Thursday 4 October 2012

KEBUN REKABENTUK & TEATER - GETARAN JIWA - P.RAMLEE MERENTAS ZAMAN (GARDEN OF DESIGN & THEATER - VIBES OF THE SOUL - P.RAMLEE ACROSS TIME)



Title                
Getaran Jiwa – P.Ramlee Merentas Zaman (Vibes of the Soul – P.Ramlee Across Time)
Year                
2004
Material           
Musical Theater with multiple channel video
Duration          
1 hour
Performance   
  • Auditorium USM Cultural Center, USM, 2004





SENARAI TENAGA PRODUKSI

Penerbit
Universiti Sains Malaysia

Penerbit Bersekutu
Pejabat Pembangunan Seni & Budaya, Pusat Pengajian Seni USM

________________________________________________________________

Artis Jemputan
LIZA HANIM

Orkestra Jemputan
ORKESTRA P.RAMLEE, YAYASAN KESENIAN PULAU PINANG

Penyanyi & Pelakon
MAIZUL EFFENDY BAHARUDDIN
RAMNAH RAMLI
HALIMI MD NOH
AININA JAMAL
NORAZIZAH RUSLI
SAIDI BAHARUM
ROZAIDI HAMI
ROHAIZAL
MOHAMED OTHMAN
R. JEMMY HUSSAIN

Pengarah
HASNUL J SAIDON


Penolong Pengarah
NORHELMI OTHMAN

Konsep & Cerita Asal
HASNUL J SAIDON

Skrip
HASNUL J SAIDON
NORHELMI OTHMAN
RAMNAH RAMLI
ROZANA MOHAMED

Perunding Skrip
Halimi Md. Noh

Penataan Seni & Pereka Produksi
HASNUL J SAIDON

Penasihat Muzik
MALIK ISMAIL

Penyelaras Muzik
SHAMSURI DARUS

Penggubah Muzik
IDRIS MAT ISA

Penasihat Gerak
ZOLKAFLI ISHAK

Pereka & Penyelaras Multimedia
TENGKU AZHARI TENGKU AZIZAN

Penata & Penyelaras Cahaya
YUSRI ABD RAHMAN
ROSLAN CHIN

Pereka & Penyelaras Set
SAPAREL SALEH
 
Pereka & Penyelaras Kostum & Props
TETRIANA AHMED FAUZI

Penyelaras Audio
Art Tune
PTPM USM

________________________________________________________________


Pengurus Produksi
RAMNAH RAMLI

Pengurus Pentas
MOHD YUSUF BAKAR
ZAHARI MOHD NOOR

Pengurus Pemasaran, Promosi & Logistik
NORAZAH ABDUL AZIZ & YUSUF

Pereka Grafik
ABDUL RAHIM ABD AZIZ
MAIZUL EFFENDY BAHARUDDIN

Penyelaras Kewangan
ZURAIDAH AHMAD

Pembantu Logistik
FADZILAH ISMAIL
AFIFAH MURSYIDA AHMAD

Pembantu Pentas
MOHAMED OTHMAN
R. JEMMY HUSSAIN
ANUAR ZAKARIA
  


Yang ‘ada’ itu bergetar.  Yang bergetar itu sedar. Yang sedar itu bergetar (menggengam tangan ibarat penumbuk sambil menumbuk dada mengikut ritma degup jantung).  Getar….jiwa.  (melagukan getaran jiwa sambil tangan terus menumbuk dada). 

Yang dilanda itu adalah hati.  Pada hati, ada cahaya (melihat lilin).  Pancarannya jatuh pada pentas (melihat ke lantai) dan tabir (melihat ke tabir pentas) menjadi bayang.  Kerana ada cahaya, wujud bayang.  Tempat jatuh! dan bermainnya bayang adalah lautan ujian. Tabirnya…….berlapis-lapis.  Mesti diselak, mesti dibuka.  Kerana ada dilihat dalam melihat, ada ditonton (melihat penonton) dalam menonton, ada disaksi dalam menyaksi, ada aku dalam kamu, ada kamu dalam aku, ada ada dalam tiada. 

(Melihat lilin) Yang dicari itu cahaya, bukannya bayang di atas pentas, atau bayang yang jatuh di atas tabir. Bukannya bayang.  Bayang memang gelap dan banyak, tapi cahaya hanya Satu….. Hanya satu (melihat dan menggenggam lilin). ………….

Ada cahaya singgah hati, ada hati yang dilanda getaran, ada getaran kerana sedar(kembali menumbuk dada), ada jiwa kerana sedar, ada sedar yang meng’ada’kan aku, dalam kamu, kamu dalam aku. (geleng-geleng kepala seperti tidak faham dan bingung)

(Melihat ke atas, arah control room) Sudin!....Satar!....Ramlee! (dalam loghat Jawa persis Wak dalam filem Pendekar Bujang Lapuk) hari sudah mau hujan……selak ini tabir, buka ini pentas! Kita mahu main bayang!   
 


 


GETARAN JIWA : P.RAMLEE MERENTAS ZAMAN

Sebuah teater muzikal multimedia


CATATAN PENGARAH PROJEK

Apakah P.Ramlee masih relevan dalam konteks perubahan dunia seni dan hiburan tanah air yang semakin ditekan oleh arus globalisasi dan teknologi?  Apakah warisan kesenimanannya masih boleh dicerap dan dihayati oleh generasi masa kini yang sudah lali dan tepu dengan seni hiburan santai yang disimbah oleh media massa?  Masih mampukah getaran seninya merentasi zaman yang semakin rancak berubah? Adakah cahaya ilhamnya masih boleh diwarisi oleh generasi kini dan mendatang?

Inilah antara persoalan yang menggerakkan Pejabat Pembangunan Seni & Budaya (Dewan Budaya) USM untuk mengusahakan sebuah persembahan unik yang dinamakan “Getaran Jiwa : P.Ramlee Merentas Zaman” (GJ). Persembahan ini beriltizam menghidupkan  getar seni P.Ramlee dalam bentuk semasa yang menggabungkan elemen teater, konsert muzik dan multimedia.

Teras kepada persembahan ini merujuk kepada ‘getaran jiwa’ yang merupakan nadi terpenting dalam warisan karya-karya tinggalan P.Ramlee.  Beliau ibarat sebutir ‘cahaya’yang menyentuh khalayak menerusi kepekaan menggarap getar jiwa masyarakatnya.  Segalanya ditempiaskan dalam bayangan watak, cerita atau kisah, dialog, lagu dan senikata yang dicipta. 

Sekiranya bentuk-bentuk zahir sesebuah masyarakat akan sentiasa berubah, getar jiwanya tetap bergelora dalam arus dan ombak yang sama.  Inilah yang memacu dan menyinari warisan tinggalan P.Ramlee merentas batasan bayangan zaman. Getaran jiwa, nadi, cahaya dan bayang adalah juga unsur-unsur utama yang diserapkan dalam konsep persembahan GJ.  Unsur-unsur ini juga dapat diteliti dalam warisan tradisi wayang kulit.

Persembahan Gj juga menjunjung semangat P. Ramlee merentas sempadan bidang-bidang seni baik seni lakon, seni pentas, seni filem, gubahan lagu,muzik dan nyanyian. Selain dari merentas bidang, semangat merentas generasi – kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua juga diadaptasikan.  Kehebatan P. Ramlee merentas sempadan bidang dan generasi sewajarnya dijadikan model terbaik untuk sebarang inisiatif seni dan budaya kontemporari dikalangan generasi seniman masa kini.  GJ mengembangkan semangat ini kepada usaha merentas perbezaan antara dunia filem, pentas, muzik, nyanyian, rekabentuk, seni halus dan yang terkini – multimedia.

GJ menterjemahkan konsep getar, nadi, cahaya dan bayang dalam bentuk sebuah cerita yang ringan sebagai wahana atau medium penyampaian mesej. Seiring dengan keunikan P.Ramlee menyampaikan mesej-mesej berat dalam bentuk yang bersahaja seperti komedi, GJ cuba menghidupkan keunikan sebegini menerusi garapan dan pembacaannya terhadap situasi masyarakat semasa di Malaysia.  

Situasi ini merujuk kepada kesan dari tekanan meniti kemajuan material yang mendadak, arus globalisasi budaya dan ekonomi pasaran liberal, ledakan teknologi komunikasi, dan keterbukaan hiburan popular yang semakin membingit. 

Situasi masyakarat semasa yang semakin memecah menjadi serpihan fragmen-fragmen kecil digambarkan menerusi sebuah keluarga ahli korporat bumiputera yang ghairah dan tenggelam mengejar habuan kebendaan semata-mata.  Keghairahan yang tidak berpandu ini telah meminggirkan unsur terpenting dalam pembinaan siasah keluarga dan masyarakat yang sejahtera – yakni jiwa yang sihat dan bersinar disimbah oleh rasa kasih dan sayang sesama insan. 

Watak-watak dan jalan cerita keluarga yang dipapar mencerminkan serpihan fragmen manusia yang semakin hanyut dalam pemainan bayang kepuasan material masing-masing. Ibarat lakonan atau kepuraan-puraan yang tidak disedari, bayangan kepuasan fizikal ini perlu dibuka tabirnya agar kita semua dapat melihat dengan cahaya mata hati.  Pembuka tabir ditamsilkan menerusi watak seorang pendita pembawa cahaya dan seorang anak perempuan yang terpaksa bersendiri dalam mencari cahayanya.

Apakah keluarga (atau masyarakat) yang hanyut, gersang dan pecah-retak sebegini dapat diselamatkan?  Apakah katalis yang dapat menyelamatkannya?  Apakah kita perlu menuntut korban yang lebih ramai?  Apakah pengorbanan untuk harga sebuah kemajuan yang mahu kita gapai dan junjung?  Apakah makna kemajuan yang kita pegang? Apakah sebenarnya yang kita kejar dan cari?     

“Getaran Jiwa : P.Ramlee Merentas Zaman” (GJ) diusahakan sebagai sebahagian dari sambutan 35 tahun Universiti Sains Malaysia (USM).  GJ juga merupakan antara aktiviti pengisian siri program “Demi Masa 2004” yang diusahakan oleh Pejabat Pembangunan Seni & Budaya, Pusat Pengajian Seni USM untuk sepanjang tahun ini.   

“Demi Masa” merupakan sebuah usaha terancang memperkasakan seni dan budaya dalam sebuah oasis ilmu bernama Universiti Sains Malaysia.  Ia beriltizam mengimbangi penekanan universiti ini terhadap aspek-aspek pembangunan sains dan teknologi dalam mendepani cabaran semasa dan mendatang.


HASNUL J SAIDON
Pengarah Projek
  





SINOPSIS CERITA



Cerita berkisar sekitar keluarga Nur Lail, seorang kanak-kanak perempuan yang kesunyian mencari cahaya kasih dalam sebuah keluarga mewah yang hanyut dalam kerakusan mengejar habuan hidup masing-masing.  Lantaran dipinggirkan, Nur Lail lebih senang bermain dengan computer laptopnya dan hidup antara dunia realiti dengan dunia siber.  Nur Lail juga sentiasa berbicara sendirian, menjadikan dirinya hidup antara dunia nyata dengan dunia khayalan atau mimpi. 

Ibunya Wan Muslimah Wan Ketut sentiasa dihimpit oleh tekanan menjaga imej diri dan keluarga agar dihormati dan disanjungi oleh masyarakat.  Bercita-cita untuk membantu suaminya mengejar status Dato’, Wan Muslimah berpura-pura bahagia walaupun beliau sentiasa dipinggirkan oleh suaminya yang sibuk mengejar habuan politik, wang dan wanita.  Tekanan ini menjadikan Wan Muslimah terlalu keras terhadap anak-anak yang semakin hanyut dalam dunia masing-masing.  Walaupun sibuk dengan kerja-kerja amal dan kebajikan untuk menjaga imej peribadi, dia hidup dalam kepura-puraan dan gagal dalam menjaga keluarganya.  

Jalan cerita seterusnya meniti rentetan kehidupan Wan Muslimah dengan ahli-ahli keluarganya yang terpecah ibarat serpih-serpih yang hidup dalam dunia bayang masing-masing.

Anak perempuan remajanya Zeti, tenggelam dalam khalayan cinta remaja pra-matang terlarang dengan jejaka bernama Shak yang tidak disukainya.  Anak lelaki sulungnya ‘Mat Rock’ khayal dalam dunia heavy-metal, pil ekstasi, budaya metro berpaksi aliran dollar, selera urban alternatif,  dan kebebasan dunia mat motor yang tidak berkiblat.  Anak perempuan sulungnya Dina seorang career woman pula semakin keras disampuk angin dunia korporat yang gersang jiwa dan sanggup menggadai maruah diri dan bangsa demi mengaut keuntungan.  Anak lelakinya yang remaja  Niko, hanyut dalam bingit dunia hiburan pop dan simbahan citra tv satelit tidak bersempadan hingga tidak lagi boleh berkomunikasi secara normal dengan manusia lain. 

Suaminya Hussein Maidin Putu semakin tewas dalam perjuangan politik dan ekonominya, dibuai mimpi harta, tahta dan wanita sehingga memaksa Wan Muslimah berjinak dengan bomoh (yang penipu) untuk mengubati suaminya. 

Wan Muslimah cuba menyatukan keluarganya yang retak berpecah namun dia sendiri tewas dan hidup dalam kepura-puraan mengejar bayang penghormatan dan sanjungan masyarakat.  Pada masa yang sama, musuh-musuh politik dan perniagaan suaminya sentiasa menanti untuk membalas dendam, menyebabkan dia menjadi semakin terhimpit.

Begitupun, Wan Muslimah tidak menyedari bahawa dia mempunyai sebutir cahaya yang boleh menyelamatkan keluarganya dari hanyut dalam bayang masing-masing.  Apakah dan siapakah yang membawa cahaya tersebut?  Apakah harga yang perlu dibayar oleh keluarga ini untuk membuka tabir kepuraa-puraan dan menerima cahaya menerusi mata hati? Apakah sebenarnya yang mereka kejar dan cari? Apa yang mereka dapat?

 
SYNOPSIS (ENGLISH)

A homage piece to Tan Sri P. Ramlee that combined live music and vocal, theater and video art in an experimental stage performance.  The work was composed in a form of a story about a fractured and broken family of a Malay businessman in Penang.

    


PERINCIAN WATAK UNTUK PELAKON DAN PENYANYI


  1. Nur Lail
Nur Lail atau cahaya malam adalah watak untuk seorang anak perempuan berusia antara 6 hingga 12 tahun.  Nur dilahir dan dikelilingi oleh kegelapan jiwa-jiwa yang dikepung bayang tuntutan kebendaan.  Kegelapan ini dicitrakan dalam bentuk keluarganya sendiri.  Nur ialah anak bongsu sebuah keluarga ahli korporat Melayu yang dihimpit dan ditewaskan oleh cabaran memperkasakan peradaban bangsa yang bersifat material semata-mata.  Seiring dengan namanya, Nur tertarik kepada semangat yang membawa cahaya dari getar jiwa yang luhur.  Lantaran itu, dia boleh melihat dan berkomunikasi dengan PC yang tidak boleh dicerap oleh mata kasar manusia.

Secara zahir, hubungannya dengan PC disinonimkan dengan minatnya kepada mesin PC laptop yang selalu diribanya. Nur melihat mesin ini sebagai pembawa cahaya (maklumat hadir dan disalurkan dalam jaringan fiber optic sebagai signal cahaya). Baginya mesin tersebut adalah cahaya untuknya yang sunyi dalam kegelapan jiwa sebuah keluarga yang gersang.  Nur terawang antara alam nyata dengan alam siber, juga antara dunia fizikal dengan dunia ghaib.    


  1. Encik Hussein Maidin Ali Putu - Tuan Korporat bakal Dato’
Tuan korporat ini merupakan seorang usahawan bumiputera yang boleh dikira berjaya.  Mewarisi peniagaan bapanya dari generasi penghijrah Pulau Mutiara yang pertama.  Bapa kepada Nur Lail.  Suami kepada Puan Wan Muslimah Wan Ketut.  Berusia dalam lingkungan 50an, berkulit gelap dan berbadan agak gembal dengan perut yang ketara buncitnya.

Encik Hussein tewas tenggelam dalam angan-angan korporat dan politik yang sangat tinggi, dipacu pula oleh nafsu besar hingga bertukar dari seorang peniaga kecil yang berbudi luhur kepada seorang yang berjiwa bengis, kasar, rakus dan keras.  Bermula dari hasrat mulia memerdekakan bangsa, Encik Hussein bertukar menjadi hamba korporat dan politik wang yang tidak mengenal halal dan haram, yang hak dengan yang batil.  Jiwanya dihijab dan dirasuk oleh ketaksuban mengejar kemewahan hingga melupai tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.  Encik Hussein juga dibeban hutang, tuntutan gaji pekerjanya yang diperah dikerah tanpa belas kasihan, dendam seteru niaga dan politik yang diainayanya.  Beliau dihanyut oleh arus rasuah, teman-teman wanita dan pujian penyokong-penyokongnya yang tidak ikhlas. 
      

  1. Wan Muslimah Wan Ketut
Anak kepada seorang ulamak dan guru agama dari Pantai Timur.  Berusia dalam lingkungan lewat 30an, berbadan besar namun masih manis menawan rupawan. Sentiasa menjaga penampilan diri apabila berada ditengah masyarakat tetapi sangat berserabai apabila berada dalam rumah sendiri.

Walaupun Puan Muslimah hidup dalam kemewahan yang disediakan oleh Encik Hussein, jiwanya sentiasa tertekan lantaran sikap suaminya yang semakin lupa diri.  Puan Muslimah tersangat taksub dalam menjaga nama baik dan imej keluarganya sehingga menjadi terlalu keras dalam mendidik anak-anak.  Beliau sentiasa mahu menonjolkan imej beragama walaupun pada hakikatnya beliau sendiri tidak ikhlas dalam melaksanakannya. Setiap perkara yang dibuat perlu nampak mulia hanya semata-mata untuk mendapat pujian dan penghormatan dari masyarakat.  Puan Muslimah sibuk melibatkan dirinya dengan kerja-kerja amal untuk meningkatkan imejnya, walaupun pada hakikatnya beliau sendiri gagal mendidik anak-anaknya dengan sempurna.       


  1. Dina (Wardina Afifah Hussein Putu)
Anak perempuan Encik Hussein.  Berkulit hitam manis.  Seorang ahli korporat wanita berusia dalam lingkungan lewat 20an. Mempunyai banyak anak syarikat sendiri, termasuk perniagaan milik bapanya.  Berktrampilan korporat tetapi berjiwa agak keparat.  Sanggup melakukan apa saja demi untuk menjayakan agenda korporatnya. Kesemuanya dilihat dari sudut Ringgit dan Dollar. Bercakap Melayu dalam loghat Inggeris untuk menjaga PR.  Sentiasa lincah dan petah menghujah, terutama bila bercakap dengan ibunya.  Bersifat oportunis dan sentiasa mencari jalan pintas mencapai keuntungan walaupun menggadai maruah dan bangsa sendiri.


  1. Ah Long (boyfriend Dina)
Ah Long ialah anak seorang peniaga Cina yang berjaya dan berkerja keras.  Beliau mewarisi harta dan kemewahan bapanya.  Berusia 30an bergaya ala hero filem Hong Kong.  Merupakan seorang yang lurus dan berjiwa lembut.  Sanggup melakukan apa saja untuk menggembirakan Dina.  Tidak tahu yang Dina hanya menggunakannya untuk kepentingan perniagaan.


  1. Mat Rock (Razak Maidin Hussein Putu)
Anak lelaki Encik Hussein berusia 25 tahun.  Berambut panjang dan berpenampilan rock (seluar jeans ketat, t-shirt dan berjaket kulit). Meminati muzik rock, seorang pemain gitar utama kumpulan rocknya sendiri.  Tidak mempunyai pekerjaan tetap.  Gemar menonggang motosikal berkuasa tinggi.  Tidak gemar duduk di rumah, sentiasa merayau, hidup bebas, selamba. Tidak suka mencari masalah tetapi suka mencuba pelbagai jenis dadah.


  1. Niko (Norman Maidin Hussein Putu)
Anak lelaki Encik Hussein berusia 9 tahun.  Sangat meminati sukan X-treme, seorang skateboarder dan penggemar budaya hip-hop.  Apabila dirumah, sentiasa leka melekat didepan TV menukar-nukar siaran saletit TV untuk mendapatkan hiburan.  Meminati MTV dan Channel V.  Meminati segala jenis gadget elektronik dan computer.


  1. Zeti (Zaiton Hussein Putu)
Anak remaja Hussein Putu dan Muslimah. Berusia awal 20an, berkulit hitam manis.  Memakai tudung tetapi suka bergaya dan berpakaian agak seksi serta ketat.  Berjiwa romantis dan mudah dihanyut oleh perasaan.  Nampak sangat bersopan tetapi sebenarnya untuk mengambil hati ibunya dan menutup sikapnya yang suka berpoya-poya dengan teman lelaki. 


  1. Shak (Shahrul Khairuddin b. Kulup Manaf)
Shak ialah teman lelaki Zeti yang kacak bergaya.  Berkerja sebagai artis Dewan Budaya.  Berjiwa seni, tetapi jarang mendapat peluang untuk menyerlahkan bakatnya.  Mempunyai ramai teman wanita tetapi sentiasa dipandang rendah kerana poketnya yang selalu kosong.


  1. Pretty Boy (Mohd Idris bin Jusoh)
Rakan Mat Rock, jejaka metro yang lembut dan manis bergaya. Berpenampilan kemas, bersih, profesional dan berjenama. Mempunyai kulit yang licin dan jauh lebih bijak dari Mat Rock.  Bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran.  Berkawan dengan Mat Rock kerana meminati gaya lasak Mat Rock. Meminati irama R&B dan cuba berjinak-jinak sebagai penyanyi.  Suka melepak di Gurney Drive sambil menghirup kapucino.  Berhasrat menyertai Malaysian Idol.


  1. Brader Hip-Hop (Awang Hadi bin YB Dato’ Mat Saat)
Seorang lagi rakan Mat Rock.  Anak seorang Dato’.  Tidak bekerja.  Hidup dilimpahi kemewahan.  Meminati budaya hip-hop.  Sentiasa tidak bersetuju dengan segala jenis establishment walaupun hidup disuap oleh hasil dari banyak establishment yang disanggahnya!


  1. Hantu Harta
Roh seorang hamba kepada nafsu harta yang membuat perjanjian dengan seekor jin tanah berlidah panjang (bajang).  Semasa hayatnya suka bermain loteri haram, sesudah mati terus menjadi kuli kepada si bajang.  Kerja menggoda dan menyesat manusia agar terus dihanyut oleh kemewahan harta-benda.


  1. Hantu Takhta
Roh seorang hamba pangkat yang berkawan dengan syaitan untuk mendapat habuan politik.  Semasa hayatnya menabur janji palsu dan menggadai bangsa, sesudah mati dijerat oleh tali syaitan ibarat seekor anjing suruhan. Kerjanya mematuhi suruhan menggoda manusia menjilat pangkat ibarat anjing menjilat duburnya sendiri.


  1. Hantu Wanita
Roh seorang hamba kepada nafsu seksual yang dihanyut gelora syahwat.  Semasa hayat menghambakan diri kepada kehendak jasad, setelah mati menjadi hamba suruhan syaitan syahwat untuk menggoda manusia-manusia yang lemah jiwanya.


  1. Juri Profesional
Juri-juri untuk pertandingan karaoke yang sebenarnya bukanlah professional tetapi berlagak bagai pakar.  Hanya pandai mengutuk atas dasar cemburu dan iri hati, tetapi tidak mahu mengusahakan jalan untuk memperbaiki keadaan


  1. Pak Guard Encik Hussein Putu
Seorang jaga yang hidup tertekan oleh sikap Encik Hussein yang suka membuli dan tidak membayar gaji.  Berdendam dengan Encik Hussein.  Mempunyai rekod jenayah.


  1. Pak Guard Universiti
Seorang pemuda yang dahulunya suka menyertai geng rempit.  Setelah bertaubat, mula berkhidmat sebagai seorang Pak Guard yang selamba





SUSUNAN / RUNNING ORDER

1
Pembawa masa dan penjaga cahaya

2
Membuka tabir

3
Salam P.Ramlee

4
Getaran Jiwa

5
Merentas zaman – Nur Lail

6
Zeti dan Shak bertanya sama hati

7
Ibu Puan Sri ku

8
Zeti dan Jeritan Batinnya

9
Mat Rock dengan geng do-re-mi

10
Malaysian dodol

11
Dina si wanita korporat, Mat Rock dan Ibu Puan Sri mereka
12
Tan Sri dengan Nasibnya

13
Dina dan AhLong

14
Puan Sri dan Tan Sri main Aci-aci bersama mambang

15
Bomoh Siam Misteri Nusa-alpa

16
Bergegas ke Dewan Budaya

17
Live di Dewan Budaya

18
Liza Hanim

19
Panggilan Cemas

20
Semangat Nur Lail dengan Penjaga Cahaya

21
Finale - Lagenda

22
Kredit Tenaga Produksi



2004, concept drawing for "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman", Dewan Budaya, USM, Penang. Written, directed and designed by Hasnul J Saidon with Dewan Budaya and School of the Arts Team USM. Central to the concept is the notion of 'cahaya' or light, in regards to P.Ramlees's artistic spirit.

2004, Ramnah and others performing in "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman".
Stage and set for "Getaran Jiwa" with P. Ramlee Orchestera in front.
A Virago was also brought on stage for the 'mat motor' character'.
2004, bleeding into the audiences' space, converging 'reality' with stage and screen fiction in "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman". The 'one night' show received a full-house response, even with audiences bleeding outside the Dewan Budaya (had to use large screen life video projection), something that I have never experienced before (and after) the show till now. Seen in the pictures are Halimi Mohamed Noh in action as a drunken Dato', also Liza Hanim entertaining the audience.
2004, 'soul'ed out performance by Liza Hanim in "Getaran Jiwa - P.Ramlee Merentas Zaman", final scene, surrounded by candle lights. Live music provided by the P.Ramlee Orchestra Penang. Liza and the musicians were professional bunch, I salute them. Liza's vocal is sublime, best female singer in the country for me, but very under-ratted.
Team for "Getaran Jiwa", mostly from Dewan Budaya USM, a placed I used to work as the 'gardener'.

2 comments:

  1. bila tengok balik posting ni, saya tringat waktu kami tengok beramai2 semasa praktikal di MGTF,Ijot x berhenti gelak sebab motor x boleh start..haha..terpaksa ditolak ke luar pentas.. spontan je plakonnye..

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...