Thursday, 29 May 2014

PERTEMUAN ADALAH REZEKI

Sekitar 1996, saya pernah ke rumah panjang Nangga Sumpa, di Batang Ai, Sarawak untuk satu ekspedisi rakaman audio serta video. Antara yang menarik perhatian dan menyentuh hati saya ialah anak-anak kecil yang dibesarkan dalam persekitaran hutan dan rumah panjang tersebut. Salah seorang dari mereka ialah kanak-kanak perempuan comel (lebih kurang empat tahun) tak berbaju yang sering mengekori saya.  Saya rakamkan dia (foto dan video) bersama kanak-kanak yang lain bermain dengan riang di sungai, yang telah menjadi habitat mereka. Keriangan mereka saya jadikan sebagai antara intipati karya video muzik yang terhasil.

Semasa ke Nangga Sumpa, saya dan Mohd Fadzil (kini Timbalan Naib Canselor HEP UNIMAS) membawa rakan komposer dari Amerika Syarikat, Barton & Priscillia McLean. Kami berkolaborasi untuk menghasilkan gubahan muzik elektro-akustik berdasarkan bunyi-bunyian dan visual hutan hujan khatulistiwa di Sarawak, termasuk penghuninya. Sinergi yang lestari manusia-persekitaran semulajadi menjadi inspirasi dan konsep teras karya kolaborasi kami. Hasilnya ("Jambori Rimba") dipersembahkan dalam bentuk sebuah konsert dan pemasangan audio-video interaktif yang mengizinkan penonton menghasilkan ambiance bunyi dan visual. Barton McLean juga membantu saya memasang studio muzik digital di UNIMAS ketika itu.

Sekitar 1998 saya menggubah satu lagu ("Suara Rimba") secara digital, berdasarkan pengalaman ke Nangga Sumpa. Gubahan kasar ini kemudiannya diolah-semula oleh rakan komposer yang sama bertugas sebagai pensyarah di UNIMAS, Hafeez Askiak. Hasilnya digabung dengan bahan-bahan visual yang saya rakam di Nannga Sumpa, termasuk kanak-kanaknya. Rujuk (klik)

Cut-to : Interior, Galeri FSGK UNIMAS, Mei 2014 :
Ketika kembali ke UNIMAS untuk menilai projek akhir para pelajar Seni Halus, saya diketemukan-semula dengan kanak-kanak perempuan yang pernah saya rakamkan di Nangga Sumpa dulu.  Setelah 18 tahun berlalu, dia kini menjadi pelajar jurusan seni halus di UNIMAS. Saya berjumpa-kembali dengan dia, bukan untuk membuat rakaman, tapi untuk menilai projek tahun akhir dia. Walaupun dah dewasa, saya masih kenal dia. Bila saya maklum dan tunjukkan muzik video "Suara Rimba", dia terkesima. 

Setiap pertemuan adalah rezeki.




Tautan berkaitan

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2014/09/masuk-hutan-re-visiting-jambori-rimba.html 

http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/03/suara-rimba-salam-harapan.html
  

 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...