Nilai Impian, Negeri Sembilan
Ahad
15 Oktober 2017
Jam 11.30-12.30 thari
Saya bertanyakan Sdr. Nasir Baharuddin tentang
lapan (8) interpretasi kuantum yang saya andaikan selari dengan tradisi visual
Islam. Nasir memberikan reaksi spontan terhadap interpretasi tersebut berdasarkan
pengetahuan dan pengalaman beliau, termasuk kerja-kerja pengkaryaan. Mari kita
sama-sama santuni pandangan beliau, sambil berdoa kita sama-sama dapat
pencerahan:
1. Realiti berpusatkan-saksi (Observer-centered
reality)
"Ini sebenarnya merujuk kepada imaginasi.
Kalau orang dulu-dulu, dipanggil ilmu laduni. Ia berkait dengan hidayah atau
inspirasi. Kalau kita tengok dari sudut saintifik, ianya tentang imaginasi.
Ilmu ini boleh diperolehi secara formal dari berguru dan tak formal dari alam
termasuk segala makhluk seperti binatang. Nabi Sulaiman contohnya, boleh
bercakap dengan binatang. Masalahnya dengan para pelukis, ramai yang suka
berimaginasi tapi tidak bijak menapis imaginasi. Imaginasi ditapis menerusi
konsep, untuk memberi makna kepada pengalaman atau penyaksian. Maksudnya,
bagaimana kita mahu menggunakan imaginasi tadi. Konsep perlu ada rujukan. Jika
tidak ada rujukan, boleh jadi keliru, tiada kejelasan, hanya berangan kosong.
Rujukan atau sumber menghasilkan konsep yang konkrit. Ia membolehkan kita membuat perbandingan,
memberi makna kepada sebarang penyaksian berdasarkan sudut pandang yang
berbeza-beza.
Ilusi benda pula boleh dikaitkan dengan konsep ‘virtual’
atau ‘maya’, yakni melihat merentasi persepsi pancaindera yang terhad. Dalam
proses pengkaryaan, ia berkait dengan usaha melahirkan kemurniaan merentasi
persepsi benda, contohnya seperti yang dibuat oleh Sol Lewit dan Dan Graham.
Bill Viola menerusi beberapa karyanya, juga menyentuh tentang hidayah atau pengalaman
menuju kepada spiritualiti dari proses penyaksian terhadap sesuatu fenomena,
seperti kematian dan kelahiran.
Dalam konteks seni tradisi, penyaksian adalah
berlandaskan zikir.
Dalam seni tradisi Melayu, melihat merentasi
persepsi ini secara praktisnya boleh dikesan pada proses menenun, menganyam,
menjalin, tindih-menindih, hingga terbentuk ragam hias yang berlapis-lapis. Ini
sebenarnya adalah contoh melihat sistem, corak atau ‘pattern’ dari proses
penyaksian tadi, bukan melihat dan meniru objek semata-mata. Jika merujuk pada
Al-Ghazali, ini adalah sebahagian dari proses membuka hijab untuk melihat
merentasi benda-benda kasar yang boleh dicerap. Yang akan disaksi bukan lagi objek
atau benda semata-mata, tetapi tanda-tanda. Inilah yang saya katakan sebagai
konsep yang menapis imaginasi tadi. Dalam konteks pengkaryaan, satu contoh
ialah karya-karya Piet Mondrian, yang menapis penyaksian terhadap alam
semulajadi seperti pokok-pokok dan landskap untuk mencari intipatinya. Hasilnya
adalah gubahan abstrak yang amat minimal. Ini merujuk kepada usaha mencari intipati
makna di sebalik tanda-tanda kompleks yang disaksikan.”
2. Alam yang bertingkat dan multi-dimensi
"Alam ini ada 7 lapis, ini kerja Allah, bukan
kerja manusia. Ia disebut dalam Isra’ dan Mi’raj dan orang Islam wajib percaya.
Kita tak mampu untuk menggambarkannya, bukan kerja kita pun. Yang lebih penting
adalah alam yang ada depan mata kita ni dulu. Kita terokai alam depan mata ini
dulu. Dalam bidang ‘biotechnology’ contohnya, ramai pengkaji kini membina
teori-teori sosial menerusi pemerhatian terhadap kehidupan sel-sel halus.
Perkembangan dalam teknologi Nano umpamanya, telah memberi satu persepsi baru
terhadap apa yang kita katakan sebagai alam benda dan alam semulajadi. Banyak
yang boleh diterokai dalam alam yang sedia ada di depan mata kita ini.”
3. Saling bertautan dan Kesatuan Medan
Kearifan Tunggal
“Dalam seni Islam ini kita panggil Kesatuan dalam
Kepelbagaian, ia tentang hubungan dan konsep jaringan. Ini melibatkan kerencaman
dan kompleksiti hubungan manusia sesama manusia dan manusia dengan alam yang semuanya
menuju kepada hubungan dengan Yang Maha Esa, Yang Satu. Ini juga berkait dengan
konsep jemaah dan syura yang hubungannya bukan sekadar hubungan fizikal tetapi
yang lebih utama hubungan di tahap ‘virtual’, yakni batin, menerusi doa
contohnya. Konsep hubungan, jaringan atau jemaah begini semakin dirosakkan oleh
proses modenisasi yang berpusatkan pengasingan bukan jaringan atau jemaah tadi.
Dalam hal ini, seni itu adalah progresif kerana boleh melestarikan hubungan
jemaah, boleh dijadikan tanda-tanda untuk membina hubungan atau pertautan. Yang
penting di sini adalah hubungan ide antara penonton dalam usaha mencari atau ‘research’.
Seni boleh menjadi satu pelantar mencipta komunikasi untuk pertembungan dan
perkongsian ilmu. Ismail Zain contohnya, melihat kerja seni dari segi
komunikasi, khususnya semiologi. Seni bagi saya, dalam konteks saling bertautan
ini, adalah sebahagian dari espistimologi, atau cara kita mendepani dan
memaknakan proses membina jalan ilmu. Dalam Islam, ilmu syariat membawa kepada tarikat,
hakikat dan makrifat. Ia bermula dengan perjalanan mengenal diri terlebih dahulu,
seperti yang terkandung dalam surah Al-Iqra’."
4. Otak kuantum
"Akal ni mestilah diimbangi kalbu, yang selalu
kita kata sebagai sanubari”
5. Mikrokosmos dan makrokosmos
"Ini adalah hubungan antara yang halus dengan
yang kasar, yang boleh dicerap dengan yang tak boleh dicerap. Dalam konteks
visual, kita boleh lihat pada bentuk lengkungan kedalam dan lengkungan keluar.
Pada permukaan catan juga ada dua unsur ini, begitu juga dengan skrin projeksi.”
6. Berpasang-pasang dan saling-melengkapi
"Kita sebenarnya berada antara pasangan sebegini,
sebab itu kita mesti selalu mohon Petunjuk. Ia juga berkait dengan membuat
penilaian dan pilihan. Proses membuat pilihan ini ada dalam pengkaryaan,
tujuannya agar dapat membina ilmu baru dengan mengusulkan pilihan-pilhan dalam
cara kita berfikir. Ia membawa kepada perubahan dan anjakan persepsi dan paradigma.
Dari pilihan, baru ada capahan atau ‘diversity’ ilmu. Anjakan ini, tunjangnya komunikasi.
Bila ada anjakan, barulah fikir dan rasa itu meningkat tahap atau makamnya.
Jika fikir baik, jadilah baik, jadilah ibadah yang menuju kepada Allah. Ilmu ni
ada dua pemanduan, satu tu dari Iman atau Kepercayaan yang bawa pada Hidayah,
satu lagi dari nafsu yang bawa kepada kerosakan. Pilihlah."
7. Kesedaran tinggi
"Ini berkait dengan fana yang dialami
sanubari, bila berada dalam infiniti.”
8. Geometri dan tatabahasa harmoni
"Geometri bagi saya adalah figura - a figure. Geometri tu adalah bentuk. Bentuk yg dibina oleh bits, digit dan nombor-nombor. Ia adalah neurons dan sel bagi membentuk bentuk. Rujukan geometri dan tatabahasa harmoni yang
terbaik ialah figura atau tubuh badan manusia itu sendiri, seperti yang telah
dilukiskan oleh Leonardo da vinci. Dalam figura ada zikir, seperti gerakan
sujud. Maksudnya tak perlu ego, tak perlu bermegah-megah, tundukkan diri kerana
semua ciptaan sujud, bukan meninggi-ninggi. Ini konsep ‘humility’ yang perlu
dilalui dalam zikir. Geometri, tatabahasa harmmoni dan figura manusia itu semua
pada saya adalah zikir.”
Moga kita semua peroleh pencerahan dari sesi kerdil antara saya dan kawan lama saya ini. Kita sama-sama belajar dari satu sama lain.