Saturday 12 May 2012

KEARIFAN YANG INFINIT

(Tautan ke Bahagian 15)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/12/medan-minda-dan-taliannya.html?m=0

(Diadaptasi dari esei oleh Stuart Hameroff, September 2009.)

Bolehkan fikiran memberi kesan secara langsung terhadap dunia sekeliling kita? Adakah minda kita bersenada dengan segala makhluk lain dalam alam yang luas ini? Wujudkah realiti kearifan kosmik yang jauh lebih halus?

Warisan batin kita mengatakan ya. Ahli falsafah dahulu-kala, ahli agama, pelbagai tradisi spiritual, malah kini dalam budaya popular termasuk filem dan buku, menyatakan bahawa fikiran memberi kesan langsung pada dunia sekeliling dan bahawa realiti kearifan kosmik yang lebih halus itu wujud.

Namun, ramai saintis menafikannya. Sains totok lazimnya melihat fikiran dan perasaan sebagai hasil proses pengiraan neuron-neuron pada otak. Pandangan ini tidak berbeza dengan interaksi antara bit silikon dalam teknologi informasi (IT). Menurut faham ini, fikiran tidak boleh mempengaruhi kejadian jauh. Betul ke?

Namun ada juga saintis yang mengatakan bahawa fikiran boleh menentukan realiti menerusi kesan kuantum dalam otak, namun terhad.

Kesan kuantum? 

Masalahnya, kehidupan seharian kita ditentu dan diterangkan oleh fizik 'klasik'. Antaranya adalah Hukum Gerakan Newton dan Formula Elektromagnetik Maxwell.

Hukum dan formula ini dapat menjangka dengan tepat sifat-sifat benda dan tenaga dalam skala besar. Dari sudut fizik klasik, partikel (zarah kecil dalam atom) dan objek fizikal dilihat secara terasing. Mereka berdiri sendiri dan berinteraksi secara yang boleh dijangka. Berdasarkan fizik klasik, para saintis lewat abad ke 19 percaya bahawa segalanya tentang realiti fizikal kita telah diterangkan. Namun kepercayaan ini ada cacatnya jika realiti fizikal ditinjau dari sudut fizik kuantum.

Kuantum bermakna unit paling kecil atau halus untuk apa saja. Ia merujuk pada unit paling halus, kecil atau dasar untuk tenaga, atau benda, dalam skala yang sangat kecil. Dalam skala yang tersangat halus ini, banyak fenomena yang dianggap 'pelik' (ikut hukum fizik klasik) berlaku.

Contohnya, partikel-partikel kuantum boleh berada di dua atau lebih keadaan atau lokasi pada masa yang sama. Sesuatu atom itu boleh berada di dua lokasi serentak! Partikel kuantum wujud dalam gelombang yang penuh dengan kemungkinan (disebut fungsi medan kuantum atau qwiff). Qwiff yang terasing dari segi jarak, boleh bertaut atau berkait dan bergumpal dengan qwiff yang lain (dipanggil non-local entanglement). Einstein merujuknya sebagai 'spooky action at a distance.' Jika diusik qwiff ini, kembarnya yang lain (dilokasi yang berbeza) akan turut memberi reaksi.

Pertautan ini merujuk pada bagaimana minda kita semua sebenarnya bertaut tanpa dibatas jarak, ruang dan masa. Ia membentuk asas cinta dan pertautan emosi serta tarikan batin.

Semuanya pelik jika realiti dibaca ikut hukum totok fizik klasik. Fizik klasik tak boleh terangkan fenomena ini. Ilmu yang terhad pada pembuktian empirikal semata-mata hanya membawa kita pada 'pintu' warisan batin saja. Untuk masuk ke dalam, melalui dan mengALAMInya, segala bentuk penerokaan dan penyelidikan bersifat positivis, tidak boleh dipakai. Ia hanya akan menjadi 'hijab'.

Satu lagi sifat kuantum adalah keselarasan dan penepuan, dalam mana partikel-partikel bersatu dan bertindak secara kolektif sebagai satu entiti tunggal yang lebih besar. Fikiran yang sedar, dan HIDUP itu sendiri menggunakan keselarasan kuantum.

Begitupun, jarang kita dapat melihat kepelikan kuantum dalam pengalaman seharian kita. Realiti seakan terpecah dua, yang satu ditakrif oleh fizik klasik, yang satu lagi, fizik kuantum. Pemisahan dua cara melihat realiti fizikal ini bukan saja dari segi skalanya. Sempadan antara fizik kuantum dengan fizik klasik terus menjadi misteri atau rahsia yang terhijab.

Dalam blog entry saya yang lepas, telah dibentangkan hasil kerja beberapa saintis yang cuba membuka hijab ini. Antaranya Niels Bohr, yang mengatakan bahawa keadaan serba berkemungkinan qwiff akan runtuh untuk membina hanya satu realiti (untuk dialami sebagai 'aku yang mengalami pengalaman fizikal') apabila berlakunya penyaksian. Ia dikenali sebagai interpretasi Copenhagen'. Premisnya adalah bahawa penyaksian yang sedar (fikiran) yang memilih atau mempengaruhi realiti yang dialami.

Jika benda yang kita alami itu terdiri dari atom, dan atom itu majoritinya ruang kosong, adakah alam ini sebenarnya hanyalah ruang kosong?

Bayangkan kita mampu mengecilkan diri hingga ke saiz atom, atau lebih kecil lagi, partikel seperti elektron dan quarks. Dalam skala ini, segala yang kita panggil benda akan hilang dan tidak lagi relevan. Segala yang digunakan untuk mentakrif siapa kita dan pengalaman hidup kita juga hilang. Segala benda, tanda, jenama, harta, pangkat dsb yang kita pegang bagai nak mati, semua hilang dan pupus relevansinya.

Yang kita selama ini katakan 'aku' itu pun hilang!

Saintis mengatakan bahawa dalam skala ini, alam wujud dalam bentuk yang quantized (tidak rata, tidak sekata), dibentuk oleh corak-corak geometri yang dipanggil geometri ruangmasa.  Penrose contohnya, mencadangkan bahawa pada skala ini, seluruh alam adalah 'holografik'. Bagi beliau, pada skala yang teramat halus ini, tertanamnya apa yang beliau rujuk sebagai nilai-nilai Plato(ahli falsafah), termasuk kebenaran matematik, estetik, etik dan nilai-nilai dasar. Bunyinya seakan merujuk pada kepercayaan bahawa terdapatnya kearifan yang infinit seperti yang telah dibawa oleh banyak tradisi spiritual sebelum ini. 

Bagaimanakah kita dapat menyelak hijab fizik klasik berpaksi benda untuk mengintai kearifan yang infinit ini?








No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...