ZIKIR SETIAP SEKARANG
Duhai yang sedang membaca
apa jua fikiran yang tercetus semasa kata-kata ini dibaca
apa jua perasaan yang terbit semasa kata-kata ini dibaca
semuanya hanyalah gelombang
Gelombang fikiran dan perasaan datang dan pergi
muncul dan hilang
yang jika dibiarkan terus berkocak tanpa 'disuluh' 'penyaksian kamu'
boleh menjadi ombak besar
yang berpura-pura menjadi kamu
hingga kamu hanyut dan lemas dalamnya.
Duhai roh yang sedar
cahaya tenang abadi
dalam dakapan Ada yang Hakiki
pancarkan tempias cahaya
agar segala pergantungan pada fikir
segala pertautan pada rasa
segala ketagihan pada identifikasi diri yang palsu
segala obsesi pada situasi, pada alami mimpi jasad dan benda
hilang lupus bersih lutsinar
persis hilangnya kotoran tompok hitam degil dan keras
di atas kaca pelita
yang mengizinkan cahaya pelita menembusinya
Duhai kebisingan gelombang fikiran dan rasa
yang terus degil mencipta ilusi diri yang palsu
menghijab cahaya
mencipta tompokan situasi demi situasi alami
termasuk situasi 'membaca' kata-kata ini
Sekarang
dan
Setiap Sekarang
DIAM DAN HILANGLAH
dalam cahaya zikir
setiap sekarang
yang abadi
No comments:
Post a Comment