Monday 29 August 2011

RAYA

Raya in Teluk Intan 2004 with Tok Wan and Tok Syeh


Hari Raya menandakan kemenangan menawan hawa nafsu, mengurus minda dan menjurus rasa berpandu pesan penghulu tercinta Rasulullah s.a.w. Cinta Rasulullah pada umatnya sangat tinggi (termasuklah yang banyak defisit macam saya ni). 

Hari Raya meraikan kemerdekaan jiwa dari dipenjara minda dan rasa. Ia membebaskan jiwa dari dikejar 'nama' dan ditabir 'karier'.

Hari Raya juga menjadi penanda pada pendakian jiwa, meniti titian halus antara yang hak dengan yang batil. 


Hari Raya adalah hari menadah kesyukuran atas segala nikmat, anugerah dan rezeki batin dan zahir, yang dilimpah-ruah tanpa henti oleh Allah S.W.T.

Selain ayahanda dan bonda, isteri, anak-anak, adik-beradik, sanak saudara adalah tanda-tanda dekat kepada 'ada'nya Pemilik dan Pemberi Cinta Abadi. Mari kita raikan kehadiran (dan pemergian) mereka, dengan memanjangkan kesyukuran tidak terhingga, atau menghulurkan Al-fatihah buat yang sudah meninggalkan kita.

Bagi saya, Hari Raya menjadi penanda dan saksi pada pendewasaan anak-anak di depan mata. Inilah rezeki dan nikmat yang tidak boleh dibeli dengan apa pun di dunia. 


Teman saya dari USA, Najjar Musawwir sering mengingatkan yang saya ni kaya, setiap kali dia melihat wajah-wajah isteri dan anak-anak saya. Ingatan dia memang kena tempatnya, terutama untuk saya yang selalu lupa dan kekadang terpenjara oleh isu semasa, kalau tak pun penjara karier dan tabir nama.


Dengan rasa syukur tak terhingga atas segala yang dilimpah kurnia, saya panjangkan takbir raya untuk semua pembaca. 


Kita takbirkan kebesaran, gemakan keamanan untuk semua manusia. Itulah makna menjadi seorang 'muslim', insan yang 'sejahtera' dan 'mensejahterakan' alam semesta.


Selamat Hari Raya!

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...