Kalau kita baca atau dengar perkataan "Mandi Darah" (Blood Bath), pasti kita kaitkan dengan perang, bunuh, konflik.
Semalam, saya ber'mandi darah'.
Sabah dalam paparan media perdana sejak kebelakangan ini, semakin tepu dihimpit cerita 'mandi darah', terutama yang berkait jenayah penculikan dan keganasan pengganas Sulu di perairan berdekatan dengan Selatan Filipina. Agak jarang didedahkan tautan sejarah sosial, budaya dan warisan yang sudah lama terjalin sejak beratus-ratus tahun dahulu di kalangan masyarakat yang menghuni gugusan kepulauan kecil antara Sabah dengan Selatan Filipina.
Ku Mohd Khairul Zaidi membawa saya kembali kepada lagenda asal-usul Pulau Mandidarah yang terletak di daerah Pitas. Namanya unik dan brutal, membuat kita tertanya bagaimana nama sebegitu boleh timbul. Begitu juga dengan nama-nama gugusan pulau-pulau kecil sekitar Kudat. Bila dicungkil, sejarah lisannya berkait rapat dengan Filipina, terutama Mindanao. Air laut di satu lokasi tepian pantai di Pulau kecil ini berwarna merah macam darah (yang mungkin boleh dikaji secara saintifik). Namun, dokumentari ini melihat fenomena alam ini dari sisi sastera, lagenda dan tradisi oral. Lagenda dan mitosnya juga unik dan menarik, boleh dijadikan bahan membuat filem cereka, malah mungkin lebih menarik dan dekat di hati dibanding dengan mitos Viking-doom.
Lagenda Mandidarah ini disampaikan dalam bentuk dokumentari yang menggabungkan kaedah naratif verbal, imbas dan lakon-semula, temubual (penghuni Pulau dan pakar-pakar sastera), montaj found footage, time-lapse, komposit life-action dengan animasi 3D dan info-grafik.
Sebagai hasil tangan seorang pelajar yang baru berjinak dengan dokumentari, ia boleh dianggap bagus, terutama kerana subjeknya unik. Walaupun agak 'skima', sarat dengan bahasa visual dokumentari totok dan tidak 'dekonstruktif' seperti beberapa dokumentari eksperimental yang pernah saya tonton, ia boleh saya layan. Malah, amat bermanfaat juga jika dapat dikongsi dengan masyarakat luar, seluruh dunia. Pada zaman youtube kini, ini boleh dilakukan dengan mudah. Mungkin perlu mantapkan terjemahan Bahasa Inggerinya, dan sunting sikit beberapa lemak-lemak efek 3D yang adakalanya terlebih masak. Mungkin juga boleh ditemubual beberapa saintis biologi samudera untuk beri pandangan tentang fenomena air pantai warna merah dari sisi sains.
Terima kasih dari saya pada Khairul, kerana mengajar saya tentang sejarah, mitos, lagenda dan cerita rakyat yang jauh lebih dekat, berkat dan melekat jika dibanding dengan cerita-cerita 'mandi darah' pengganas yang sering dikaitkan dengan perairan Sabah.
assalamulaikum tuan.. whatapp saya 0135500061.. saya nk tau cerita lebih lanjut berkaitan pulau n.. terima kasih..
ReplyDeletePenulisan di atas tidak tepat Sdra. Mungkin Kita boleh berkongsi info sebab saya berasal dari Pulau tersebut. Silah email sakinahmuhammad164@yahoo.com
ReplyDelete