Friday 4 November 2011

PRELUD "HARGA SEBUAH MARUAH"

Beberapa minggu yang lepas, rakan teater saya dari USM, Halimi, datang bertandang ke pejabat saya di Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM. Dah tentulah ada hajat besar, kalau tak, memang tak jumpa sebab masing-masing sibuk. Kalau jumpa pun, selalunya jika ada mesyuarat atau majlis di MGTF, Pusat Pengajian Seni, Dewan Budaya USM atau persembahan teater. 

Halimi datang bukan saja bawa hajat, tapi pikul amanah. Dia jemput saya untuk membantunya menyempurnakan wasiat rakan penulis, Allahyarham Azizi Abdullah, untuk menterjemahkan karya novel arwah dalam bentuk teater. Novelnya berjudul “Harga Sebuah Maruah”. Halimi diamanahkan sebagai pengarah.  Ini amanah, kalau tak buat dengan betul, parah!

Sebagai rakan yang pernah bantu semasa saya mengarahkan teater muzikal “Getaran Jiwa : P.Ramlee Merentas Zaman” (2004) dulu (berlakon secara percuma), saya cakap ya terus. Walaupun asalnya keberatan sebab saya memang sibuk dengan banyak tugasan lain, saya tak mahu hampakan dia. Dia minta saya menjadi pengarah seni, dan memberikan saya skrip untuk dibaca. 

Saya sendiri tak sempat nak baca novelnya. Masa tu saya perlu ke Hong Kong untuk pameran solo, lepas tu ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memberikan syarahan, lepas tu kena jadi fasilitator untuk Bengkel Pemantapan MGTF, kemudian ke Johor Bahru untuk menghakimi pertandingan seni visual, mana sempat nak baca.  

Nasib baik saya pernah menuntut ilmu teater dari Normah Nordin, Najib Nor, Fauziah Nawi, Iryanda Mulya dan Ladin Nuawi semasa merempat bersama para seniman seni visual, puisi, muzik dan teater di Centerstage Bangsar sekitar lewat 90an dulu. Adalah juga bekal, disamping bekal dari beberapa projek teater dan persembahan eksperimental di UiTM (KOM-X), DBKL (Cindai), UNIMAS (Jati) serta USM (Getaran Jiwa).  

Saya anggap diri ni beruntung kerana mempunyai beberapa sifu dan kenalan yang mesra seni persembahan– antaranya Ismail Zain, Krishen Jit, Marion D’Cruz, Dida Malik, Janet Pilai, Prof. Hatta Azad Khan, Prof. Wan Zawawi, Hamzah Tahir, Dr. Afifah, Dr. Zul Mohamad dan Afeez Askiak. Kini di USM, saya dapat tempias ilmu dari Halimi, Prof. Ghouse, Dr. Samat, Prof. Tan Sooi Beng, Seni Bayan, Norhelmi, Yusof Bakar, Ramnah Ramli, Che’ Mat Jusoh, Jufri, Azmeer (komposer), Lan Chin dan ramai lagi.
Rakan dari kebun seni rupa seperti Fauzin Mustaffa, Bayu Utomo, Ahmad Fuad dan Hamir Shoib juga mesra seni persembahan, pernah terlibat sebagai pengarah seni, pereka set dan pelbagai kerja belakang tabir filem, teater dan produksi tv. Mereka ni semua kira macam ‘feeders’ saya. Kenalah bersyukur bebanyak.

Lepas baca skrip, saya sempat buat beberapa lakaran kasar, menggunakan bentuk dan rupa segi-tiga sebagai motif visual yang utama untuk rekabentuk pentas. Tak perlulah saya huraikan konsepnya, nanti jadi kuliah akademik pulak.

Bila dah selesai baca skrip, saya dapati cerita dan dialognya tebal dengan bau lakonlayar tv. Dialognya berkisar ramai watak, walaupun berteraskan tiga watak utama. Ceritanya pun berkisar tema yang sudah biasa digarap – pertembungan antara warisan dengan pembangunan. Subjek utamanya adalah tanah bendang atau sawah, yang hendak digadaikan untuk membangunkan perusahaan menternak udang secara komersial. Walaupun agak klise, namun tema ini masih releven, malah mungkin kena pada masanya kini ketika orang Melayu terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang kritikal. Subteksnya pun banyak, boleh dikaitkan dengan polemik yang timbul dari pembangungan berkiblatkan pulangan material tanpa mengambil-kira kesannya terhadap nilai warisan dan pusaka sejarah.  Ada konotasi politik, sosial, agama, budaya yang berkait dengan polemik orang Melayu. 

Kena pada masanya juga kerana saya sendiri secara peribadi sedang berdepan dengan polemik yang sama.  Ketika ini dan untuk jangkamasa lebih kurang 4 tahun akan datang, saya dan keluarga akan mengusahakan Tanah Pusaka Tok Timah di Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. Bila sebut je hal tanah, memang banyaklah drama yang penuh ‘intigue’ dalamnya. Hal Tanah Pusaka Tok Timah ni kena buat satu blog ‘entry’ nya sendiri. Kemudian nanti saya cerita.

Balik kepada ‘Harga Sebuah Maruah”, perkara utama yang saya buat selepas balik dari Hong Kong dan UPSI adalah pergi sendiri ke bendang atau sawah untuk mengalami ‘mood’nya. Allah Maha Pemurah, saya dianugerahkan rezeki dalam bentuk lokasi dan hari yang sangat afdal untuk membuat rakaman foto dan mencarap getaran suasana sawah. Secara tidak dirancang, pelajar sarjana seliaan saya, TC Liew membawa saya ke kampong datuknya di Padang Benggali, Sebarang Prai. 

“Saya nak cari sawah yang suasana dan pemandangannya boleh meremangkan bulu roma dan lain-lain bulu yang sekentut dengannya. Kalau tak, awak kena belanja saya makan. Ni kena cari lokasi yang boleh buat orang nangis dan leleh jiwa, terpegun, tergamam, terkedu, tersedu, tersyahdu dan tunduk merendah jasad pada tanah yang membentangkan rezeki. Kampung hang ni macam tu tak?” saya gertak TC, yang juga bertindak sebagai ‘google map’ saya.

“Encik Hasnul jangan risau, mesti ‘best’ punya. Saya jamin, tak rugi pergi ‘shooting’” TC memberikan saya kepastian. 

Sampai ke Padang Benggali, jaminan TC terbukti benar. 

Tak payahlah saya ulas panjang-lebar hasilnya. Lebih mudah dan berkesan bercakap menerusi beberapa gambar foto yang dirakamkan oleh saya dan TC.  




 
   
















































































































































































































































































































































































































































Saya tak pandai berpuisi, namun suasana di Padang Benggali membuatkan jiwa saya berpuitis dari dalam. Saya bercanda dengan alam. Kontrasnya tak memerlukan sentuhan 'photoshop'. Getarannya membisukan minda bingit, menenangkan kelodak rasa. Mungkin anda juga akan buat perkara yang sama bila diselimuti suasana petang dan senja di Padang Benggali.

Saya jadi lebih menghormati harga pengorbanan para pesawah. Getaran tenaga yang saya cerap banyak membantu saya menterjemahkan latar kisah “Harga Sebuah Maruah” dalam bentuk visual, dari rekabentuk pentasnya, prop hinggalah kepada papan-cerita latar video. 

Dalam pesawat semasa dalam perjalanan ke JB dan pulang ke negeri tanah tumpah kari nasi kandar, saya melakarkan papan cerita, berbekalkan getar tenaga yang saya cerap semasa di Padang Benggali. Saya bersyukur kerana dianugerahkan dengan ‘team’ yang bagus – Shamsul Ikhmar, Andy (impot dari ASWARA), Afzanizam, Husni, Rosli, Firdaus, Adi, Izrul dan ramai lagi yang sedia membantu. Shamsul dan Zam banyak membantu menterjemahkan lakaran saya kepada hasil visual akhir yang dikehendaki. Begitu juga dengan Husni dan Rosli.Andy pula dengan ide dan minda cairnya.

Semasa menyaksikan latihan di USM, saya buat lagi lakaran dan papan-cerita. Halimi selaku pengarah yang ‘cool’, banyak beri ‘input selain dari memberi saya kebebasan untuk mencadangkan ide. Saya selesa kerja dengan dia. Lan Chin, pengarah teknikal dan peƱata cahaya, juga banyak membantu. Dia dah masak hal teknikal terutama yang berkait dengan sinografi. 

Semasa latihan, saya kesan dan cuba selesaikan beberapa masalah berkait dengan penataan seni. Dialognya agak berjela dan adakalanya membosankan dan boleh buat penonton tidur. Namun saya yakin Halimi dan barisan pelakonnya dapat buat sesuatu untuk memastikan dialog, tempo dan dinamika lakonan berjalan dengan lancar. Halimi pun dah otai, taulah dia apa nak buat.

Lepas Raya Korban ni saya dah rakan-rakan di MGTF USM akan ke Kuala Lumpur untuk menyempurnaan kerja-kerja set, prop dan projeksi video. Pementasan “Harga Sebuah Maruah” akan bermula di Oditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada 14 November, selama tiga hari (agaknya la, kena ‘check’ nanti). 

Datanglah.


4 comments:

  1. Noi, best projek nii...Azizi Abdullah tu ustaz yg mengajar aku semasa darjah satu dan dua....rumah dia dulu pun tak jauh dari kg aku....seingat aku la....kalau cerita ni pasai sawah atau kg yg tergadai...pada bangsa hat satu lagi nii...rasa2 macam pernah jadi drama tv dgn tajuk yag lain laa....!

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan,
    I am most touched and look forward to the execution.
    Best wishes

    Rahmat Bayudi

    ReplyDelete
  3. Apalah sangat ilmu kami kalau nak dibandingkan dengan ilmu tuan yang tercurah dan tercuri dek kami ni.

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...