"Welcome to Jurrasic Park" |
Globalisasi membawa gergaji dua mata, melabur dan melebur, melahir dan menghilangkan. Boleh juga dieja globalisasi, globalisisi, globalisasau, globalibasi, globalukasi. Kalau ia binatang, kita sedang menghela kentutnya. Kalai ia pokok, kita sedang makan buahnya.
Benih globalisasi dah tumbuh meriah di Malaysia dalam pelbagai manifestasi rentas-budaya yang rencam. Adakala kita raikan, adakala kita kesali. Semuanya boleh dihidu, dimakan, dialami, atau diteliti sebagai teks untuk kajian budaya (atau rentas-budaya). Dalam beberapa blog entry lepas, saya dah pernah mengarut (dan mengerutkan dahi) tentangnya.
Kalau nak juling baca tentang simulakra (tiruan atau salinan atas salinan, hingga yang asli dah haus atau hilang terus), termasuk talkin untuk modenisma dan ekstasi hyper-reality di Universal Studio Singapura, klik :
Kalau nak hidu kentut globalisasau di Hong Kong, sila ke :
Yang terbaru, ia terjadi di Lost World of Tambun (LWOT), pinggir Titiwangsa dalam negeri Perak, bumi kelahiran saya. Perak adalah negeri saya remaja, juga bertapaknya rumah pusaka hasil titik-peluh kedua ayahanda dan bonda, akar dan paksi saya kembali kepada fitrah diri. Ia negeri saya balik menyingkap Lailatul-Qadar dan merai Hari Raya.
Namun Perak yang dipakejkan di LWOT, tidak sama dengan Perak yang saya imani sebagai negeri saya. Ini adalah Perak dalam simulacra (istilah Baudrillard) taman tema air ala-Disneyland dan Universal Studio. LWOT namanya sekentut tapi tak sebau dengan Jurassic Park, walaupun mungkin Spielberg belum pernah singgah lagi. Seperti anak kelahiran globalukasi gergaji dua mata yang lain, LWOT meninggalkan tinggalan rasa keraian dan kekesalan, kehilangan dan kelahiran.
Keraian dan kelahiran hadir dari simulasi hotspringnya dan jacuzzinya yang buat saya sekeluarga segar-bugar dan sel-sel baru lahir-semula. Begitu juga dengan gelungsurnya (walau tak sebrutal di Sunway dan di Melaka), membawa saya dan isteri ke zaman ketika anak-anak masih kecil (yang tidak lagi mandi dalam anak sungai, parit besar atau tali air seperti saya semasa kecil dulu).
Kesalnya kerana produk simulasi (salinan palsu) dan ekstasi komunal pasca-kapitalis begini sering membuat banyak keaslian got 'Lost' (hilang), termasuk segala yang saya takrifkan sebagai tapak, akar, sejarah, pusaka dan paksi. Kalau nak tau apa yang hilang, silalah hilang di LWOT.
Ketika menonton pertunjukan haiwan dan sesi bagi harimau makan di LWOT, seekor ayam pertunjukan secara tidak sengaja terjatuh dalam kolam di kandang besar harimau. Ayam malang itu terus diterkam dan dibaham harimau. Nyawanya 'hilang'. Jadilah ia pertunjukan haiwan dimakan hidup-hidup yang disaksikan juga oleh ramai anak-anak kecil. Ada yang ternganga, ada yang menangis. Itulah namanya 'lost world' agaknya kot. Atau digelar simulacrum tahap Hollywood. Pengacaranya pun simulacrum. Dia berpakaian seragam pemburu sambil sesekali buat lawak pendek akal (mengacah penonton untuk masuk dalam kandang rimau). Bila ayam pertunjukan secara tidak dirancang 'hilang' dibaham harimau, dengan selamba dia berkata......
"Well, accidents do happen."
Woraait brader, sedapnya lu punya ayat. Terlintas dalam kepala, ok ke untuk seorang yang sepatutnya menjaga keselamatan haiwan-haiwan pertunjukannya, berkata demikian. Apa kata kalau juruterbang pesawat berkata demikian kepada penumpang sebelum ia berlepas? Lawak ke?
Selain dari kehilangan DYMM Sultan Azlan Shah (yang mangkat semalam), saya semakin kehilangan di Perak, negeri tanah tumpah darah saya. Sejarah, pusaka, tinggalan legasi ayahanda-bonda, akar, paksi, tapak.....semuanya semakin haus dan hilang diterkam dan dibaham binatang bernama globalukasi, ekonomi kapitalis pasaran bebas dan kebas, teknologi simulasi dan ekstasi hyper-reality. Binatang ini berselindung di sebalik pelbagai topeng jenama yang hebat-hebat (politik, ekonomi, budaya, dll).
Tapi takpa, tak perlu gusar. Kehilangan itu indah, memberi laluan untuk kelahiran yang baru. Kehilangan dan kelahiran adalah kitaran fitrah yang patut kita syukuri.
Jika nak berbalada, sila ke :
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/02/h3r0.html
dan
http://www.youtube.com/watch?v=OnNuE4tXdGk
No comments:
Post a Comment