Monday 19 December 2011

MEDAN MINDA DAN TALIANNYA

Semalam saya dapat link nota fb dari Kak Pah (Dato' Sharifah Fatimah Zubir), pelukis otai dan kakak dalam dunia seni saya. Kak Pah ni rajin hantar link pada saya. Harapnya boleh menjadikan pengalaman atas talian (online) ini lebih berpaksi. Seperti biasa, bila saya sedang berkonflik dalam usaha menyelak hijab, saya didatangi link sebegini. Agaknya Bonda saya selalu berdoa untuk anak dia yang brutal ni. Link ni kena pada masanya, terutama sebelum berkarya, termasuklah sekarang ni tengah sibuk nak mevisualkan kisah 'Ibu Pertiwi'. 

Kak Pah pula memang mengamalkan apa yang orang media, bahasa dan komunikasi sebut sebagai 'transmediation' (silalah goggle sendiri maksudnya). Terima kasih Kak Pah.

Yang terbaru Kak Pah beri saya link untuk nota fb tulisan Imam Madaina B. Pramudityo tentang Nur Muhammad yang antara lain mengulas tentang konsep cahaya. Saya tak kenal Imam ni, tapi saya baca tulisan dia. Susah nak faham.

Baca tulisan mahupun buku selalunya kena disusul dialog dengan guru yang dipercayai, kalau tidak nanti minda bertemankan tenaga hitam 'darth vader' la pulak. Kalau tak pun kena disparring kan hujahnya dengan rakan-rakan yang berilmu. Inipun ayahanda saya yang selalu pesan. Dia risau saya hanyut jauh sangat dalam berhelai-helai mukasurat buku. Dia pun dah faham sangat ego dan bara hati saya yang masih sebesar stadium Bukit Jalil ni.  

Buku (dan membaca buku) selalunya diletakkan sebagai makam ilmu. Tapi saya selalu diingatkan bahawa lebih afdal berguru secara langsung dengan guru yang mursyid, bukan hanya dari buku, atau lebih parah lagi, dari jin dan yang sehati berdansa dengannya.   

Bila sebut 'cahaya', saya terkenang arwah Dato' Syed Ahmad Jamal. Beberapa hari sebelum dia meninggal, dia ada telefon saya untuk buat satu perbincangan (dan mungkin juga projek pameran) berkaitan dengan 'cahaya atas cahaya' atau 'light upon light'.  Ini semua penangan kesudian dia datang jauh dari KL ke Pulau Pinang untuk buka rasmi pameran solo saya, yang bertitik tolak dari hal yang sama - cahaya. Saya tak berapa faham apa yang dia bebelkan dalam perbualan telefon kerana waktu tu, suara dia bunyinya lain macam. Tak lama lepas tu, dia meninggal. Dato' Syed sudah kembali kepada Cahaya Hakiki.

Salah seorang dari rakan fb, Halim Akib mengingatkan bahawa "adalah sukar untuk memafami konsep Nur Mohammad bagi orang biasa kerana ini adalah pandangan tasauf dalam kasyaf mereka yang terlalu halus yang tergambar dalam fahaman mereka masing-masing yang mereka sebut dalam berbagai istilah. Secara rengkas boleh disimpulkan ia adalah tajalli awal Allah yang mana segala kejadian bermula. Dia bukanlah makluk yang dijadikan tapi adalah pancaran dari Allah sendiri sebagai sumber segala kejadian." Sebagai orang biasa, saya boleh faham kenapa dia pesan begini.

Apabila kita berbicara tentang sesuatu yang sangat halus dan tinggi termasuk hal-hal spiritual, mau tak mau kita perlu berdepan dengan 'bahasa'. Bila sebut bahasa, kita masih terperangkap dalam konsep minda (mental concept), Konsep minda hanya boleh berfungsi dalam dualiti (perbandingan, contohnya kalau nak faham manis, kena faham pahit). Segala bentuk teks dalam bahasa (yang ditutur atau ditulis) hanya dapat membina makna menerusi perbandingan antara teks (interteks).  Ni dah bunyi khutbah akademik la pulak. Sorry ya.

Pelbagai dapatan dan teori tentang bahasa atau persoalan lingusitik ni banyak didebatkan dalam Kajian Budaya. Bahasa yang diaksikan (performed) atau diwacanakan (diberikan sistem, ditutur, didialog) membina makna bagi penuturnya. Penutur secara kolektif merujuk kepada sesebuah masyarakat dalam sesuatu masa dan lokasi. 

Contohnya, Bahasa Melayu ada penuturnya, dan ada banyak cara menuturnya (bergantung pada kumpulan masyarakat dalam masa dan lokasi yang berbeza). Setiap satunya tak semesti membina makna yang sama tentang pelbagai aspek kehidupan, termasuk pengalaman kerohanian. 

Malah dalam pelbagai kumpulan fb sendiri, ada banyak 'wacana' yang berbeza, bergantung pada cara bahasa ditulis. Setiap kumpulan fb ni boleh membina makna berbeza-beza tentang sesuatu perkara yang dibincangkan bersama. Kalau dikaji, orang pandai-pandai sebut sebagai 'discourse analysis'. Sekarang ni, kajian bahasa bukan setakat bahasa tutur dan tulis je, tapi bahasa visual, termasuk bahasa badan. Cuma di Malaysia, ramai yang masih syok beromen dengan badi dan pu'saka' estetika bentuk (tak payah cakap besor, yang menulis ni pun sesekali kena sampuk juga). 

Wacana dan makna yang terbentuk selalunya dibingkai oleh faktor masa (sejarah) dan lokasi (daerah atau lokaliti). Antaranya termasuklah makna-makna politik, sosial, ekonomi, kebudayaan, seni dll. Termasuk jugalah wacana (dan pembinaan makna) berkaitan dengan pengalaman kerohanian mahupun spiritualiti. 

Apabila sesuatu yang tidak dapat dicerap oleh pancaindera hendak diungkap dalam bahasa dunia jasad atau mimpi benda, yang sering terjadi adalah kegelinciran. Maksudnya, memang sukar untuk memasung atau memberi jasad, bentuk atau bahasa kepada pengalaman kerohanian (ghaib). Apa saja yang diungkap (secara tutur, tulis mahupun dalam bahasa visual), bukanlah sebenarnya pengalaman kerohanian tersebut, tetapi adalah 'bahasa' dan wacana yang digunakan  untuk menerangkannya. 

Tapi jangan heran jika ada yang memegang, meletakkan makna 'mutlak' (lebih parah lagi, memuja) 'bahasa' atau 'bentuk' (form) lebih dari menemui jalan untuk meng'alami' pengalaman kerohanian. Dalam bidang seni visual, ini quick sand yang paling licik mempersenda ego 'seniman'. Agaknya, sebab tu lah kekadang, bila dah perasan diri saya ni cukup petah berbicara dan berteori tentang kreativiti kerana ada pangkat Masters (belum Phd lagi tu), tiba-tiba terhijab dari menyedari yang jiwa dah keras jegang langsung tak mengalirkan kreativiti. 

Jiwa keras tak mengalir ni kerana makna-makna yang dibina oleh wacana boleh terperangkap dalam ledakan pelbagai istilah (dan pelbagai bahasa tutur, tulis dan visual). Kalau dipegang persis berhala, ada kalanya boleh menghadirkan konflik berpanjangan (walaupun dalam sesama bangsa dan fahaman agama sekalipun). Ada yang sanggup berperang, kalau tak pun berseteru sampai lebih dari tujuh keturunan. Hal ini kalau nak bincang boleh meleret. Sesiapa yang berminat, bukalah niat dan carilah insan yang lebih arif dari yang menulis ni.

Saya juga terkenang pameran "Raja'ah", suatu eksposisi himpunan karya-karya Sulaiman Esa atau lebih mesra dipanggil Pak Leman. Selain petah berbahasa tutur dan tulis, Pak Leman juga otai dalam bersilat dengan bahasa visual. Bila berdepan dengan karya-karya beliau semasa beliau muda dan semasa beliau sedang menuntut di luar negara, saya rasa 'hilang diri' dan lebih 'high'. Peliknya ini tidak terjadi bila berdepan dengan karya-karya beliau yang dikatakan lebih 'Islamik' penampilannya. Tapi 'high' saya tu mungkin bukan pengalaman kerohanian yang murni, atau saya yang tidak cukup 'Islamik'. Masih ada banyak yang tidak terungkai dalam 'wacana' yang mengiringi pameran Pak Leman. Mungkin belum masa untuk ia timbul lagi agaknya. 

Untuk orang biasa atau kebanyakan seperti kita yang suka melayan blog seperti ini, mungkin boleh direnung bahan-bahan yang lebih mudah digapai terlebih dulu. 

Kita boleh renungkan persoalan tentang cahaya dalam bidang fizik kuantum, juga kaitannya dengan kajian tentang otak (minda), fizik neuro dan sistem kompleks (complex system). Sistem kompleks pula boleh dikaitkan dengan teknologi maklumat. Teknologi maklumat memperlihatkan kepada kita bagaimana data (tidak berjasad, takda bentuk) disimpan secara 'maya', diakses, diolah, diaksikan, diwacana, dipecah, diolah-semula secara 'atas talian' atau 'online'. Sistem kompleks dan jaringan maklumat ini bebas dan tidak berlokasi tetap. Sesiapa juga boleh mengaksesnya secara 'remote' dari mana-mana. Operasinya lebih menyerupai operasi dan fungsi otak yang banyak dibincangkan dalam teori minda. Ini termasuk 'remote sensing' dan 'non-local communication'. Keduan-duanya dah ada dalam warisan Melayu contohnya, termasuklah apa yang dikatakan sebagai 'komunikasi batin' yang tak dipasung oleh jarak, ruang dan masa. Bonda kita ada remote sensing dengan minda kita.

Kini saya faham kenapa Arwah Pak Mail (Ismail Zain), guru saya, sibuk berpesan agar ditinjau tinggalan warisan dan tradisi Islam-Melayu umpamanya, dari sisi sains fizik dan teknologi. Al-Fatihah untuk Pak Mail.

Teori minda contohnya,  membicarakan tentang cara minda kita membina dan memaknakan apa yang kita sebut selalu sebagai 'pengalaman hidup ku', menggunakan kedua-dua jurus fikir otak sebelah kiri dan kanan. Lebih jauh lagi adalah kajian berkaitan dengan fizik neuro. Teori dan kajian ini pula boleh kaitkan dengan prinsip-prinsip yang terdapat dalam seni dan sains Islam yang sebenarnya juga merujuk kepada lapangan kuantum. Lapangan kuantum adalah dunia sub-atom atau medan tenaga yang lebih halus. Jika hanya lihat dari sisi 'bentuk', bernuansa positivis, kita hanya akan menemui 'arabesque' atau 'motif tumpal' je lah.

Jika dibandingkan dengan penerangan AlGhazali dalam "Misykatul Anwar", medan kuantum merujuk kepada cahaya akal. Banyak penemuan baru dari jurus fizik kuantum sebenarnya kembali semula kepada apa yang telah dibekalkan oleh Rasulullah S.A.W. (cuma biasalah, sains fizik rata-rata dikuasai oleh saintis yang tidak berpangkal syahadah dan tak bertalian tauhid). Sayang sekali buat masa ni tiada penguasaan kalangan orang Islam yang boleh menghubungkannya dengan konsep yang lebih halus seperti yang dihuraikan dalam nota Imam Madaina kita ini.  

Ramai juga (termasuk yang menulis ni) yang masih terperangkap dalam pemisahan sains dan seni, atau selesa dalam silo (kepungan ilmu atau bidang) masing-masing. Tapi ini mungkin pemerhatian cetek saya la. Saya harap saya salah, dan berdoa akan ditemukan dengan jalan hubung ber'talian' yang lurus (sebut dalam solat, itupun kalau tak miss solat la).

Begitupun, jika tidak dikaitkan dengan sesuatu yang bahasa dan wacananya bersifat sezaman (kontemporari) mungkin sukar untuk orang biasa memahami tulisan yang berbicara hal kerohanian, seperti yang dimaklumkan oleh Halim. Itu belum lagi kitab-kita yang menggunakan nahu bahasa Melayu yang lama, yang banyak diterjemah atau diolah-semula dari bahasa Arab, seperti yang digunakan oleh Ayahanda saya. Ada banyak 'arakian', 'sayugia'. 'ruhai', 'buana' dan macam-macam lagi. 

Malah, tak payahlah pergi jauh-jauh. Tulisan saya ni sendiri mungkin ramai yang 'tak faham'. Ada juga kekawan ikhlas (kalau tak pun, isteri sendiri) yang sesekali membangunkan lena ego saya dengan "apa yang hang merapu tulis ni?"

Saya kongsi, jika tak setuju takpa, tolak je ke tepi. Kalau rasa salah, nak betulkan, lagi best. Kita sama-sama mohon Petunjuk dan Hidayah dari Allah agar dapat mengecapi pemBANGUNan sebenar dari lena mimpi benda (atau holografi 4D). 

:)





 




3 comments:

  1. ...nii .laa antara bab bab yg menarik utk didalami terutamanya pada usia sebaya kita nii....coming of age..kata omputih.... aku sendiri kdg2 hilang dlm alam lain..terutamanya lepas baca buku yg berat2....aku tau aku sebenagnya perlu berguru....but once it is heavy to chew I just let it go....

    ReplyDelete
  2. Thank u Fik. Letting go and total submission are good for the soul. Anyway, u may want to read my other entries and share your insights....one example is here http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/12/demythifying-ego-in-honor-of-jumaat.html

    ReplyDelete
  3. Asalamualaikum
    baru menyelak naskah pandangan en hasnul, dari pengalaman saya belajar dan bersahabat dengan tuan, saya dapati pandangan yang dilontarkan itu begitu kompleks. Namun penerangannya itu tidak kaku dan ia masih berpasak dipermukaan bumi secara nyata. Apa yang saya fahami (namun bukan secara mutlak) persoalan senirupa kini pemahamannya haruslah berlandaskan penelitian terhadap alam sekeliling kita secara holistik dan ia haruslah berteraskan ilmu yang "mencapah" dalam konteks yang begitu kompleks.

    Paiman

    ReplyDelete

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...