Friday 30 May 2014

PESAN & DOA UNTUK ADIK-ADIK DI UNIMAS



Adik-adik di UNIMAS yang sibuk mengejor segulung kertas bernama 'ijazah', jika rasa boleh layan, terimalah pesan dan doa berikut:

Penyelidikan adik-adik perlu berfokus, terurus, bertumpu, terarah atau berhalatuju, menggunakan beberapa metodologi penyelidikan visual yang relevan.
  
Penyelidikan adik-adik perlu kaya dengan interpretasi peribadi dan refleksi dalam bentuk visualisasi awal, visualisasi susulan, visualisasi cadangan, visualisasi skimatik dan visualisasi persembahan . Semuanya divisualkan (bukan hanya diverbal persis bidaah kata) agar topik yang dikaji dapat dihayati dan diimani fikirnya (IQ), rasanya(EQ), kepercayaannya(SQ)

Data-data visual disokong oleh kekuatan kontekstual dan konseptual, terutama dari segi teori, retorika, wacana, sejarah dan amalan sezaman.
  


Merujuk data-data primer yang sahih, bukan data-data sekunder dan sumber yang tidak boleh disahihkan seperti gosip, umpatan, orang mengata-ngata, fitnah, tanggapan liar dan segala bentuk buruk sangka. 

Pengkarya dan karya yang dikaji, perlu dihubungi dengan beradab, ditemui, diserap getar fikir, rasa dan jiwanya, bukan dicuri dari laman sosial atau sebarang sumber atas talian, tanpa pengetahuan pengkarya.

Mengamalkan dan membudayakan tinjauan ke studio atau makmal pengkaryaan.

Menimba pendedahan dan pengetahuan tentang amalan seni kontemporari tempatan dan luar Negara sebanyak yang mampu. Membudayakan amalan berkunjung ke galeri untuk membuat kajian secara langsung. 

Rujuk sumber sekunder (buku-buku) terbitan tempatan dan terkini, bukan hanya kitab-kitab seni dari luar negara je. 

Untuk adik-adik yang melaksanakan kajian teknik, bahan dan proses, perlu   komprehensif dan didokumenkan dengan teliti dan sistematik. Jika ada data yang dikumpul, perlu dianalisa dengan satu kerangka konseptual atau teori pilihan. Perlu ada parameter dan kaedah analisis. Dapatan pula perlu dibincang atau diperhalusi, diberi kerangka teori untuk diaplikasi dalam karya. Kajian tentang teknik, bahan dan proses ini jangan dikelirukan  oleh tuntutan untuk mengutarakan isu, subjek dan tema yang mungkin hanya bersifat ‘tampalan’, cetek dan sambil lewa, tanpa sebarang pertautan konteks mahupun konseptual antara keduanya.  

Perlu bina asas dan kefahaman teori serta wacana sezaman terutama yang berkaitan dengan kajian budaya dan teori-teori kritikal, serta kaitannya dengan konteks sejarah dan budaya tempatan. 

Elakkan dari terkeliru dan terperangkap dalam kontradiksi dan percanggahan (atau kekeliruan) paradigma antara bahasa, retorika, sistem, struktur dan wacana modenis berasaskan fahaman formalis dengan pasca-modenis berasas  kajian budaya dan teori-teori kritikal. Ini termasuklah metodologi penyelidikan atau kajian, proses berkarya, hasil karya dan pengkarya. Takrifan berkarya, hasil karya dan pengkarya dalam paradigma modenis adalah berbeza dengan paradigma pasca-modenis. Malah, paradigma pasca-modenis itu juga kini sudah semakin mencapah ke pelbagai wacana pasca-tradisi baru yang melibatkan cantuman pelbagai disiplin ilmu berkaitan dengan :
Ø  minda, kesedaran tinggi dan meta-kognisi,
Ø  fizik kuantum,
Ø  komunikasi atas talian,
Ø  sibernetik,
Ø  pengimejan digital dalam pelbagai bidang meliputi teknologi teleskop, mikrosop elektron, satelit, GPS, GIS, MIR,
Ø  psiko-sosial, psikologi organisasi, rekabentuk sosial dan persekitaran emosi, ruang publik dan persekitaraan binaan,
Ø  kelestarian, budaya hijau dan kesejahteraan (wellness).    
 
Cuba juga elakkkan kekeliruan antara paradigma yang berasas disiplin (disciplinary) dengan rentas-disiplin (trans-disciplinarity); pemisahan disiplin dengan penyatuan (convergence). Juga antara yang berasas galeri dan kerangka pasaran seni kontemporari dengan berasas akademik, penyelidikan, eksperimentasi, penerokaan dan inovasi. 

Elakkan juga kekeliruan antara teknik, bahan, proses, peralatan dan perkakasan dengan ‘isu’, subjek dan tema. Dalam  paradigma modenis, keduanya sering diasingkan dalam struktur binari bentuk dan isi (form and content). Namun dalam paradigma pasca-modenis, pengasingan begini tidak relevan. Teknik, bahan, proses, peralatan dan perkakasan  juga boleh menjadi ‘isu’, subjek dan tema kajian atau  isi (content). Kesemuanya boleh dibingkai oleh konteks tertentu yang melibatkan pelbagai bidang ilmu. Semuanya juga boleh dijadikan asas membina kerangka konseptual, terutama sebagai penerokaan metodologi kajian dan bahasa visual yang baru, inovatif dan lebih bersifat sezaman. 

Tingkatkan kemahiran mempertahankan ide secara verbal. 

Hasil penyelidikan biarlah ada perkembangan dan penerokaan ide dengan subjek dan isu sezaman yang lebih mencabar atau luar ‘lingkaran’. 

Contohilah rakan-rakan yang memaparkan kajian, penerokaan dan aplikasi kaedah atau metodologi yang baru, segar, kreatif, inovatif dan berani. Antara yang bagus-bagus adalah rakan-rakan (maaf, lupa nama-nama) yang menghasilkan kajian dan karya berkaitan dengan hal-hal berikut:
* frekuensi getaran bunyi dan teknik pengimejan foto alternatif,
* pembacaan baru terhadap teknik, bahan, proses anyaman, gubahan dan persembahan seni tradisi dalam konteks sezaman, 
* aplikasi pengaturcaraan interaktif dan teknologi atas talian dalam menyampaikan naratif peribadi
* eksplorasi ruang publik dan persekitaran binaan, unsur alam (angin) menerusi instalasi bahan alternatif
* aplikasi kreatif bahan jumpa tiga dimensi untuk mengembangkan bahasa catan dalam konteks sezaman
* aplikasi kaedah ilustrasi digital dan komunikasi grafik dalam konteks pengkaryaan seni visual berasas galeri
* penyegaran-semula tradisi catan figurative dan representational.

Tingkatkan Kefasihan kuratorial terutama sekali dari segi perletakan, pemilihan, penyususan dan persembahan karya di tapak atau lokasi. Kita perlu memuliakan karya kita, memuliakan ayahanda dan bonda yang menaja kita, memuliakan para pensyarah kita, menunjukkan rasa syukur, terima kasih dan penghargaan terhadap rezeki ilmu yang kita terima sepanjang tiga tahun di Universiti. Ini semua ditunjukkan menerusi cara kita mempersembahkan hasil karya kita.


Jika melakukan sesuatu yang pernah dilaksanakan oleh para pelajar terdahulu, kajiannya perlulah dikembang agar melebihi tahap pencapaian para pelajar terdahulu.

Didoakan, adik-adik untuk tahun-tahun mendatang, bakal dibekalkan dengan beberapa kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan atau kajian seni visual yang boleh dipilih mengikut kesesuaian dengan bakat dan kecenderungan masing-masing.

Didoakan setiap penyelia dapat menyediakan secara formal kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan yang boleh digunakan oleh para pelajar seliaan mereka, berdasarkan kepakaran masing-masing. Kepelbagaian konteks, konsep dan metodologi perlu dihormati dan digalakkan, malah boleh menjadi kekuatan. Boleh juga dilaksanakan beberapa bengkel, modul atau manual untuk perkara di atas. 

Didoakan para pelajar yang sudah memilih satu kerangka konteks, konseptual dan metodologi penyelidikan di bawah penyeliaan seorang penyelia, tidak lagi dikelirukan oleh para pensyarah lain dengan kerangka dan metodologi yang lain pula.

Didoakan agar dapat dikumpul-semula hasil kerja para pelajar dari kumpulan pertama hingga kini untuk dibuat kajian, analisis, ulasan dan penerbitan buku. 

Didoakan agar kampus UNIMAS terus diterokai dengan lebih komprehensif dan intensif. Malah, ini adalah kelebihan UNIMAS yang tidak ada pada IPTA-IPTA yang lain di Malaysia (juga rantau Asia Tenggara). Kampus UNIMAS itu sendiri secara fizikalnya boleh menjadi pentas terbuka seni kontemproari. 

Didoakan agar penawaran pelbagai bidang seni gunaan dan kreatif di FSGK dan perkongsian sumber perkakasan, peralatan dan makmal merentas jabatan boleh dijadikan pemacu dan ‘x-factor’. Didoakan juga agar pencairan geografi dan anjakan dari pusat ke pinggiran seperti yang berlaku di beberapa Negara yang lebih maju boleh dijadikan sebagai satu lagi x-factor. Selain dari George Town di Pulau Pinang dan Melaka yang aktiviti seni, budaya dan warisannya semakin dinamik (George Town Festival, Tropfest Short Film Festival, Penang Jazz Festival, dll), FSGK dan UNIMAS juga boleh memposisikan diri sebagai pemacu aktiviti kesenian yang inovatif berdasarkan kedudukan pinggirannya di Sarawak dan di Kota Samarahan yang semakin pesat membangun. 

Tanam dan sebarkanlah getaran cinta serta kasih-sayang tanpa udang sebalik mee.

Jagalah kesihatan/kepintaran fikir (IQ), kesihatan/kepintaran emosi(EQ). Kekuatan keduanya datang dari kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah-bagi (SQ). Vitaminnya adalah sentiasa bersyukur dan berterima-kasih, rajin bersedekah (senyuman, sangka-baik dan doa untuk orang lain juga sedekah, tak perlu modal benda) dan memaaf/menerima/redha atas segala ujian. Semua ujian (atau perkara yang kita tak suka) adalah denai untuk meningkatkan makam(tingkatan) fikir, emosi dan jiwa, untuk kita membuka hijab (toksid fikir, rasa), agar cahaya batin yang memang dah ada dalam diri, dapat bergema, memancar dan bersinar.

Sekian, pesanan dan doa, tanpa sebarang acara rasmi, bunga manggar, ucapan serta janji-janji manis, puji-pujian yang dibaca dari teks yang disediakan, tanpa perasmi, tanpa jamuan, tanpa penaja rasmi, tanpa penyiar rasmi, tanpa udang sebalik mee. 

Salam kasih dari saya. 

3 comments:

  1. Terima kasih banyak2 prof atas perkongsian tentang karya2 kami. Semua nasihat yang prof bagi sangat berguna untuk kami. Kami akan memperbaiki lagi pada masa akan datang. Sekali lagi saya ucap terima lasih prof sebab sudi datang untuk menilai karya kami.

    ReplyDelete
  2. Didoakan juga yang terbaik buat Prof Hasnul dan En.Nasir sekeluarga. Penyelia dan pelajar perlu seiring sejalan, serentak dan seirama. Semoga yang baik-baik terus menerajui jiwa-jiwa halus di FSGK, Unimas. Terima kasih daun keladi, sekali lagi buat seluruh rahmat dari Illahi.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih prof di atas perkongsiannya sangat bermanfaat buat saya dan rakan-rakan lain.Moga apa yang kami pelajari hari ini dapat dijadikan rujukan dan sumbangan kepada keluarga,masyarakat dan negara pada masa akan datang.
    (WanG)

    ReplyDelete

DENAI PULIH

Tidak semua tentang rawatan, pemulihan dan penyembuhan itu bergantung pd sains perubatan semata-mata, atau ilmu yg bersifat empirikal sj. Ia...