Ninda (Opah Hajjah Rabeah), mewarisi keayuan dan kecekalan Tok Timah. |
1. HANYUT TOK TIMAH
Sepanjang 46 tahun hidup, saya dilahir, dikasihi, dipupuk, dipelihara, dibesar, didewasa, diuji, dicintai, malah dibuka hijab oleh gelombang wanita-wanita cekal. Kalau nak disenaraikan 'kata perbuatan' (verb) yang dianugerahkan oleh wanita-wanita cekal ini, memang terlalu panjang. Mereka adalah yang pertama, terakhir dan selamanya untuk seorang Hasnul J Saidon, termasuklah seorang Rozana Mohamed, isteri tercinta merangkap kekasih hingga hujung nyawa.
Rasanya, tak perlulah saya mendakap dan memuja sangat teori-teori kritikal, atau kitab-kitab feminis mahupun khutbah emansipasi wanita dari para profesor mahupun yang menjenama diri sebagai 'pejuang' dan 'pembebas'. Tak perlu juga dileteri dan disimbah rasa bersalah oleh para aktivisi mahupun politikus oportunis.
Wanita-wanita cekal yang pertama, terakhir dan selamanya ini sudah cukup tegar untuk saya jadikan guru.
Kisah 'hanyut' moyang saya (sebelah bonda) saja sudah cukup untuk dijadikan 'case study', jika tak pun drama atau filem. 'Subteks'nya banyak, termasuklah emansipasi dan hijrah.
Moyang saya Tok Timah atau Fatimah Binti Abdullah (nama setelah memeluk Islam), terpaksa lari sehelai sepinggang sebatang kara meninggalkan keluarga di Siam (mungkin Songkla). Ini 'teks hijrah' dan emansipasi tahap tinggi, transformasi dan pembebasan radikal yang lebih hebat dari mereka yang hanya pandai beromen dengan mikrofon di majlis seminar atau konferen.
Tok Timah dan abangnya menghanyutkan diri dengan tongkang ke Pulau Pinang (ketika itu, Tanjung Penaga) untuk mengelak dari dijadikan hamba dan gundik Raja Mongkut. Bapa Tok Timah (mengikut cerita yang diruhaikan) bekerja dengan 'supplier' gajah-gajah untuk Raja Siam ketika itu. Selain dari gajah, sesekali mungkin di'supply' juga anak-anak dara Siam.
Keputusan untuk menghanyutkan diri ini mungkin sebahagian dari 'survival instinct' bonda kepada Tok Timah yang tidak mahu melihat anak daranya dijadikan mangsa libido (kalau tak pun, 'superiority complex')Raja segala kejantanan ini. Raja Siam ini (walaupun dilakonkan dengan murni oleh Chow Yew Fat dalam "Ana & The King") mungkin juga disampuk badi 'god complex', jika tidak pun dirasuk saka 'ketuanan' mahupun 'ketuhanan' (rasa diri tuhan).
Tok Timah dan bondanya adalah dua wanita Siam abad ke 19 yang cekal menongkang arus perdana yang menghalalkan hedonisma kejantanan Raja. Semangat hijrah dan emansipasi mereka menjadi azimat dan wasiat. Tak payah saya korek teori-teori transformasi dan gender di Barat, saya dah ada darah dua srikandi ini mengalir dalam segala urat.
Menongkang arus libido Raja sama seperti menongkah gelombang di laut. Keduanya persis menempuh skuad hukuman mati. Gelora laut bukan mudah dijinak. Tongkang tak sama dengan kembara kapal layar Marco Polo. Itu tak ambil kira gelora emosi tinggal sebatang kara meninggalkan kampung, ibu-bapa, adik-beradik, keluarga dan saudara-mara. Kalau tak cekal, boleh mati. Kalau tak kuat, boleh tumbang. Kalau tak bulat tekad, boleh sesat. Tapi Tok Timah bukan jenis yang senang 'give up' atau tunduk pada opresi malu mahupun santun palsu. Saya yang jantan ni pun sendiri cuak bila menghanyutkan diri keseorangan di Kota Fukuoka, Yamaguchi, Kyoto dan Tokyo dulu.
Tragedi Tok Timah tak berhenti di situ. Sampai di Pulau Pinang, dia pulak kena jual pada seorang tauke. Khabarnya oleh abang dia sendiri, satu lagi watak 'jantan' dalam drama ini. Jantan yang ini kesnya mungkin disampuk benih kapitalisme pasaran bebas (dan kebas). Tauke ni pula, satu lagi watak 'jantan' yang menjadi antagonis dalam cerita Tok Timah. Kalau ikut cerita Bonda, Tok Timah dibawa duduk di bukit (sebelah Balik Pulau) dan mungkin dipaksa jadi isteri simpanan (selain dari orang suruhan). Sekali lagi Tok Timah perlu membuat tindakan radikal untuk membebaskan diri dari cengkaman libido 'male chauvinist pig' zamannya. Dia melarikan diri menuruni bukit hingga sampai ke perkampungan Melayu (Titi Teras, Balik Pulau).
Di sini, naratifnya bertukar dari tragedi ke 'terjadi'. Watak-watak 'jantan' dalam pengkesahannya juga berubah sikit. Yang 'terjadi' ada dua. Pertama, Tok Timah diselamatkan dan dibawa berjumpa Kadi di Titi Teras ketika itu, Tok Taha (Tok Chai/Cha), moyang lelaki saya. Kebiasaannya masa dahulu, jika ada isu sosial, akan dirujuk pada orang-orang alim. 'Terjadi' yang kedua, Tok Timah menerima syahadah, menjadi wanita Islam dan berkahwin dengan Tok Taha. Naratifnya di sini mencapah, kalau tak pun, perlu ada 'alternate flashback' dari perspektif Tok Taha.
Tok Taha ketika itu (mengikut cerita Bonda) sudah ada dua isteri. Selain dari wanita cekal, plot 'isteri lebih dari satu' ini sebenarnya merupakan sebahagian dari naratif sejarah dan warisan keluarga saya. Antara anekdot yang diwarisi dari plot ini adalah kata-kata Tok Taha kepada dua isterinya ketika mereka berselisih rasa. "Kalau hangpa berdua dok bergaduh, nanti cek cari isteri dari Siam" gitulah lebih tak kurang cakapnya.
Mungkin lidah dia masin (orang alim kot, rajin berzikir), Tok Timah dari Siam dibawa terus pada dia, tak payah cari. Dia menyunting Tok Timah secara halal dan bertanggung-jawab dengan kerelaan semua yang berkaitan. Untuk Tok Taha, teori libido jantan mungkin tidak boleh digunakan. Selain dari kasih dan ikhsan, Tok Taha menyunting Tok Timah sebagai benteng dari dirampas semula oleh Tauke dari bukit Balik Pulau. Dari perspektif Tok Taha, selain dari mulut masinnya, perkahwinan itu juga mengelak dari sebarang isu, gosip dan fitnah, walaupun ketika itu rancangan Melodi belum ada lagi. Perincian keperibadian Tok Taha agak kabur kerana dia meninggal dunia sebelum Bonda dilahirkan. Begitu juga dengan kedua isterinya yang lain. Namun demikian, Bonda agak rapat dengan anak-anak dari kedua isteri Tok Taha yang lain (pangkat bapa dan ibu saudara).
Hal bagaimana Tok Timah 'survive' sebatang kara sebagai wanita 'berbangsa asing' untuk kemudiannya memeluk Islam dan menjadi isteri ketiga Tok Taha masih misteri. Bagaimana dia menyesuaikan diri dengan patriaki alam Melayu-Islam di Titi Teras juga tak dapat dirungkai rahsianya. Yang pasti, 'acumen' dan 'flexibility' Tok Timah dalam mengadaptasi diri dengan konteks lokal wajar dijadikan bekalan dan contoh untuk para perantau dan penghijrah masa kini.
Kehidupan Tok Timah dengan Tok Taha diserikan oleh tiga orang cahaya-mata, Salasiah, Kamaruddin dan Rabeah (Ninda saya, seorang lagi wanita cekal). Tok Taha menghadiahkan sebidang tanah di Titi Teras kepada Tok Timah sebagai tanda kasih. Di tanah pusaka Tok Taha (panggilan 'glamour'nya Tok Cha) inilah Ninda saya Hajjah Rabeah dilahirkan pada tahun 1911. Bonda saya Jamaliah juga dilahirkan di tanah pusaka Tok Cha pada tahun 1929. Mereka adalah srikandi saya.
Kehidupan Tok Timah dengan Tok Taha diserikan oleh tiga orang cahaya-mata, Salasiah, Kamaruddin dan Rabeah (Ninda saya, seorang lagi wanita cekal). Tok Taha menghadiahkan sebidang tanah di Titi Teras kepada Tok Timah sebagai tanda kasih. Di tanah pusaka Tok Taha (panggilan 'glamour'nya Tok Cha) inilah Ninda saya Hajjah Rabeah dilahirkan pada tahun 1911. Bonda saya Jamaliah juga dilahirkan di tanah pusaka Tok Cha pada tahun 1929. Mereka adalah srikandi saya.
Menurut naratif Bonda, Tok Timah seorang wanita yang cantik, dengan 'frame' tinggi (agaknya persis model fesyen sekarang), berambut lurus panjang dan sedikit berketak. Umurnya pun panjang, melangkau 100 ketika dia meninggal. Waktu itu, saya baru berusia setahun. Saya tak berpeluang menerima tempias jasad Tok Timah. Namun, semangat dan kecekalan Tok Timah yang mengalir dari dia ke Ninda (Opah) dan kemudian ke Bonda akan saya wariskan kepada Adeela, Amira dan Ainina, juga kepada sesiapa saja yang sudi, terutama sekali anak-anak murid.
Kini, bila keluarga berkumpul, secara jasadnya, hanya warisan lisan Siam Tok Timah yang masih digema:
"Lomli, lomli, ndoi tang ni, nafran niman"
Ini jampi Siam Tok Timah bila ada anak-anak menangis dan meraung.
Namun, khazanah dan warisan batin wanita cekal ini mengalir dalam darah dan daging seorang Hasnul J Saidon serta yang sebatin dengannya.
Jika Tok Timah hanyut, kehidupan anaknya Rabeah pula ditandai oleh hijrah.
Hijrah Opah Rabeah kerana mengikut suami (Tok Syeh Noordin, Ninda lelaki saya) pulang ke Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak. Titi Teras ke Teluk Kepayang bukannya dekat, jika diambil-kira faktor jalan perhubungan ketika itu (awal 1900). Itenari perjalanannya melibatkan kapal besar ke Seberang Prai, diikuti dengan perjalanan dengan keretapi ke Ipoh, teksi ke Parit, dan bot dua tingkat (wanita di atas, lelaki di bawah) menyeberang sungai Perak.
Drama peminangan juga ada 'intrigue' dan politik keluarga. Naratifnya perlu dicapah ke Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak. Plotnya sekali lagi terisi kes 'isteri lebih dari satu'. Watak utama di sebalik plot ini tentulah Tok Syeh Noordin. Kena ada 'subplot' ringkas di sini (jika ada masa, Hikayat Tok Syeh yang banyak ilmu batin ini akan diruhaikan kemudian). Hikayat Tok Syeh juga dipenuhi wanita-wanita cekal. Ketika meminang Opah Rabeah, Tok Syeh sudah ada seorang isteri (isteri kedua, Opah Tua Ma Jenab yang lembut, cantik, comel dan cerah kulitnya). Sebelum Opah Tua, Tok Syeh sudah ada seorang lagi isteri, isteri pertama, Opah Andak Itam (yang trajisnya, meninggal dipatuk ular). Ini bermakna saya ada tiga orang Opah atau wanita cekal, satu anomali (dari sudut kehidupan urban pasca-industri) yang amat saya hargai.
Opah Tua Ma Jenab terpaksa menjaga anaknya sendiri (Abdul Jabar atau Kingah Jabor) dan anak-anak tirinya (Mak Andak, We Cik, Mak Anjang dan Pak Ngah Arshad). Ia satu 'job spec' yang berat jika diambil-kira politik patriaki ketika itu. Menurut Bonda, ini antara faktor yang menyebabkan Opah Tua mengusulkan 'proposition' drastik bercampur pragmatik kepada Tok Syeh - cari seorang lagi isteri!
Perihal respon Tok Syeh terhadap 'proposition' isterinya itu, tidaklah pulak saya tahu, walaupun rasanya menarik untuk diperincikan. Persis sebuah drama yang ada 'twist and turn', tukang masak Tok Syeh yang berasal dari Titi Teras (fuyoo, Tok Syeh ada tukang masak masa tu!), mencadangkan agar beliau meminang seorang anak dara sunti Tok Kadi (Opah Rabeah, yang berusia 16 tahun ketika itu) di kampungnya.
Dengan 'greenlight' menteri dalam negeri (Opah Tua), Tok Syeh menghantar adik-beradiknya yang segak ke Pulau Pinang. Persis '3 musketeers', tiga 'alpha males' ini, Tok Junus, Tok Hitam Samad dan Tok Maafuf bergerak ke Pulau Pinang. Sampai ke Titi Teras, Tok Hitam Samad yang bergaya dan terkenal dengan 'verbal flair' dan kemahiran PR nya, membeli se'kandar/kandaq' kuih buat buah tangan. Heboh sekampung Titi Teras, ada rombongan 'orang kaya Perak' datang meminang anak aruah Tok Kadi Taha. Strategi penjenamaan dan 'viral branding' Tok Hitam Samad berjaya.
Di tanah pusaka Tok Taha, Tok Kama (Kamaruddin, kekanda Tok Timah) menerima kedatangan tiga 'musketeers' Perak ini. Ada kisah politik keluarga di sebalik penerimaan pinangan. Antaranya termasuklah perasaan cemburu terhadap Opah Rabeah dan keinginan untuk memisahkan Opah dari abang kesayangannya. Kisah ini hanya akan membelitkan plot, oleh itu molek dipinggirkan saja.
Setelah berkahwin dengan Tok Syeh pada tahun 1911, Opah berhijrah ke Teluk Kepayang, Bota Kiri, Parit, Perak. Teluk Kepayang bukanlah pekan, tapi lebih banyak hutan dari perkampungan. Hijrah Opah Rabeah dari Pulau Pinang ke Perak mengundang melankoli dan rindu pada tanah tumpah darahnya. Dengan tiba-tiba, dalam usia yang amat muda, dia menjadi ibu tiri kepada lima orang anak. Watak sayu penuh air-mata ala Neng Yatimah seakan menjadi naratif induk untuk Opah (mungkin juga menjadi ikon semiotik wanita Melayu yang perlu tunduk pada 'kuasa' lelaki ketika itu). Namun, sebagai isteri kedua, Opah Rabeah diberi rumah sendiri (rumah peninggalan Opah Andak Itam).
Rindu Opah Rabeah terubat bila dia pulang ke Titi Teras untuk melahirkan Bonda. Setelah Bonda berusia 6 bulan, Opah Rabeah kembali berhijrah semula ke Teluk Kepayang. Makcik Suyah (adik Bonda), puteri kedua, dilahirkan di sini. Opah mengisi hidup membesarkan Bonda, Makcik Suyah dan anak-anak tirinya yang lain. Hinggalah Bonda Jamaliah dikahwinkan dengan Ayahanda Saidon, Opah taat disisi Tok Syeh, memainkan watak 'cliche' wanita Melayu zaman filem hitam-putih.
1937. Dari kiri: Makcik Suyah, Mak Andak, Tok Syeh, Opah Rabeah, Mak Anjang dan Bonda (ketika berusia lapan tahun) |
1950an. Dari kiri: Ayahanda Saidon, Puteh Saadiah, Che' Yang Asiah, Tok Syeh, Opah Rabeah, Zainal Abidin (di depan), Zainuddin, Jamilah dan Bonda |
1960an, Tok Syeh dan Opah Rabeah |
Naratif yang menyusul lebih menyedihkan dan menuntut semangat serta hati yang cekal. Saka hanyut bondanya Tok Timah tertempias pada Opah Rabeah. Dia tersepit antara kasih terhadap bondanya dan ketaatan pada suami. Tok Timah yang semakin tua, rabun dan tidak dapat melihat dengan jelas perlukan penjaga. Opah Rabeah berhijrah lagi untuk pulang ke Titi Teras. Tok Syeh yang mungkin terguris ego jantan, menceraikannya. Ada faktor lain juga, tapi itu hanya akan memanjangkan cerita. Setelah habis tempoh edah, Opah dikahwinkan dengan seorang Imam. Perkahwinan ini tidak bertahan lama. Kerana rindukan cucu-cucunya, Opah kembali berhijrah ke Perak.
Kali ini bukan lagi di Teluk Kepayang, tapi di Teluk Intan. Ayahanda membawa Bonda dan seisi keluarga berhijrah ke Teluk Intan kerana menerima tugas baru sebagai guru agama. Di sinilah saya yang masih kecil, menerima tempias kasih (dan marah) Opah Rabeah. Di sini, Opah menamatkan kisah penuh hijrahnya. Rumah murah Padang Tembak Teluk Intan adalah mukim akhir Opah setelah jenuh berhijrah ke sana-sini.
Hidup Opah Rabeah di Teluk Intan diisi oleh riuh 5 anak-anak jantan dan 4 anak-anak dara Bonda Jamaliah Noordin. Ke'brutal'an cucu-cucu jantannya tidak dipertikaikan lagi. Saya masih ingat jerkah Opah, "aku tak tahan dengan anak-anak kamu ni Jama, nakal sangat!", dan yang paling meninggalkan kesan, "aku caba (cabai) nanti". Ini merujuk pada proses men'cabai' mulut dan lain-lain anggota badan yang terlibat dengan perbuatan-perbuatan brutal. Proses men'cabai' boleh meninggalkan kesan pedih tak terhingga pada kulit, mendatangkan keinginan bertobat (yang hanya sementara) dari segala bentuk kenakalan. Walaupun garang, Opah Rabeah sangat kami kasihi.
Awal 1970an, Opah diserang lelah dan terpaksa masuk wad. Setiap hari (tengah hari dan malam) saya menziarahi Opah kerana sekolah saya terletak bersebelahan dengan hospital. Setiap hari saya mendengar cerita dia (jika dia ber'mood' baik) atau leteran dia (jika ber'mood' marah). Saya pun bukan mengerti sangat hal hidup-mati ketika itu. Adakalanya saya tertanya, "kenapa pulak Opah ni suka duduk di hospital lama-lama?" Yang saya tahu, nak jumpa Opah saya yang comel, penyayang tapi garang. Saya masih ingat pada satu petang, Opah memandang saya lama dengan pandangan yang penuh kasih sayang sambil berkata, "Opah nak mati nanti, kamu jangan nakal-nakal sangat sampai menyusahkan mak kamu".
Setelah hampir sebulan di wad, doktor menyarankan agar Opah dibawa pulang ke rumah.
Di rumah, pada suatu petang, ramai sanak-saudara datang, termasuk dari Pulau Pinang. Di dalam bilik, saya dengar suara ayahanda dan saudara-mara membaca Quran. Tak lama selepas itu, semua cucu-cucu Opah dipanggil masuk ke bilik. Opah terbaring di tengah. Ayahanda sedang membacakan syahadah pada telinga Opah. Bonda, Mak Anjang dan Mak Andak ada di sebelah. Mata Opah terbuka sikit. Saya nampak anak matanya bergerak-gerak menjeling ke arah cucu-cucunya termasuk saya. Lepas tu dia senyum manis (dan comel) sambil menutup matanya. Bonda dan Mak Anjang meneriak "Mak!" lalu rebah serentak.
Opah dah berhijrah ke alam dan gelombang yang lebih murni.
3. WASIAT
Kini, saya nampak Opah Rabeah pada wajah Bonda yang dimakan usia. Hati saya pedih bila selalu kalah pada tuntutan mengejar dan dikejar KPI dunia hingga Bonda selalu ditinggalkan menadah hari tua. Dalam saya mengejar mimpi tak pasti ini, macam-macam yang nak dicapai, segala indeks nak digapai, kononnya untuk memandu saya laju ke depan. Tapi apakah makna semua KPI ini jika segala wasiat Tok Timah dan Opah Rabeah yang bergema di dalam jiwa Bonda semakin terpinggir dibawa hari. Begitupun, Bonda tak pernah komplen. Penyakit dan sakit (baik mental, emosi mahupun fizikal) yang ditanggungnya bukan calang orang boleh 'handle'. Kecekalan dan semangat hanyut Tok Timah dan hijrah Opah Rabeah tidak pernah luntur, ada pada Bonda dan kini harapnya mengalir dalam darah dan daging saya.
Kepada semua suku-sakat, anak-anak dan cucu-cicit-piut, sesekali tinggalkan dan tanggalkanlah ilusi harta-pangkat, kemaruk darjat dan sakat sukat-menyukat ikut piawai tak berkiblat. Kembalilah pada wanita-wanita cekal dalam hidup kita, yang pertama, yang terkini, terakhir dan selamanya.
Kepada yang beruntung menerima tempias kasih seorang Opah yang masih bernafas, pulanglah pada mereka. Jika mereka 'temperamental' dan 'annoying', itu bahagian dan hak mereka setelah jenuh menempuh ujian hidup.
Wanita-wanita cekal ini adalah 'gatekeeper' yang membawa kita jalan ke syurga.
Taut juga di:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2011/08/heroin-saya.html