Belum pernah saya lihat di Malaysia ni, arca besi totok digabung dengan pemetaan video. Saka seni moden yang taksub pengkhususan dan jumud sempadan, lazimnya tak suka pendekatan kahwin campur. Formalisma modenis jarang mesra dengan sebarang teknologi komputer dan media baru. Yang hadir dari teknologi komputer dan media baru selalunya dianggap sarkis dan di'paria'kan oleh saka seni moden.
Namun, gabungan rentas disiplin dan kahwin campur sebegini, saya jumpa di UMS (Universiti Malaysia Sabah).
Ia karya Jayson Jason Japary, berjudul "Tanduo". Dari tajuknya, kita dapat teka, ia berkaitan dengan interpretasi Jason terhadap peristiwa di kampung Tanduo, Sabah. Jason mempersembahkan patung-patung besi seperti askar-askar mainan kecil dalam bentuk intervensi (diletak di beberapa ruang di luar galeri) dan instalasi di atas lantai pasir bilik gelap, siap dengan lampu hijau dan skrin tv. Dari segi kesungguhan dan spectacle, ia berkesan.
Skrin tv membuka persembahan dengan memetik liputan peristiwa tersebut dari media arus perdana, diikuti pemetaan video yang memaparkan efek lampu spot, audio dialog askar dan tujahan peluru yang dipancarkan di beberapa bahagian instalasi . Ia persis diaroma interaktif yang kini sering digunakan dalam rekabentuk pameran untuk muzium-muzium besar seluruh dunia.
Skrip Jason masih terlalu longgar dan sukar untuk diimani, begitu juga dengan kelemahan teknikal yang sebenarnya boleh diselesaikan. Banyak potensi teknikal, konseptual dan artistik yang boleh diterokai lagi. Biasalah, ini satu pendekatan yang baru untuk beliau. Walaupun banyak kekurangan, karya beliau menjanjikan potensi penerokaan rentas disiplin yang lebih invoatif, kreatif dan jauh ke depan di UMS. Ini boleh diberi nilai-tambah menerusi penekanan UMS terhadap sejarah, warisan dan budaya negeri Sabah.
Usaha Jason harus diperakui kerana keberanian menggabungkan dua bidang dalam satu persembahan - seni arca kimpalan besi dengan seni pemetaan video digital (juga bunyian) - antara seni moden dan media baru. Gabungan rentas-disiplin ini adalah pendekatan yang saya dah kempenkan untuk sekian lama, sejak merangka kurikulum program Teknologi Seni Visual untuk UMS bersama Fuad Bebit dan aruah Zul sekitar 2004/5 dulu. Walaupun karya beliau masih ada banyak kelemahan dan kekurangan, ia telah membuat hati saya sejuk. Terima kasih Jason.
Arca besi yang dikimpal, memang dah jadi sebahagian dari pu'saka' seni moden. Pemetaan video di bangunan pula, adalah sebahagian dari ledakan seni media baru. Karya Jason menemukan seni moden dengan media baru. Karya pemetaan video yang paling awal saya pernah lihat adalah oleh Rasyid, pelajar tahun akhir UNIMAS sekitar 2011 kalau tak silap (lebih awal dari yang dibuat di George Town). Namun, Rasyid tidak pula gabungkan dengan sebarang genre seni moden (catan, cetakan, arca dan lukisan).
Pemetaan video dalam galeri pula sudah dipelopori oleh Haris Abadi, yang beberapa karya pemetaannya kini ada dalam koleksi Seni Halus USM. Saya tak pasti samada karya pemetaan video ada dalam koleksi individu atau institusi yang lain di Malaysia (mungkin di Asia Tenggara juga).
Alangkah baik jika UMS mengambil langkah bijak, mengumpul, memelihara dan menjadikan karya Jason ini sebagai sebahagian dari koleksinya untuk rujukan para pelajar mendatang, selain dari kepentingan sejarah (sejarah peristiwa, sejarah teknik, sejarah pendekatan berkarya).
Dalam kerakusan dan ketepuan pasaran, keangkuhan budaya tontonan, kecetekan budaya pemilikan, penjenamaan, pembinaan persepsi dan daya saingan, kejumudan stail dan bahan, pertembungan selera budaya, gaya hidup dan politik kesukuan, segelintir karya-karya yang inovatif, kreatif dan berpotensi dalam senyap sering ditenggelam oleh mereka yang bijak mencuri perhatian menerusi polemik, konflik, kontoversi flash mob yang remeh, mandul fikir, miskin jiwa dan basi.
Seperkara
lagi, tanggapan bahawa segala yang baru dan segar hanya timbul di KL
tak semestinya betul sepanjang masa. Kadangkala, ia timbul di pinggiran,
di luar lingkaran (seperti di kampus-kampus USM, UNIMAS dan UMS) walaupun selalunya jarang dipeduli atau diberi
perhatian.
Syabas Jason.
Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html
No comments:
Post a Comment