Thursday 27 December 2012

“TITIAN KREATIF” ANTARA LANGIT & BUMI : USAHA MELESTARIKAN MUZIUM DAN WARISAN SEJAGAT OLEH UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)




Hasnul J Saidon, Zolkurnian Hassan & Aizuan Azmi
Muzium & Galeri Tuanku Fauziah
Universiti Sains Malaysia
04-653 3888 samb (3261)
www.mgtf.usm.my


1. MENYELAMI MUZIUM DAN WARISAN SEJAGAT

Esei ini membentangkan anjakan paradigma yang kini digagahi oleh Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM dan beberapa prinsip asas yang telah dijadikan dasar kepada usaha memakna dan melestarikan “Muzium dan Warisan Sejagat”. Usaha ini secara generiknya dinamakan sebagai “Titian Kreatif”. Anjakan paradigma dan prinsip-prinsip ini telah dijadikan teras yang diharap dapat menyatukan sains-teknologi dengan seni-budaya, antara tempatan dengan antarabangsa, antara peribadi dengan sejagat. Menggunakan ‘langit dan bumi’ sebagai tamsilan, esei ini juga akan mengajak kita merenung kemungkinan-kemungkinan baru yang boleh diterokai dalam mengimbangi kedua-dua dimensi sains-teknologi dengan seni-budaya secara lebih holistik sebagai warisan sejagat untuk umat manusia, terutama golongan kanak-kanak, remaja dan orang muda. Imbangan kedua-dua dimensi ini diharap dapat menjadi ‘titian’ ke arah pembangunan ‘teknologi dalaman’ dan membudayakan ‘gaya hidup lestari’ dikalangan para pengunjung. 

Kamus mentakrifkan ‘muzium’ sebagai bangunan tempat menyimpan, memelihara, mengkaji atau mempamerkan objek-objek yang mempunyai nilai sejarah, seni, santifik dan sebagainya. (1)

Istilah ‘muzium’seperti yang ditakrifkan oleh ICOM (International Council of Museum) adalah institusi yang tidak berorentasikan keuntungan, institusi kekal yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan terbuka kepada umum untuk tujuan memperoleh pengetahuan, memelihara, menyelidik, memaklum dan mempamer untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan keseronokan terhadap bukti tinggalan manusia dan persekitarannya. (2)     

Dalam cadangan polisi awal untuk penubuhan Muzium & Galeri USM, Profesor T.K. Sabapathy mentakrifkan muzium sebagai “sebuah institusi tajaan negara yang bertanggungjawab dalam menghuraikan warisan budaya sesebuah Negara.”(3) Beliau selanjutkan menerangkan bahawa antara peranan yang lazim bagi sesebuah muzium termasuklah “mengumpul, mengekalkan, memelihara, merakam, menyelidik dan mempersembahkan objek-objek yang mencerminkan sejarah, tradisi dan persekitaran semulajadi sesebuah Negara.” (4)  

 ‘Warisan’ pula membawa pengertian harta peninggalan, harta pusaka, sesuatu yang diwarisi, sesuatu yang turun-temurun. (5)

‘Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645)’ mengklasifikasikan warisan kepada dua, yakni bentuk ketara atau tidak ketara. Ini meliputi harta, struktur atau artifak kebudayaan yang melibatkan perkara, objek, butiran, artifak, struktur pembentukan, persembahan, tarian, nyanyian, muzik warisan yang penting kepada cara hidup rakyat Malaysia, dari segi sejarah atau semasa. Ruang-lingkupnya meliputi di atas atau di dalam tanah atau ciri-ciri semula jadi yang terdiri daripada pembentukan tanah secara fizikal atau biologi atau mana-mana tapak semulajadi yang  mempunyai nilai yang menonjol dari pandangan semulajadi, sains, pemuliharaan sejarah atau keindahan semulajadi termasuk flora dan fauna. (6)

            ‘Sejagat’ dari segi bahasa bermaksud seluruh dunia, sedunia atau antarabangsa, syumul, menyeluruh yang mencakupi seluruh ruang kehidupan samada dari sosiobudaya, politik, peradaban kehidupan yang tiada batas sempadan tanpa mengira bangsa, keturunan dan negara bangsa. (7)

            Frasa ‘Muzium dan Warisan Sejagat’ yang menjadi tema untuk Sambutan Hari Muzium Sedunia 2007 membawa konotasi yang sangat penting dan amat bermakna. Secara umum, ia merujuk kepada kedudukan muzium sebagai sebuah institusi atau pusat yang memikul tanggungjawab mengumpul, memulihara, memelihara, merekod, menyimpan, menyelidik, memapar dan meningkatkan penghayatan masyarakat sejagat terhadap warisan yang dikongsi bersama tanpa mengira batasan ruang-masa geografi, budaya, etnik, kepercayaan agama, sistem politik dan apa jua sempadan tiruan yang sering diguna untuk memisah-misahkan manusia.

            Jika diselam secara lebih mendalam, tema “Muzium dan Warisan Sejagat’ mencadangkan kepentingan kemanusiaan secara global, yakni tentang peri pentingnya seluruh umat manusia melihat alam dan bumi yang dikongsi bersama ini sebagai suatu anugerah sepunya dan amanah ‘warisan sejagat’ yang tidak boleh diganti dan tidak ternilai pentingnya. Peranan manusia pula adalah sebagai khalifah atau ‘wakil’ yang mewarisi bumi. Manusia dipertanggungjawabkan untuk melestarinya sebagai ‘rumah’ yang sejahtera untuk didiami oleh bukan saja manusia, malah seluruh makhluk ciptaan Tuhan. 

Kesejagatan dilihat dari sudut bagaimana manusia dan seluruh makhluk perlu hidup dalam keadaan saling-bergantungan antara satu sama lain. Peranan manusia sebagai khalifah merupakan ujian untuk setiap insan mengukur sejauh manakah dia berjaya melaksanakan tugasnya secara peribadi dan kolektif di bumi ini.

            Demikianlah interpretasi “Muzium dan Warisan Sejagat” yang menjadi teras kepada usaha USM menerusi Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) membudayakannya dikalangan pengunjung, masyakat kampus, komuniti sekitar hinggalah ke komuniti dunia menerusi jangkauan internet. 

2. MEMBINA TITIAN : CABARAN DALAM MELESTARIKAN “MUZIUM & WARISAN SEJAGAT”

            Muzium hilang daya tarikan? Jika anda ditawarkan pakej lawatan percuma samada ke muzium, zoo atau taman tema, destinasi manakah menjadi pilihan? Jika muzium tidak dikunjungi pun, mungkin anda berasa tidak terkilan. Hal ini terjadi kerana lazimnya suasana di taman tema dan zoo lebih menghiburkan dan menimbulkan keseronokan berbanding dengan apa yang dihidangkan kepada pengunjung di muzium. Ini belum diambil-kira minat dan selera orang ramai ke pusat beli-belah dan pusat peranginan yang menyediakan pelbagai tarikan yang mengasyikkan. Tinjauan umum menerusi kaji-selidik oleh pihak MGTF di USM dan juga di beberapa lokasi luar kampus telah menunjukkan bahawa situasi sebegini memang wujud.
           
Prof. Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM dalam Perutusannya sempena Majlis Pemasyhuran Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM ada menyentuh bahawa “segelintir dari kita mungkin lebih terbiasa menganggap khazanah tradisi kita sebagai ‘artifak pra-kolonial’ yang sering ditakdirkan menjadi bahan tontonan di belakang kotak kaca muzium yang pasif. Dalam beberapa keadaan, khazanah ini adakalanya dibaca sebagai primitif, mati, beku dan kuno, justeru tidak relevan dalam mendepani tuntutan abad ke 21. Pembacaan yang sama juga diberikan terhadap muzium sebagai institusi tajaan kerajaan. Sekali-sekala, muzium dilabelkan sebagai tempat terasing untuk memuatkan artifak-artifak yang mati.”(8)  

Kesedaran pasca-kolonial, kaedah pensejarahan baru, kesan globalisasi dan cabaran dari ekonomi liberal tajaan kapitalisme Barat kini menjadi antara latar penting yang perlu difahami dan didepani oleh institusi pemuziuman.

Jadual 1 di bawah meringkaskan latar dan profil cabaran yang perlu digagahi oleh institusi pemuziuman pada masa kini. (9)

1.
Kejutan masa depan
  • Tekanan perubahan mendadak dalam waktu singkat
  • Hilang imbangan
  • Tak dapat sesuai diri
  • Terpinggir, tertinggal
  • ‘Social futurism’ - Keperluan kembalikan teknologi-insan
2.
Gelombang perubahan
  • Globalisasi
  • Ekonomi Pasaran bebas
  • Revolusi teknologi maklumat
3.
Persaingan kuasa (perang halus - saraf/ideologi, persaingan budaya serta gaya hidup)
  • Pentas global, pentas siapa?
  • Di mana kita dalam pentas global?
  • Siapa yang mentakrif siapa kita?
  • Siapa yang menentukan, menguasai dan mengawal perubahan?
  • Pemasaran gaya hidup. Mana yang lebih dominan?
  • Wahana perang saraf adalah seni, budaya dan warisan
4
Situasi Pasca-moden – Krisis intelek dan sistem nilai
  • Krisis macam-macam ada!
  • Budaya perca dan tampalan
  • Budaya visual dan ’spectacle’
  • Masyarakat tontotan
  • Semua boleh saja!
  • Segala heboh
  • Hilang pusat
  • Hilang makna
  • Meraikan kecetekan

5.
Kontradiksi sikap terhadap pembangunan teknologi
  • Suka atau tidak?
  • Kawan atau lawan?
  • Teori-teori sains yang baru
6.
Keperluan membuat anjakan dan penyesuaian
  • Apa yang perlu berubah/ditukar/di
      rombak?
  • Apa yang perlu dikekalkan?
7.
Kemunculan generasi net atau siber
  • Konsumer teknologi media
  • Gaya hidup
  • Agen budaya global

Jadual 1 :Ringkasan Profil Cabaran dan Realiti Abad ke 21


Profil cabaran dan realiti di atas perlu difahami dan didepani dalam usaha membangunkan aktiviti pengunjung yang dapat menarik masyarakat dan golongan sasaran untuk berkunjung dan terlibat secara lebih pro-aktif dengan aktiviti-aktiviti muzium.

Apakah pula nasib dan halatuju institusi pemuziuman pada abad ke 21 ini? 

Jika ditinjau secara umum, kaedah pemuziuman yang selalunya dipratikkan sering tertumpu kepada pengumpulan, dokumentasi dan pemaparan-semula artifak yang telah dibingkai, dikepung, diasing dan dibekukan oleh ‘kotak kaca’ muzium. Kaedah yang dikutip dari legasi sosiologi dan antropologi kolonial lama ini mungkin tidak bersesuaian lagi dengan situasi sezaman dan kaedah pensejarahan baru pasca-kolonialisme. Kaedah pemuziuman sebegini boleh menimbulkan hubungan dan pengalaman kunjungan yang tidak positif, antaranya bersifat seperti berikut :

1.  Sifat ‘linear’ atau terlalu berurutan yang melihat hal masa lepas sebagai ‘tidak semaju atau secanggih’ hal masa kini
2. Sifat pemisahan yang meletakkan sempadan antara yang lampau dengan yang kini tanpa ada kesinambungan
3.  Penerimaan dan pembacaan maklumat secara sehala, pasif, statik, beku, mati dan terpasung. 

Ciri di atas meninggalkan pelbagai kesan pengalaman negatif tinggalan saka kacamata kolonial seperti :

1.  Rasa kuno dan memandang rendah terhadap khazanah warisan seni dan budaya tempatan
2.  Memandang rendah terhadap tamadun dan peradaban bangsa di daerah Nusantara, termasuk kepintaran sains-teknologinya
3. Melihat warisan seni dan budaya dari aspek fizikalnya sahaja, bukan dari aspek nafas jiwa dan bekalan penghayatan rohaninya
4. Pemisahan dan pengasingan total antara jati diri seni-budaya dengan realiti pengalaman sains-teknologi dalam era globalisasi
5.  Kehilangan kesinambungan dan relevensi kerohanian budaya dalam konteks pembangunan insan yang seimbang
6.  Ketiadaan rasa keterlibatan dan tanggungjawab pro-aktif terhadap hubungan sejarah sains-teknologi dengan warisan seni-budaya tempatan

Dalam hal ini, seperti yang disentuh oleh Prof. Dato’ Dzulkifli, “khazanah budaya kita yang lampau seharusnya dihayati dan dipersembahkan sebagai penanda penting kepelbagaian pusaka seni dan sains yang sangat berharga. Teras kepada pusaka ini adalah pendekatan holistik terhadap usaha ‘mereka-cipta gaya hidup yang lestari’ berasaskan paradigma yang bersifat multidimensi dan rentas-bidang.” (10) 

Bagaimanakah usaha ‘mereka-cipta gaya hidup yang lestari’ seperti yang diungkap oleh Prof. Dato’ Dzulkifli di atas dapat diterapkan dan dihayati oleh golongan sasaran institusi muzium, terutama sekali remaja dan orang muda? Kepentingan golongan sasaran ini terbukti apabila tema “Muzium dan Remaja” telah dijadikan teras kepada Sambutan Hari Muzium Sedunia pada tahun 2006 yang lepas. Oleh itu, institusi muzium perlu mendepani dan memahami sikap dan ciri-ciri ‘orang muda’ baik yang positif mahupun yang negatif. Antara yang positif termasuklah sifat bertenaga, mencari-cari, semangat meneroka, merintis, mencuba sesuatu yang baru, merombak, merentas sempadan, mengembara, menongkah arus, membuka lembaran atau ruang baru, membenihkan kemungkinan-kemungkinan yang lebih segar dalam mendepani cabaran kehidupan di abad ke 21 ini.

Namun demikian, institusi muzium perlu juga menggagahi permasalahan ‘orang muda’ – kadangkala tiada haluan, tiada pemandu atau kompas, adakalanya tersesat jalan, boleh lemas, sering marah-marah pada ‘establishment’ (ibu-bapa, guru, kerajaan, korporat), segan untuk menoleh ke belakang (menghayati sejarah dan warisan), menongkah tradisi, melanggar adab dan pantang (kurang ajar dan biadap), dan banyak lagi.

Kita juga sering didedahkan dengan kepincangan penggunaan sains dan teknologi di kalangan ‘orang muda’. Teknologi SMS, MMS, video digital, ‘chat room’ dan internet mengingatkan kita kepada kepada cerita-cerita gosip, fitnah, tuduhan liar, gambar dan lawak-lawak lucah. Adakah sains dan teknologi secara amnya tidak serasi dengan paradigma dan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pengucapan seni-budaya?  Apakah anak-anak muda yang melanggan aplikasi sains dan teknologi sudah menjadi persis pelayar yang meredah lautan maklumat tak bersempadan (sejagat?) tanpa dibekalkan ‘semangat’ belayar yang betul, maksudnya tiada penanaman ilmu dan nilai?  Benarkah sains dan teknologi bersifat antagonistik atau ancaman terhadap pengucapan dan warisan seni-budaya?  Apakah boleh dibentuk suatu ruang sepunya antara sains-teknologi dengan seni-budaya yang dapat dijadikan pelantar pembelajaran dan penanaman nilai yang lestari?



3. MELESTARIKAN MUZIUM & WARISAN SEJAGAT MENERUSI “TITIAN KREATIF”

3.1 Tumbuh Berpunca – Konsep Insan Dalam “Titian Kreatif” 

Apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan ‘teknologi dalaman’? Istilah ‘pembangunan’ yang diguna-pakai oleh MGTF membawa maksud suatu usaha menghidupkan potensi ‘keinsanan’ ke tahap yang lebih tinggi dan sempurna. ‘Teknologi dalaman’ dalam konteks ini merujuk kepada falsafah seni-budaya warisan tempatan yang menekankan kelestarian dimensi mental, emosi dan spiritual pada diri manusia. Kebiasaannya, dimensi ‘non-tangible’ atau ‘halus’ ini diistilahkan secara generik sebagai dimensi ‘intelek’ dan ‘kerohanian’. Namun demikian, istilah ‘teknologi’ diguna-pakai sebagai usaha peringatan bahawa penggunaan teknologi dalam konteks pembangunan insan perlu juga mengambil kira dimensi yang dinyatakan di atas.

Jika kita merujuk kepada sumber-sumber tradisi di daerah Nusantara, gaya-hidup dan proses dayacipta telah “dibudayakan sebagai simbiosis holistik antara seni dan sains ke arah kesatuan spiritual dan kesejahteraan jiwa. Ia merupakan suatu bentuk ekspresi aturan simbolik yang halus, suatu kosmologi yang berasaskan sumber tradisi dan spiritual, suatu pencantuman antara rasionalisme intelek dengan hikmah seni.” (11)

Konsep insan dalam falsafah seni-budaya Islam-Melayu contohnya, meletakkan manusia sebagai khalifah – yakni perantara atau ‘titian’ yang bertanggungjawab membawa kesejahteraan hubungan manusia dengan Penciptanya, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekelilingnya.  Manusia, jika dirujuk pada Nakula, juga boleh dibaca sebagai ‘titian’ yang merentas dimensi alam hakikat / cahaya hakiki dengan alam syahadah atau alam bayang/gelap. (12)  Konsep ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk pengucapan seni tradisi Islam-Melayu di daerah Nusantara.

Keindahan hasil-hasil dayacipta seniman tempatan seperti keris, busana dan alat-alat muzik tradisional “perlu dihayati sebagai suatu sintesis antara teknologi tinggi dengan sentuhan kemanusiaan, antara bentuk, makna dan fungsi dalam mencari kebenaran. Dayacipta juga adalah proses melestarikan getaran-getaran minda, jasad dan jiwa, antara manusia dengan dirinya sendiri, dengan makhluk lain, dengan alam dan yang terpenting, dengan Penciptanya yang Maha Mengetahui.” (13)

Manusia ialah makhluk yang fitrahnya bersifat baru, yakni memiliki sifat sementara, sentiasa berubah dan tidak kekal. Ia dibekalkan dengan beberapa instrumen (organ) teknologi asas yang membolehkannya berfikir (dimensi mental), berperasaan (dimensi emosi) dan melakukan kerja-kerja fizikal (dimensi material). Kesemuanya bersumberkan kepada kekuatan dimensi spiritual. Jika dibaca sebegini, usaha membangunkan aktiviti pengunjung untuk melestarikan muzium dan warisan sejagat memerlukan kefahaman terhadap konsep insan atau fitrah manusia itu sendiri – yakni ilmu mengenal potensi diri kearah kesatuan kerohanian yang sejagat. 

“Titian Kreatif” mewakili iltizam USM dan MGTF untuk menerajui dan memupuk aktiviti sedia ada yang berkaitan dengan pembangunan lestari melalui penyelidikan, sumbangan dan kerjasama dengan masyarakat luar menerusi beberapa fasa dan berkonsepkan ‘membawa dalaman ke luar’. Untuk mencapai visi ini, MGTF beriltizam untuk menyediakan ekosistem pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan bertunjangkan gabungan seni-budaya dan sains-teknologi yang sentiasa selari dengan cabaran semasa, tanpa mengorbankan akar warisan, nilai dan akal budi kebangsaan.

Iltizam ini diterjemahkan menerusi beberapa program Pembangunan Pengunjung dibawah inisiatif yang dipanggil “Titian Kreatif”. Ia menawarkan pengalaman memperkaya ilmu pengetahuan sains-teknologi dan penghayatan seni-budaya serta warisan dalam bentuk yang interaktif, santai, ceria, menarik, menyeronok dan menghiburkan.  Antaranya termasuklah pakej Astronomi, Kem Bistari Sains-Seni, Muzium Masuk Kampung, Muzium Masuk Masjid, studio Batik & Seni Halus, e-cerita dan Kurator Muda, Wayang Kertas dan Topeng-topeng. “Titian Kreatif” mensasarkan pengunjung dari kalangan kanak-kanak, remaja dan orang muda. 


     3.2 Ubah Angin – Anjakan Dari Paradigma Lama
 
Susulan dari profil cabaran abad ke 21 yang digariskan dalam Jadual 1, program-program yang dirancang dalam “Titian Kreatif” digubah berdasarkan paradigma multimedia.  Paradigma multimedia merujuk kepada pemprosesan maklumat yang berlaku secara lebih organik, tidak sehala dan lebih interaktif. Paradigma multimedia bersifat lebih ‘cerebral’ dan lebih sinomim dengan profil dan fungsi otak manusia. Sifat informasi boleh dikenali menerusi kajian terhadap cara manusia berfikir atau menggunakan otaknya, dalam perkataan lain, kajian tentang minda. Ilmu tentang pemprosesan maklumat atau informasi banyak berkait dengan kajian dan teori-teori dalam bidang kognitif manusia, pembangunan sistem pintar tiruan, teori sibernetik, teori komunikasi, dan fizik kuantum. (14)

Paradigma multimedia juga dianggap mampu merombak struktur dominasi dan pengaliran maklumat secara terlalu sehala yang bersifat ‘mekanikal’ dan sinonim dengan mesin atau industri.  Ia juga berpotensi merombak beberapa bentuk ‘status-quo’ yang sebelum ini telah dibentuk dan dibakukan oleh paradigma media-massa, termasuk yang sudah tepu diguna-pakai oleh institusi-institusi pemuziuman. (15)

Istilah multimedia mungkin boleh difahami dengan lebih jelas jika dibandingkan dengan paradigma yang mendasari media-massa. Paradgima  multimedia adalah tidak sama dengan media-massa walaupun berkongsi produk-produk teknologi yang kelihatan sama. Antaranya termasuklah produk-produk teknologi dalam bidang fotografi, filem, tv dan video. Pada zaman sekarang, produk-produk teknologi yang berasal dari paradigma massa ini semakin berkembang maju dan bercantum menerusi pelantar teknologi digital atau multimedia. 

Jadual 2 di bawah menunjukkan perubahan atau anjakan paradigma dari media massa ke multimedia dalam konteks amalan pemuziuman dan aktiviti pembangunan pengunjungnya. (16)

MEDIA MASSA
MULTIMEDIA
Umum / Memperbanyak
Piawaian umum
Individu / demassifikasi
Piawaian peribadi pengunjung
Analog
Digital
Ditentukan oleh pengurusan muzium

Muzium sebagai fasilitator

Penilaian terhadap hasil akhir di penghujung proses – penilaian ‘summative’
Penilaian berkala terhadap proses itu sendiri – penilaian ‘formative’

Pengalaman kunjungan yang berurutan / sehala / satu-persatu

Pengalaman kunjungan tidak berurutan / multi-hala / serentak / kitaran (cyclical)
Estetik
Semiotik (sistem tanda, atau mengenal dan membaca tanda)
Makna dan cerita terpasung
Makna dan cerita sentiasa berubah bergantung kepada pemerhati/ pengunjung, keadaan ruang dan masa
Pameran dan aktiviti statik / pegun / kekal
Pameran dan aktiviti tidak statik / sementara / sentiasa berubah
Pameran dan aktiviti terlalu khusus dengan bidang-bidang ilmu yang diasing-asingkan
Pameran dan aktiviti umum dengan pelbagai bidang ilmu yang terangkai

Hubungan bersifat hairaki / piramid
Rangkaian perhubungan bersifat -sarang labah-labah atau jaringan yang saling bertaut
Menekankan artifak, objek atau barangan
Menekankan perkhidmatan (terutama kepada pengunjung) dan maklumat
Persaingan global
Kerjasama global
Berdiri sendiri / dominasi
Saling bergantungan / sinergi
Piawaian kekal dan terpasung
Keanjalan
Pengunjung pasif
Pengunjung proaktif
Bentuk dan objek
Hubungan dan Konteks
Satu Displin atau Bidang Tunggal dan Pemisahan
Pelbagai Disiplin / Rentas-Bidang dan Penyatuan (Gabungan grafik, teks, animasi, bunyi, muzik, foto, filem/video)
Pemusatan / Sepusat
Pelbagai pusat / Nyah-sepusat
Satu kepada ramai
Satu kepada satu, satu kepada ramai, ramai kepada ramai, ramai kepada satu
Telah ditentukan oleh muzium
Pelbagai pilihan untuk pengunjung
Pasif
Interaktif
Mekanikal / Mesin
Mental / Otak
Jasad / Fizikal
Minda / Fikiran
Benda
Masa

Jadual 2 – Anjakan paradigma dari media-massa ke multi-media

Perlu diingatkan bahawa senarai di atas tidak semestinya terpisah secara ekslusif dalam aplikasi hariannya. Kedua-dua jenis paradigma mungkin bertindan. Hasilnya, perbezaan antara kedua-dua jenis paradigma di atas sering kelihatan tidak begitu ketara. Dalam beberapa keadaan juga, kita mungkin berdepan dengan kontradiksi, paradoks, ironi dan juga pertentangan apabila arus kedua-dua paradigma di atas bersaing antara satu-sama lain.

Jika ditinjau betul-betul, paradigma multimedia boleh dianggap lebih ‘mesra’ dengan falsafah warisan seni-budaya tempatan. Ini menunjukkan bahawa sains dan teknologi terkini boleh diselaraskan dengan warisan seni-budaya tempatan dalam kesatuan sejagat yang lestari. Inilah yang menjadi paksi kepada perancangan dan perlaksanaan “Titian Kreatif” oleh MGTF.


3.3 Punca Berpaksi – Prinsip-prinsip Asas Sebagai Teras “Titian Kreatif”

Istilah ‘prinsip’ bermaksud sumber, ciri formal atau elemen utama, kepatuhan kepada kebenaran asas dalam penghujahan dan perlaksanaan atau tindakan, satu aturan moral yang menjadi panduan kepada sebarang interpretasi atau tindakan, motif sebagai dasar intrinsik dalam sesuatu perlaksanaan usaha pembangunan dan perincian susulan. (17)

Berikut dihuraikan beberapa prinsip yang terdapat dalam paradigma seni-budaya tempatan yang boleh diselaraskan dengan kemajuan sains dan teknologi terkini (sama ada secara ekstrinsik mahupun intrinsik). (18) 

i)   Adaptasi & Modulariti
Modulariti merujuk kepada penciptaan unit-unit kecil yang boleh digabung membentuk unit-unit besar dalam corak gabungan yang infinit. Modulariti juga menekankan pendekatan skimatik (pengaturcaraan) dalam membina suatu sistem atau corak rekaan yang boleh digubah dalam pelbagai kombinasi. Modulariti meningkatkan nilai adaptasi sesuatu penciptaan atau rekaan. Prinsip ini sering dikaitkan dengan unsur fractal dan juga corak ‘tumbuh’ yang digunakan dalam pemetaan minda. Contoh penggunaan modulariti banyak terdapat dalam rekacorak arabesque seni Islam, rekabentuk rumah Melayu, dan juga rekacorak skimatik Mandala.  Sistem modular juga terdapat dalam logik pengaturcaraan komputer dan rekabentuk industri seperti perabot berjenama IKEA. Kajian minda menerangkan bagaimana otak berfungsi secara adaptif dan modular. Begitu juga dengan pembangunan sistem sibernetik yang menekankan prinsip ini. Prinsip ini boleh diguna-pakai dalam rekabentuk pameran dan juga aktiviti pengunjung di muzium.

ii)  Keanjalan dan Berpusatkan Pengunjung
Keanjalan merujuk kepada kesan ciri modulariti dan peningkatan adaptasi rekaan mengikut tuntutan dan suasana yang berbeza. Kesan keanjalan dari sistem modular dapat mengelakkan sesuatu rekaan menjadi terpasung, baku dan kaku. Ia juga mengizinkan pengunjung membina sendiri corak pengalaman perseptual dan gunaan berdasarkan entry point masing-masing. Prinsip ini boleh diadapatasi dalam rekabentuk pameran yang mengizinkan pemerhati atau pengguna menentukan corak pengalaman berinteraksi dengan kandungan sesebuah pameran atau aktiviti. Ia mencadangkan kepelbagaian pilihan dalam situasi timbal-balik yang organik.  Dalam seni-budaya Islam-Melayu, keanjalan merujuk kepada kemampuan sesebuah sistem rekaan diubahsuai berdasarkan pelbagai bentuk tuntutan – ruang, masa, bahan, keadaan geografi, permintaan sosio-budaya dan sebagainya. Rumah tradisional Melayu merupakan satu contoh yang sesuai terhadap aplikasi prinsip ini.  Keanjalan juga mewujudkan kesan rekaan atau penciptaan yang terbuka, bersifat mengundang (participatory), terlibat (involvement) dan mesra-insan (sesuai dengan fitrah manusia).

iii)Susunan Tidak Berurutan (non-linear), Pengulangan dan Kitaran (Cyclical)
Ciri non-linear, pengulangan dan cyclical merupakan antara ciri utama dalam pengaturcaraan komputer. Prinsip ini juga digunakan dalam sistem penyuntingan digital yang membezakannya dari kaedah penyuntingan analog. Ciri non-linear merupakan ciri lazim dalam pelbagai bentuk pengucapan seni-budaya Melayu. Ciri-ciri cyclical, pelbagai titik tumpuan (multiple points) atau ketiadaan titik tumpuan tunggal (single focal point dalam sistem perpektif) yang banyak terdapat dalam rekacorak tekstil Melayu dan muzik etnik misalnya, mencerminkan penolakan kaedah perkembangan berurutan semata-mata (linear progress) dalam rekaan. Ia juga mewujudkan kesan pengulangan motif yang membantu proses meditasi atau mendiamkan fikiran dan perasaan.

iv)  Interaktif & Dinamik
Ciri-ciri interaktif dan dinamik merupakan antara ciri sepunya yang dimiliki oleh kedua-dua bentuk pengucapan tradisi dan teknologi baru. Dengan menekankan keanjalan dan berpusatkan pilihan pengunjung, sesuatu rekaan menjadi pemangkin kepada interaksi yang lebih organik. Interaksi ini boleh dibaca dari sudut fizikal, mental dan emosi yang merujuk kepada proses timbal-balik antara pengunjung dengan objek pameran atau aktiviti. Ini meningkatkan penglibatan dalam sesuatu proses pengamatan dan pembelajaran, yang akhirnya mewujudkan penghayatan yang lebih tinggi. Produk interaktif CD-ROM dan dalam internet memerlukan interaksi atau input pemerhati untuk menghidupkannya.  Begitu jugalah dengan produk-produk seni rupa tempatan yang sebenarnya lebih tinggi jangka hayatnya jika digunakan secara lebih interaktif.  Prinsip ini bertentangan dengan prinsip pasif yang mendasari bentuk seni-budaya moden.  Penghayatan yang lebih tinggi meningkatkan daya meditasi, membantu dalam pelarasan tenaga fizikal, mental/emosi dan spiritual dalam kesatuan yang harmonis.

v)   Saling Berkait/Bergantungan/Terangkai
Sistem modular menekankan ciri-ciri saling berkait dan terangkai meluas. Ciri-ciri ini mengelakkan sikap pengasingan dan individualistik keterlaluan yang ketara dalam bentuk-bentuk pengucapan seni-budaya Barat yang sudah dibakukan. Ia juga dapat membina persikapan intrinsik yang menghormati kepelbagaian. Pembangunan teknologi baru terutama yang melibatkan pengaturcaraan sistem interaktif memerlukan kemampuan pengaturcara mengaitkan sesuatu unit modular dengan unit-unit yang lain. Pelayaran dalam ruang internet juga bergantung kepada sistem ‘tautan’ atau ‘rangkaian’ yang saling berkait dan terjaring meluas. Seni bina Melayu banyak menampilkan prinsip yang sama dalam proses pembinaan unit-unit modular seperti kekisi tingkap, cucur atap dan motif-motif hiasan yang lain. Rekacorak dalam produk tekstil seni rupa Melayu juga menampilkan ciri saling berkait yang sama.  Prinsip ini merupakan asas kepada sifat minda yang hanya akan berfungsi bila adanya perkaitan (synapse) antara satu sel neuron dengan sel yang lain. Sistem sibernetik juga menampilkan prinsip yang sama. Tiada rangkaian, tiadalah makna. Prinsip ini perlu difahami, dihayati dan digunakan dalam sebarang usaha berpameran dan perancangan aktiviti pengunjung di muzium.

vi)  Serentak dan Pelbagai Sudut Pandangan
Ciri-ciri serentak, pertindihan dan kepelbagaian sudut pandangan merupakan antara kesan perseptual yang dapat dikesan dari pelbagai bentuk seni rupa tempatan dan Asia Tenggara. Ia juga adalah kesan dari penggunaan sistem modular dalam konsep rekaan atau ciptaan. Ciri-ciri ini juga boleh dikesan dari ciptaan dan rekaan berasaskan multimedia atau media baru.  Serentak, pertindihan dan kepelbagaian merupakan manifestasi falsafah dan persikapan dalaman yang menerima paradoks (Ying/Yang), kepelbagaian (multiplicity) dan pertindihan (overlaps) sebagai sebahagian dari lumrah dan hakikat kehidupan. Ciri-ciri ini juga mencadangkan kepelbagaian pilihan, sikap terbuka dan decentralization, yakni perlupusan titik tumpuan tunggal yang sering digunakan dalam sistem perspektif Barat misalnya.  Ciri sebegini mewujudkan kualiti penciptaan yang lebih demokratik dan menghormati perbezaan.

vii)Sains (skimatik) & Seni (ekspressi) dalam gabungan holistik
Bentuk-bentuk seni rupa tempatan telah terlebih dahulu menampilkan pendekatan berimbangan yang memenuhi keperluan fizikal dan rohani manusia dalam proses penciptaan dan gaya hidup. Gabungan berimbangan sebegini juga merupakan antara prinsip utama dalam pengolahan teknologi multmedia atau media baru yang mengimbangi antara tuntutan teknologi dan ekspressi seni. Apa yang menarik, banyak contoh seni Islam-Melayu pada rekaan tekstil yang menampilkan rekaan berasaskan kefasihan skimatik (aturan matematik) dengan nilai-nilai seni, estetik dan ekspresi yang halus serta terkawal. Gabungan sains dan seni dibawah pemacuan kekuatan spiritual dapat menjamin daya-saing dan kelestarian sesebuah pengalaman kunjungan ke muzium atau galeri.  Prinsip ini dapat melahirkan bentuk-bentuk pameran dan aktiviti pengunjung yang benar, baik dan indah.

Prinsip-prinsip di atas boleh dijadikan ciri sepunya antara sains dan teknologi dengan sumber warisan tradisi, disamping berfungsi sebagai pemacu pembangunan potensi ‘keinsanan sejagat’ yang merentas dimensi fizikal, mental/emosi. Halatujunya adalah memperkasakan dimensi spiritual dan membentuk nilai-nilai murni yang bersifat sejagat. Ia juga boleh dibaca sebagai panduan umum untuk sebarang bentuk terjemahan praktis, perlaksanaan, tindakan dan perincian susulan dalam konteks aktiviti pembangunan pengunjung agar lebih lestari, mesra insan (sesuai dengan fitrah manusia) dan bersinergi dengan alam.

Falsafah seni-budaya tempatan yang bersifat holistik dan integratif boleh dijadikan model yang berguna. Ia tidak memisahkan antara sains dan seni, antara ciri-ciri fungsi dan estetik, antara bentuk dan isi. Model holistik ini menekankan pengucapan yang menyeluruh, yang mengimbangi keperluan fizikal dan kerohanian manusia, menggabungkan kedua-dua fungsi otak kiri dan kanan secara total, diimbangi kesejahteraan emosi dan dipacu kekuatan spiritual yang menjadi tunjang kehidupan lestari. Model ini memaparkan pendekatan multi-dimensi dan rentas-disiplin yang terangkai meluas dalam hubungan organik yang saling berkait, bukannya terasing. Ia juga bersifat proaktif terhadap bahan, peralatan, teknik dan kemahiran sezaman dan masa depan.           

Seniman tradisi Nusantara terdahulu tidak pernah menolak sains dan teknologi ‘tercanggih’ pada zamannya malah mereka berusaha pula menguasai dan memahaminya untuk dimanfaat dan dijadikan wadah pembentukan perwatakan budaya serta ketamadunan yang menyeluruh. Persikapan sebegini perlu diteruskan dalam mendepani cabaran pemuziuman termasuklah usaha melestari frasa ‘ muzium dan warisan sejagat.’ Bahan, peralatan, teknik, proses dan kemahiran baru dari sains dan teknologi terkini perlu didepani secara proaktif sebagai kesinambungan ‘intrinsik’ dari warisan ‘teknologi dalaman’ kesenian dan budaya tempatan dan serantau.

Pelarasan prinsip-prinsip di atas dapat mencetuskan pendekatan pembangunan pengunjung yang berasaskan nilai (value-driven), mempunyai perkaitan budaya (cultural relevancy) dan daya spiritual, bertunjangkan aspirasi tempatan dan berketrampilan global.  Kesemua ini pula dapat menjamin daya saing insitusi pemuziuman dalam kancah era globalisasi.


4. “LANGIT & BUMI” - SAINS-TEKNOLOGI DAN SENI-BUDAYA DALAM “TITIAN KREATIF”

Sesuai dengan konsep “Universiti Dalam Taman Ilmu” yang dibudayakan oleh USM, MGTF melihat alam semesta sebagai perpustakaan terbuka untuk semua, sekaligus amanah untuk manusia sejagat. Konsep “Langit dan Bumi” di MGTF diisi dengan pelbagai aktiviti astronomi dan seni atas dasar apa yang berlaku di bumi berkait rapat dengan kejadian di langit. Oleh itu, beberapa aktiviti seperti pencerapan bulan, bintang, matahari, dan planet dilakukan untuk memberi iktibar tentang pentingnya manusia tidak membuat kerosakan(Fasad) di bumi ini. Manusia mestilah berdamai atau menghormati bumi dan menjaga keseimbangannya. Sekiranya manusia terus menerus mencemari bumi dan atmosfera, kesan rumah hijau dan kesan-kesan lain yang mungkin berlaku boleh menjejaskan kehidupan harian kita yang sebenarnya saling-bergantungan. 

Konsep “Langit & Bumi” juga diterjemah menerusi aktiviti menjanting batik. Batik adalah khazanah warisan negara yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat sejagat. MGTF mengorah langkah dan strategi mendekatkan masyarakat  dengan khazanah seni ini melalui bengkel asas cara pengendalian peralatan batik, perkongsian ide, teknik mewarna dan penghayatan warna sebagai gelombang tenaga yang dapat melaraskan minda, emosi dan jiwa setiap insan. 

Apresiasi terhadap kualiti sejagat gelombang warna atau tenaga dilengkapkan menerusi pendedahan terhadap penggunaan teleskop dan teknologi pengimejan dalam ilmu astronomi disamping pelbagai aktiviti astronomi yang lain. Aktiviti-aktivti ini juga telah menjadi daya tarikan utama golongan muda dan masyarakat setempat yang menjadikan MGTF sebagai destinasi yang perlu dilawati dan dikunjugi.

Bidang astronomi dapat mendedahkan pengunjung kepada warisan alam yang paling bersifat sejagat. Penghayatan terhadap keindahan alam semesta juga boleh meningkatkan kesedaran sesiapa juga terhadap kepintaran dan keagungan Ciptaan Tuhan, baik dari sudut keindahan seninya mahupun kehebatan fakta-fakta saintifiknya. Ini dapat membina kesedaran minda dan pemurnian rohani untuk sesiapa juga tanpa mengira bangsa, kepercayaan agama, latar budaya mahupun ekonomi. 

Bidang astronomi juga mendedahkan pengunjung kepada ‘sejarah’ dan ‘warisan’ alam semesta yang jauh lebih tua dari sebarang artifak yang terdapat di mana-mana muzium sekalipun. Sebagai contoh, batu ‘tahi bintang’ yang merupakan sebahagian dari bahan pameran MGTF berusia jauh lebih tua dari usia bumi mahupun sistem solar kita! Nilai ilmu, nilai seni, nilai saintifik, kehebatan rahsia Ciptaan dan kepentingan sejarahnya menjadi ‘warisan’ untuk semua.

Kesimpulannya, “Langit dan Bumi”merujuk kepada penggunaan otak kiri dan kanan selaras dengan usaha untuk melestarikan minda dan emosi dengan getaran alam. Ia juga merujuk kepada simbosis antara seni dengan sains, dan antara tradisi dengan realiti masa kini dalam membina potensi keinsanan yang tinggi, halus dan sempurna.

“Titian Kreatif” secara ringkasnya melambangkan kelestarian kehidupan dari sudut saintifik dan keharmonian falsafah bersifat mesra-alam yang berakar-umbi dari nilai budaya tempatan yang mencakupi fitrah alam yang tumbuh berpunca dari benih kasih. Benih kemudiannya melahirkan lingkaran pohon yang mengeluarkan pucuk baru sebelum tunduk melentuk semula ke bumi. Pertumbuhan ini serentak menjadi bahan dan sumber inspirasi kepada sains dan teknologi, dua ikatan yang tidak dapat dipisahkan.


5. “KEM BISTARI SAINS & SENI”- TERJEMAHAN PRAKTIS “TITIAN KREATIF”

Salah satu dari program dibawah insiatif “Titian Kreatif” yang telah dilaksanakan oleh MGTF adalah “Kem Bistari Sains & Seni”. Kem ini telah dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Langkawi pada 10 hingga 14 Mei 2006. Program ini telah dianjur bersama dengan Persatuan Muzium Malaysia dan Galeri Perdana Langkawi dengan kerjasama dari MRSM Langkawi, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Jabatan Pelajaran Daerah Langkawi, LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi), Unit Ilmu Falak dan Sains Atmosfera USM dan Pusat Pengajian Seni USM. (19)

Secara khususnya, program ini menggariskan objektif seperti berikut :

  • Mendedahkan para peserta dengan aktiviti-aktiviti pembangunan remaja yang dapat menjana pembangunan minda (pemikiran lateral dan penyelesaian kreatif, penjanaan ide, pengetahuan sains dan seni), pembangunan kemahiran (kemahiran pengunaan peralatan astronomi dan kraf tradisional batik) dan pembangunan nilai (imbangan langit dan bumi, rupa dan jiwa, rohani dan jasmani)
  • Memperkenalkan aktiviti-aktiviti bersifat pro-aktif, interaktif, menarik dan menyeronokkan untuk mendekatkan golongan remaja dengan muzium
  • Memperkenalkan kegiatan yang menggabungkan kedua-dua bidang seni-budaya (warisan kraf tempatan) dengan bidang sains dan teknologi (fizik & astronomi)
  • Membentuk pengalaman pembelajaran holistik yang lebih menyeronokkan disamping membina kekuatan kedua-dua otak kanan dan otak kiri menerusi bidang seni, rekabentuk, astronomi dan fizik
  • Menjana lebih banyak ide-ide kreatif, segar dan menarik yang boleh membentuk kelab-kelab kreatif gabungan pelbagai ilmu sains dan seni
  • Membina rangkaian perhubungan antara universiti, kakitangan muzium, guru dan murid sekolah
  • Membuka ide-ide baru yang boleh diterapkan dalam usaha meningkatkan peranan muzium sebagai pemangkin ilmu (sains dan seni-budaya) untuk penghayatan remaja dan pembangungan lestari

Kem ini telah disertai oleh seramai 21 orang kakitangan muzium dari beberapa muzium di seluruh Negara, 3 orang guru dan 11 orang pelajar dari 2 buah sekolah menengah di Langkawi.

    Pengisian Kem meliputi aktiviti-aktiviti berikut :

  • “Ice Breaking” dan permainan pembinaan kepimpinan dan kumpulan
  • Permainan uji minda
  • Taklimat dan kuliah astronomi
  • Pencerapan matahari dan bintang
  • Bengkel batik celup dan batik janting
  • Bengkel mengguna teleskop
  • Bengkel membuat roket air
  • Pertandingan melancar roket air
  • Pertandingan rekabentuk roket’
  • Bengkel astrophotography
  • Pemasangan hasil-hasil Kem di Expo/Pameran Hari Muzium Sedunia, Dataran Lang, Langkawi

Walaupun hasil maklumbalas dan kajiselidik yang diambil dari 25 responden (peserta)secara umumnya adalah positif, namun masih banyak lagi ruang pembaikan yang perlu dilaksanakan (rujuk Jadual 3 dan 4).

   Berikut adalah ulasan perbandingan antara objektif dengan pencapaian sebenar dari Kem tersebut :

  • Objektif 1 - Telah didedahkan dalam bentuk yang interaktif, menarik dan menyeronokkan.  Respon atau komen terhadap kedua-dua aktiviti berbentuk sains dan seni juga adalah memuaskan. Pembangunan nilai dapat dilihat dari sikap peserta yang saling bekerjasama, proaktif, cekal, bersemangat, bantu-membantu dan bertanding dalam semangat kesukanan yang sihat

  • Objektif 2 - Kesedaran peserta terhadap muzium meningkat, terutama setelah mempersembahkan hasil kem di Dataran Lang bersama muzium-muzium lain

  • Objektif 3- Aspek seni (batik) perlu disertai ceramah.  Batik dan astronomi perlu dikaitkan, mungkin menerusi teori warna, atau fizik kuantum

  • Objektif 4 -  Bidang astronomi itu sendiri sudah merupakan satu bidang yang boleh mencetus pengalaman pembelajaran yang holistik – fakta saintifik dan nilai artistik.
Aktiviti batik perlu menekankan pertautan dengan astronomi.  Aktiviti merekabentuk roket adalah satu lagi contoh pengalaman pembelajaran holistik gabungan sains dan seni

  • Objektif 5 – Objetif ini telah dicapai ketika beberapa aktiviti kreatif seperti pemasangan hasil hasil kem di Dataran Lang, rekabentuk roket dan bengkel batik ikat dan celup.
  • Objektif 6 – Pembinaan rangkaian perhubungan antara universiti, kakitangan muzium, guru dan murid sekolah bergantung kepada tindakan susulan para peserta. Bilangan penyertaan guru dan murid kurang memuaskan kerana bertindan dengan minggu peperiksaan. Namun demikian, MGTF sehingga kini sentiasa menjadi pilihan banyak sekolah di seluruh Malaysia untuk aktiviti lawatan. 
  • Objektif 7 – Usaha membuka ide-ide baru yang boleh diterapkan dalam usaha meningkatkan peranan muzium sebagai pemangkin ilmu (sains dan seni-budaya) untuk penghayatan remaja dan pembangungan lestari juga bergantung kepada tindakan susulan para peserta. Setakat ini, beberapa ide baru dari Kem ini telah diterapkan dalam beberapa aktiviti di premis MGTF. MGTF juga telah dijemput untuk melaksanakan Kem yang sama (versi pendek) di Yayasan Kesenian Perak, Ipoh.  Selain dari itu, MGTF telah mengadaptasi aktiviti-aktiviti dari Kem ini dalam program “Muzium Masuk Kampung” di Kampung Seronok dan Pulau Betong, Pulau Pinang, di MRSM Kulim, Kedah dan yang terbaru, di “Little Penang”, Georgetown.

6. KESIMPULAN

 Dato’ Profesor Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM, pernah menukilkan bahawa “kita adalah penghuni masa kini yang mewarisi dari masa lampau dan memegang amanah bagi generasi masa depan. Malaysia adalah sebuah Negara bertuah yang dianugerahkan dengan kemewahan warisan merentas-budaya. Warisan ini juga boleh dilihat secara kolektif sebagai lambang pusaka seni dan sains Asia Tenggara. …Adalah amat penting untuk setiap khazanah artistik ini dihayati juga sebagai penzahiran minda yang berfikir secara saintifik dan teknologikal. Simbiosis antara seni dan sains yang telah lama wujud dalam warisan budaya kita sendiri mencerminkan hasil usaha melestarikan otak-minda, jasad dan jiwa.” (20)

            Titian kreatif antara langit dan bumi, secara tamsilan dan dari segi praktisnya mewakili iltizam yang berterusan oleh MGTF USM dalam melestarikan frasa ‘Muzium dan Warisan Sejagat” terutama sekali di kalangan kanak-kanak, remaja dan orang muda. Semoga frasa “Muzium dan Warisan Sejagat” tidak menjadi sekadar tema atau slogan tahunan yang dilaung persis mengetok tin-tin kosong ketika acara-acara rasmi sahaja. Ia perlu gagahi, difahami, dihayati, diperkasa, digerak dan dibudayakan sepanjang masa.






NOTA & RUJUKAN

  1. (2005). Kamus Dewan edisi ke4. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
  2. Muzium…ICOM
  3. T.K. Sabatahy, “Consideration for a Policy for the Museum and Gallery, USM” dalam Appendix A of Minutes of Eight Meeting, noted as ‘preliminary’ policy proposal, submitted in September, 1973
  4. Ibid
  5. (2005). Kamus Dewan edisi ke4. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
  6. (2005) Undang-Undang Malaysia – Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), Kuala Lumpur : Jabatan Warisan Negara.Ms 15&16
  7. (2005). Kamus Dewan edisi ke4. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
  8. Dzulkifli Abdul Razak (2007), “Menyegarkan Semula Pusaka Seni dan Sains di USM” dalam Buku Majlis Pemasyhuran Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM : Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM
  9. Rujuk Hasnul J Saidon (2003) “Cabaran Praktis Seni Elektronik Dalam Era Maklumat”, Wacana Seni Jilid 2. Pulau Pinang : Penerbit USM
  10. Dzulkifli Abdul Razak (2007), “Menyegarkan Semula Pusaka Seni dan Sains di USM” dalam Buku Majlis Pemasyhuran Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM : Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM
  11. Ibid. ms  . Sebagai rujukan dan perbandingan, rujuk juga Ismail Zain (1978), “Masa Depan Tradisi – Dikhususkan Kepada Pengalaman Kuno di Malaysia”, Bengkel Wayang Kulit, Kuala Lumpur : KKBS dan Ismail Zain (1986) “Ucapan Nada Idea”, Seminar Seni dan Teknologi, Pulau Pinang : Pusat Seni USM
  12. Untuk premis ini, saya merujuk beberapa sumber utama seperti :
Sulaiman Esa (1993), “The Reflowering of the Islamic Spirit in The Contemporary Malaysian Art”, dalam
Menifestasi Jiwa Islam Dalam Senirupa Malaysia Sezaman. Kuala Lumpur : Balai Seni Lukis Negara. 
Beliau memetik Nakula “Falsafah Pemikiran Orang-Orang Melayu”. 
Al-Ghazali (1997). Misykat Cahaya Cahaya. Bandung : Penerbit Mizan
Ruzaika Omar Basaree (1995). Kesenian Islam – Suatu Perspektif Malaysia. Kuala Lumpur : Balai Seni
Lukis Negara, Saidon, Hasnul J. (1993). Aesthetic Expression Tauhid – The Questions of Survival. Troy : Rensselaer
Polytechnic Institute.
  1. Dzulkifli Abdul Razak (2007), “Menyegarkan Semula Pusaka Seni dan Sains di USM” dalam Buku Majlis Pemasyhuran Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM : Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM
  2. Untuk kefahaman lanjut, rujuk antaranya :
Buzan, Tony (1993), The Mind Map Book. London : BBC Books
Baker, Robin (1993), Designing the Future – The Computer Transformation of Reality. London : Thames & Hudson
Cotton, Bob (1993), Understanding Hypermedia – From Multmedia to Virtual Reality. London : Thames & Hudson
Capra, Fritjof (1991), The Tao of Physics. Boston : Shambala
Davies, P.C.W and Brown, J.R. (eds) (1993), The Ghost in the Atom. Cambridge : Cambridge University Press
  1. Rujuk Hasnul J Saidon (2000), “An overview of Hyperview” E-Art Asean Online. Kuala Lumpur : Balai Seni Lukis Negara
  2. Senarai anjakan ini disusun-semula dari beberapa pemuka teori anjakan atau perubahan seperti :
Burrus, Daniel (1993), Techno Trends.  New York:  HaperCollins Publisher.
Naisbitt, John (1996), Megatrends Asia.  Simon & Sschuster Inc.
Topscot, John (1998), Growing Up Digital.  New York:  Mac Graw Hill.
Toffler, Alvin (1970), Future Shock.  New York:  Bantam Books.
______.  (1980), Third Wave. New York:  Bantam Books.
______.  (1990), Powershift. New York:  Bantam Books.
  1. Merujuk kepada Fowler F.G. & Fowler H.W (compiler) (1968), The Pocket Oxford Dictionary. London : Oxford University Press.
  2. Prinsip-prinsip ini diadaptasi dari rujukan utama :
Faruqi, Ismail R dan Louis Lamya (1992), Atlas Budaya Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
  1. Untuk maklumat rujuk laporan oleh Hasnul J Saidon (2006), “Laporan Kem Bistari Sains & Seni”, Pulau Pinang : Muzium & Galeri Seni USM
  2. Dzulkifli Abdul Razak (2007), “Menyegarkan Semula Pusaka Seni dan Sains di USM” dalam Buku Majlis Pemasyhuran Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM : Muzium & Galeri Tuanku Fauziah USM  

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...