Thursday 24 November 2011

KEBUN BUNYI DI LANGKAWI

Kebun Bunyi menggetarkan frekuensi persahabatan sesama insan, dalam simfoni alam di pinggir jalan berdagang Pantai Cenang.

Cenang semakin tak 'senang'. Tahun 1983 masa saya pernah bertandang ke Langkawi buat pertama kali dulu, Cenang lengang. Kemudian sekitar 1987/88 saya datang lagi, Cenang mula naik miang, dengan beberapa chalet kerdil. Jalan nak ke Cenang pun masih tanah merah dan perlu berjuang dengan kenderaan pacuan empat roda.
 

Sekarang Cenang sangat girang mengira wang. Berkat sampuk globalisasi, ramai pelancong dan pelencong mari. Saka sumpahnya telah dipadamkan oleh Tun Dr. Mahathir, sebab tu ramai orang Langkawi masih berterima-kasih dan menghargai jasa dia. 

Cenang yang meriah wang boleh buat getar jiwa tak tenang. Mana taknya, cenang juga semakin ghairah dengan banyak aksi tayang. Warisan pula bila-bila saja boleh ditipis menjadi produk tontonan dan komoditi untung-rugi, jika berdagang tanpa paksi.

Apa yang berlaku di Cenang persis gergaji dua mata, melabur dan meleburSaya ringkaskan dalam formula bukan matematik....h(ABU)an.

Didoakan agar Cenang, Langkawi dan penghuninya sentiasa dilindungi Allah. Antaranya termasuklah para sahabat dari Langkawi Artists Visual Art Association (LAVAA) yang rajin ber'cenang-cenang' di pinggir kaki lima sepanjang jalan berdagang di Cenang. Mereka namakannya Medan Seni. Saya namakan medan tenaga untuk berkebun rupa dan berkebun bunyi. Saya singgah berkebun bunyi.

Saya berkebun bunyi dengan Abang Salleh Dawam, seniman tegar yang otai di Langkawi, Alone (bekas anak murid di UNIMAS), Li, Nina(anak bongsu saya) dll rakan,

Berkebun bunyi mengizinkan kita berkongsi 'getaran jiwa', merapatkan silaturrahim, memecah benteng ke'aku'an agar diri hilang menjadi sebahagian dari kehebatan getaran rasa ceria, girang dan cinta yang tidak berjasad, tidak berlabel, tidak bernama, tidak berpangkat. 

Malah, getar bunyi adalah frekuensi emf yang paling awal menyimbah dan membesarkan kita ketika masih janin dalam rahim bonda.  Warna jasad batin kita disuburkan oleh bunyi yang digetar oleh bonda kita, sebelum ia menjadi jasad zahir. Bonda kita adalah pekebun jiwa yang awal.  

Setiap kita pula adalah 'cahaya'(mata) yang dizahirkan dari benih rasa kasih serta cinta (tidak bersyarat) antara ayahanda dan bonda. Cahaya kasih ini adalah bayangan (kasar) kasih Yang Maha Pengasih. 

Cahaya inilah punca getaran, membentuk pelbagai frekuensi (warna), yang dizahirkan menjadi bentuk jasad kita yang fizikal. Kita adalah sebahagian dari getaran bunyi dan getaran rupa(batin dan zahir). 

Marilah kita menjadi pekebun bunyi dan pekebun rupa yang menyerap dan memantul/menggetarkan kelestarian alam semesta, di mana jua kita berada.

Jika diluputkan segala 'aturan terlalu formal', tanpa pura-pura, tanpa label dan pangkat, tanpa perlu mengada-ada, akan mengalirlah tenaga kreatif. Jika dibuka pula kepada semua agar sesiapapa pun boleh masuk dalam gelombang kebun bunyi(open basking), dibiarkan mengalir sendiri (improvisasi), jasad batin yang keras pun boleh cair dan sihat. 

Berkebun bunyi menggetarkan jiwa halus agar belajar bersinergi dengan getaran alam. Bukalah dengan syahadah dan cinta. InsyaAllah, ia akan membunga atau menzahirkan halwa telinga yang enak lagi berkat dunia akhirat.

 

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...