Tuesday 4 October 2011

(h)ONG! (k)ONG! 3.0 : MENCARI BATMAN DI GOTHAM HONG KONG


Christopher Nolan memulakan adegan filem Batman arahannya dengan pemandangan kotaraya Hong Kong pada waktu malam. Salah satu 'aerial shot'nya menunjukkan watak Batman sedang berdiri di puncak salah satu bangunan pencakar langit di kotaraya tersebut. Dulu saya tak tahu kenapa dia pilih Hong Kong. Tapi sekarang, setelah saya sendiri berada di Hong Kong sambil menyedut karbon monoksidnya, baru saya tahu. Hong Kong memang Gotham city.

Tengok saja gambar bangunan di atas, yang terletak betul-betul di luar jendela hotel saya menginap. Bila-bila masa Batman boleh muncul dari atas puncaknya. Sesekali saya dongak ke atas, manalah tahu, ada pancaran lampu 'flood' besar menunjukkan simbol Batman untuk memanggilnya melawan jenayah. 

Batman berdiri di tebing bangunan ini.


Tapi saya ke Hong Kong bukan mencari Batman ni. Saya cari Batman juga, tapi versi alter-egonya.


Versi Batman yang saya cari lebih serupa dengan watak Bruce Wayne yang mewarisi kekayaan keluarga melimpah-ruah. Saya cari dia untuk dipujuk membeli 8 karya saya yang kini sedang dipamerkan dalam sekyen 'Project Discovery' dalam Fine Art Asia, Hong Kong di Hong Kong International Convention Center. Memang saya mengaku, saya perlukan modal besar, terutama untuk mengusahakan projek Tanah Tok Timah di Balik Pulau. Saya cari Bruce Wayne. Doakanlah ya.

Saya dikhabarkan, Hong Kong memiliki sangat ramai jutawan muda (ada yang bawah 30 usianya), tak masuk lagi yang dah tua bangka. Billionaire pun beratus-ribu ramainya. Hong Kong yang serba mahal disampuk kemaruk globalisasau dan ekonomi liberal pasaran kebas (bebas), adalah lombong membuat duit dan magnet golongan kaya-raya tahap melampau.


Macam mana saya boleh tercampak ke Hong Kong? 

Tak terlintas dalam kepala saya sikit pun nak ke Hong Kong. Lagipun saya selalu dengar kos hidup di Hong Kong sangat mahal (nombor enam di dunia belakang Singapura di nombor 5 dan Tokyo nombor satu). Tokyo saya dah singgah dua malam tiga hari semasa menjadi penyelidik tamu di Fukuoka Asian Art Museum pada tahun 2003 dulu. Lepas tu saya pergi lagi untuk lepak tiga malam empat hari. Nasib baik kedua-duanya ditaja orang Jepun, kalau tak, jangan haraplah. 

Betul kata Bonda, kalau nak rezeki, Allah kata jadi, jadilah.....sangat mudah. Gitulah halnya dengan tercampak ke Hong Kong ni.


Saya dimaklumkan oleh Tuan Hj.Ramzi dari Tourism Malaysia (orang kuat 1MCAT atau 1Malaysia Contemporary Art) untuk menghantar 'proposal' pameran solo ke Calvin Hui, kurator yang menyelenggarakan 'Project Discovery' di atas. Setelah melihat karya-karya saya secara atas talian, Calvin tertarik dan mahu menjemput saya untuk turut serta. Segala kos ditanggung oleh Tourism Malaysia, termasuk tiket kapal-terbang pergi-balik, hotel, elaun makan, dan logistik membawa dan memasang karya di sana. Kosnya memang di luar kemampuan saya. Ini rezeki jatuh ke riba yang jarang datang. Kalau duit sendiri, 'sorry'la ya.

Tuan Hj. Ramzi

Sepanjang saya berkarya, tak terfikir dalam kepala saya akan dibantu oleh Tourism Malaysia. Saya ingatkan mestilah 'mereka-mereka' yang berkaitan secara langsung dengan bidang seni rupa, baik individu, galeri, institusi, agensi mahupun yang sekentut dan sebau dengannya. Itulah namanya rezeki.

Bonda saya pesan, rezeki Allah boleh datang dari sumber yang tidak disangka-sangka, kalau kita yakin teguh sepenuh hati pada pertolongan Allah (bukan manusia atau makhluk). Apapun, saya perlu mengucapkan terima kasih pada rakyat Malaysia. Malaysia negara makmur, sama-sama kita menghargainya.

Selepas diterima, Calvin meminta saya menghantar proposal yang lebih lebih terperinci, kerana pameran saya melibatkan pancaran video. Tapi saya hantar lambat, itupun setelah diberi peringatan berkali-kali oleh Calvin. Mungkin waktu tu saya terlalu sibuk dengan 1MCAT : IN-SIGHT PENANG 2011. Hati pun masa tu tak terpanggil sangat ke Hong Kong. Setelah digertak, akhirnya saya siapkan juga. Itupun untuk memenuhi permintaan Tuan Hj. Romzi yang sudah begitu pemurah membuka jalan untuk saya. Takkan nak buat dia kecil hati.

Saya juga diminta oleh Calvin mencadangkan beberapa nama perupa Malaysia yang lain. Saya cadangkan TC Liew dan Haris Abadi. 

Haris Abadi sibuk agaknya, terpaksa tolak rezeki ini dengan baik. Ini kali kedua Haris Abadi tolak rezeki besar. Dulu dia beri alasan sibuk, semasa saya ingin mencadangkan namanya untuk Signature Art Price atau SAP di Singapura. Ini pertandingan mewah, yang menawarkan hadiah mencecah ratusan ribu ringgit. Agaknya Haris ni sentiasa sibuk dan selalu ada rezeki lain yang lebih hebat. Kenalah hormat pilihan orang lain.

Saya pernah juga cadangkan Latiff Padzali (karyawan muda). Tapi dia hilangkan diri pergi bertapa entah mana hingga tak dapat dikesan. Hebat rupanya para perupa Malaysia muda-mudi ni.

Hal pameran di Hong Kong, nantilah saya cerita. 

Banyak yang saya belajar dari Baizuri (bos Tourism Malaysia Hong Kong) dan kakitangannya Mokhtarudin yang tak lokek berkongsi maklumat dan ilmu. Mereka ni persis 'database' atau ensiklopedia bergerak, disamping begitu profesional dan efisien memastikan saya selesa dan gembira di Hong Kong. 'Timing' semua tepat, takda 'margin of error'. Cakap pun berhemat, tak memalukan Malaysia. Kena terima kasih kepada mereka kerana membantu menjenamakan negara agar dipandang mulia dan makmur ekonominya.


Mokhtarudin yang mesra dan tak lokek berkongsi pengalaman serta ilmu.
Khuzairi yang datang bersama saya dari ibupejabat Tourism Malaysia Putrajaya juga banyak cerita hal pengalamannya di'posting' ke Mumbai, India (yang bukan saja besar 'margin of error'nya, malah takda margin terus, 'error' je). Khuzairi ni rupanya gila mengumpul kereta mainan, kira 'eccentric' jugala, kalau tak pun selamba. Wa caya lu brader.

Khuzairi
Liew Kwai Fei
Liew Kwai Fei, seorang lagi perupa yang turut dipilih, juga banyak ilmu walaupun masih muda. Karya-karyanya pun saya suka, minimalis dan telah disuling bahasa tampaknya. Pernah ziarah hingga ke Australia dan India, dan pernah bergelumang dengan pasaran seni ketika bekerja dengan sebuah galeri terkemuka di Kuala Lumpur. Fikiran dia pun tajam, serta boleh menajamkan fikir saya juga.

Ada beberapa perkara boleh dibuat modal fikir. Antaranya termasuklah soal nilai seni/artistik/intelek/budaya/warisan tradisi melawan (atau berkawan) dengan nilai pasaran. Begitu juga dengan hal sampuk globalisasau, googlelisasi, ekonomi liberal pasaran kebas (bebas), kos hidup yang tinggi, kotaraya yang padat, gaya hidup mewah berjenama, lumba tikus, dan kedudukan Islam serta umatnya di celah kotaraya sendat ni.
 
Buat masa ni, kita tengok sajalah landskap Gotham City Hong Kong buat pembuka selera. Manalah tahu, boleh nampak Batman atau Bruce Wayne untuk dipujuk melihat karya saya yang tersadai di Hong Kong International Convention Center. Tolong doakan benih rezeki saya menjadi, boleh dikembangkan lagi menjadi budi untuk dikongsi dengan semua di tanah air sendiri.

Klik https://www.facebook.com/media/set/?set=a.257922844251534.62647.100001014620306&type=3
untuk foto 

3 comments:

  1. maaf tuan. atas dasar karya yang tidak 'statik' dan rigid seperti karya2 modernist, maka sukar untuk saya jadi produktif. ditambah lagi dengan kos2 alatan teknologi (langsung membawa saya kepada sikap putus asa yang kadang-kadang muncul)maka jarang ada karya yang tersedia untuk dipamerankan atau dipertandingkan. tiap kali dipelawa oleh tuan, hati saya berdebar, adrenalin kencang. tapi apakan daya. hehe.

    namun saya juga percaya ini semua alasan saya saja.

    semoga karya2 tuan dipertemukan dengan Bruce Wayne Hong Kong!!

    Haris Abadi

    ReplyDelete
  2. Tahniah. Berpeluang berpameran di Hong Kong. Tabik kepada anak malaysia yang berjaya bekarya di luar malaysia. :). Hujung tahun lalu saya berkesempatan berkunjung ke tanah kelahiran Bruce Lee. Ketika dlm perjalanan menelusuri Avenue of Stars of Hong Kong, terpandang Museum Of Art. Sayang Sekali tidak berkesempatan masuk ke sana dek kerana keterujaan melihat kehebatan bandarayanya yg bersih, bangunan pencakar langit, juga kekangan masa. Jika tidak boleh juga meneliti n menghayati hasil seni n budaya HK. (Bukan Rezeki agaknya..:).

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...