(Tautan k Bahagian 8)
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/04/kepelbagaian-keadaan-hinggalah-disaksi.html?m=0
Apabila sisi sains (fizik kuantum terutamanya) cuba menjawab semua soalan yang ditanya pada penghujung blog entry yang lepas, yang terhasil adalah begitu banyak interpretasi dalam bahasa fizik yang sukar difahami oleh orang biasa.
Ada diantara interpretasi tersebut seolah datang dari ahli sufi, atau ahli falsafah, mahupun insan-insan yang lebih terjurus pada ilmu kerohanian dan dimensi batin, lebih dari ahli fizik.
Gaya ungkapan dan interpretasi yang dulunya ditolak mentah-mentah dengan sombong dan angkuh sebagai mengarut, tahyul, delusi, mundur dan merepek oleh pengamal sains moden, kini dituturkan oleh ahli-ahli fizik yang tersohor!
Ironik.
Sains moden menolak metafizik. Kini, fizik kuantum seolah ingin kembali menjawab persoalan metafizik.
Fenomena fizikal memanglah boleh dihurai ikut hukum fizik klasik berasaskan model mekanikal terhadap alam. Bagaimana pula dengan fenomena metafizikal?
Apabila sains berada di sempadan alam fizikal (benda/zahir) dengan mental (fikiran/batin), ia mula mengusulkan jawapan-jawapan yang pelik (jika ikut hukum fizik klasik).
Apakah jawapan atau interpretasi yang kita terima?
Tenaga? Gelombang? Partikel? Ruang kosong? Ilusi? Delusi? Ketidakpastian? Hidup dan mati serentak? Ketidak-pastian? Gumpalan Fungsi Gelombang Kuantum (qwiff)? Penyaksian dan Saksi? Pilihan?
Dan interpretasi berikut:
Alam semesta termasuk pemerhati atau penyaksi itu sendiri tidak terpisah dari apa yang disaksi. Malah, alam semesta itu sendiri wujud kerana ada manusia yang menjadi SAKSI. Kita adalah SAKSI kepada proses minda.
Mungkin ilmu sains dan teknologi berkiblatkan hukum benda tidak lagi boleh memberi jawapan yang lebih halus tentang alam dan manusia. Sisi metafizik dan kerohanian yang selama ini diterokai menerusi bidang-bidang kemanusiaan seperti bidang seni, budaya, warisan, kini diperlukan bagi melengkapkan deskripsi dan kefahaman kita terhadap manusia dan alam semesta. Dari segi keilmuan, kita perlu kembali kepada metodologi yang holistik, yang tidak memisahkan sains/teknologi dengan seni/budaya. Paksi ontologikal, bagi seorang Muslim seperti saya, sudah pastilah ilmu Tauhid itu sendiri.
Otak manusia itu sendiri perlu dipandu dan dimanfaatkan secara holistik, agar kesedaran minda (dan mimpi benda) yang dialami oleh kita lebih berimbangan. Saya dipesan oleh beberapa adiguru, katakunci bagi penalaan otak dan proses minda adalah syahadah.
Otak manusia itu sendiri, kini diinterpretasi sebagai berfungsi menerusi paradigma fizik kuantum, bukan lagi berasaskan model fizik klasik.
Stuart Hameroff dan Sir Roger Penrose contohnya, mengatakan bahawa kesedaran minda mestilah wujud menerusi fizik pada skala kuantum, bukan mekanikal dan model klasik (beroperasi seperti mesin dengan bahagian-bahagian yang terasing).
Model kepintaran buatan berdasarkan rangkaian neural buatan (artificial neural network) tidak lagi memadai untuk menerangkan fungsi dan kehebatan suatu anugerah bernama otak. Memanglah teknologi komputer itu merupakan lanjutan dari fungsi otak. Namun ia bukan tandingan dengan fungsi otak yang jauh lebih hebat.
Terdapat dimensi fungsi otak yang tidak boleh disukat (non-computational), yang beroperasi pada skala kuantum. Terdapat aspek subjektif pada sistem saraf yang belum disingkap hijabnya dari sisi sains. Cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin ilmu kini adalah untuk menghubungkan jurang antara sisi fizikal dan mental (mahupun objektif dan subjektif) menerusi model otak kuantum.
Kepada mereka yang berminat mengenal diri, rajin-rajinlah juga mentelaah dan mengenal sifat otak.
Sir Roger Penrose umpamanya meletakkan 'kemampuan memilih dengan sendiri' (free will) sebagai dimensi non-computable otak yang tidak boleh dihurai menerusi model fizik klasik. Menerusi kemampuan memilih dengan sendiri' ini, digabungkan dengan apa yang disebut sebagai Godel's theorem (tak payahlah tanya apa jadah ni pula), Penrose mengatakan bahawa otak kita tidak lagi beroperasi secara berurutan (linear) dan lojikal berdasarkan operasi matematikal yang ringkas. Otak seharusnya berfungsi menerusi pemprosesan pelbagai data dengan serentak tanpa memerlukan pengiraan yang khusus dan terperinci. Sesuatu pengalaman itu dengan sepintas (serta-merta) 'terbina' dalam otak, tanpa memerlukan proses pengiraan yang dibatasi faktor masa dan jarak ruang (seperti komputer).
Penrose membina model otak berdasarkan prinsip fizik kuantum. Beliau mengusulkan apa yang dikatakan sebagai SR atau Subjective Reduction apabila ingin memberi interpretasi terhadap persoalan membuat pilihan tadi. Apabila sesuatu objek kuantum itu disaksi oleh gelombang yang lain (pemerhati), ia akan memilih satu keadaan untuk dialami. Pemilihan ini dipanggil SR.
Bagi Penrose, selain dari penyaksian atau pemerhatian, sesuatu objek itu akan 'terbina' sekiranya jumlah tenaga qwiff nya sampai ke tahap sempadan paling tinggi. Beliau merujuk pada Teori relativiti Einstein, GR.
Namun, GR hanya boleh digunakan pada skala makroskopik (dari planet ke galaksi, ke bintang hinggalah ke benda-benda kecil). Ia tidak boleh diguna-pakai dalam skala kuantum (atom, molekul dan partikel sub-atomik seperti elektron). Terdapat sempadan kabur antara teori GR dengan fizik kuantum, persis sempadan kabur antara alam fizikal dan alam mental (zahir dan batin).
Alam fizikal adalah refleksi/pantulan/hasil interpretasi alam batin.
Pada sempadan ini, teori graviti Einstein tidak boleh digunakan. Penrose menamakannya graviti kuantum. Penrose menggunakan formula graviti kuantum untuk menyatakan apabila sesuatu objek menjadi lebih besar, lebih sedikit masa untuk ia berada dalam kepelbagaian keadaan serentak (ingat kucing Schrodinger). Bagi Penrose, proses dimana kepelbagaian gumpalan fungsi gelombang kuantum (qwiff) dilupus atau diruntuh untuk membina hanya satu qwiff (realiti) dipanggil 'just objective reduction' (atau OR).
Bagi Penrose, otak kita mestilah mengatur agar fungsi gelombang kuantum yang bergumpalan dan pelbagai kemungkinan itu (qwiff) runtuh untuk membina hanya satu realiti. Proses ini dipanggil Penrose sebagai 'orchestrated objective reduction' atau Orch OR.
Soalnya, bagaimana dan dimanakah berlakunya Orch OR ini dalam otak?
Bagi Hameroff, terdapat sesuatu yang lebih halus dari sekadar rangkaian sistem neural otak. Beliau merasakan bahawa ada sesuatu yang lebih halus menjalankan fungsi-fungsi kompleks untuk membolehkan 'kesedaran minda' itu berlaku berterusan.
Hameroff mengatakan bahawa terdapat sejenis protein bernama tubulin yang berada dalam banyak microtubules. Terdapat banyak microtubules dalam sel neuron. Di dalam tubulin inilah kata Hameroff berlakunya Orch OR.
Untuk setiap riak fikir yang sedar kekal dalam jangka-masa antara 1/20 hingga setengah saat, lebih dari 10 bilion tubulin mesti digetar dalam keadaan kuantum antara satu sama lain. Keadaan kuantum yang pelbagai ini (bergumpalan) akan melalui proses Orch OR untuk mengizinkan pengalaman alami yang sedar berlaku.
Setiap kali Orch OR berlaku, setiap kali kesedaran minda berlaku, menghasilkan ilusi 'aliran minda sedar' yang berterusan. Tubulin diatur begitu sekali dalam otak untuk membolehkan kesedaran minda yang berterusan wujud. Menerusi Orch OR, otak mencipta pengalaman sedar dan realiti, membolehkan kita mengalami alam semesta dan diri sendiri, dengan pilihan dan cara penyaksian kita.
Mari kita bersyahadah.
Baca juga
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/09/happy-inter-dependence-and-birth.html
Monday, 2 April 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
AYAHKU & NELAYAN
(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...
-
Langkah mula Lam Alif di atas merupakan satu langkah permulaan langkah Silat Titi Batang. Penanda reflektor pada pergelangan tangan d...
-
Adiguru lukisan saya, Amron Omar. Esei ini panjang, sesiapa yang ada short attention span , dinasihatkan banyak berselawat. P...
No comments:
Post a Comment