keluarga, malah ruang sosial sesebuah masyarakat. Ruang sosial yang sihat adalah ruang yang disuburkan oleh pintu-pintu hati yang dibuka oleh zikir, tasbih dan tahmid. Jika Taman Bonda menjadi tanda, maka ia juga boleh dijadikan pembayang kepada Taman yang perlu kita suburkan di akhirat.  





Oleh itu, walaupun tak selalu, adalah sesuatu yang mesti untuk saya pulang ke taman Bonda. Ia menenang, menceria dan membahagiakan saya. Saya percaya, gitu jugalah yang dialami oleh Bonda. Malah itu jugalah yang dirasai oleh ramai dikalangan kita semua. 

Taman Bonda adalah denai untuk saya kembali kepada fitrah. Inilah juga yang sering saya khutbahkan pada anak-anak, walaupun mungkin mereka dah naik muak dan jemu mendengarnya. Seperti ibu-bapa yang lain, saya juga risau dengan persekitaran tak berpaksi yang melingkari pembesaran mereka.      


Merayakan Eidul Fitri dengan pakaian bersih dan baru di taman Bonda adalah antara kebahagiaan dunia, dan harapnya menjadi denai kebahagiaan akhirat untuk saya sekeluarga. Ia adalah susulan dari permohonan kemaafan, serta prelud untuk aktiviti ziarah rakan-rakan serta bekas anak-anak murid arwah Ayahanda serta rakan-kenalan Bonda di Teluk Intan. 

Menziarahi rakan-kenalan Ayahanda dan Bonda, merupakan antara wasiat Ayahanda kepada saya. Dia pernah berpesan kepada saya, jika dia telah meninggal dunia, ziarah dan panjangkanlah silaturrahim dengan rakan-rakan, bekas anak-anak murid dan anak-anak mereka. Itu sebagai antara bekal untuk taman dia di akhirat.

Saya pegang wasiat dia ini, dan laksanakan tanpa bertangguh.





Mohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada semua sanak-saudara, sahabat dan kenalan, dari saya sekeluarga. Marilah sama-sama kita bina taman-taman firdausi dalam hati kita semua. 

Selamat Hari Raya 



Kepada mereka yang menghantar mms Hari Raya canggih kepada saya di 017 5047743, mohon maaf jika tak dapat balas, kerana telefon bimbit saya yang amat canggih (handphone lama) tak dapat membacanya. Terima kasih tak terhingga atas ingatan dan ucapan. Saya amat menghargainya.

No comments:

Post a Comment

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...