Tuesday, 24 April 2012

BANGKIT

(Tautan ke Bahagian 11)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/05/ahli-fizik-jahn-hagelin-membuat.html?m=0


BANGKIT!!                                          

BY HASNUL SAIDON ON FRIDAY, JULY 16, 2010 AT 2:02AM

Peristiwanya adalah : AKU membaca teks yang tertera di atas skrin komputer ini.

Tiba-tiba terasa tersangat ringan. AKU terasa kehilangan bentuk. Sekilas terasa melangkah terbang ke belakang dan ke atas.

Sekarang, dapat diSAKSIkan dengan jelas sekujur tubuh sedang menekuni teks yang tertera di atas skrin komputer. Itulah sekujur tubuh yang selama ini dikenali sebagai aku. AKU sedang menyaksikan 'aku'. Hmmmmm.....

Sekilas juga segalanya menjadi lutsinar. Mula-mula ia amat membutakan. Segalanya terasa hilang. Tiada apa-apa, kecuali rasa kehadiran yang getarannya amat tenang, damai dan cinta. Kehadiran itu adalah kehadiran tenang, damai dan cinta.

Dari rasa kehadiran, jelas dapat diSAKSIkan bagaimana organ mata pada sekujur tubuh 'aku' tadi sedang menangkap pelbagai frekuensi gelombang cahaya, lalu membawa maklumat frekuensi ke organ otaknya untuk diproses.

Sekilas juga dapat diSAKSIkan bagaimana organ otak 'aku' tadi memproses julat warna dari frekuensi merah yang bergetar pendek hinggalah ke ungu yang bergetar panjang. Sekilas dapat diSAKSIkan bagaimana otak membentuk saranan frekuensi minda, yang serentak menyarankan pula bahawa itulah 'realiti tampak' atau 'realiti benda' untuk sekujur tubuh dipanggil 'aku' tadi.

Dapat diSAKSIkan pula begitu kompleksnya otak tadi memproses gelombang frekuensi yang dicerap oleh organ-organ deria yang lain - sentuhan, pendengaran, hidu dan rasa lidah untuk mencipta ilusi keras, lembut, halus, kasar, berat, ringan, manis, masam, tawar, pahit, wangi, busuk, bising, sunyi dan segala macam frekuensi saranan minda dan reaksi emosi yang infinit, dinamik, sentiasa berubah, tidak kekal, berlapis-lapis, pelbagai fokal/titik tumpuan, multi-dimensi, tidak linear, saling berkait, saling bergantungan, modular. Proses ini mengalahkan segala jenis komputer yang paling canggih yang boleh dicipta oleh manusia. Ia membolehkan sekujur tubuh tadi 'mengALAMi.' Begitu 'real' pengalaman itu hingga sekujur tubuh tadi mengatakan itulah 'aku'.

Dapat diSAKSIkan bahawa proses minda itulah yang terus membuai sekujur 'aku' tadi dalam sekilas mimpi benda yang dipanggil 'aku sedang membaca teks yang tertera pada skrin komputer'.

Sekilas juga terasa lebih ringan lalu tertanya :

Siapa pula AKU yang sedang menjadi SAKSI kepada peristiwa 'aku sedang membaca teks yang tertera pada skrin komputer' ini?

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...