Terima kasih Abang Long (Thien Shih), datang jauh-jauh dari KL ke Penang bersama adik-adik dari BSVN, untuk sama-sama sarapan dan sembang, tentang karya-karya anda dan zaman gemilang 1980an. Terima kasih juga sudi buat rakaman video karutan saya yang dah separa-pencen dan tidak foto-gedik.
1980an zaman saya masih menuntut di UiTM, dan berguru dengan beberapa otai besar seni moden Malaysia (yang juga rakan-rakan sezaman Abang Long). Ketika itu, keluarga seni moden Malaysia masih kecil. Acara besar hanya dibuat di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama Hotel Majestic depan stesyen keretapi (KTM). Ruang berpameran yang lain tak banyak, antaranya lobi Australian High Comm, dan Galeri Petronas yang ketika itu terletak di Bangunan Dayabumi. Muka-muka yang hadir ketika majlis perasmian selalunya sama, persis perjumpaan keluarga. 1980an zaman Knight Rider, Rambo, Madonna, Mahathirisma dan runtuhnya tembok Berlin.
1980an zaman saya masih menuntut di UiTM, dan berguru dengan beberapa otai besar seni moden Malaysia (yang juga rakan-rakan sezaman Abang Long). Ketika itu, keluarga seni moden Malaysia masih kecil. Acara besar hanya dibuat di Balai Seni Lukis Negara di bangunan lama Hotel Majestic depan stesyen keretapi (KTM). Ruang berpameran yang lain tak banyak, antaranya lobi Australian High Comm, dan Galeri Petronas yang ketika itu terletak di Bangunan Dayabumi. Muka-muka yang hadir ketika majlis perasmian selalunya sama, persis perjumpaan keluarga. 1980an zaman Knight Rider, Rambo, Madonna, Mahathirisma dan runtuhnya tembok Berlin.
Di hotel 1926 Pulau Pinang, saya dan Abang Long flashback era kegemilangan yang terisi dengan watak-watak utama seperti Chong Kam Kaw, Tan Tuck Kan, Joseph Tan, Ponirin Amin, Fauzan Omar, Awang Damit, Yusof Ghani, Ahmad Khalid, Syed Tajuddin, Tajuddin Ismail, Sharifah Fatimah dan ramai lagi, termasuk para pelukis cat air.
Selain dari Abang Long, tak ramai yang ke Paris untuk menuntut ilmu seni. Antara yang lain ialah Fong Mooi dan Ng Bee, seingat sayalah. Dalam sejarah seni cetak, ada yang letakkan Abang Long sebagai antara otai besar. Karya-karya seni cetaknya sekitar 1970an (sutera-saring dan gurisan), ada dalam koleksi Balai Seni Visual Negara, juga dijadikan rujukan dalam kuliah seni cetak guru seni cetak saya, Ponirin Amin.
Walaupun mula dikenali menerusi seni cetak, sikap Abang Long terhadap pengkaryaan agak berbeza dengan rakan-rakan sezaman. Dia tak terkepung atau terpasung oleh sesuatu medium, teknik dan stail. Subjek dan temanya juga cair, berubah-ubah ikut konteks semasa. Pada zaman gemilang 80an, sikap begini tidak diterima sebagai alim seni. Susah nak cari makan, kerana susah untuk dikenali. Nada karya-karya Abang Long nakal dan pedas, tapi dilapik oleh metafora visual bawah sedar. Adakalanya, sikap beliau seakan mengusik kealiman dan ketaatan pengamal seni moden zamannya terhadap satu medium, teknik dan gaya atau stail yang tetap. Sikap Abang Long begini, mendahului zaman. Saya teringat pada Lee Kian Seng yang ada angin yang lebih kurang sama. Begitu juga dengan Ponirin Amin dan Askandar Unglerht. Kini, ramai pengamal seni kontemporari muda memakainya.
Abang Long juga tak malu berniaga di bawah tangga di Pasar Seni KL. Dia antara generasi pelopor awal seniman sepenuh masa di Pasar Seni KL, walaupun ada ijazah dari luar negara. Waktu itu, seniman Pasar Seni pernah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai seniman kelas dua. Abang Long tak kisah, malah selesa membuat potret dan lukisan pemandangan cat air yang cantik manis untuk memenuhi tempahan para pelanggannya. Dia juga mudah bergaul dengan semua jenis manusia, peramah dan ceria.
Karya seni cetakan digitalnya "Bar Coded Man" (dalam koleksi Balai Seni Visual Negara) antara yang paling melekat dalam minda saya. Dengan memetik dan mengolah-semula karya Leonardo da Vinci secara digital seperti robot (Leonardo meletakkan tubuh manusia sebagai sukatan untuk segala benda), Abang Long seakan menyindir bagaimana manusia kini disukat menerusi nilai konsumsi atau daya belinya. Semua produk industri kini ditag dengan bar code. Ini membolehkan para pemodal, pengilang dan penguasa kapitalis memperolehi meta-data berkaitan dengan corak konsumsi seorang manusia dan kelompok sosial. Malah, corak konsumsi, selera dan daya beli seseorang (yang menggunakan kad kredit untuk berbelanja) boleh diakses meta-datanya menerusi bar-code. Ini membolehkan pemodal, pengilang dan penguasa pasaran membaca corak berbelanja dan gaya hidup, dan seterusnya menanam pengaruh serta memanipulasi pasaran. Ini pembacaan saya la.
Kepada Abang Long, sesuai dengan namanya, semoga beroleh 'long' artistic life.
Sarapan Penang-style |
No comments:
Post a Comment