Monday 16 May 2011

BICARA (UNTUK) SIFU

Istilah 'sifu' memang saya muliakan. Ayahanda saya sifu. Sebab itu saya sangat segan jika dipanggil 'sifu'. Saya rasa tak layak. Dosa pun banyak. Kelemahan usah cakaplah.

Izinkan saya 'bicara (untuk) sifu'. Mungkin ada kaitan dengan pameran "Bicara Sifu" yang sedang berlangsung di Galeri Petronas, Kuala Lumpur, tapi dalam nada yang lain. 

Memanglah karya saya ada dipamerkan dalam pameran tersebut. Saya mengaku, bangga dan takbur saya membelon sikit. Mungkin sebab Galeri Petronas itu saya anggap berprestij, dan ramai yang berkunjung, belon saya kembang. Tapi saya lebih suka membaca pesan-pesan yang terkandung dalam katalog pameran, yang ditulis oleh Badrolhisham, Dr. Sareena dan Dr. Izmer. Ada banyak manfaat mentelaahnya. Tambah pulak, mereka ni semua kenalan saya yang pandai-pandai belaka. Saya tumpang tempias ilmu mereka.

Tapi apa yang saya nak tulis ni, bukanlah sangat tentang masalah penguasaan ilmu, kepentingan penyelidikan, kekurangan bahan ilmiah, kepakaran, kekeliruan paradigma, penjajahan teori, epistimologi, ideologi dan segala yang pandai-pandai tu. Itu semua ada ramai kenalan yang sudah bergelar 'dr.' boleh bantu, kalau tak pun perbincangan dalam 'facebook'. Saya nak tulis tentang keberadaan 'sifu' itu sendiri, tentang 'budi' dalam mukim sejarah seni visual di negara kita.   

Sabtu lepas saya singgah ke "Bicara Sifu" untuk urusan yang tiada kaitan dengan pameran. Belon ego saya yang kembang sebelum ni, jadi kuncup. Kuncup campur sedih. Selepas merayau-rayau di ruang pameran, ambil gambar, jumpa beberapa pelajar dari One Academy, sembang dengan rakan, saya teringatkan sifu-sifu dan murid-murid saya (ada yang dah jadi sifu juga). Mungkin sebab Hari Guru bakal tiba. Bila saya cari dalam pameran itu, hanya ada Prof. Madya Najib Nor saja. Dia sifu teater, rekabentuk produksi dan sifu fesyen saya.

Saya cari juga kot-kot saya tertinggal Ruzaika Omar Basaree, Mendiang Joseph Tan, Chong Kam Kow, Tan Tuck Kan, Ponirin Amin, Ariffin Ismail, Tajali Abdullah, Awang Damit, Zakaria Awang, Kamarudzaman Mat Isa, Fauzan Omar, arwah Ismail Zain, Sulaiman Esa, arwah Ahmad Khalid Yusoff, Amron Omar, Normah Nordin, arwah Redza Piyadasa, Yusof Ghani, Dzulhaimi Mat Zin, Abu Talib, Ali Rahman, Jahani Ali, Muliyadi Mahamood? Ini sifu-sifu tegar saya. Sebut Hasnul Jamal Saidon, ilmunya datang dari sifu-sifu ini. Namun, kelibat karya-karya mereka......tiada. Cuma ada karya-karya agung anak-anak murid mereka (termasuklah yang menulis ni). Saya rasa malu alah nak letak karya punyalah besar dan kalau silap baca, terlebih angkuh, tanpa kehadiran sifu-sifu saya. Saya rasa macam nak letak nama-nama mereka sebelah karya saya, tapi nanti kurator dan Pengarah Galeri Petronas marah pulak. Gitupun, itu mungkin sekadar saya nak tutup wajah nafsu dengan meletakkan salah pada orang lain. Agaknya badi karya besar ni masih belum dapat saya kikis, walaupun saya boleh menghujahkannya dengan berlindung di balik segala teori yang dikutip dari pelbagai kitab seni

Sifu-sifu lain pun saya cari juga, terutama yang singgah sebentar dalam diari seni saya, samada secara teori mahupun secara praktis. Ada diantara mereka ni, kalau tak silap, pernah main peranan penting dalam merangka sejarah pendidikan seni visual di Tanah Melayu, Malaya dan kemudian Malaysia. Nak tahu dan faham 'sanad' teori, epistimologi, ideologi, falsafah, paradigma, ambilan dan amalan dalam pendidikan seni visual kini, mungkin lebih afdal dicungkil salasilah penurunan ilmu dari seorang sifu ke anak muridnya (yang kemudian menjadi sifu yang mengajar anak-anak murid dan generasi bakal sifu seterusnya pula). Agaknya lebih molek kot, ditinjau sanad penurunan pelbagai ilmu dalam sejarah pendidikan seni visual di Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia, dari dulu hingga kini.

Kalau nak ber'bicara' atau berpolemik tentang sifu kontemporari (masa kini) dan segala macam 'problem statements' yang melanda pendidikan seni hari ini, mungkin lebih baik dijenguk cerita-cerita derita, jerit-perit, susah-payah, pahit-getir, peluh-keringat insan-insan pelopor pendidikan terdahulu ni. Saya cari dalam pameran, tak ada. Saya selak dalam katalog, nasib baik ada, itupun berkat tekun rakan saya Badrolhisham, kuratornya.

Namun, mungkin elok juga jika saya ingatkan diri saya dan semua yang rajin membaca tentang cerita-cerita lain buat pedoman. Cerita O Don Peris yang pergi ke Academie Gereux di Paris dari 1912 hingga 1915, atau penubuhan Persatuan Lukisan Amatur di Singapura pada tahun 1909 boleh buat renungan. Khaw Sia pergi ke Sin Hwa Academy dari 1925 hingga 1932, bila pulang (Khaw Sia berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 1935), tentu ada pengaruh dari pendidikan mereka di Eropah dan China dalam persekitaran tempatan. 

Jika ke belakang lagi, mungkin elok ditinjau ilustrasi (gaya moden berdasarkan observasi) oleh Munsyi Abdullah dalam Hikayat Munsyi Abdullah mahupun ilustrasi Hasan Agha dalam Syair Indra Sebaha (1891), lukisan-lukisan 'moden' Mohd Said Hj. Hussain dan Abdullah Ariff seperti yang pernah dicungkil oleh Dr. Suhaimi, kenalan saya di UPSI. Ini antara bukti-bukti awal kemasukan pengaruh 'moden' dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu. Penat-penat dia buat 'penyelidikan', tapi masih ramai yang kata kita kekurangan bahan-bahan ilmiah sebagai rujukan. Penulisan dan kajian tak mendalamlah, tak cukup bahanlah, ceteklah. Sedap betul buat pernyataan dari data sekunder. Lebih molek agaknya kalau dicari dan korek betul-betul kot, bukan hanya duduk dalam pejabat, 'google' sepanjang hari. Saya pun ada saka buat 'penyelidikan' begini, tak payahlah saya nak kutuk orang lain. Yalah, kalau berjumpa terus (dapatkan data primer)dari sifu-sifu macam arwah Ismail Zain, arwah Redza Piyadasa, arwah Ibrahim Hussein, Syed Ahmad Jamal, Jolly Koh, Yeoh Jin Leng, Sulaiman Esa, mahu teruk dan bingit telinga kena khutbah mereka. Saya pernah kena, sebab tu agaknya lebih selesa petik tulisan mereka je (data sekunder). Lepas tu, goreng, tabur 'problem statements' sana-sini. Itu penyakit sayalah, mungkin ada juga yang kena sampuk sama.

Penulisan Syed Syeikh Al-Hadi di Pulau Pinang yang menyentuh tentang polemik halal-haram melukis orang seperti yang diajar di sekolah orang putih ketika itu (1920an), mungkin boleh disentuh juga. Okla, Tuan Syed ni memang tak belajar ilmu seni visual, jadi mungkin tak layak dikategorikan sebagai sifu. 

Majalah Mastika (pada tahun-tahun 50an, sebelum dirasuk oleh cerita-cerita hantu dan maksiat), banyak menerbitkan artikel tentang seni moden, antaranya oleh M.Ashraf, Abdul Ghani Hamid, Adi Mas dan Abdul Kadir Ahmad. Nama-nama ni saya jumpa dalam tesis Dr. Suhaimi juga. Mungkin mereka bukan 'sifu', tapi takkan takda kaitan dengan soal 'pendidikan seni visual' langsung?

Perihal Nanyang (ditubuhkan oleh Lim Hak Tai pada tahun 1938)dan sifu-sifunya, mungkin dah naik tepu diceritakan. Namun, perlu juga diambil perhatian kerana kesan serta gemanya dalam konteks pendidikan seni di negara ini adalah besar. 

Sifu yang lain, Peter Harris, janganlah kita lupa. Dia 'superintendent' pendidikan seni zaman pra dan pasca merdeka di Tanah Melayu (dilantik pada tahun 1951, termasuk pernah ditugaskan jawatan yang sama di Kolej Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, sebelum dilantik sebagai Pengetua STTI). Sumbangan dan kesan peranan beliau dalam konteks pendidikan seni takkan nak buat-buat lupa kot. 

Sifu-sifu lain yang pergi menuntuk ilmu di Eropah, China, Amerika Syarikat, Australia dan ada juga ke Jepun, India dan Indonesia jangan dilupai. Mereka ni sifu pelopor yang menjadi guru, kalau tak pun 'wali' kepada ramai sifu-sifu generasi seterusnya.

Sumbangan Tay Hooi Keat, Syed Ahmad Jamal dan Yeoh Jin Leng sangat penting, sebagai antara sifu-sifu yang awal (mereka bukan saja perlu ditinjau sebagai pelukis, tetapi juga sebagai antara pelopor tempatan yang awal dalam pendidikan seni visual). Dulu tak banyak galeri komersial, promoter sikit. Semua kena buat sendiri, termasuklah dalam hal pendidikan seni.

Tay Hooi Keat, menubuhkan Penang Art Teachers Council pada tahun 1952. Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau dan Yeoh Jin Leng menuntut di Malayan Teachers Training College at Kirby  antara 1951 hingga 1953. Jolly Koh, arwah Piyadasa dan Sulaiman Esa menuntut di Hornsey College of Art sekitar 1962 hingga 1965. Ismail Zain pernah ke Slade tahun 1963 kalau tak silap saya. Bila pulang, ada dikalangan mereka berkhidmat dalam kerajaan, menjadi sifu-sifu pelopor, termasuk sifu saya. Ilmu-ilmu yang mereka bawa perlu dikupas. Buku-buku, kitab-kitab dan guru-guru mereka kena kita kenali juga. Saya sendiri pernah rasa bahang mereka. Saya dapat tempias air liur mereka. Takkan lupa terus pada mereka ni, terutama jika nak berpolemik tentang 'kesifuan' dan pendidikan seni. Kalau boleh, cuba fokus pada sumbangan mereka dalam konteks pendidikan, bukan pengkaryaan.       

Specialist Teachers Training Institute (STTI, ditubuhkan pada 1960)juga melahirkan ramai sifu. Begitu juga dengan Malaysia Institute of Art (1966), School of Art & Design, ITM (1967) dan Kuala Lumpur College of Art (1968), ada ramai sifu-sifu seni pelopor (yang masih hidup). Agaknya, apakah teras pendekatan teori dan praktis studio ketika itu. Mungkin perlu dikorek dokumen kurikulum dan silibus lama. Mungkin perlu dikorek dan digali semula tesis-tesis para pelajarnya sejak dari awal hingga terkini, bukan main balun je buat hipotesis.

Perihal pengalaman 'sebenar' mereka dalam membuka denai-denai awal pendidikan seni visual di Malaya dan kemudian Malaysia, perlu dijadikan sumber primer yang tidak ternilai. Janganlah harap data sekunder je. Perlu disahihkan dengan bertanya terus pada mereka yang masih hidup. Sumber sekunder memanglah lazat dijadikan modal berpolemik. Saya kena mengaku sebab saya pernah rasa. Tapi ia tidak sekukuh dan sekuat sumber-sumber primer dari pengalaman 'alami' sifu-sifu ini. 

Apakah sumbangan mereka (dalam konteks pendidikan, bukan pengkaryaan) ini semuanya terkubur atau perlu dikuburkan, gagal atau tidak membawa apa-apa kesan berpanjangan? Adakah tapak-tapak awal pendidikan seni visual yang telah mereka bekalkan itu tidak berguna langung? Adakah usaha mereka merupakan punca segala macam 'problem statements' yang begitu sedap digoreng sekarang?  Sebenarnya Jolly Koh, Syed Ahmad Jamal, Sulaiman Esa dan Yeoh Jin Leng baru-baru ini ada ditanya soalan-soalan ini. Tapi, biarlah jawapan mereka keluar dalam penerbitan (jika bukan pameran) lain.

Pengalaman sebenar para sifu pelopor ini boleh dijadikan bekalan dan khazanah yang tidak ternilai kerana mereka adalah sifu-sifu yang pernah 'menempuh' dan 'mengalami' segala masalah,kekangan, polemik dan isu berkaitan pendidikan seni visual dulu.

Saya menjangkakan akan disimbah dan disegarkan-semula dengan suara-suara primer sifu ini menerusi pameran 'Bicara Sifu' (sekurang-kurangnya untuk merenung dan mengimbas-kembali), namun nampaknya tinggal harapan saja. Amnesia (mudah lupa) agaknya bukanlah teori kosong Tun Dr. Mahathir.

Untuk saya, rakan-rakan dan anak-anak murid pun boleh menjadi sifu. Malah, ramai rakan 'senior' semasa di UiTM saya anggap sebagai sifu tak rasmi.  Selain dari Zulkifli Yusoff, saya ada Nasir Baharuddin, Johari Said, Ramlan Abdullah, Jailani Abu Hassan, Mastura Abdul Rahman, Tengku Sabri, Taufik Abdullah, Fauzin Mustaffa, Amin Busu, Roskang Jailani, Suhaimi Tular, Rosli Zakaria, Hamdan Shaarani, Syarmiza Abu Hassan, Suhaimi Tohid, Hamidi Hadi, Syed Alwi, Aznan Omar, Daud Rahim, Izaddin, semuanya sekarang sifu di merata tempat. Ini diaspora UiTM yang menarik untuk diterokai dalam konteks pembangunan pendidikan seni visual. Yang jadi cikgu (sifu paling jati) tak usah cakaplah, lagilah ramai - Haron Mokhtar, Mustaffa Kamal, Abu Sareh, Mohd Noor Mahmud, Husin Saad, Saidon dan ramai lagi. Takkan pengalaman (data primer) mereka ni tak secanggih teori-teori yang mahu dijadikan bahan polemik?


Ini tak termasuk rakan saya Ray Lagenbach, Wong Hoy Cheong, Niranjan Rajah dan ramai lagi yang pernah mengajar bersama saya semasa di Cenfad dulu.

Namun, hati saya sejuk bila nampak karya Zulkifli Yusoff dan Azhar Manan. Namun begitu, Zulkifli Yusof tanpa Zakaria Awang, atau pun Ismail Zain dan Ibrahim Hussein, rasa canggung pulak. Kalau ada Zakaria Awang dan Fauzan Omar, mesti ada Sulaiman Esa dan Redza Piyadasa mahupun Jolly Koh. Azhar Manan, tanpa Fauzan Omar, lagilah kurang pedas. Hasnul Jamal tanpa Fauzan Omar dan Ismail Zain, jadi daun terbang je. 

Rakan-rakan di USM langsung takda. Saya teringat pada Zabbas, Ismail Hashim, Baharuddin Arus, Rahman Mohamed, Mat Desa dan yang paling berbekas, Najib Dawa (bekas bos dan mentor saya yang ganas). USM adalah universiti pertama yang menawarkan program seni halus di peringkat sarjana muda, sarjana dan phd. Ini sejarah penting. Langsung tak berminat nak tinjau ke? Tengok-tengoklah silibusnya ke, kurikulumnya ke, kalau susah, tanya saja nama-nama di atas, juga bekas pelajar USM juga. Wakil USM saya seorang saja, tapi akar pendidikan saya bukan USM, saya anak didik UiTM.
 
Bekas anak-anak buah juga ramai yang sudah bergelar sifu, malah ada yang dah dapat phd. Saya gembira terserempak dengan karya Noorazizan Paiman, antara 'murid' saya yang paling awal semasa setahun di UiTM; dan karya Zaimie Sahibil, bekas murid semasa di di UNIMAS dulu. 

Fikiran saya terbawa ke Rahah Hasan, Anuar Ayob, Ling Siew Woei, Helena Song,  Abuseni, Fairuz, Ashaari, Tan Sei Hon, Tan Hui Koon, Safrizal Shahir, Alizam Hassan, Aloysous Yap dan Roopesh Sitharan, namun sudah tentulah mereka tiada dalam senarai walaupun ramai dikalangan mereka sudah mula memberi sumbangan tersendiri dalam pendidikan seni.  

Saya juga tertanya juga, adakah 'Bicara Sifu' hanya berkaitan dengan sifu-sifu dan soal pendidikan seni visual dikalangan orang Melayu saja?

Takpalah saya mengaku, saya ni sentimental bila sebut hal sifu-sifu ni, terutama sifu-sifu yang pernah mengajar saya. Saya ikut pesan ayahanda, yang memesan supaya ikut model Rasulullah, termasuk dalam hal ilmu, dan hubungan sifu-murid ni. Soal ilmu ni, rentas bangsa, rentas masa dan rentas benda. Sebab itu saya rasa janggal dengan ketiadaan beberapa nama di atas.

Begitupun, janggal dan sedih diganti oleh rasa syukur kerana ada  dua universiti kerajaan yang paling dekat dengan saya (selain USM)iaitu UNIMAS dan UMS diwakilkan. Tapi ada ke ditinjau falsafah, visi, misi, kurikulum, silibus dan hasil-hasil sarjana muda, sarjana dan phd dari universiti-universiti awam ini? UNIMAS dan UMS dekat dihati kerana saya pernah tak tidur beberapa malam bersengkang mata merangka kurikulum program Seni Halus di UNIMAS (dengan sifu saya Fauzan Omar, dan sifu yang lain Zulkalnain Zainal Abidin, Niranjan Rajah, Wan Jamarul Imran dan Rashidah Salam) dan di UMS (dengan Fuad Bebit dan arwah Zul). 

Ada banyak pengalaman dan data praktis berkaitan dengan cabaran dalam merangka, menggubal dan membentangkan (kalau takpun terlentang) kurikulum serta silibus di UNIMAS, UMS dan USM yang tak ditinjau. Kalau setakat berpolemik menerusi sumber bertulis je, memanglah sedap. Saya dulu layan benda-benda ni. Tapi bila segala 'problem statements' dan hipotesis itu hendak diuji secara praktis semasa di UNIMAS, Cenfad dan USM dulu, nak terputus urat kentut dibuatnya. Baru padan muka saya yang masa tu hanya pandai main teori je, semua orang salah, saya je yang betul!

Sampai sekarang saya masih menjengah UNIMAS dan UMS, untuk mengajar secara sambilan atau memeriksa projek tahun akhir para pelajarnya. Sesekali saya periksa tesis para pelajar UM. Taklah bencana sangat seperti yang diwar-warkan.

Nasib baik, karya sifu Fuad (pendeknya sifuad), ada dalam pameran. Cuma sayang, penyertaan pelopor program seni halus di UNIMAS itu tiada, terutama Fauzan Omar. Saya juga tertanya, ASWARA (bukan AISWARA RAI)juga ada sifu. Tapi mungkin ia bukan dibawah Kementerian Pengajian Tinggi, atau mungkin sebab ia baru. Saya masih ingat kerja merangka kurikulumnya dengan Mad Anuar, Johari Said, Ruzaika Omar Basaree, Ham Rabeah dan Yusof Gajah. Mereka ni pun sifu juga.

Saya juga tercari-cari Siti Zainon, sifu yang saya teliti buku-bukunya dengan tekun. Nak berpolemik tentang teori pasca-kolonial kena lalu dia dulu. Begitu juga Zakaria Ali, sifu pertama yang menerima title Professor. Sedekah dia pada saya amat besar, terutama menerusi 'Dialog Seni Tampak'. Takkan kita nak lupakan dia. Dia tiada dalam senarai. 


Semua sifu-sifu ini, terutama yang pernah mengajar saya, ada keunikan dan karektor masing-masing. Ada 'budi' nya. Kalau nak ditulis, mungkin kena buat dalam blog lain. Nantilah.

Sifu yang paling saya muliakan tentulah ayahanda dan bonda, Saidon Pandak Noh dan Jamaliah Noordin, disambut oleh kakak-kakak dan abang-abang yang tidak jemu mengajar saya erti hidup. Guru-guru di sekolah memang saya ingat sampai mati, terutama Cikgu Aziz. Tapi cerita sifu zaman tv hitam-putih ni juga molek dinukil dalam blog akan datang.

Soal sifu ni rasanya bukan sekadar bahan untuk digoreng, berpolemik dan berteori saja. Ada yang lebih halus dalam hubungan sifu dan anak murid. Soal sifu ini lebih menyentuh 'budi'. Alangkah indahnya jika 'yang halus' ini juga diberikan tempat yang sewajarnya dalam apa jua aktiviti yang melibatkan istilah 'sifu/guru', agar berkat melekat dalam sanubari kita. Maksud saya, bawak-bawaklah pergi mengadap mereka (yang masih hidup) walaupun mungkin telinga kita perit mendengar leteran mereka. Sekurang-kurangnya, petiklah kata-kata hikmat mereka. Jagalah hati mereka. Malah, saya tak nampak juga usaha mengaitkan karya-karya dalam pameran tersebut dengan persoalan serta teori-teori yang dibincangkan. Takda pun karya yang dibedah dengan ilmiah berdasarkan teori-teori bijak seperti yang diperkatakan. Sentuh sambil lalu je. Kalau ada, boleh juga saya belajar.

Sebelum saya pulak berleter, lebih baik saya berhenti. 

Saya mengajak anda semua terus memanjangkan doa kepada semua sifu kita, samada yang sudah pergi mahupun yang masih bernafas.










CIPTA 1999, UNIMAS dengan sifu Fauzan dan sifu Niranjan

UMS 2010, Sabah, selepas Pemeriksaan Projek Tahun Akhir para pelajar Seni Halus, bersama Sifu-sifu di UMS, termasuk Fuad Bebit (barisan dua dari depan, dua dari kiri, Dr. Ismail (bertali leher) dan Along (sebelah kanan Dr. Ismail)

  
Bicara Seni di Galeri Chandan 2009, sifu filem, U-Wei Shaari, elias, Hamir dll.


Sifu pelopor, Datuk Syed Ahmad Jamal, ketika perasmian Pameran Solo "Hijab Seorang Pelukis", 2010


RINTIS 2011 USM Pulau Pinang bersama para pelajar tahun akhir Rekabentuk &Teknologi Media Baru


CIPTA 2011 UNIMAS, Sarawak bersama para pelajar tahun akhir Seni Halus.

5 comments:

  1. Tersedu dan sayu saya. Begitu tinggi muhasabah diri tuan.Berbaloi saya membaca akal budi tuan ini dan insaf saya melihat tuan rukuk dan sujud dalam karya genre catan media baru di "Bicara Sifu".

    ReplyDelete
  2. Saya singgah ke galeri, petang itu, setelah dialog para sufi selesa. Rasa malu nak datang, macam ketinggalan keretapi laju. Sindrom si usia senja ?haaa. Berdiri lama di ruang kanvasmu yang besar itu...melihat baju putihmu melambai bersayap, macam bidadari kitab perjanjian lama, rasa nak dakap. Cuma saya terpinga istilah sifu yang diperbesar oleh warga hiburan pentas. Mohon, naikkan istilah yang lebih melambangakn jati diri Negara berilmu ya Tuan Guru...Adiguru. Setelah Pendeta Zaaba dan Pendeta Prof Ismail Hussin, juga mengelirukan bagi Indonesia...eh pendeta guru gereja..Minta Haneem, dan semua profesor seni rupa, fikirkan bersama...saya intai lagi fesyen Najib...wajah piring Zaaba di ruang Zul...teruskan semangat bicara ilmu seni negara....siapkan buku...saya tunggu, majalah seni rupa lengkap berbahasa ibunda , belum muncul juga. Saya ini orang kampung, kerap baca Utusan JAWI di kedai kopi Wak Sidin...kadang bawa pulang Senikini, mereka bangga ada lukisan anak kampung mereka...tapi buku besar itu juga berkata pengantar bahasa asing di bahagian depan tu. Lansung Wak Sidin tolak tak mahu baca, walau ada gambar pelukis yang dia kenal...anak kampungnya haaaa....oh, sifu wu ainiiii. Ulu Tiram

    ReplyDelete
  3. Aku yang dangkal ilmu ini pun terasa jugak akan hakikat ini.GALERI seni negara langsung tak menggugah jiwa,sunyi dan lesu kerana kurangnya kurator yang berjiwa besar dan arif budaya tradisi keilmuan.Buta Sejarah!Tak hormat Guru!Sorry Bro,terasa geram pulak ingin menuding jari pada pensyarah sejarah seni atau sejarawan seni angkatan baru(jika ada) yang mungkin telah tertidur lena sambil menghilangkan kesinambungan tradisi keilmuan seni lantaran kemungkinan dilayan kelainan ideologi pentadbir atasan yang diulit ekonomi politikus yang hancus!!!!

    ReplyDelete
  4. Kita semua dalam perjalanan utk mencapai kesejahteraan, baik dlm kehidupan biasa mahupun dalam kegiatan seni. Marilah kita bedoa agar semua org mdpt petunjuk dan keredaan dlm usaha2 yg baik. selain teguran secara hikmah (dan mgkn sesekali keras) doa2 adalah kemampuan hebat yg kita miliki.

    ReplyDelete
  5. sy jugak antara pelajar2 diowang.....tque kpd semua pensyarah...

    ReplyDelete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...