Tuesday 27 November 2012

FRAGMEN FIKIR DI HARI YANG CAIR


September 2012. Dari Keningau dan KK Sabah, tercampak ke Nibong Tebal, Pulau Pinang utk ditemukan-semula dengan Azmeer, Prof. Ghouse, Wak Khalid dan Bang Omar Osman. Forum "Ahli Seni Lain Dari yang Lain" dalam Simposium Budaya Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).



"Betul ke orang seni ni lain dari yang lain?" Fuad (moderator, rakan pensyarah dari UMS) bertanya.



"Duhai adik-adik yang tekun mengejar sekeping kertas."

"Orang seni halus? Manusia ni ada jasad halus ada jasad kasar, mungkin saya terlebih suka sangat hanyut melayan yang halus tu kot! Angin pun kuat dan tak boleh teka. Boleh ubah ikut keadaan dan rangsangan halus. Sebab tu tak berapa 'cemerlang, gemilang dan terbilang' dalam dunia berpaksikan hukum jasad kasar."

 
Seorang adik bertanya tentang ancaman dari unsur-unsur luar. Saya susul,

 
"Saya mengaku la, kekadang tu ada masalah nak ikut je sebarang peraturan dangkal akal secara mengkhinzir buta. Tapi tak payahlah ikut bekas tapak kaki saya. Pada saya, tindakan sekatan, kawalan dan hukuman terhadap apa yang dianggap unsur-unsur yang 'merosakkan budaya' bukanlah cara yang mutlak dan berkesan. Lebih baik adik-adik ni diajarkan menyoal, diajar menggunakan dan memanfaatkan anugerah kurniaan otak dan akal dengan cara yang ikut fitrah dan betul, yang membawa kesejahteraan pada diri sendiri dan semua manusia. Jika adik-adik ni hanya diajar untuk ikut je secara khinzir buta tanpa menyoal secara berhemah, akhirnya mudah dipengaruhi dan menjadi sebahagian dari zombie ciptaan saka sistem berpaksikan tamak dan hukum mimpi benda. Adik-adik boleh secara tidak sedar jadi ejen pemasaran yang tidak bergaji untuk produk atau hasil budaya ciptaan yang menguntungkan pemodalnya sambil merompak adik-adik bukan saja dari segi material, tapi dari segi akal dan jiwa. Orang lain cipta super gangnam style jadi kaya raya, kita ikut buat super jahanam style tetap macam tu juga. Sebab tu tidak menghairankan jika aktiviti penghasilan karya pun digetarkan oleh gelombang tamak, ujub dan dengki lebih dari getaran halus lain yang lebih mesra-fitrah. Jika dibekalkan dengan cara menggunakan akal yang ikut fitrah, datanglah apa pun pengaruh atau anasir halus, tak da masalah. Belajar lah dari mana-mana bahagian di bumi bertuah ni, Barat ke, Timur ke, Utara ke, Selatan ke, orang putih ke, orang cokelat ke, semua tu boleh dijadikan panduan dan ilmu jika kita sudah dibekalkan dengan cara yang betul untuk menggunakan akal kita. Ini tidak, masuk sekolah dan kemudian ke universiti je, dah dikotak-kotak dan dikastakkan, sains di sebelah sini sebab pandai, seni di sebelah sana sebab bodoh. Pemisahan sains dan seni ni saka siapa? Pemisahan dimensi kerohanian dari dimensi fizikal/material/jasad ni saka siapa ya?"

 
"Orang Melayu dulu, takda pun guna istilah orang seni orang sains. Yang digunakan ialah istilah 'pandai'. Nak buat wau misalnya, mestilah ada ilmu fizik, ilmu geografi, pendeknya ilmu sains, digabung dengan ilmu melakar, mengguris, mengadun warna, ringkasnya ilmu seni. Penghasilan wau ada dimensi halus atau batinnya, ada dimensi kasar atau sainsnya. Gabungkan penggunaan otak sebelah kiri dan kanan, jadilah 'pandai' yang menggunakan ke'pandai'an yang dianugerahkan itu untuk membawa kesejahteraan seluruh umat manusia. Tak payah la nak peningkan kepala dengan persepsi-persepsi basi orang seni macam ni, orang sains macam tu. Lebih penting jadi orang pandai yang baik."



Seorang lagi adik pengejar kertas bertanya, "Kenapa orang filem suka ambil pelakon-pelakon wanita yang cantik-cantik dan glamor tapi tak pandai berlakon?" adik yang lain pula tanya, "tak boleh ke Finas ke, apa ke, sekat sikit"




Saya sambut,

"Pelakon cantik, tarian bodoh, cerita mudah, itu semua lebih banyak dipengaruhi oleh faktor pemasaran (nak buat duit dan kaya-raya dengan cepat), lebih dari faktor seni dan budaya. Nilai dan selera dibina menerusi strategi penjenamaan dan pemasaran yang licik, yang bijak memanipulasi nafsu serta kelemahan manusia untuk membina persepsi, selera, pandangan dan nilai-nilai yang bukan semulajadi atau
ikut fitrah pun, tapi yang sebenarnya dibuat-buat. Ia sebahagian dari hasil struktur perhubungan kuasa ekonomi kapitalis yang berlakon disebalik pelbagai topeng termasuk politik, tak kurang juga sosial, seni dan budaya. Selalunya kita termasuk saya, semua bernafas dan menari dalam dunia saka ni tanpa banyak soal pun, sebab dah sebati."

"Kita mungkin tak boleh nak hentikan orang lain dari mencipta selera-selera budaya yang tidak kena dengan fitrah. Kita bising macam mana pun, orang lain akan buat juga. Apa yang kita boleh buat adalah mempersediakan diri dengan kebolehan menggunakan akal dengan jernih, agar dapat membezakan mana yang baik dan mana yang menjahanamkan manusia. Saya ada tiga orang anak perempuan, saya tahu la, memang merisaukan. Sebab tu, saya selalu 'ganggu' mereka ketika menonton tv atau melayari web dengan banyak menyoal apa saja yang mereka kata sebagai 'bagus, baik, best' dsb, termasuk apa yang mereka takutkan. Anak saya sorang tu masa dia kecil takut pada hantu Ju-On dan hantu The Ring, tapi ketakutan ini adalah ketakutan yang dibina secara artifisial dalam mindanya. Saya terpaksa pecahkan, lakonkan-semula, saya jadi hantu Ju-On dan The Ring, dan suruh dia beri reaksi yang berbeza, ubah dialog, buat dekonstruksi, tanya balik hantu-hantu ni, "Ni, takde kerje lain ke dok kacau dan takutkan orang je. Cuba la apply masuk universiti ke, belajo rajin-rajin, boleh juga jadi orang berguna." Bila ketakutan yang dicipta oleh pembuat filem tu dah saya pecahkan, anak saya ni bila dia tengok balik filem tu, dia akan ketawa sambil berkata, "Abah! tengok tu, hantu tu takde kerja, tak nak masuk Universiti belajor!". Dari takut, ubah ke ketawa. Ringkasnya, kita mestilah bijak guna akal untuk menyoal apa jua yang ingin disumbatkan ke dalam minda kita, terutama yang dicipta untuk tujuan keuntungan pantas berdasarkan gelombang tamak. Janganlah kita main bedal melanggan je. Siap tolong promote lagi."



Adik yang lain pula bangun menyoal, "Kenapa ada kalangan kita suka rujuk karya-karya dari luar, dari Barat contohnya, yang mungkin ada unsur-unsur iluminati?"
 
"Fuyoooo", (saya kata dalam hati la).

"Kalau saya, saya ikut cara Penghulu saya. Gelombang kasih sayang tanpa udang sebalik mee adalah jauh lebih kuat dari gelombang benci dan marah. Musuh yang lebih hebat ada dalam DIRI kita masing-masing, termasuk saya yang banyak defisit ni. Bukannya pada apa yang sering kita sebut sebagai 'orang lain'. Ia hanya boleh dijinakkan dengan kasih sayang sejati tanpa udang sebalik mee, bukan kebencian dan kemarahan. Tapi jika diserang, WAJIB pertahankan diri. Sebab tu ada ilmu mempertahankan diri. Termasuk dalam mempertahankan diri ini, adalah mempertahankan diri dari nafsu yang nak marah tak tentu pasal, atau nak membenci secara khinzir buta. Sebab itu juga digunakan istilah mempertahankan diri, bukan 'mentibai, membalun, menjahanamkan diri' atau 'orang lain'. Pertahankan diri kita dari rasukan halus yang boleh berkampung dalam medan nafsu dan menjadi DIRI kita sendiri. Pertahankan diri dengan perjalanan mengenal diri. Masuk ke universiti adalah sebahagian dari jalan mengenal diri, bukan nak cari degree atau kertas ijazah yang sibuk kita raikan masa konvo."


 

 
   
 

No comments:

Post a Comment

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...