Adik-adik yang disayangi, izinkan abang sambung dan kongsi lagi hal naratif, susulan dari luahan naratif peribadi beberapa hari lepas.
Sesekali, abang suka juga layan majalah New Scientist untuk mengetahui perkembangan terkini dalam bidang sains, terutama yang berkait dengan kajian kognitif (minda), kesedaran (consciousness), psikologi pembelajaran/pengajaran, fizik kuantum dan teknologi media baru.
Abang tempiaskan satu artikel dalam majalah tersebut. Ia amat menarik untuk dikongsi bersama. Ia berkait dengan pembinaan naratif dalaman yang dipacu oleh keikhsanan, serta faedahnya untuk umat manusia sejagat. Malangnya, keikhsanan ini adakalanya terpinggir, termasuklah dalam amalan akademik.
James Doty, seorang profesor pakar-bedah neuro (neurosurgeon) dan Pengarah Center for Compassion and Altruism Research (CCARE) di Stanford University California, mengatakan bahawa sifat keikhsanan (compassion) boleh menjadikan kita sihat, panjang umur dan menyumbang kepada dunia yang lebih baik. Menarik juga kan, ada sebuah pusat penyelidikan khas berkaitan dengan keikhsanan, menggabungkan pendekatan pelbagai ilmu. Di Malaysia, ada tak pusat penyelidikan macam ni? Macam mana ada di Amerika Syarikat? Amerika ni kan ke selalu dilabel 'jahat' dalam naratif induk segelintir dari kita?
Menurut Prof. Doty lagi, keikhsanan boleh meningkatkan kualiti hubungan peribadi, mengurangkan pemanasan dalam badan, memperbaiki fungsi jantung, dan memanjangkan telomere (DNA yang melindungi bahagian hujung kromoson kita).
Debat tentang keikhsanan berlegar antara keikhsanan yang tertanam dalam DNA dengan yang dibentuk oleh faktor persekitaran (nature and nurture). Faktor persekitaran ini termasuklah usaha merangka program latihan yang boleh meningkatkan daya keikhsanan seseorang.
Menurut Prof. Doty lagi, penyelidikan lepas telah menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan pada manusia, berdasarkan aspek evolusi, untuk mentakrif diri berdasarkan apa yang diistilahkan sebagai 'in-group' dan 'out-group'. Ada yang menamakannya 'selfish genes' (Hawkins, kalau tak silap). Kajian sosial dan budaya memanggilnya sentrik-bangsa (ethno-centric), yang juga boleh dipalitkan dengan sentrik-agama (religio-centric) atau kedua-dua sekali, ethno-religiocentric. Saya pernah dikhutbahkan bahawa sentrik ni fitrah, cuma jika ia dijadikan sebab untuk membuat kerosakan terhadap 'orang lain', ia jadi asabiah terlajak laris (melampau). Boleh merosakkan sesiapa jua, tak kiralah apa pun nama atau jenis bangsa, dan negara.
Pada pendapat Prof. Doty, satu cara untuk menjinakkan 'asabiah melampau' ini adalah dengan mengenal 'orang lain', maksudnya, mendekati sesiapa jua yang selama ini kita tidak anggap sebagai sebahagian dari 'in-group' kita, atau 'orang kita' atau 'kroni kita'. Kata Prof Doty, mungkin kita akan dapati bahawa "well, it turns out that they want their children to be educated like mine. They have the same interest in seeing X, Y or Z to occur, just like me. It has a profound effect on how you perceive your responsibility to others. It gives you the realisation of our shared humanity and interdependence. It changes how you interact."
Keikhsanan merujuk juga kepada psikologi keterlibatan (psychology of engagement) yang mempengaruhi psisiologi kita juga. Keterjalinan manusia menerusi teknologi komunikasi, media sosial umpamanya, boleh dijadikan wahana dan pemacu keikhsanan, bukan kebencian, syak wasangka, curiga, dengki dan sebagainya.
Mengenal 'orang lain' atau 'satu sama lain' juga sering dikuliahkan pada abang yang rock ni oleh aruah ayahanda, guru-guru dan rakan-rakan yang alim dan warak, berdasarkan sepotong ayat dalam Quran yang abang tak ingat surah dan nombor ayatnya (semasa menulis ni). Ia merupakan susulan dari ciri 'kepelbagaian' yang Allah ciptakan untuk manusia (pelbagai bangsa). Dalam kepelbagaian, ad kesatuan, itulah yang selalu dilaungkan oleh otai abang Sulaiman Esa, yang menyahut laungan otan dia, Allahyarham Ismail Faruqi.
Abang yang rock ni juga sering dikhutbahkan oleh aruah ayahanda tentang pesanan (hadis) Nabi Muhammad S.A.W agar kita tidak melakukan perkara yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan pada diri kita. Mensejahterakan silaturrahim memanjangkan umur, ini dah ditanam dalam pelbagai budaya, termasuk budaya Islam dan resam orang Melayu, tak perlu tunggu kuliah Prof. Doty.
Mengenal orang lain juga dikategorikan dalam kerangkan 'habluminannas' atau hubungan sesama manusia, yang wajib disejahtera atau dilestarikan. Putusnya hubungan sesama manusia adalah benih kehancuran (juga ketamadunan). Kalau tak nak bertegur dan berkawan pun, sekurang-kurangnya tak bermusuh, panjangkan doa yang baik-baik, atau hidupkan berbaik sangka. Salah satu dari amanah manusia sebagai khalifah adalah menjaga hubungan sesama umat manusia (manusia ok, sejagat, merentas segala bentuk identifikasi). Gitulah yang abang faham lebih kurang, dari guru-guru.
Ringkasnya, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' adalah denai mencapai keikhsanan. Abang juga ingin masukkan 'makhluk lain' (tumbuhan, binatang, organisma, termasuklah makhluk halus) dalam hal mengenal ini. Bila ada rasa ikhsan, ada rasa hormat.
Pada abang la (bukan 'bangla' ya), naratif dalaman yang terbina dari mengenal satu sama lain ini adalah naratif yang inklusif, dipacu oleh rasa ikhsan (compassion) dan hormat (respect). Ia menjadi alternatif dan pengimbang untuk naratif ekslusif asabiah terlajak, yang dipacu oleh rasa angkuh (juga dengki serta curiga).
Dalam amalan akademik, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' dirujuk sebagai kaedah pengumpulan data primer, langsung dari sumber subjek (orang lain) yang ingin dikenali. Ini termasuklah pi mengadap, berjumpa, berbual, berkongsi pendapat dan rasa, bertukar pandangan dan rasa, dengan subjek yang ingin dikenali, dalam persekitaran atau habitat dia (bukan kita). Ini membolehkan kita membina rasa ikhsan, dan memahami 'naratif dalaman' nya. Boleh panjang umur ok.
Bila abang buat muhasabah terhadap pendekatan akademik abang sendiri, diperakui, kadangkala abang sendiri malas nak kenal orang lain. Lebih baik mengaku je. Ye la kan, ia melibatkan kerja lapangan, kena pergi mengadap atau jumpa 'orang lain'. Kadang-kadang, susah nak istiqamah. Silap langkah, kena leter. Akhirnya, abang menaip, goreng ayat, sambil merujuk kitab dan buku je la, atau google je. Paling kurang pun, telefon. Malas le katakan.
Tapi dalam malas tu, sesekali terpaksa juga buat kerja lapangan. Kalau tak, macam mana nak kenal, ye tak? Ini termasuklah 'mengadap' beberapa orang otai dan adiguru secara dekat dengan pergi sendiri ke rumah mereka. Ada antaranya sudah tiada lagi (meninggal dunia). Antaranya termasuklah allahyarham Redza Piyadasa, Ismail Zain, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein. Dengan mereka ni, sesekali kena leter atau khutbah panjang, terutama Piyadasa. Tapi hasilnya, adalah rasa ikhsan.
Selain dari mereka ini, abang juga paksa diri mengadap rakan-rakan pengkarya di studio mereka, dalam habitat mereka, mendengar cerita atau naratif peribadi mereka. Juga mengadap kolektor, di rumah mereka untuk melihat koleksi, semuanya untuk 'kenal', juga denai mencapai rasa 'ikhsan' sambil menggali 'naratif dalaman' mereka.
Sebab itulah bila abang terserempak dengan wacana yang naratifnya dibentuk oleh penulisan tanpa denai 'kenal', yakni mendapatkan data primer dilapangan, abang rasa wacananya dah terputus dari rasa 'ikhsan'. Saka malas ni rupanya turut menjangkiti segelintir rakan penulis yang lain, menggunakan retorika bedalisma (main tulis ikut suka hati je), tanpa merujuk pada sumber primer, malas nak 'kenal' subjek atau 'orang lain' yang ingin diulas (karyanya, sebagai contoh).
Macam mana nak mengenali naratif dalaman seorang pengkarya, jika tak pergi mengadap mereka di habitat mereka? Ada ke ikhsan lagi. Akhirnya, naratif dan wacana yang dibina dari penulisan malas sebegini menjadi 'ekslusif', takda ikhsan, tapi dipacu oleh rasa syok sendiri, angkuh, dengki dan selalunya, curiga (tak bertempat). Naratif dan wacana sebegini, sering disahut oleh 'lawannya' (counter-narrratives) yang juga 'malas', tak merujuk data primer, tak kenal, takda ikhsan, juga dipacu rasa angkuh, dengki, serta curiga (juga tak bertempat). Jadilah kedua-dua jenis penulisan, wacana dan naratif ini pasangan binari yang saling melengkapi dalam suatu hubungan berdikotomi (suka bertentang). Ye la kan, Manchester United mesti sampai kiamat lawan Liverpool, mana boleh berbaik-baik. Nanti rugilah para penaja English Primer League! Kedua-dua penyokong pun mesti ada angin berlainan, walaupun boleh berkawan.
Apabila wacana dan naratif induk bersifat begini, takda ikhsan, hilanglah segala faedah atau kebaikan sejagat seperti yang dikatakan oleh Prof. Doty di atas tadi. Hilanglah faedah mensejahterakan hubungan, mengurangkan kemungkinan sakit jantung, meningkatkan kemungkinan umur panjang seperti yang sudah diwasiatkan oleh Nabi.
Kesimpulannya, selain dari 'orang kita', kenalilah 'orang lain', sebagai denai membina rasa ikhsan. InsyaAllah, hidup sejahtera, umur panjang.
Salawat, salam dan al-fatihah untuk Nabi Muhammad, para sahabat, para ulama, guru-guru, orang-orang soleh, yang telah meninggal dunia.
Sekian, naratif peribadi abang pagi Jumaat yang mulia ini.