Sunday 1 April 2012

KEPELBAGAIAN KEADAAN SERBA KEMUNGKINAN SEBELUM DI'SAKSI'

(Tautan ke Bahagian 9)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/04/bangunlah-sayang.html?m=0

Neil Bohr mengatakan bahawa setiap benda boleh wujud dalam pelbagai keadaan pada masa yang serentak hinggalah ia disaksi atau disukat. Interpretasi Bohr dipanggil Prinsip Melengkapi (Principle of Complimentarity).


Setiap kali sesuatu benda disaksi, benda terebut akan hadir hanya dalam satu keadaan (dari pelbagai keadaan sebelum ia disaksikan). Segala kemungkinan-kemungkinan fungsi gelombang kuantum (qwiff) akan lupus untuk membentuk hanya satu realiti benda (apabila disaksikan).


Interpretasi Bohr ini menyebabkan Schrodinger mengusulkan eksperimen teoretikalnya yang kini dikenali sebagai Schrodinger's Cat paradox

Secara ringkasnya, eksperimen Schrodinger mempersoalkan bahawa sekiranya seekor kucing diletakkan dalam sebuah kotak (dengan 50-50 kemungkinan ia diracuni oleh gas beracun), dalam keadaan kotak tertutup, fungsi gelombang kuantum (quantum wave function) kucing tersebut tentulah dalam pelbagai keadaan serentak (pelbagai kemungkinan). Dalam konteks ini, kucing tersebut mungkin:
1. Hidup
2. Mati
3. Hidup dan mati serentak


Jika interpretasi Bohr dipakai, kucing tersebut berada dalam keadaan hidup dan mati serentak, hinggalah ada seorang yang membuka kotak tersebut untuk meyaksikannya. Pada ketika penyaksian, segala kepelbagaian keadaan gelombang kuantum kucing tersebut runtuh atau lupus untuk membentuk hanya satu keadaan atau realiti benda yang disaksi.


Phuhhhh....Pelik? Tak masuk akal? Kali ni tak garu dagu lagi, kali ni garu kepala.


Ini bukan episod "Jangan Pandang Belakang" atau sebarang cerita misteri nusantara. Ini interpretasi saintis, yang dikenali dengan kaedah memahami, memakna dan mentafsir alam dari sisi logik akal, rasionaliti, pendekatan positivis berdasarkan pembuktian empirikal.


Mungkin ia pelik kerana saintis dididik oleh pemikiran berpaksikan hukum fizik klasik (benda dan mekanikal).


Einstein cukup benci dengan paradoks ini. Agaknya inilah punca rambut dia mencacak kot.


Ikut interpretasi Schrodinger dan Bohr terhadap fungsi gelombang kuantum, jika kita ambil dua partikel yang wujud dalam pelbagai keadaan dan membiarkan keduanya bertaut secara kuantum agar fungsi gelombangnya bergumpalan, kedua-dua partikel ini akan menunjukkan apa yang Einstein sebut sebagai "aksi menyeramkan dari jauh". Maksudnya, dua partikel boleh berkomunikasi tanpa perantaraan yang jelas, tanpa batasan ruang dan masa.


Einstein bersama-sama dengan Podolsky dan Rosen menulis satu kertas-kerja untuk menyatakan bahawa mekanik kuantum adalah sepenuhnya salah, atau sekurang-kurangnya tidak lengkap. Kertas-kerja ini mengusulkan satu lagi ekpsperimen teoretikal yang menunjukkan satu lagi paradoks, dikenali sebagai EPR paradox.  Einstein berharap eksperimen ini dapat menunjukkan bahawa fizik kuantum adalah terlalu pelik untuk diterima sebagai benar, bahawa ia masih belum lengkap. 


Macam mana benda (partikel) boleh wujud dalam pelbagai keadaan (seperti kucing dalam kotak yang boleh hidup dan mati serentak, sebelum ia diperhatikan)? Atau berada di dua atau lebih tempat sekaligus? Atau bertaut/bergumpal/berkomunikasi (dengan kelajuan cahaya) tanpa sebarang perantaraan yang jelas?


Fizik kuantum menampilkan dilema gelombang-partikel pada semua benda, bergantung pada cara bagaimana ia disaksi/lihat/perhati/sukat. Alam semesta termasuk segala dalamnya wujud bila ada penyaksian yang bertujuan (ingat syahadah). 


Oleh itu, apa sebenarnya asas cahaya yang mengizinkan alam semesta 'ada'? Gelombang atau partikel-benda, atau kedua-duanya sekali serentak? Kita tinjau apa yang dijawab dari sisi sains.


Ramai saintis mengatakan begini (secara mudahnya):
Jika kita ingin menyaksikan/menyukat partikel (posisi), kita akan menyaksikan partikel (posisi). Jika kita ingin menyaksikan/menyukat gelombang (kelajuan/momentum), kita akan menyaksikan gelombang. Bergantung pada instrumen yang digunakan, kita akan mengesan partikel atau mengesan gelombang.


Alam semesta membolehkan kita melihat apa yang kita ingin lihat, bergantung pada cara kita menggunakan intrumen yang mengizinkan proses penyaksian itu berlaku - otak. 


Saintis hanya boleh menerangkan apa yang disaksi atau diperhatikan, bukan kenapa dan bagaimana. Sains bukanlah kitab besor hukum alam. Ia sebenarnya adalah alat untuk manusia menerangkan sebahagian dari hukum alam yang tertentu. 


Sains adalah interpretasi dan deskripsi, bukan hukum alam itu sendiri.


Akhirnya, Einstein yang hebat dan lojik itu tunduk dan berkata begini: 


"Seorang manusia ialah sebahagian dari keseluruhan, dipanggil alam semesta, sebahagian yang terbatas oleh masa dan ruang. Dia mengalami dirinya, fikirannya dan perasaan sebagai sesuatu yang terpisah dari yang lain.....sejenis delusi optikal ciptaan kesedarannya sendiri. Delusi ini seakan penjara untuk kita, membatas kita pada keinginan-keinginan dan kesukaan terhadap beberapa orang yang dekat dengan kita. Tugas kita adalah untuk membebaskan diri dari penjara ini dengan meluaskan bulatan ihsan menerusi penerimaan terhadap keindahan semua makhluk dan seluruh alam."


Sekiranya proses penyaksian yang bertujuan (keinginan) membina realiti benda (mimpi benda), apakah instrumen penyaksian? Otak? Apakah pula yang dikatakan sebagai minda yang menghadirkan pengalaman mimpi benda? Apa/siapa pula di sebalik minda, sebelum sebarang kesedaran/idea itu terbentuk dalam minda? Siapakah SAKSI kepada kesedaran minda itu? 


Apakah sains berasaskan model fizik klasik (benda dan mekanikal yang terdiri dari komponen yang berdiri sendiri, bukan saling bertaut) boleh digunakan untuk menjawab soalan ini? Apakah jawapannya? Adakah jawapannya seakan kembali kepada metafizik, kepada begitu banyak pintu jawapan yang telah dibuka sejak 2500 tahun dahulu? 


(Bersambung)


Baca juga
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/09/happy-inter-dependence-and-birth.html 









2 comments:

  1. Sesetengah fizikawan suka mengira (serahkan isu interpretasi pada yang lebih arif{ahli falsafah,Sufi ?})

    p/s: Seorang fizikawan tanahair ada membuat beberapa kritikan [Kritikan Teori Kenisbian dan Teori Quantum, Prof. Shaharir Mohd. Zain] (saya sendiri pun belum baca!)

    ReplyDelete
    Replies
    1. :). Terima kasih. InsyaAllah kita dapat baca kritikan Prof. Shaharir.

      Delete

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...