(1960an) Tok Syeh Noordin dan Opah Hjh Rabeah, sebelum menunaikan Haji....doa & kasih abadi |
Petikan dari "Prelude 2000 :..." (1999, Kuching, Sarawak) susulan dialog diri yang berkrisis dengan wacana 'melayu'nya. Pernah diterbitkan dalam sebuah akhbar arus perdana. Esei ini panjang, kita berselawat dulu dan sama-sama mohon petunjuk dari Yang Maha Esa.
Aku mengimbas,
Anak raja bangsa Rom dari Makadunia bergelar Zulkarnain telah merantau jauh ke sebelah Timur hingga ke kerajaan Kida Hindi. Keturunannya Raja Suran mewaris kerajaan yang begitu besar, dengan jajahan takluk yang amat luas hingga ke Gangga Negara. Namun Raja Suran tidak cepat selesa, lalu berhijrah ke laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul-Ardh. Putera-puteranya dipesan agar tidak memerap diri dalam laut, tetapi perlu keluar dari ‘tempurung’ mereka ke alam dunia (bumi) setelah dewasa. Mereka mewarisi semangat merentas sempadan selesa dengan berkembara ke Bukit Siguntang. Bukan senang hendak merentas ke alam lain, terutama jika sudah selesa di dalam laut. Terpaksa menunggang lembu yang memuntahkan Batalla. Hasilnya lumayan. Padi di Bukit Siguntang bertukar menjadi emas. Pelik? tidak lojik? tidak berpijak pada kenyataan? luar kebiasaan ? luar dari lingkaran fikiran yang selesa? fantasi? angan-angan? terlebih kreatif? rekaan? buat-buat? penipuan? dusta? agenda Raja? dakyah feudal?
Tapi inilah sejarah yang diwariskan. Penuh dengan keluarbiasaan. Penuh dengan kiasan. Penuh dengan pengembaraan, penerokaan, rentasan, jumpaan, pertembungan, pertarungan, perjuangan. Penuh dengan nada pengorbanan. Penuh dengan permulaan - perintis.
Jika hal di atas merupakan semangat dan jiwa yang diwariskan, pelik juga kenapa semangat sedemikian ingin dilunturkan oleh segelintir pengawal warisan itu sendiri. Aku keliru. Ada polemik yang paradoksikal di sini : laju-perlahan, ke depan-ke belakang. Malah kandungan sejarah yang diwarisi itu juga tidak gersang dengan ironi jika dikaitkan dengan situasi masa kini.
Syukur juga kerana aku ada pembekal sejarah dan tradisi. Sejarah dan tradisi ibarat ‘brek’ untuk kelajuan yang boleh menjemput kemalangan. Jika penampilannya kini penuh kontradiksi, itulah yang menyebabkan ia amat bermunafaat untuk dijadikan suluh terutama sekali untuk aku yang ingin merentas, merombak, meneroka, merintis dan memulakan sesuatu berpentaskan pelantar yang sarat dengan kontradiksi dan ironi.
Hikayat sejarah dan tradisi yang diwariskan juga menyuruh aku meneruskan semangat meneroka. Mana dia pewaris Raja Muda, Malim Demam, Malim Dewa, Awang Sulung Merah Muda, Anggung Cik Tunggal, Raja Donan, Raja Budiman, Selampit? Kenapa perlu dilunturkan? Mana semangat Putera Raja Bugis yang belayar dari Johor ke Sarawak untuk berdagang seperti yang diruhaikan dalam sejarah? Mungkin juga baka meneroka ini telah dimandulkan oleh keselesaan pangkat, darjat, dan harta. Atau mungkin baka penerokaan ini telah diracuni oleh saka ‘penjara’ atau ‘tempurung’ yang menghantui sejarah bangsa terutama sejak jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Aku tidak pasti.
Mana perginya keberanian menyeberang, mengembara, merombak, meneroka dan merentas sempadan selesa? Dulu, atas pentas buana. Kini, mungkin atas pentas siber?
"Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China"
demikian wasiat yang sering diungkap berkali-kali oleh Mak dan Bapak dan rakan-rakan berketayap ala-Raihan.
Mindak fakirku terus ke negeri China mengemis dengan Confucius yang berkata,
"Apabila ibu bapa masih hidup, jangan merantau jauh dari rumah. Jika kita hendak merantau jauh dari rumah, mesti ada tempat yang tertentu yang hendak dituju."
Maksudnya biarlah perantauan itu bermatlamat, berpaksi, bermakamkan yang kamil. Demikian juga nada pesanan dari Mak dan Bapak sebelum aku merantau ke Sarawak. Bukan mudah untuk memadam imbasan kesedihan dan kegusaran yang jelas terpancar di wajah mereka. Jika tidak kerana semangat yang mereka bekalkan, mungkin sudah lama aku luntur. Restu mereka terhadap keinginanku untuk merentas mungkin hadir dari keinsafan bahawa,
"Apabila telah ditunaikan sembahyang maka bertaburanlah kamu di muka bumi; dari carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." (Al-Jumuh ayat 10)
dan,
"Katakanlah Ya Muhammad, ‘Berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah sebagaimana Allah mulai menciptakan." (Al-Ankabut ayat 20)
1950an, Perak. Ayahanda (kanan) bersama sahabat |
Tentunya mereka jauh lebih maklum tentang konsep ‘hijrah’ dari aku. Bapak sendiri sering berkhutbah panjang-lebar mengenainya sebelum aku ke Amerika Syarikat. Kini aku merentas sempadan.
Mungkin wasiat-wasiat dan pesanan di atas sering diketepikan oleh kehebatan pengembaraan Marco Polo ke Negeri China yang aku kutip dari buku sejarah. Tapi bukan ‘Mat Saleh’ ini seorang sahaja yang merealisasikan suruhan Nabi.
Aku juga ada versi pengembaraan sebegini yang diwasiatkan oleh sejarah bangsa. Ajaran dari guru-guru Hollywood telah menyebabkan aku terlupa bahawa Tun Parapatih Putih, adik Tun Perak Bendahara Paduka Raja juga telah mengembara ke negeri China. Walaupun dibayangi oleh kepentingan ‘raja’ yang mungkin menunjangi inisiatif beliau (dan golongan pewarta sejarah), tidak dapat dinafikan bahawa instinct pengembaraan ini memang telah wujud di daerah nusantara sebelum ia berkenalan dengan dunia ‘atas angin.’ Kebijaksanaan diplomat Melayu ini berjaya membawa cahaya kudus kepada Hang Li Po dan pengiringnya. Hang Li Po menjadi antara katalis kepada cetusan suasana kosmopolitan dan majmuk di Melaka.
Namun untuk menjadi katalis bukannya mudah. Perlu pengorbanan dan semangat yang jitu. Dengar saja keluhan Hang Li Po kepada Tun Parapatih:
"Hati ini Tuhan saja yang tahu, Orang Kaya. Badai hidup yang beta lalui tiada siapa yang benar-benar memahaminya,"
Kesayuan Hang Li Po dan rindunya pada tanah tumpah darah disambut pula oleh reaksi Tun Parapatih sebegini:
"Ia sepatutnya sedar bahawa negeri ini adalah negeri berdaulat dan merasa bertuah bertuankan rajanya. Bukankah dengan merelakan diri menjadi isteri tuanku Sultan ia juga sudah sepatutnya melepaskan segala ingatan dan penghormatan kepada negara asalnya,"
Mengalah juga akhirnya Hang Li Po kepada pragmatisme dan sentimen tebal Tun Parapatih. Demikian nasib insan yang menjadi katalis ‘vis-à-vis’ korban. Maklumlah, dia hanya seorang ‘wanita’, berbangsa ‘asing’ pula.
1930an Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. Ninda (Opah) Hjh Rabeah yang ayu |
Dicelah segala retorika sejarah, aku mula sedar bahawa mungkin tidak perlu terlalu bergantung kepada khutbah pemikir Barat sahaja tentang multiculturalismnya mahupun kehebatan pengembaraan hero-heronya. Kekaguman terhadap kehebatan Barat tidak pula memadamkan hakikat bahawa aku adalah pewaris bangsa yang memang sudah lama mampu keluar dari tempurung rasnya dan berinteraksi dengan budaya luar, walaupun natijah interaksi tersebut boleh dibahaskan.
Bangsa aku tidak insular seperti yang didakyahkan oleh penjajah. Mereka adalah ‘katak’ yang telah di’tempurung’kan secara paksa oleh ‘istana dan croniesnya’ diikuti oleh barisan para penjajah sejak 1511 hinggalah 1957. Demikianlah ironis kandungan sejarahnya - dijajah oleh bangsa sendiri, dijajah oleh ‘orang lain’ dan kini….bagaimana pula? Empat ratus tahun ditempurungkan bukannya masa yang pendek. Ini tidak termasuk hintungan period pra-kolonial. Empat ratus tahun dirompak dan dicampak dalam penjara, bukannya penyiksaan dan penghinaan yang sedikit. Cukuplah dengan empat ratus tahun. Janganlah ditambah lagi kitaran atau pusingan malang ini. Jika aku mahu belajar dari tragedi terpenjara ini, aku sendiri perlu membebaskan diri dari benih saka insular yang cuba ditanam oleh perompak kemanusiaan dari pra-kolonialisma dulu hingga pasca-kolonialisma sekarang. Aku sendiri perlu mengelakkan diri jadi menjadi insan ‘penjajah’ mahupun insan ‘dijajah.’ Namun demikian, pernah dimaklumkan kepada aku dahulu bahawa pengalaman ‘didera’ mungkin boleh menyebabkan sesaorang itu menjadi ‘pendera’. Begitu juga dengan pengalaman ‘dijajah’ mungkin agaknya boleh menyebabkan sesaorang itu menjadi ‘penjajah’ di sebalik segala retorika anti penjajahnya. Simpang malaikat 44.
Aku beruntung kerana dianugerahkan dengan ibu dan bapa yang tidak mewarisi benih saka insular. Mereka mewarisi semangat juang meneroka dan menyeberang. Mereka mewarisi semangat merantau dan menyeberang sebelum episod dipenjara, walaupun mereka sendiri merupakan sebahagian dari warga terakhir episod penjajahan tersebut. Di sebalik segala kekurangan dan kekerdilan diri, mereka menjadi ‘pembebas’ku. Nama mereka mungkin tidak sehebat Hang Tuah, Hang Jebat, Maharaja Lela, Mat Kilau, Rosli Dhobi, dan lain-lain insan yang ditabal oleh pewarta sejarah ‘rasmi’ sebagai hero.
Mereka membantu aku mengembalikan semangat demikian ke masa kini - masa dan zaman yang ‘penjara’ dan ‘penjajah’nya lebih banyak, tidak mengenal warna kulit, dan tidak kelihatan.
1940an Perak. Majlis persandingan Ayahanda & Bonda |
Aku berkenalan dengan bekalan sejarah yang merentasi sempadan ruang dan masa, seni dan sains, sejarah dan sastera, fiksyen dan fakta, mitos atau lagenda dan realiti, dongeng dan benar, ras dan negara, aku dan mereka. Kesemua nada ini sememangnya merupakan sebahagian dari ramuan sejarah Melayu - kaum yang ‘melayar’. Sebutlah apa jenis gelombang. InsyaAllah, diredah dengan tenang. Semoga ini termasuk gelombang maklumat yang datang menyerang sempadan kewarasan ugama, budaya dan sentuhan seni.
Begitupun, sesekali terpacul juga beberapa persoalan yang mengusik sentimen ras dan semangat yang dijaga seperti nyawa.
Jika melayar, kenapa agaknya mereka melayar? Kenapa perlu melayar ? Apakah punca dan sebabnya ? Kenapa tidak settle down saja di tanah asal kelahiran? Kenapa perlu merantau jauh-jauh, merempuh badai dan segala dugaan? bukankah corak merantau ini boleh merombak paradigma dan keselesaan jatidiri?
Dan yang paling meresahkan aku,
Untuk sesaorang pelayar dan perantau, pentingkah mukim asalnya? Tidakkah ia gusar pewarisnya akan hilang segala warisan yang dibekalkan dari mukim asal tersebut ?
Jika pergi lebih jauh lagi,
Di manakah asal segala asal? Asal segala asal yang aku gelar sebagai jatidiri hakiki? Apakah wasiat atau amanah segala amanah yang aku warisi ? Apakah yang hendak aku kekalkan? kekal segala kekal?
Mungkin ilmu aku tidak cukup hun walaupun semangat dan sentimen tidak mahu mengalah. Tidak pedulilah jika semangat buta mungkin menghalang hati dari menerima hakikat atau kebenaran yang tidak menyenangkan.
Bila diajukan kepada Bapak, dia mengungkapkan sabda Rasulullah s.a.w.,
"Semua kamu berasal daripada Adam dan Adam daripada tanah. Tidak ada kelebihan seorang Arab daripada seorang bukan Arab, kecuali oleh sebab ketaqwaannya." (Hadis)
dan
"Tidak masuk bahagian kami orang-orang yang menyerukan kefanatikan golongan atau kaum (‘asabiyah) dan tidak masuk bahagian kami orang-orang yang berperang atas dasar tersebut, dan tidak termasuk bahagian kami orang-orang yang maut atas dasar itu." (Hadis)
Tersentak sebentar sentimen aku. Sambil membetulkan baju Melayu dan songkok tinggi, aku mengungkit pengalaman silamnya. Bukankah bapak terlibat dengan perjuangan bangsa hingga terhasilnya manusia Melayu kelas pertengahan seperti aku? Bukankah bapak lebih merasai bahang dari Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Husein, Ibrahim Yaacob, Zainal Abidin Ahmad (Zaaba), Burhanuddin Helmi, Ishak Mohamad, Ahmad Boestamam, dan lain-lain ‘nasionalis’ bangsa yang ‘memerdekakan’ aku.
Bapak menyambung,
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) sehingga bangsa itu sendiri mengubah nasibnya." (Ar-Ra’d ayat 11)
Apabila melihat pewarisnya sedikit gusar, beliau meneruskan,
Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Ubay bin Ka’ab bertanya, "Adakah termasuk ‘asabiyah kecintaan sesaorang kepada bangsanya?" lalu dijawab, "Tidak, tetapi termasuk ‘asabiyah sokongannya terhadap kezaliman yang dilakukan bangsanya. Maka ‘asabiyah yang zalimlah terlarang menurut Islam." (Hadis)
1950an, Perak. Ayahanda bersama guru AlQuran beliau, Hj Latif |
Ikatan rohani kemanusiaan tidak mengenal jubah, mahupun jenis serban dan tinggi songkok. Agaknya inilah yang menyebabkan ramai pejuang kulit hitam terkejut apabila pemimpin mereka Malcom X menukar sentimen ras (yang mengagungkan kulit hitam dan membenci kulit putih) setelah pulang dari menunaikan ibadah haji.
Begitupun, barah ‘taksub ras’ ini mungkin juga tempias sentimen whiteman’s burden yang diwarisi dari usaha kolonialis menghalalkan penjajahannya. Mengikut sentimen kesukuan ini, ‘kaum biadap’ perlu diselamatkan dari kegelapan dunia ‘tidak bertamadun’ mereka.
Itulah kelemahan manusia apabila disapa oleh kuasa. Tidak kiralah sama ada yang putih, hitam, perang, kuning, atau campuran hitam dan cokelat ; utara-selatan, barat-timur; manusia tetap manusia. Cermin antara satu sama lain.
Dalam mengimbas sejarah dan warisan, aku disuruh berhati-hati. Bukannya apa, cuma tidak mahu menjadi pejuang keangkuhan atau taksub kesukuan yang berbajakan prasangka, bangga dan besar diri. Nasib baik juga setanggi purba yang dibekal oleh sejarah masih boleh terus mengajar,
"…Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkan oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah ia daripadanya."
Sesekali ‘berhenti’ untuk menoleh ke belakang, aku diingatkan supaya tidak derhaka, jangan menjadi kurang ajar. Belum sempat aku hendak mencanangkan macho diri berbau ‘rebel without a cause’ yang di pinjam dari James Dean, Tun Perak menyergah,
"Hai! Hai! Hendak derhakakah kamu semua? Hendak derhakakah? Ceh! Kamu sekalian, ceh! Kerana tiada adat hamba Melayu tiada pernah derhaka"
Ini sergah Tun Perak yang marah kepada mereka yang hendak membela pembunuhan anaknya sendiri. Terkedu kejantanan aku. Aku sangka aku sudah cukup hero. Inikah agaknya penafsiran Tun Perak terhadap pesanan purba yang mungkin dibisikkan oleh Cheng Ho kepadanya,
"Ideologi Conficius cuma terdiri daripada dua perkataan sahaja, iaitu taat setia (zhong) dan memaafkan (shu)."
Atau mungkin juga beliau pernah terdengar ungkapan sufi dari saudagar Arab yang merantau merentas benua untuk menyebar ilmu dan berdagang,
Manliness is pardoning the slips of one’s brother; what he wishes for himself, he wishes for his brothers.
Ciri insan budiman adalah kemampuan untuk memaafkan kesilapan saudaranya; apa yang dihajatkan untuk dirinya, dihajatkan juga untuk saudaranya.
1970an, Teluk Intan, Perak. Tok Syeh, semasa majlis perkahwinan Kak Yong & Abang Taha |
Dalam meniti perjalanan ini, bolehkah agaknya diwarisi sifat kepatuhan dan ketaatan yang sebati dalam DNA orang Melayu? Tapi kepatuhan dan ketaatan kepada siapa? Pada ‘tuan’ yang menjaga periuk nasi kita? Pada benda ? Pada rupa? Pada ikon? Pada simbol atau emblem? Pada pangkat? pada segala yang bergelar ‘makhluk’ samada yang semulajadi atau ciptaan manusia; yang bersifat baru, berubah dan tidak kekal (walaupun ada yang cuba melawan fitrah ini)? Atau taat pada yang Kekal selama-lamanya?
Angan-angan mewarisi ketaatan dan kehebatan pengembaraan Hang Tuah pula sebenarnya berisiko tinggi. Jadi hero bukannya selalu senang. Godaan dan cabaran melimpah ruah,
"Adapun akan Laksamana Hang Tuah, barang tempat ia pergi, gegak gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia dipesiban, pesiban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh; dan segala perempuan Jawa anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana, banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah…"
Ini kes berat. Tidak termasuk difitnah kerana iri-hati, prasangka, hasad dan dengki. Tidak termasuk dihukum bunuh. Tidak termasuk ‘membunuh sahabat yang dianggap saudara sendiri’. Tidak termasuk segala misi, ekspedisi ‘tunjuk handal’ dan test power di sana sini. Tidak termasuk terpaksa menculik, memeras, mengoda, memperdaya, menipu, membodek, mengampu dan melayan segala karenah hendonisma raja - perempuan, arak, kemegahan dan kemewahan harta dan istana, memburu, memancing, menakluk, melaga manusia. Baru aku tahu susahnya memegang watak hero orang Melayu.
Hasrat hendak menurut jejak Hang Jebat pula telah lama disejukkan oleh filem-filem Melayu, drama dan pementasan yang menjadikan suaranya makin klise dan terlampau sarat dengan tragedi. Lagipun, mengamuk tak tentu pasal, merogol, memperkosa, membunuh rakyat, merosakkan harta-benda dan ‘enjoy sakan’ sana sini bukanlah stail yang molek diturut.
Namun Hang Jebat mungkin kurang mendengar bisikan Confucius menerusi Tun Parapatih Putih yang membawa Hang Li Po pulang ke Melaka,
"Orang yang budiman memahami keadilan (yi) orang yang hina memahami faedah."
dan menambah
"Bagi orang yang budiman yang paling dihormati ialah keadilan/pengorbanan. Sekiranya orang yang budiman hanya mempunyai keberanian tetapi tiada keadilan/pengorbanan, dia akan menimbulkan kekacauan dan pemberontakan."
Mungkin juga saudagar-saudagar kain dari India gagal memahamkan Jebat yang dirasuk sentimen serta semangat, bahawa:
When destruction comes near, understanding is turned upside down
Apabila kemusnahan menghampiri, pertimbangan dan kefahaman menjadi rosak (pepatah Sanskrit).
Begitu kuatnya sentimen Jebat hingga beliau tergamak melupakan,
"Sesungguhnya Tuhanmu tidak mencintai orang-orang yang membuat bencana." (Al-Qasas ayat 77)
Di celah kegemparan dan kehebatan Jebat dan Tuah bersilat dan berbunuhan ‘sesama saudara’ sendiri, tersingkap seungkap hikmah dari tradisi sufi,
Bersederhanalah dalam mencintai sahabat, kerana kelak dia mungkin menjadi musuh anda; bersederhanalah dalam membenci musuh, kerana kelak dia mungkin menjadi sahabat anda.
Agak pelik juga bila difikirkan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mendamaikan Tuah dan Jebat, walaupun sumber kerohanian yang dirujuk banyak mengingatkan,
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka hendaklah kamu damaikan (perbaikilah hubungan) antara dua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat." (Al-Hujarat ayat 10)
Keadilan ? Pengorbanan ?
1930an, Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. Bonda (kanan) bersama Tok Syeh, Opah, Makcik Suyah, Mak Andak, Mak Anjang |
Keadilan dan pengorbanan penuh tragis, sinonim dengan karisma Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Jikapun namanya mengungkap ingatan aku pada negeri tanah tumpah darah, biografinya sukar hendak aku jadikan arah. Sebagai birokrat yang sangat ‘setia’, perkhidmatannya kepada empat CEO penuh dengan nada pengorbanan, menongkah prasangka,
"….Tetapi jikalau Duli Yang Dipertuan hendak mencerca hamba sebab orang itu, pecatlah hamba dahulu, maka cercakan hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat bagaimana hamba hendak dicerca?"
Hingga ke penghujung karier profesionalnya, Tun Perak terus menegakkan ketaatannya menerusi pengorbanan di celah kezaliman dan segala macam keruntuhan. Terlalu jauh hendak mencapai penafsiran shu (memaafkan) Tun Perak yang menghalang orang menuntut bela pembunuhan puteranya Tun Besar ditangan Raja Muhammad. Agaknya, beliau mungkin terdengar gema Yajna dari keturunan Mani Purindam mahupun saudagar korporat dan para intelektual dari benua India.
"Yajna ialah pengorbanan kerana seseorang harus menyerahkan hal yang terbaik pada dirinya kepada hal yang terbaik yang dicarinya."
Harap-harap begitulah, walaupun mungkin ke’setia’anTun Perak yang ‘berpangkat besar’ dan ‘kaya raya’ ada motif ulterior lain.
Malangnya, tempias Yajna ini tidak diwarisi oleh Mendeliar walaupun dia dari keturunan yang sama. Mendeliar yang kaya raya dan bijak memutar-belit bagai ular tidak dapat menyingkirkan haloba duniawi serta emosi peribadi lalu menyebabkan terkorbannya Bendahara sekeluarga.
Namun baka pengamal yoga mungkin akan terus mengingatkan,
"Engkaulah sadakha (seniman) yang mencari samarasya(harmoni) dengan menyingkirkan kerenah duniawi dan emosi peribadi."
Idealisma atau pragmatisma ? Akukah protagonis di celah konflik ini ?
Seperti remaja pelanggan VideoCD yang keseronokan menikmati pengembaraan sejarah berbaur antara fiksyen dan fakta, mitos, lagenda, dongeng dan sejarah, aku dimarahi Pak Syeikh Nuruddin al-Raniri dari Gujerat India,
" …kemudian lagi harus istinjak dengan kitab yag tiada berguna pada syarak seperti Hikayat Seri Rama dan Indraputera dan barang sebagainya, jika tiada dalamnya nama Allah."
Pak Syeikh (dengan pelat Arab dan dibantu oleh terjemahan Tun Sri Lanang) menambah,
"Lagi kafir barang siapa membaca dia, seperti Hikayat Jawa dan Hikayat Inderaputera itu pun nyata dustanya daripada dungu dan kurang budi juga segala yang membawa dia dan membenarkan dia dustanya itu."
Aku berhenti sejenak. Sekali lagi terkedu. Terkenangkan Mak dan Bapak yang sesekali terlebih naluri protectivenya lantaran terlalu kasih.
"Pak Syeikh, Mak dan Bapak usahlah risau ya. Saya mengkaji dan merenungi, mengambil iktibar. Tak semestinya mempercayai dan memakai. Lagipun semua sejarah ada mitosnya, ada kiasnya, ada ibaratnya, ada bidalannya, ada lagendanya. Ada benar, ada dusta, ada dibesar, ada diperkecil. Ada agendanya. Ada penaungnya. Ada pelaungnya, pewartanya seperti Pak Syeikh sendiri."
1960an, Perak. Ayahanda, Kak Yong, Kak Yang, Tok Syeh, Opah, Abang Nan, Abang Joden, Kak Nyah & Bonda |
Agaknya aku ini Hang Tuah mencari Tamingsari, atau Sang Rajuna mencari Sarasampai panah sakti. Mungkin aku perlu mentelaah Hikayat Amir Hamzah supaya naik darah pahlawan ketika berdepan dengan sikap hodoh suku sakat Feringgi. Malangnya pewaris sikap ini (yang kini tidak mengenal warna) mungkin telah mengutip formula buruk,
Who he wishes to destroy, he first makes demented
Sesiapa yang dia ingin musnahkan, dia akan jadikan gila atau hilang kewarasan/pertimbangan (Pepatah Latin)
Nak ikut jejak Amir Hamzah, takut perut anak isteri kempis. Kecilnya aku ini. Mungkin ada alternatif lain.
1970an, ayahanda berucap ketika majlis perasmian bangunan MARA Teluk Intan. Ayahanda adalah hero saya. |
1970an Teluk Intan, Perak. Wanita cekal dan genius. Bonda Jamaliah Noordin, adalah srikandi keluarga, wanita Melayu pertama membuka kedai kain sendiri di Teluk Intan |
Sesekali aku cuba juga merenung ilmu politik dan diplomasi Tun Parapatih hingga dapat membawa puteri anggun dari Negeri China ke Melaka, buat bekalan perjalanan dan pengembaraan ini. Aku terkenangkan tauke-tauke rakan niaga Mak di Teluk Intan (yang mungkin berkongsi motif yang sama dengan Tun Parapatih). Seperti pedagang China di Melaka, mereka mungkin ada menempiaskan suara Shi Fu Conficius yang cuba menanam benih ilmunya di celah keruntuhan budaya tradisi Chou,
"Mengulang kaji ilmu pengetahuan yang lama membolehkan kita memahami dan menemui ilmu pengetahuan yang baru."
Seni adalah perjalanan ke arah mencapai jen (kemanusiaan), mencari Mei (rupa/kecantikan dan keindahan) yang disempurnakan oleh shan (jiwa/kebenaran dan kebaikan).
Mak mengingatkan makna yang tersirat di sebalik nama yang diberikan kepadaku,
Hasnul Jamal - yang ‘shan’ - baik/benar dan yang ‘mei’ -cantik/indah.
Terasa sungguh perlu disempurnakan nama yang diberi menerusi ‘perjalanan ke arah mencapai kemanusiaan.’ Seperti kilat dipancar cahaya kekaguman terhadap kehalusan budi budaya Timur, sehingga terasa sangat jahil apabila seringkali terlupa menyempurnakan hakikat nama sendiri. Aku sering kehilangan di redah gelombang pengembaraan dan penerokaan. Berlindung di balik angkuh seniman yang dikutip dari beberapa ‘sekolah seni’ di Amerika.
Hari Raya 1980 Teluk Intan. Duduk depan : Hasnul Jamal, Che' Yang Asiah, Zaharul Lailiddin. Belakang : Puteh Saadiah, Zaharuddin, Jamilah, Zainal Abidin, Salmah. |
Dari kiri : Zainal Abidin, Zaharuddin, Ayahanda, Zaharul Lailiddin, Hasnul Jamal |
Jika aku ke Sarawak untuk merintis ilmu baru, adakah ia satu pemergian atau ketibaan? Atau adakah ini sebahagian dari rencah semangat dan jiwa sebuah pengembaraan - dari titik ke titik ke titik ke titik….
Mak secara kasual pernah mengingatkan,
"Jika benih itu baik, jatuh ke laut pun boleh jadi pulau."
Manalah tahu, bagaikan Nila Pahlawan, Krisna Pendita dan Nila Utama, kehadiranku mungkin boleh menukarkan sesuatu menjadi emas, jika tidak pun UNIMAS. Cuma aku bukan mencari Wan Malini, lainlah kalau sudah rezeki. Aku dapat bayangkan muka Mak yang masam cuka,
Kamu jangan mengorat!
Ayahanda dan bonda sekitar 1970an. |
Namun demikian, menukar padi menjadi emas bukanlah nawaitu asal aku merentas, merantau dan menyeberang. Aku tidak inginkan sentuhan Raja Midas yang dimusnahkan oleh tamaknya sendiri. Apalah untungnya mengundang megah menunjuk kekayaan jika watan kesesatan dirompak oleh haloba,
"Telah Laksamana melihat harta terlalu banyak itu, maka hilanglah budi akalnya, sebab disamun harta dunia…."
Aku terkenangkan kisah Perang Uhud yang pernah diceritakan oleh Bapak semasa aku kecil dahulu - apabila barisan ‘pemanah’ (yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengawal sebuah bukit) digelapkan oleh sifat tamak pada harta rampasan perang, lalu meninggalkan ‘bukit’ yang sepatutnya dikawal. Akibatnya, kemenangan hampir menjadi kekalahan.
Semangat dari Bukit Cina pula mengingatkan,
"Harta yang ganjil boleh menyekat perilaku yang betul."
"Orang yang budiman mencapai kematangan tentang perikemanusiaan dan keadilan. Orang yang hina mencapai kematangan tentang kepetingan harta."
Ayahanda dan bonda sekitar 1980an |
Hari Raya 2010 Teluk Intan, bersama Ayahanda dan Bonda |
Suku-sakat |
Yang bernama kasih tak bertepi |
Yang ada |
Aku bukan di Bukit Cina. Aku silanglang buana yang merantau dan kini bermukim di Sarawak Darul Hanna. Aku ada bekal sejarah, cuma diserang amnesia. Aku sudah bersedia sekarang. Kini aku boleh kembali berpandangan jauh dan berkarektor kontemporari. Berikan aku wawasan!
RUJUKAN
W.G. Shellabear’s Sejarah Melayu, Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1975.
LunYu, Pembicaraan Confucius, Obaidellah Mohamad,(penterjemah), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994.
Rahmah Bujang, Seni Persembahan Bangsawan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
Syeikh Nuruddin al-Raniri, Bustan al-Salatin, Siti Hawa Majid Hj Salleh, (penyelenggara). Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992.
Hamidah AbdulHamid, Pengantar Estetik, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka, 1995.
Dikandung badan....Jalan Paul (sekarang Jln Mustafa Albakri) , Teluk Intan, Perak, 1966, tanah tumpah darah |
wow! menarik!
ReplyDeletemenarik sekali bicaranya
ReplyDeleteAssalamualaikum Prof..saya Hisyam merupakan pelajar PhD berkaiatan fesyen dan budaya di uitm shah alam. tujuan saya ingin memohon kebenaran untuk menggunakan beberapa keping gambar disini sebagai kajaian saya..saya memohon persetujuan oleh pihak Prof.Harap Prof dapat membantu saya.Terima Kasih.
ReplyDelete