Thursday, 31 July 2014

JEJAK-SEMULA H3RO : ZIARAH RAYA 2014

"Dulu aku ni benak sangat sampai Ustaz Saidon mati akal nak buat apa dengan aku. Last sekali dia baca jampi, suruh aku nganga. Lepas tu dia ludah dalam mulut aku. Menjadi!"

"Aku dulu malas, tak buat homework, kecuali kalau homework ustaz Saidon. Cikgu-cikgu semua aku tak takut, kecuali ustaz Saidon."

"Ada sorang bilal di masjid, cuba jadi imam. Bila dia tahu Ustaz Saidon jadi makmum kat belakang, kain pelikat dia bergetar, kaki dia mengeletar."

"Bapak kamu bagi ceramah tadi. Dia kata, dia pun suka dancing (menari) dan tak salah kalau nak menari untuk berhibur. Bila ditanya dia menari dengan siapa dan di mana, dia jawab, dengan bini saya di rumah! Betul ke Bapak dengan Mak kamu menari kat rumah?"

Ni antara anekdot yang pernah saya kutip tentang Bapak dari mulut orang lain. Ada juga yang lebih brutal dari yang di atas. Di kalangan bekas murid-muridnya, Bapak ni legend

Saya wartakan juga di sini cerita rakyat versi Bapak yang selalu diulang-tayang pada anak-anak murid dia. Bapak memang terkenal sebagai stand-up comedian bila dia mengajar dan memberi ceramah. Ceritanya lebih kurang begini:

"Seorang pemuda kampung yang malas menuntut ilmu cuba memikat anak-dara seorang guru agama. Untuk menjadi calon menantu guru agama, tentulah kena fasih berbahasa Arab. Malangnya pemuda kampung ni langsung tak pandai berbahasa Arab.  

Nak jadi cerita, satu petang semasa pemuda tersebut sedang menjala ikan di sungai dengan seorang rakannya, dia ternampak anak dara guru tersebut sedang lalu. Dengan serta-merta dia menjerit ke arah rakannya. 

"Tabor-roqal-lazi" (Tabor la, apa lagi!)('tabor' maksudnya, menebar jala)
"Wabtariq!" (Cepat tarik!)(maksudnya, cepat tarik jala)
Rakannya menjawab,
"Wassjuk!" (Air sungai sejuk)
"Wasslam-muhu" (Lebih baik kamu menyelam je)
Rakannya terus menyelam sambil cuba menangkap ikan dengan tangannya. Dapat sekor ikan.
"Fa-ikanna?" (Ikan apa?) tanya pemuda itu.
"Lampam-fa-uhu!" (Ikan Lampam)

Saya dah lupa kesudahan ceritanya, dapat ke tidak pemuda tu menjadi menantu guru agama tu? Kena tanya abang-kakak atau anak murid Bapak yang lain.

Satu lagi hikayat yang pernah diceritakan Bapak semasa ceramah hari guru di depan school assembly yang juga dah jadi legend adalah "Ehem-ehem, aku tau la!". Tapi yang ni, lebih menyengat dijadikan short video dari diceritakan dalam bentuk bertulis.

Nama Bapak sebagai antara legend lama di Teluk Intan kini mungkin semakin haus dicuri hari dan ditelan raksasa bernama 'mengejar dan dikejar kemajuan material'.

Melihat legend ni meniti usia tuanya di luar dari persekitaran atau ekologi semulajadinya (sekolah atau premis ilmu dan surau/masjid, ceramah dan majlis-majlis agama), selalu membuat hati saya yang keras menjadi melankolik mengalahkan menonton filem Hindustan. Beberapa bulan sebelum dia pergi buat selama-lamanya, dia dah beri beberapa hints yang mungkin tidak mudah dikesan. Sesekali apabila menziarahi dia di rumah abang-abang atau kakak-kakak, saya lihat dia 'hilang' dalam menung yang jauh.    

Semasa masih sihat, dan mungkin juga sudah jangka hayatnya sudah hampir sampai penghujung, Bapak pernah pesan pada saya bahawa antara job spec atau tanggungjawab seorang anak apabila ibu atau bapanya meninggal dunia adalah pergi ziarah rakan, kenalan, sahabat dan bekas anak-anak murid dia, termasuk anak-anak mereka. Ini salah satu dari hints atau tanda-tanda dari dia. 

Saya sebenornya segan, terutama pada bekas anak-anak murid Bapak yang dah jadi imam, atau ustaz. Ada yang bergelar Dato' atau Orang Besar Negeri Perak. Ada juga tukang gunting rambut (Maniam) atau peniaga runcit. Kategori ini saya tak segan sangat. Yalah, Bapak ustaz, anaknya yang bongsu macam mat rock kapak pencen. Ada penyakit 'anti-social' pulak. PR skill saya tak cemerlang. 

Tambah pula, network Bapak di Teluk Intan ni luas dan merentas status, tak terjangkau saya.

Raya tahun ni saya gagahkan jugalah, mana-mana yang terjangkau. Semuanya ada cerita tersendiri tentang Bapak. Anekdotnya banyak, termasuklah tentang kebrutalan Bapak dalam mengajor. 

Kenangan mereka yang baik-baik terhadap Bapak amat menyejukkan hati saya. Bersama-sama dengan mereka, saya mendoakan agar roh Bapak, hero dan legend saya, ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh. 

Ziarah Ustaz Rahman, imam Masjidunna'im Taman Sri Setia (yang mengantikan tempat Bapak), juga bekas anak murid Bapak.  Anak-anak Ustaz Rahman juga hebat-hebat.
Bersama Ustaz Rahman, isteri dan salah seorang cucunya.
Ziarah Abang Mokhtar, bekas Siak surau Rumah Murah Padang Tembak.  Abang Mokhtar anak Pasir Salak, tempat Bapak dan Bonda pernah diami dan mengajar. Abang Mokhtar antara muridnya. Anak Abang Mokhtar, Din, kawan saya. Bapak antara pengasas dan imam Surau Rumah Murah Padang Tembak, juga tempat saya dilatih berjemaah dari kecil hingga usia 12 tahun, sebelum berpindah ke Taman Seri Setia. Zaman tu, nakal dan buas macam mana pun, surau terpaksa pergi, terutama Maghrib. Selain dari surau padang kecil depan surau merupakan antara gelanggang bolasepak saya. Pada bulan Ramadhan, Abang Mokhtar kejut penghuni Rumah Murah untuk bangun sahur. "Orang asal Padang Tembak ni, dah tinggal Abang Mokhtar je. Yang lain semua dah meninggal, atau pindah. Kaknya pun dah meninggal dua tahun lepas, tinggal Abang Mokhtar sorang."
Dengan Dato' Sulaiman Nawi, Orang Besar Perak, lebih mesra dipanggil Pak Leman. Orang kuat UMNO dan rakan lama Bapak. 
Bersama Azam, anak Pak Leman, kawan masa remaja, terutama bila main bola, termasuk di padang depan rumah dia. Padang depan rumah Pak Leman antara stadium kecil saya. Azam pernah berkerja sebagai Jurutera dengan Proton, tapi sekarang ni dah jadi CEO syarikatnya sendiri, jual kereta juga.
Bersama Tajol, juga anak Pak Leman, juga rakan semasa remaja. Pakar dribble bola yang cukup handal mengelicik hingga kadang-kadang membuatkan kami kawan-kawannya menyampah. "Kau main sorang je lah lagi bagus, dribble bola tu sampai ke rumah kau!". Selalu dijadikan sasaran kena takik oleh pemain pertahanan lawan.
Kepala dia kreatif. 
Bersama Kak Wan Halimah (depan, dua dari kiri) dan Mak Ijan (isteri Pak Leman, tiga dari kiri), isteri Tajol, Nora (belakang, kanan sekali) bersama dua lagi kenalan Bonda. Ayahanda Kak Wan, Tuan Haji Hassan, antara Tok Guru saya. Saya masih ingat memimpin tangannya (dia rabun) untuk dijemput beri kuliah agama di rumah.   



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...