Tuesday 3 April 2012

BANGUNLAH SAYANG.

(Tautan ke Bahagian 10)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/04/blog-post.html?m=0

Dalam skala fizik kuantum, segalanya di seluruh alam ini saling berkait. Dalam skala kuantum, anda, saya dan segalanya bertaut, bergumpalan, saling-berkait, saling-bergantungan dalam hubungan non-linear serba-berkemungkinan, yang tidak dibatas oleh ruang dan masa. Ini antara rahsia alam yang telah diterokai oleh ramai insan dan guru-guru kita dulu yang berpaksikan dimensi kerohanian. 


Kita pilihlah getar tenaga minda apa yang hendak kita hantar dan terima, yang akan menentukan realiti mimpi benda kita. 


Mari kita berhenti sat, dan muhasabah sama-sama. Apakah yang telah kita pilih selama ini dalam hidup kita? Dan ke manakah pilihan ini telah membawa kita? Secara individu dan secara kolektif. Sebagai khalifah yang tugasnya menSEJAHTERAkan alam, adakah kita semua (seluruh dunia) telah berjaya mencapai sasaran atau KPI ini?


Cuba renung kata-kata seperti jodoh, kebetulan, tarikan, jauh tapi dekat di hati dan banyak lagi yang senada dengannya dalam perbualan harian kita. Kita sudah mewarisi bahasa kuantum ini, menerusi pelbagai pintu. Berdoalah agar kita dapat dari pintu yang betul, yang membawa kita dan seluruh umat manusia ke jalan yang lurus. 


Buatlah refleksi diri, cuba renung-semula sejarah hidup kita (muhasabah). Segalanya yang disebut sebagai sejarah hidup kita itu, adalah sejarah hasil dari PILIHAN kita terhadap CARA kita menjadi SAKSI kepada perlakuan minda. Ringkasnya, sejarah PENYAKSIAN kita. Watak, peristiwa, kejadian, benda dan segalanya yang pernah kita tempuhi dan lalui adalah BAYANGAN pada perlakuan minda kita, atau BAYANGAN pada PILIHAN kita terhadap CARA menjadi SAKSI.


Moralnya, hentikanlah menyalahkan orang lain, keadaan dan segala dalam alam semesta ini kecuali diri sendiri. Lihatlah dan renungkanlah dalam diri sendiri betul-betul. Situlah MUSUH PALING HEBAT. Situ juga SAHABAT SEJATI, INSAN PALING HEBAT. Situlah juga CAHAYA. 


Elaklah dari menjadi sebahagian dari gelombang tenaga yang sibuk MENYALAHKAN ORANG LAIN kerana ia boleh menjadi HIJAB yang MEMENJARA kita dalam KEGELAPAN. 


PILIHlah untuk menjadi sebahagian dari gelombang tenaga CINTA TULUS, KASIH SAYANG SEJATI, KEAMANAN, KEDAMAIAN, KETENANGAN, KECERIAAN, KEGEMBIRAAN DAN KEBAHAGIAN ABADI. Sebahagian dari CAHAYA.  


Jika cara yang kita PILIH itu sentiasa berpaksi syahadah, bergetar dengan zikir PEMURAH dan PENGASIH, sejarah hidup kita dipenuhi oleh realiti mimpi benda yang menzahirkan bayangan syahadah tadi, penuh dengan rezeki berkat dan kasih tulus yang melimpah (infinit). Begitu jugalah sebaliknya. 


Renungkanlah apa yang telah terjadi dalam hidup kita. Renungkanlah siapa watak yang kita temui, peristiwa yang ditempuhi, benda-benda yang dilalui. Semua amat berguna dan mengandungi terlalu banyak tanda dan rahsia. Tiada satu (walau sehalus mana) pun sia-sia.

Implikasi dari interpretasi kuantum ini adalah besar. Saya serahkan pada semua pembaca untuk memikirkannya, sambil mendoakan kita semua dapat Hidayah dan Petunjuk, terutama saya sendiri, yang banyak kali terhijab dalam mimpi benda. Cerita peribadi ni tak payahlah buat drama hindustan. 


Kenalilah hijab yang menjadi tabir minda. Apa hijab ni? Dalam skala fizik klasik, memanglah nampak jasad kita dan segala benda dalam alam semesta ini terpisah-pisah dan terasing-asing. Ini yang menyebabkan kita perasan kita sebagai penyaksi, boleh berdiri sendiri dan terpisah dari yang disaksi. Ini adalah punca kita tidak sedar bahawa kita mengalami 'mimpi benda', menyangka bahawa apa yang disaksi itu berada di luar minda. Ini menyebabkan kita sibuk SALAHKAN orang lain dan segalanya kecuali diri sendiri. Inilah hijabnya. Ego adalah hijabnya. Yang kita kata 'aku' itu hijabnya. Dalam kes saya, 'aku pelukis' itulah hijabnya, yang perlu diberi makan egonya setiap masa, apatah lagi dalam kehidupan berpaksikan hukum kapitalis.  


Ini juga adalah asas sains berkiblatkan hukum klasik yang membaca dan mentafsir alam secara mekanikal dengan bahagian-bahagian yang terpisah-pisah. Inilah juga asas kepada paradigma positivis dalam mencerap ilmu pengetahuan, berdasarkan bukti-bukti empirikal seperti yang dipakai oleh ramai manusia yang bijak-pandai. Ia juga asas kepada apa yang kita panggil sebagai pengetahuan moden, mahupun modenisasi berpaksikan fahaman materialis. Asas ini secara umumnya mempengaruhi pengalaman hidup atau 'mimpi benda' kita hari ini. Inilah yang diwariskan kepada kita menerusi antaranya, pengalaman kolonial dulu. 


Bukanlah ianya tak elok, tapi terbatas. Kena rajin selak hijabnya. Jika lalai, boleh membuat kita terhijab terus dalam mimpi benda, tidak mampu bangun. Kita menjadi sang pemimpi dalam dunia bayangan yang tidak sedar kita sedang bermimpi. Jika kita terus tidur, kita terpasung, terpenjara dan menderita berterusan dalam mimpi benda yang gelap.


Jika kita dapat bangun (dibangunkan), kita menjadi cahaya yang boleh menentukan mimpi apa yang dikehendaki : Mimpi (persis projektor holografi) yang dipancar oleh cahaya KESEJAHTERAAN, berpaksi syahadah. 


BANGUNLAH SAYANG.

Baca juga
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/09/happy-inter-dependence-and-birth.html 

4 comments:

  1. ...aku juga terkadang gelisah dan terdesak didesak mimpi2 benda isteri dan anak2
    aku syukur aku redha..
    ...aku juga terkadang malu meminta minta perhiasan dunia pada Tuan Empunya..
    aku syukur aku redha...tapi takut bila diberi
    aku mula lupa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jadi cahaya tulus, inyaAllah, realiti mimpi benda, termasuk rezeki atau anugerah (dan ujian) bernama isteri, anak-anak dsb, pun menjadi menzahirkan cahaya. Sebab tu kita semua pernah dipanggil 'cahaya mata'.:)

      Delete
    2. Bahasa Melayu penuh dengan istilah bersifat kuantum.

      Delete
    3. Begetar jiwa bicara pasal hijab ni...

      Delete

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...