Seorang penduduk wanita Israel yang tinggal berhampiran dengan sempadan Gaza, berusia dalam lingkungan 30an, berkaca-mata dan bercakap saling tak tumpah dengan lidah orang Amerika Syarikat, di temu-terlebih-ramah oleh pengacara sebuah rancangan berita BBC.
Sebelum itu dalam prelud, disediakan konteks atau setting. Dua pihak yang bertelagah diberi gelaran yang membawa konotasi semiotik yang cukup klise, 'tentera Israel' melawan 'militan (adakalanya pengganas) Hamas'. Satu pihak adalah 'tentera yang mempertahankan rakyat negara berdaulat dari ancaman', yang satu lagi 'militan' atau 'pengganas' yang dah tentulah jahat. Tersepit di celah keduanya adalah satu subteks - wanita tadi, yang mahu dibaca sebagai 'mangsa'. Mari kita tinjau apa jadah yang terjadi pada 'mangsa' ini. Apa yang dia mengarut. Karutannya berbunyi lebih kurang seperti berikut:
"Dah berminggu-minggu kami hidup dalam ketakutan. Ancaman roket dan serangan dari terowong rahsia sentiasa ada. Setiap hari kami dikejutkan dentuman dan bunyi roket, bom dan senapang hingga kehidupan sering terganggu. Hidup tak aman. Kami tak boleh tidur. Bilik selamat memang ada disediakan oleh kerajaan, semua rumah di sini dibekalkan dengan bilik selamat, dengan cermin kalis-peluru dan dinding konkrit yang tebal. Tapi, nak ke bilik selamat kena ambil masa sedikit. Hidup kami tak tenang."
(Semasa mendengar karutan ini oleh 'mangsa konflik' di atas, dalam kepala saya ni berputar gambaran bom meledak sekolah, hospital dan rumah, bangunan runtuh, runtuhan bangunan dengan mayat-mayat tertimbus, orang-orang Palestine berlari-lari mengejarkan bayi dan kanak-kanak yang dah mati atau cedera parah dengan darah melimpah dan badan terkulai. Sambil tu saya merasakan bahawa dalam kepala sesiapa juga yang berfikiran waras, akan ter'insert' gambaran yang sama hingga menjadi satu interplay yang 'absurd' antara V.O wanita Israel tadi dengan gambaran yang terlintas dalam fikiran).
Dah lama tak layan para tukang karut yang mengarut dalam CNN dan adik kembarnya BBC. Pentas mereka yang digelar industri media dan dan berita (yang kononnya benar, tepat, rasional, objektif, adil) ini, sebenornya penuh dengan pelbagai jenis hantu yang boleh merasuk manusia yang lemah minda, perasaan dan jiwa. Ramai manusia sedunia yang dah hilang diri, dihijab, dan dirasuk, atau dah di'zombie'kan, termasuk di Malaysia.
Seperti juga cara mereka membuat liputan tentang MH370 dan MH17, liputan berita tentang Gaza adalah yang paling mengarut sekali. Ini belum lagi lanjutan dari sentimen mengarut ini menerusi pelbagai jangkauan medium yang merentas ke serata pelusuk dunia untuk terus masuk dalam otak dan minda dan men'zombie' semua manusia. Terlalu banyak medium karutan ini, meliputi bahan-bahan atas talian, yang sengaja di'tanam' dan di'viral'kan; juga rancangan-rancangan rencana atau dokumentari berlagak alim; rancangan bual-bicara; forum; rancangan hiburan, hinggalah penerbitan drama, filem dan segala jenis produk fiksyen. Begitu juga dengan segala jenis penerbitan buku, majalah dan segala jenis bahan bacaan, baik atas talian atau luar talian ditulis oleh para tukang karut penulis upahan terpilih yang dah dijuling dan dibeli jiwanya; juga segala jenis produk atau acara pop, budaya dan kesenian yang ditaja (secara langsung atau berproksi) juga hasil sentuhan para 'seniman' yang dah dihijab; juga segala jenis kandungan produk permainan mahupun aplikasi mudah-alih; juga segala jenis persidangan, konvensyen, konferen untuk segala jenis projek penyelidikan atau kajian, dan macam-macam lagi.
Yang selalunya diulang-tayang sebagai penawar (antidote) untuk karutan atau kerja mengarut ini (termasuk tentang Gaza, MH17 dan MH370) adalah demonstrasi jalanan di beberapa bandar-bandar serata dunia, termasuk di Kuala Lumpur. Daripada yang diwar-warkan, ia bertujuan untuk menyembuh, menyedar dan membangunkan manusia; agar tak semua manusia boleh di'zombie'kan. Selain dari boikot, bantuan perubatan, makanan dan pendidikan, demonstrasi jalanan seakan dah jadi siaran yang terlalu kerap diulang-tayang. Adakah semuanya boleh menjadi penawar untuk sebarang kerasukan kerja mengarut di atas?
Tertanya pula dalam diam, bolehkah ditemui penawar sebegini di George Town. Ya la kan, dah jadi penghuni Pulau Pinang, mestilah tertanya. Pulau Pinang pula memang terkenal dengan orang-orang yang lantang mempertahankan segala perkara yang perlu dipertahankan.
Alhamdulillah, takda bedilan roket, dentuman bom mahupun bunyi M16 atau segala jenis machine gun dan segala eksperimen senjata canggih baru tajaan serta ciptaan para pengarut dan proksinya di Pulau Pinang (mahupun di Malaysia dan rantau ini). Syukur.
Tapi, mungkin tajaan, ciptaan, mahupun bekalan 'senjata' mengarut ni dah lama berlabuh di rantau ini, di Malaysia, malah di George Town dalam bentuk lain kot. Tak tau lah. Ada ke?
Cut-to George Town, sekarang.
George Town semenjak dua menjak ni, tak kurang bising dan bingit diserang. Tak, jangan risau, bukan bising kena bom. Bukan diserang militan.
Ia diserang acara.
Sekarang ni George Town bising dan meriah dengan keriuhan tersangat banyak acara Festival, persis pasembor, atau menu makanan di bazar Ramadahan. Semua nak taruh, semua nak tabur, semua nak masuk, semua nak bedal, semua nak makan. Kalau tak pandai pilih, boleh sembelit. Kentut pun busuk.
Kalau George Town ni ditamsilkan sebagai orang tua (memang ia bandaraya tua yang bersejarah dan diiktiraf UNESCO), sekarang ni 'orang tua' tu (yang sebenarnya dah sememangnya menarik) seperti sedang memakai baju yang penuh dengan batu-batu kaca (tak tau lah kot ada berlian). Semuanya berkilat dan memancar, hingga berpino (kata orang Perak) nengoknya, dan dah tak nampak lagi 'orang tua' tadi. Kalau ada berlian pun, susah nak nampak.
George Town kini sudah boleh ditabal sebagai lubuk untuk segala jenis acara (dan para pengurus yang cukup handal mengacara dan cekap mengatur acara bersama askar-askar mereka), penjenamaan bandaraya (ditandai dengan puji-pujian bukan pada Tuhan), dan para saudagar yang bijak mempedagangkan mimpi atas nama seni dan tak kurang juga 'seniman' (tak kiralah, visual ke, muzik ke, persembahan ke, apa-apa je lah). Hebat! Tahniah. Kita semua boleh berbangga.
Di celah kehebatan segala jenis acara, tertanya-tanya pula, boleh ke dijumpai penawar karutan atau kerja mengarut yang disebut di atas, terutama yang boleh menyembuh, menyedar dan membangunkan manusia dari rasukan pengarut? Apakah suara yang dapat kita dengari dari mereka yang bergelar 'seniman' atau 'karyawan' atau 'perupa' dan semua yang sekentut dengan mereka? Didoakan kita semua dapat menjumpai penawar yang kita cari, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment