Tuesday, 27 May 2014

KEBUN-KEBUN DI PINGGIRAN

4 arca besi oleh Assol Empali, diinspirasi dari kepala parang Ilang, senjata utama kaum Iban di Sarawak. Ganas.
Pengaruh Mad Anuar dan Raja Shahriman pekat dalam karya Assol. Orangnya kemas, tapi getaran panasnya boleh tahan juga.

"Tambuk Abstrak" oleh Mohammad Saffuan Md Aziz, dihasilkan dengan menggunakan pasir pantai sebagai bahan utama. Potensinya banyak jika Saffuan lebih agresif dan rajin bereksperimen. Terima kasih kerana sudi jadi tukang bawak kopi untuk saya. Saya jamin, ia tidak akan mempengaruhi markah yang akan diberi.





Azman Emang mentafsir getaran semangat pada kain tenunan tradisi menerusi gubahan skimatik tali benang kapas.
Karya Azman mengingatkan saya pada karya-karya 'getaran kuantum' oleh aruah sahabat saya, Allayarham Fadzil.
Sdr Azman boleh layan 'string theory', kalau rajinla.
Sepanjang Mei ini, saya berkesempatan melihat lebih kurang 200 karya para pelajar tahun akhir program Seni Halus di UNIMAS dan Teknologi Seni Visual di UMS. Boleh juling juga mata.

Menilai projek para pelajar tahun akhir di UNIMAS dan UMS (selain USM) merupakan antara ritual tahunan yang amat saya hargai. Di USM, ia dijenamakan sebagai RINTIS, di UNIMAS dipanggil CIPTA dan di UMS, digelar MATRIX. Kesemuanya saya tamsilkan sebagai kebun, yang pernah saya buka tapak-tapak awalnya, bersama rakan-rakan lama. Ada antara mereka, seperti Zulkarnain Zainal Abidin, Fuad Bebit, Wan Jamarul, Hasnizam Wahid masih kekal di kebun-kebun ini, dan tak serik menjemput saya. Terima kasih tak terhingga.

RINTIS, CIPTA dan MATRIX adalah kebun-kebun di pinggiran atau luar lingkaran pusat (Kuala Lumpur dan Lembah Kelang). Mungkin sebab itulah, ia lazimnya jarang diberi perhatian. Ini agak mendukacitakan, kerana banyak kali juga saya pernah bertembung dengan beberapa pelajar dan projek yang amat bagus, inovatif, kreatif, dengan hasil kerja yang relevan dengan cabaran sezaman dan bertepatan dengan penyelesaian untuk situasi masa depan.  

Karya seorang bekas pelajar UNIMAS contohnya, telah dipilih menerima Anugerah Pilihan Pengunjung dalam Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2013/14 baru-baru ini, walaupun pernah disindir sebagai 'sarkis' oleh beberapa wali besar seni kontemporari Malaysia. Perlu juga direnungi bahawa tak semua pelajar menjadi seniman agung. Tiga orang bekas pelajar UNIMAS (Anuar Ayob, NurShazleen dan Safrizal Shahir) pernah pegang jawatan Ketua Program di tiga IPTA, manakala beberapa yang lain melanjutkan pelajaran hingga peringkat Masters dan Phd (Yaacob, Zahuri, Helena, Ling Siew Woei) serta berkhidmat sebagai pensyarah. Ada yang menjadi kurator (Alizam, Tan Sei Hoon, Koon). Ramai yang jadi guru sekolah, ada yang buka syarikat dan perniagaan sendiri. Tentera Gulang (bekas pelajar UNIMAS) dari Sabah contohnya, sekarang ni dah jadi usahawan berjaya. Zulwawi Hashim (bekas pelajar seni halus batch pertama di UNIMAS) kini mengajar di Sabah, sambil terus aktif berkarya. Beberapa bekas pelajar UMS yang pernah saya ulas dulu, kini menjadi antara barisan pelapis muda yang berpusat di Sabah, dibimbing dan dipimpin oleh otai mereka Zaime Sahibil (juga bekas pelajar UNIMAS) yang kini dipinjamkan ke Kolej Universiti Yayasan Sabah (dan sedang menyiapkan tesis Phdnya). Zaime juga adalah Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Sayang juga, keriuhan di Kuala Lumpur adakalanya lebih memberi tumpuan pada kontroversi dari mencungkil bakat dan potensi yang timbul senyap-senyap di pinggiran atau luar lingkaran.

Meninjau karya-karya (hasil tanaman/buah) dalam kesemua eksposisi di atas merupakan antara kaedah terbaik untuk meninjau pencapaian sesebuah program (kebun), termasuklah para pensyarahnya (pekebun). Hasil pencapaian para pelajar adalah tanda dan refleksi pencapaian para pensyarah mereka. Selain itu, ia memberikan pedoman untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan, serta meneroka beberapa potensi baru yang selari dengan perubahan dan perkembangan sezaman. Kelemahan, kekurangan, kepincangan dan masalah sudah tentulah banyak. Semuanya dibincang secara terbuka dengan rakan-rakan pensyarah, walaupun adakala panas, boleh mencalar ego, mengempis takbur. Bagaimanapun, semuanya dilakukan dengan berlapang dada untuk mencari jalan penyelesaian dan pembaikan yang bermanfaat untuk semua. Selain mencungkil kekurangan dan kelemahan, tak dilupakan kekuatan, kehebatan dan potensi. 

Hasil karya para pelajar tahun akhir juga dapat memberi gambaran kasar terhadap sinario masa depan yang bakal diwarnai oleh para pengkarya, pereka, perunding visual dan pengamal kandungan kreatif muda dalam pelbagai lapangan seni visual. 

Sebab itulah saya amat menghargai kesempatan ini, walaupun masa amat terhad. Masa yang terhad membuat saya amat menghargai setiap detik bersama dengan para pelajar dalam membuat refleksi dan berkongsi pengalaman yang mereka tempuhi. Meninjau hasil pengalaman mereka, merupakan tingkap terbaik untuk saya merenung  cabaran yang perlu ditempuhi oleh generasi muda. Ia adalah pentas ilmu yang amat berguna dan bermanfaat. Para pelajar adalah antara sumber refleksi dan ilmu yang terbaik untuk saya. 

Dalam blog Jiwa Halus, sudah saya terbitkan beberapa ulasan. Itupun, ikut angin, dan bila berkesempatan. Untuk blog ini, saya hanya dapat paparkan beberapa contoh yang sempat saya rakam di UMS (UNIMAS dan USM akan saya cuba usahakan kemudian).

Kepada semua para pelajar tahun akhir Program Senireka dan Teknologi Media Baru USM, Seni Halus USM, Seni Halus UNIMAS dan Teknologi Visual UMS, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian berkongsi hasil kerja anda, juga atas kesudian mendengar komentar, kritikan, leteran dan kutukan saya. 

Apabila bersama anda semua, saya hadirkan tenaga kasih, agar segala yang terluah, walau macam mana brutal dan rock pun, akan mengalir, menggema dan menyebarkan getaran kasih. Sebab itulah saya mengelak dari mendengar pembentangan yang dikarang, dibaca dan dipentas persis ucapan ahli politik. Lebih molek jika anda juga hadir dengan getaran tenaga kasih yang jujur dan ikhlas, dengan luahan kata-kata yang datang terus dari hati tanpa sebarang nota, agenda, udang balik mee mahpun pesanan penaja. 

Saya mohon berbanyak maaf jika ada yang saya luahkan itu menyakitkan hati, memedihkan jiwa, memanaskan emosi dan melukakan perasaan. Mohon maaf juga jika saya terlatah dengan lantunan tenaga yang anda bawa, termasuk segala saka, memori dan dendam keturunan, mahupun toksid minda dan perasaan yang anda kutip sepanjang 3 tahun belajar. Jika tidak setuju dengan saya, takpa. Buang je jauh-jauh. Jika setuju, baguslah, jadikan panduan untuk kita sama-sama memperbaiki diri, meningkatkan makam jiwa. 

Saya takda pangkat atau jawatan besar-besar untuk menabur sebarang janji yang hebat-hebat atau habuan yang mewah. Nak bagi hadiah buku pun, saya cuma dapat beri pada segelintir kecil yang terpilih saja, sebagai wakil dan syarat jasad. 

Tapi saya boleh hantarkan doa yang baik-baik untuk anda semua, terus dari hati saya, tanpa perlu keluar modal benda. Anda semua boleh balas dengan doa juga, kepada kedua bonda dan ayahanda, kepada para pensyarah dan pada saya.

Syabas, dan salam kasih dari saya.

Karya seni fiber Friscilla Saimun  yang sengaja tidak disiapkan sepenuhnya, mengizinkan penonton belajar menenun.
Instalasi seni fiber dan cahaya oleh Rosmaidayu Ibrahim.
Nazri Mambut yang berasal dari Sarikei, Sarawak, dengan karya arca dan pemasangan berinspirasikan tiang rumah panjang Iban.
Lasmee Samsun dengan "Borneorina", produk alat muzik tiupan 'ocarina' diperbuat dari seramik. 'Ocarina boleh ditemui dalam pelbagai budaya dan tradisi di Afrika, China dan Mexico.
Abdul Rahim dengan produk seramiknya.
Ting Bick Nga dengan penjemaan-semula sabun susu beras - Mia. Mia bermaksud 'yang dikasihi' dalam bahasa Mesir, 'kepunyaan saya' dalam bahasa Italy.
Aznan Johari dengan penjenamaan-semula cerut Borneo.

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...