Friday 23 May 2014

ANTARA "GODZILLA" DENGAN "TURALI".


Nana, Delly, Mia dan Nina. Malam kelmarin Abah nonton 'Godzilla' sorang-sorang di 1Borneo Hypermall. Bolehlah layan. I miss all of u, Abah balik nanti kita pi tengok wayang.

Semalam, Abah nonton sesuatu yang jauh lebih mendamaikan jika dibanding dengan Godzilla yang mengamuk di pawagam.
  
Semalam Abah mengalami hasil karya Hannah Kong yang manis. Abah ucap terima kasih pada dia, kerana berkongsi mitos tentang 'Turali' - alat seruling tradisional Sabah yang ditiup dengan hidung. Abah jatuh hati dengan naratif visual dia yang ringkas, comel, lembut, sayu dan manis, menerusi kaedah pemetaan video (projection mapping) yang inovatif dan kreatif. Penataan artistik dia ada kuasa tarikan dan daya mengekal perhatian, hasil gabungan animasi komputer dengan set model 3 dimensi yang dibina dengan kertas.  Ia jauh lebih aman dari amukan makhluk mutan yang bergusti dengan Godzilla yang gendut. 


Kepada Hannah Kong, 

Sebagai antara pekebun awal yang menanam benih program Teknologi Seni Visual di Kebun tempat anda menanam benih ilmu, karya anda membuat saya bahagia. Ia persis hasil buah yang telah lama saya bayang dan idamkan; yang telah lama saya tunggu sejak saban tahun menziarah kebun lama saya di UMS untuk meninjau dan menikmati hasilnya.  


Karya anda, walaupun masih ada beberapa kelemahan kecil, tapi penuh potensi. Ia tidak lagi terkepung oleh batasan bidang, atau dikekang ketaksuban disiplin ilmu yang dipecah-pecah, atau dipasung oleh kejumudan cabang-cabang seni yang seringkali suka diasing-asing, dikasta dan dijadi bahan takbur. Ia bebas dari dirasuk oleh toksid keangkuhan seniman satu dimensi.  


Ia membuktikan bahawa kembali kepada tradisi tidak bermaksud kembali kepada zaman kuno atau kemunduran, seperti yang jenuh dikhutbahkan oleh fahaman modenis totok berkiblat mimpi benda. 


Takpa, tak usah khuatir jika ia tidak dapat diangkat atau dijulang atas padestal galeri komersial, mahupun ruang-ruang institusi seni visual kontemporari. Karya anda bebas dari kepungan empat dinding galeri seni halus mahupun paradigma seni moden. Ia seakan mengiyakan tanggapan (hipotesis) saya bahawa transformasi dan inovasi kreatif lebih banyak berlaku di luar kekangan galeri, swasta mahupun institusi kerajaan.

 
Karya anda merentas bidang, menggabungkan ilmu komunikasi grafik, rekabentuk karektor, animasi, muzik, rekabentuk set dan pameran, rekabentuk persekitaran, suntingan digital, rekabentuk naratif, penulisan kreatif, pendidikan (kognitif), pelancongan dan kelestarian tradisi dan warisan tidak ketara (intangible oral heritage). Konsepnya merujuk pada penyegaran-semula mitos dan cerita rakyat tradisional dalam bentuk persembahan hibrid berasas teknologi visualisasi media baru. Inilah jenis buah yang diidamkan oleh saya, Fuad Bebit dan aruah Zul semasa kami mula membuka tapak kebun program teknologi seni visual dulu (merangka kurikulumnya). 


Lebih manis jika dapat dimanfaatkan sebagai wahana untuk memujuk  kanak-kanak dan generasi muda untuk menyayangi kekayaan mitos serta cerita rakyat dalam budaya tradisi di Sabah. Alangkah molek jika dapat disambut oleh mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan, seni dan warisan, agar karya anda dapat membawa manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia, bukan hanya segelintir elit mahupun kumpulan kecil yang suka syok sendiri.


Saya doakan anda dapat meneruskan apa yang telah anda usahakan ini, sambil membuka potensi diri menerusi inovasi dan transformasi berterusan. Inovasi dan transformasi adalah anjakan dari yang 'jahat' kepada 'yang baik'; dari 'yang negatif' kepada 'positif', dari 'kesedaran rendah' kepada 'kesedaan tinggi', dari 'kasar' ke 'halus'. Transformasi adalah mendaki 'makam' (tingkatan) kesedaran diri, untuk pulang kepada cahaya fitrah diri yang sebenar. Transformasi begini membina peradaban, bukan setakat pembangunan harta-benda. Jika dibangunkan harta-benda saja seperti tumbuh terpacaknya bangunan-bangunan moden pencakar langit di kota-kota mega, mungkin bakal diruntuh, dimusnah dan dijahanam oleh gusti antara Godzilla dengan makhluk mutan pemakan kuasa nukluear yang dibekal oleh manusia sendiri (yang hanya bijak, tapi bukan 'terang hati'). 

Salam sejahtera untuk isteriku Nana, anak-anak ku Delly, Mia dan Nina, Hannah dan semua anak-anak 'pekebun muda' di Sekolah Seni UMS.
 


No comments:

Post a Comment

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...