Monday, 27 July 2026

BOLEH KE SUKAT NILAI SENI, BUDAYA DAN WARISAN DGN PEMBARIS LURUS?

 Susul tulisan brader Naser Baharuddin "Adakah subjek seni boleh bantu ranking universiti".

Throwback 27 Jun 2013




Oditorium Balai Seni Lukis Negara, KL. Program "Aliran Semasa". Dr.Wan Zawawi Ibrahim (Allahyarham) menjadi salah seorang penceramah jemputan. Dr.Wan pernah menjadi bos (Dekan) saya semasa di Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS sekitar 1997-2000. Secara tak formal, saya sempat kutip sedikit ilmu sains sosial dari dia, selain melayan dia menyanyi. Selepas UNIMAS, saya tak putus hubungan dgn dia. Dua minggu sebelum meninggal dunia, dia sempat suruh anak lelakinya kirim satu buku tulisan dia pd saya. Al-Fatihah.

Kembali ke 27 Jun 2013 di Oditorium. Sebelum sesi ceramah, Dr. Wan hadiahkan buku yg baru dia sunting. Judulnya "Social Science and Knowledge in a Globalising World" (2012), diterbitkan bersama oleh Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan SIRD. Ada 19 bab, ditulis 23 tokoh sains sosial dan kemanusiaan. Saya baca habis. 

Saya kongsi sedikit apa yg saya belajar dari buku tersebut. Khususnya terkait dgn soalan yg jadi tajuk di atas.

Setelah habis khatam buku itu, jawapan utk soalan di atas bukanlah boleh, bukan tak boleh, tapi tak sesuai. Nilai seni, budaya dan warisan yg subjektif itu tak sesuai disukat dgn pembaris lurus aliran positivisma saintifik yg ditaja oleh epistimologi atau konsep ilmu yg berkiblatkan ukuran lurus je. Apatah lagi jika ia dinilai ikut lojik globalisasi dan ekonomi neo-liberal pasaran bebas yg melibas dan mengebas. Saya punya 'angst' dan sentimen 'cyber punk' menggelarnya globalisasau. 

Buku tersebut asasnya bertanya dan cuba menjawab, apa itu globalisasi? Bagaimana globalisasi mengubah cara kita menghasilkan nilai ilmu? Bolehkah nilai ilmu dari rantau sebelah Asia, Afrika dan Amerika Latin berdiri setara dengan nilai ilmu dari tradisi Eropah? Dan apa hubungan pengetahuan dgn kuasa dan globalisasi? Itu secara ringkas yg dpt saya rumus.

Kandungannya mengulas tentang cabaran epistimologi atau konsep tentang ilmu. Ini yg saya layan penuh minat. Juga perihal masyarakat lokal di Asia & Asia Tenggara & bagaimana ilmu dibentuk di rantau ini. Disentuh tentang Islam, gender dan kenegaraan, yg saya tak begitu berminat sgt.

Jika Syed Hussein Alatas mengkritik minda tertawan (captive mind), Zawawi Ibrahim menghimpun sarjana yang membincangkan bagaimana ilmu perlu difikirkan semula dalam era globalisasi.

Bab paling best pd saya ialah oleh Clive Kessler. Dia ulas mengenai globalisasi sebagai perlanjutan kuasa mendominasi wacana (discourse), bukan sekadar fenomena ekonomi sj. Yg kedua, bab oleh Anthony Reid yang membincangkan kedudukan ilmu dan sejarah Asia Tenggara dalam dunia global. Yg ketiga bab oleh Zawawi Ibrahim sendiri mengenai usaha melokalkan ilmu (indigenising knowledge) dan membuang saka kolonial dlm wacana tentang masyarakat Melayu. 

Esei Clive Kessler tajuknya "Globalisation: Familiar Issues, but a New-fangled Discourse – or, "Déjà Vu All Over Again?" Panjang tajuknya. Sinis pun ada. Mcm perli pun mungkin. Pedas kritiknya. Dia melapik sentimen di sebalik ayat2 ilmiah sains sosial yg pintar. Saya syak dia marah dan kecewa, terutama bila istilah2 dan konsep2 sains sosial yg kompleks dan penting di'anak-haramkan' (istilah dia, 'bastardized') oleh wacana globalisasi. Kessler mengajak pembaca melihat globalisasi dengan lebih kritis. Beliau berhujah bahawa globalisasi bukan perkara baru. Perdagangan antarabangsa, pertukaran budaya, penyebaran ilmu, dan pengaruh kuasa besar—ini semua dah berlaku sejak berabad-abad lalu. Kolonialisma versi terkini. Globalisasi dah jadi wacana dominan sehingga sering diterima mengkhinzir-buta tanpa dipersoal.

Daripada sudut pendidikan tinggi, Kessler menunjukkan bahawa universiti semakin terdedah kepada logik global yang menekankan persaingan, prestasi dan pengiktirafan antarabangsa. Universiti jadi litar lumba utk kejar ranking dunia. Ini termasuklah jumlah penerbitan, sitasi dan kebolehpasaran graduan. Ukuran-ukuran ini taklah salah, tetapi menjadi bermasalah apabila dianggap sebagai kiblat utama universiti. Gitulah yg dibebelkan oleh Kessler. 

Kecenderungan ini, pd Kessler, boleh menyebabkan universiti berisiko mengabaikan tanggungjawab yang lebih mendasar, iaitu menjadi ruang pemikiran kritis, pembinaan budaya ilmu dan penghasilan pengetahuan yang relevan dengan masyarakat setempat. Sibuk sgt nak jadi "bertaraf dunia", universiti mungkin hilang upaya untuk memenuhi keperluan komuniti yang diwakilinya.

Persis seorang bapa, beliau mengingatkan supaya negara seperti Malaysia tidak menerima model universiti global sebagai sesuatu yang universal dan tak boleh dipersoalkan. Apa yang dianggap sebagai kecemerlangan di Barat tak semestinya sesuai dengan sejarah, budaya dan keutamaan masyarakat lain termasuk di Asia. 

Kessler tak tolak globalisasi. Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa globalisasi ialah satu proses yang perlu difahami secara sejarah dan dinilai secara kritis. Universiti tak seharusnya menjadi institusi yang hanya mengejar pengiktirafan global, tetapi perlu mengekalkan peranannya sebagai tempat membina ilmu, memupuk kebebasan berfikir dan menyumbang kepada masyarakat terdekat dan sekeliling.

Pesan Kessler ni melekat kuat dlm pemikiran saya. Selain Kessler, saya juga terkesan dgn esei2 Wan Zawawi & Anthony Read. Pandangan saya terhadap pengaruh globalisasi serta kesan paradigma ekonomi neo-liberal terhadap universiti secara umum merujuk kpd mereka. 

Saya juga rujuk Dzulkifli Abdul Razak. Tapi pengaruh dia ni saya kena ulas dlm tulisan yg lain. Secara intai2 saya rujuk juga Syed Husin Alatas, Farid Alatas, Farish Noor dan satu buku suntingan Syarifah Munirah Alatas yg kritikal terhadap universiti, dah lupa tajuk. Saya rujuk bukan sbg pakar sains sosial tapi sebagai penyaksi yg harapnya dpt menyingkap hikmah dari menuntut ilmu. 

Jika ada rezki, saya kongsi apa yg saya kutip dari buku2 yg mereka tulis, terutama kritikan mereka terhadap halatuju universiti berasaskan lojik keuntungan benda dan nilai2 yg boleh disukat atau diukur dgn pembaris lurus semata. InsyaAllah.

Rujukan "Aliran Semasa" di

https://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/07/mengalir-ikut-masa-flowing-with-time-in.html?m=1

BOLEH KE SUKAT NILAI SENI, BUDAYA DAN WARISAN DGN PEMBARIS LURUS?

 Susul tulisan brader Naser Baharuddin "Adakah subjek seni boleh bantu ranking universiti". Throwback 27 Jun 2013 Oditorium Balai ...