Terima kasih Nur Eliani Halim kerana mengingatkan saya bahawa adalah tidak salah dan tidak berdosa untuk menghasilkan karya yang cantik, indah, gedik, manis, sedap mata memandang, halus, teliti, penuh berkemahiran, tertib, beradab dan bersopan. Bila dilakukan dengan penuh asyik, ghairah, minat, gigih, tekun, jujur dan sepenuh hati, ia halal diterima sebagai sebuah karya yang bagus.
Tak perlu bersedih jika ia ditafsir sebagai kerja kemahiran tangan atau kraf, yang selalunya dianggap bertaraf rendah atau kelas dua jika dibanding dengan karya-karya seni kontemporari yang bising mengaum dengan sorakan perca modennya.
Tak mengapa jika tidak diterima sebagai karya agung seni kontemporari untuk paparan dalam galeri. Tak menjadi kesalahan juga jika anda tidak berminat untuk ikut rentak pekikan pasaran seni kontemporari. Tak mengapa jika karya anda dianggap tidak menggigit dan mencubit, dikatakan gedik.
Tak menjadi kesalahan untuk memujuk orang lain membeli karya-karya anda. Tak perlu segan untuk mengajak orang lain menghargai keindahan khazanah dasar laut. Tak menjadi satu kesalahan untuk menggamit perhatian orang terhadap keindahan dasar laut Sabah.
Tak perlu nak mengaum, memperli, memaki, mengutuk, mengata, merendah-rendah, memomok, mempermain, mempersenda, memfitnah untuk menjadi seniman agung.
Sejak 1990an hingga kini, sudah lebih 20 tahun saka panas pekikan perca moden mengaum. Ketepuan komentar, kritikan, parodi, kontroversi, konflik, ironi, paradoks, sindiran, satira sosial, politik, budaya, ekonomi yang dah terlalu lama mengaum dalam arena seni kontempoari tempatan dan antarabangsa dah semakin lesu, hambar, klise dan basi. Malah, medan pekikan ini kini sudah diambil-alih oleh media sosial, bukan lagi seni moden mahupun pasca-moden. Yang tinggal hanyalah ritual basi atau ikutan singkat untuk mengejar populariti, mencari perhatian dan mencuri tumpuan. Malah, banyak yang memekik, kini sudah diam selesa dalam koleksi peribadi atau institusi besar-besar di dalam dan luar negara; atau sesekali mengaum dalam katalog dan buku yang ditulis oleh rakan sekentut.
Oleh itu, Eliani, teruslah menghasilkan karya 'gedik' dengan jujur, tanpa sebarang agenda munafik atau hipokrasi. Saya amat menghargainya.
Saya yakin, ramai yang akan menghargai dan membelinya juga. Jika boleh dijadikan sumber pendapatan, lagi bagus. Anda boleh lakukannya sendiri tanpa perlu terlalu menagih dari orang lain, jika pintar menggunakan kelebihan internet dan media sosial.
Saya doakan anda murah rezeki yang membawa keberkatan dunia dan akhirat.
Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html
Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html
No comments:
Post a Comment